Sabtu, 19 Februari 2022

Tali Sulam (Braided) dan Shock Leader

Sambil-sambil aku rajin nak menulis, aku key in jela apa yang aku nak tulis sekarang. Korang jangan menyampah pulak. Aku tengah gila memancing ni.

Penulisan ni cuma sekadar perkongsian dari pengalaman aku yang tak seberapa. Tulisan ni lebih kepada perkongsian untuk orang yang tak tahu apa-apa pasal tali pancing. Yang dah expert sila pergi ke aplikasi TikTok.

Zaman-zaman awal aku memancing dulu, tali utama yang aku pakai biasanya ialah tali monofilamen. Orang senang faham kalau disebut tali tangsi. Tali tangsi ni kira tali paling asas la dalam sukan memancing. Untuk yang baru nak menceburkan diri bidang memancing, tali ni paling murah dan mudah diurus.

Karekteristik tali tangsi ni bersifat lutsinar dan elastik. Macam ada spring. Kalau kita regangkan dia, tali ni akan memanjang dan kembali ke kepanjangan asal bila dilepaskan.

Sifat elastik ni ada kelebihan dan kekurangan. Jika dikenakan kejutan, ia mampu menyerap kejutan dan mengelakkan daripada putus.

Tapi jika tersangkut di dahan pokok atau ranting kayu didalam air, amat bahaya bila kita cuba tarik. Sifat springnya mampu menerbangkan batu ladung atau swivel pada kelajuan tinggi. Kalau terpelanting kena tanah tak apa, kalau kena mata? Pecah bijik mata mat!

Bagaimanapun tali tangsi ni masih banyak kegunaan lain yang bermanfaat. Sebab tu masih wujud di pasaran. Kebiasaannya untuk big game atau koyan.

Tali sulam atau braided. Tali utama jenis sulam ni agak lama juga dah ada dalam market, cuma aku agak lambat pakai sebab masa tu kewangan tak mengizinkan.

Tali sulam diberi nama berdasarkan teknik pembuatannya yang menggunakan kaedah sulaman sepertimana tali cord pendaki gunung. Beberapa lembaran halus digabungkan untuk menghasilkan tali berkekuatan tinggi. Kelebihan tali sulam ialah nisbah kekuatan vs. diameter yang tinggi. 

Maksudnya untuk kekuatan 20lb,tali sulam cuma berketebalan 0.15mm(contoh),dibandingkan tali tangsi setebal 0.35mm untuk kekuatan yang sama. Tali yang lebih halus bermaksud lebih banyak tali dapat dimuatkan kedalam spool berbanding tali tangsi.

Ada beberapa kategori sulaman contohnya 4X,5X,8X,12X dan yang paling banyak aku dengar 16X. Angka-angka ni merujuk kepada jumlah lembaran yang digabungkan menjadi satu.

Makin tinggi jumlah lembaran digunakan,makin mahal tali sulam tersebut. Simple matematik. Dalam banyak-banyak jenis ni tiga jenis tali sulam aku dah pakai; 4X, 5X dan 8X.

Ketiga-tiga jenis tali ni ada karekteristik yang sedikit berbeza. Semuanya lembut dan mudah tenggelam dalam air, tapi tali 4X dan 5X sedikit kasar permukaan talinya. Jika dipegang kita tak rasa sangat, terutamanya jika kita tak pernah menyentuh kehalusan permukaan tali sulam 8X. 'Kekasaran' tali 4X ni hanya kita sedar bila kita membuat karauan berat. Maksudnya mengarau semasa perlawanan dengan ikan besar.

Seahawk Gachiri X4

Permukaan tali sulam 4X yang bergesel dengan seramik ring guide akan menghasilkan bunyi umpama tali tu sedang menggergaji permukaan ring guide. Kebiasaannya tiada kesan yang ketara sebab seramik guide ring memang tahan geseran, cuma kita akan rasa macam reel pancing kita yang kasar. Sebenarnya tidak. Bunyi-bunyian kasar tu datang dari tali sulaman.

Tali 5X pun lebih kurang juga karekternya dengan 4X. Kalau diteliti betul-betul, 5X jenama Lemax ni sulaman dia lebih kasar berbanding 4X Seahawk Gachiri. Talinya kuat, tapi kalau tarik tali sulam ni bila sangkut, pastikan pakai glove. Makan tangan ooo!

Lemax X5 PE braid 25lb

Berbanding dengan tali 8X, permukaan braided 8X lebih halus dan licin disebabkan lembaran yang disulam jauh lebih halus dan rapat.

Kastking Mega 8

Masa tali ditarik keluar ataupun semasa kita membuat karauan, terasa macam pakai equipment yang premium. Smooth, lancar dia lain sikit. Tak ada bunyi-bunyi yang merisaukan.

Cumanya barang yang terasa premium  didatangkan dengan harga yang premium juga. Contohnya Gachiri 4X berharga sekitar RM11 untuk 100 meter. 300 meter berharga RM33.

Manakala tali Kastking Mega 8 (8X) berharga RM69 untuk 274 meter, begitu juga dengan Gachiri 8X 300 meter berharga RM75. Dua kali lebih sulaman pada harga lebih kurang 120% lebih mahal.

Baik 4X atau 8X, ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Kelebihannya 8X aku dah tuliskan kat perenggan atas tadi. Kekurangan 8X pula ialah lembaran halus bermakna ia lebih senang berbulu/putus akibat geseran. Kontra dengan 8X,4X pulak lebih tahan geseran.

Jadi setiap tali perlu digunakan mengikut padang pancingan masing-masing. Kawasan berbatu sebaiknya pakai 4X dan kawasan yang lapang seperti kolam pancing contohnya sesuai pakai 8X.

Kedua-dua jenis braided ni atau apa kategori braided sekalipun tidak akan mampu menyerap kejutan sebaik monofilamen. Sifatnya yang tidak bermemori merupakan satu kelemahan juga selain dari fizikal tali sulam yang tidak transparent didalam air.

Untuk mengatasi kekurangan tali sulam, pemancing digalakkan menggunakan shock leader, atau sambungan tali mono/fluorokarbon dibahagian paling hadapan. Shock leader berperanan menyerap kejutan dan juga menyembunyikan kewujudan tali sulam berhampiran umpan.

Shock leader kebanyakannya dibina dengan 80% fluorokarbon bersifat sedikit bermemori dan agak lembut. Kadang-kadang berkedut selepas dibuat knot dan ada juga yang terlalu elastik. Jenis 80% fluorokarbon masih lagi boleh dikatakan murah, berharga sekitar RM10 untuk 50 meter. 

Shock leader 100% fluorokarbon pula sedikit keras, agak sukar untuk dibuat knot. Tapi sifatnya cuma sedikit elastik dan sangat kurang memori. Maknanya jika tali berkedut, kita cuma perlu regangkan dan ia akan kembali lurus. Harga pula berbeza-beza mengikut jenama, kebiasaannya lebih mahal dari 80% fluorokarbon.

Contoh yang aku pakai sekarang ialah Bullzen DFC 50lb 80% fluorokarbon 50 meter berharga cuma RM10, manakala Mustad Shock Leader 30lb 100% fluorokarbon 50 meter berharga RM43.


Jauh beza harganya kan? Apapun yang lebih mahal selalunya berkualiti lebih baik dari yang biasa. Jika ada bajet, cubalah pakai asalkan jangan sampai membebankan poket.






Jumaat, 18 Februari 2022

Yo-Zuri Crystal 3D Minnow Killer!

Berkait dengan benda yang aku bebelkan pasal J&T semalam, sebenarnya ni la benda yang aku tunggu sangat.


Yo-Zuri Crystal 3D Minnow sinking spec 10gram 90mm. Aku beli dua jenis dengan kod warna HSBL dan HAY.

Alkisahnya aku dengan adik aku bercerita pasal hard lure. Borak punya borak pasal lure, mesti la ada cerita pasal lure mahal,lure marhaen. Sebenarnya harga lure tak jadi isu sangat. Sebabnya dengan lure cap Bakau pun adik aku rilek je naikkan sebarau 2-4kg. Dia ni bab sebarau memang boleh buat rujukan la. Dah berzaman hunting sebarau dengan teknik casting. 
Sepanjang penglibatan dia bermain casting, bermacam-macam jenis lure dia pakai. Walaupun aku abang dia, bab ni aku kena berguru dengan dialah sebab memang expertise dia.
Then dia ada sebut satu jenis lure yang aku cuma ingat perkataan Crystal 3D Minnow. Google punya Google (yang ni kepakaran aku), aku jumpa benda ni kat Shopee. Memandangkan benda ni barang lama, satu seller je yang jual dan stok dia nak habis dah! Seller pun dah mention stok clearance.
Tanpa membuang masa, aku terus tekan dua bijik. Seterusnya apa yang berlaku, aku ada ceritakan dalam entri lepas.
Barisan Crystal Minnow dan 3D Crystal Minnow 90mm

Tapi bila Shopee refund duit, aku terus reorder balik item sama secepat mungkin sebab satu item berkod HSBL cuma tinggal last stock. Kali ni aku bertindak bijak macam selalu iaitu menggunakan alamat rumah. Petang Rabu (16 Feb) aku order, hari ni Jumaat (18 Feb) dah sampai. Power kan J&T Batang Kali? 
Berbalik kepada kisah adik aku sebut tentang Crystal 3D Minnow tu, dia kabor gewang ni bapak killer nya. Killer tak killer, masalahnya wujud lagi ke tidak dalam pasaran. Kalau ada, dia pesan beli secepat mungkin.

Bila aku trace balik bila start pengeluaran siri 3D Crystal ni, sebenarnya tak ada info pun. Kecuali satu posting paling awal dari Facebook berkenaan keyword 3D Crystal Minnow Yo-Zuri pada November 2010.
Itu satu-satunya hint yang menunjukkan bila benda ni diketahui public. Sekarang dah 12 tahun lah kiranya dia dipasarkan. Tapi ni cuma research ringkas aku jelah, barangkali tak tepat.

Selama 12 tahun dalam market, stok didalam pasaran makin terhad. Sebelum benda ni jadi macam RXZ baik aku simpan dulu. Itupun bukan la nak peram sampai jadi barang buruan, cuma nak rasa macamana guna gewang bangsawan sikit.
Sejak Shopee/ Lazada wujud, macam-macam jenis gewang murah ada di pasaran. Zaman kedai fizikal dulu lain, option tak banyak. Harga pun boleh tahan sebab didominasi jenama-jenama terkemuka.
Sekarang ni gewang RM2 pun ada. Yang nampak macam berkualiti ada, yang haprak pun banyak toksah cakaplah. Sekali tengok dalam gambar memang cantik, harga murah pulak laju je beli dua tiga butir.
Maklumla excited nak penuhkan lure box. At some point aku rasa ada yang tak kena dengan gewang-gewang murah ni.

Pertamanya berat lure. Ada lure pencil yang bapak besar sampai 11cm, tapi ringan nak mampos. Maknanya apa? Material dia pakai tu nipis. Sekali kena baham bocor terus agaknya.

Kedua, kualiti binaan. Sesetengah gewang murah ni QC dia hancur. Lebihan ultrasonic weld dia di'trim' pakai kaki. Maksud aku cincai. Tak kemas langsung. Paint job lagilah,kelaut.

Ketiga, R&D. Yang ni paling penting. Korang rasa gewang mur2 ni ada buat R&D ke? Macamana bentuk renangan dia, berat lure seimbang ke tak, selaman dia cantik ke tidak, reflection cahaya ikut kedalaman air mampu menggoda ikan ke tidak, itu semua mempengaruhi harga.
Kadang-kadang kita pelik tengok macamana orang cast dapat ikan baik-baik. Set up dia lain, set up kita ikan pun tak sudi jamah. So dalam dunia pancingan ada benda yang kita boleh jimat, dan ada benda yang kita kena invest.
Selalu kita rasa ikan tu bodo je kan. Asal boleh je letak umpan,matakail, setel..padahal presentation terbaik tu la yang tentukan tinggi-rendah peratusan kejayaan menaikkan ikan.
Bila kumpau, paham la kita kat situ bahawasanya kita yang bodo tak tau tekniknya.

Sekian.

* by the way aku ada buat backup order dari Hot Tackles Singapore. Harga keras untuk dua bijik ni,RM136. Tapi masih dalam status pending. Kalau sampai nanti aku sedekah jela kat adik aku tu.



Khamis, 17 Februari 2022

Buat Hal La J&T Kepong KUL302!

Sejak 2016 aku mula menjinakkan diri membeli secara online melalui platform Lazada. Masa tu beli sikit-sikit jelah dan ada beberapa pembelian yang agak mahal iaitu PS4 dan Pocophone F1.
Lepas tu aku dah tak berapa minat shopping kat Lazada. Aku beralih pula ke Shopee.
Di Shopee ni aku mula dengan beli benda-benda murah macam aksesori telefon dan gajet-gajet biasa. Lama-lama barang aku beli makin mahal dan makin kerap aku membeli. Last year aku kira perbelanjaan aku di Shopee bernilai lebih kurang RM13K. 
Kerancakan bershopping kat Shopee ni tak lain tak bukan disokong oleh kecekapan lojistik dalam menguruskan parcel. 
Kat Lazada bukan lojistiknya tak bagus cuma entah la kekadang jumpa seller bangang. Macam PKP 2020 dulu, aku order kolam air inflatable untuk anak-anak aku berendam. Aku tunggu lama kot lebih seminggu rasanya, seller dok prepare parcel lagi. Aku cuba cancel kena reject pulak.
Dua tiga hari lepas tu seller cancelkan sebab stok takde. Tak ke bangang namanya tu. Tak pasal-pasal masa terbuang.

Di kawasan rumah aku ni selain Poslaju,DHL atau Shopee Express, J&T merupakan solusi lojistik yang cemerlang. Sesekali ada la delivery main campak je barang walaupun aku ada dalam rumah. Itu pun aku tak kisah asal barang sampai.

Cemerlang yang aku maksudkan kat sini spesifiknya ialah J&T cawangan Batang Kali. Setakat ni aku masih berpuashati jika menggunakan alamat rumah untuk shipping.
Sesekali aku guna juga alamat ofis, bukan apa receive barang kat tangan sendiri ni lebih puas. Letak alamat rumah waktu weekdays kang takde siapa nak receive. Masalahnya ialah bila aku pakai alamat ofis, barang-barang aku akan transit di J&T CDC Kepong (KUL302).
Ni aku nak cerita berapa punya cibai branch KUL302 ni. Kebanyakan barang aku akan dihantar diluar waktu pejabat. Sedangkan kalau kau tengok alamat pejabat, ape ke jadah kau deliver lepas jam 5 petang?
Ok la, aku faham area urban ni banyak parcel nak hantar, so tak sempat. Default punya jawapan. Tak apa, asal barang sampai kat pondok guard.
And semalam berlaku perkara yang paling aku benci nak dengar iaitu PARCEL LOST.

Barang yang aku beli tu dari Kelantan:

- 8 Feb 2022 parcel dah pickup dari seller.
- 9 Feb 2022 9am parcel sampai di KUL302,branch Kepong tadi lah. 
- 11 Feb 2022 pagi aku check barang dok in transit lagi. Petang lepas Jumaat aku pegi la branch KUL302 untuk self pickup. Senangkan kerja depa, kot la parcel menimbun. Sampai sana cek nombor, staff dia cakap barang dah out for delivery. Awat out for delivery tapi dalam Shopee status dok tulis in transit? 
Dia cakap Shopee lambat update. Oklah aku balik opis tunggu call sampai kul 5. Malam aku cek status dok in transit. Nampak sangat pembohongnye.
- 14 Feb Isnin aku dah panas hati. Call tak berangkat, center pun cam babi chatbot yang jawab. Semak kat JnT tracker, status barang 'delayed due to external factor'. Pastu ada lagi status 'bad weather'. Palabutuh dia bad weather.Masa tu Kepong mana ada hujan lebat.
- Takpe aku biar lagi, sambil-sambil hantar komplen kat website dia. Sehinggalah tengahari semalam,(16/2/2022) tetiba ada nombor wasap aku bagitau barang aku disyaki HILANG.

14 kali status in transit sejak 9 Feb 2022

Haaaaa tu la punca pasal apa depa sidai barang aku kat warehouse lama sangat. Sedangkan masa aku nak self pickup Jumaat lepas warehouse tak busy langsung. Barang pun tak menimbun dalam bakul.
Dalam hal ni aku panas bukan pasal parcel lost. Barang lost tak pe Shopee akan refund balik duit aku n seller bila kurier claim parcel lost. Aku boleh repeat order balik, cuma cam bodo la tunggu lama-lama untuk barang yang sama.

Paling aku bengang adalah sebab barang tu antara stok terakhir. Nak cari balik online sakit matt! Aku jumpa seller online tapi dari Singapore. Dah la dollar dia mahal, convert duit kita dah jadi double dari harga asal.
Next posting aku cerita barang apa yang aku harap sangat sampai ni.

Aku memang tak faham dengan J&T KUL302 ni. Komplen berlambak-lambak kat Google map review. Management buat bodo je ke? Ke gaji depa banyak sangat sampai tak kisah kena potong bila barang hilang?
J&T Malaysia tengok-tengok sikit branch korang yang problematic ni. Kot la staff-staff korang buat dajal sebab ada aku dengar komisyen delivery kena cut. Korang plak kalau check status dia tulis in transit sampai 3-4 hari tu baik pegi self pickup. Kalau takde, memang hilang la.



Isnin, 14 Februari 2022

Kastking Crixus Armor X Murah Beb!

Membeli kelengkapan memancing ni macam ada satu ketagihan sebenarnya. Para pemancing mesti faham. Jangankan lalu depan kedai pancing, sambil pegang handphone pun boleh ziarah kedai online. Tak beli pun tak apa, sekurang-kurangnya mesti add to cart. Betul tak?

Lepas aku berjaya mendapatkan set BC, ada satu kekurangan yang aku baru sedar. Rod Seahawk Kossori aku tu berkelas 8-17lb dan lure yang sesuai adalah seberat 10-20 gram. Agak berat sebenarnya memandangkan beberapa lure aku cuma seberat 4 gram hingga 7.5 gram. Yang paling berat cuma Ozmy Silencer iaitu 20 gram.

Lure seberat 10 gram keatas kebanyakannya bersaiz besar nak mampus, tak sesuai dengan padang pancingan aku. Jadi, aku berkeputusan untuk membina kombinasi BC lain yang lebih ringan.

Lepas aku menjelajah kedai-kedai online mencari rod sasaran, aku jumpa dengan sebatang rod mampu milik yang sesuai iaitu Santec Capricorn 6" two pieces. Murah sikit dari Seahawk Kossori iaitu cuma RM108. Dilengkapi 10 cincin, yaa 10...spec rod ni menepati keperluan aku, line weight 6-15lb, lure weight 4-13g dan cukup ringan sekitar 110 gram.
Rupa rod ni tak hensem langsung,biasa-biasa je dengan kemasan benang silver di beberapa tempat,reel seat gloss black, sedikit penggunaan cork di bahagian pengunci reel dan diakhiri dengan layangan cat warna hitam. Low profile habis. Line guide yang 10 ketoi tu pun tak tau brand apa. Boleh la padan dengan harga dia.

Rod ni aku sesuaikan dengan reel BC Abu Garcia Promax 3 sebab ngam dah mainline dia braid 15lb. Untuk leader aku dah gantikan dengan leader level bangsawan sikit iaitu Mustad 100% fluorocarbon 30lb. So dah settle set yang sedikit ringan untuk cast lure ringan.

Sekarang ni Seahawk Kossori tak ada reel. Untuk Kossori ni aku plan untuk setup yang sedikit berat. Reel yang aku padankan ialah Kastking Crixus Armor X beserta mainline Kastking Mega 8 20lb. Senang order sekali jalan.

Beza Crixus Armor X dan Crixus biasa ialah material mainframe dan bilangan bearing. Armor X dibina dengan cast aluminium manakala Crixus biasa material grafit. Harganya for surelah berbeza agak banyak.
Kastking ni jenama baru jugak la dari US. Tapi confirm kilang dia kat China. Ini barang kalau made in USA silap-silap harga dia level Shimano. Tengok website dia nampak serius juga la brand ni. Tak macam rod Santec tadi. Walaupun agak ramai juga yang pakai, haram tak jumpa kompeni fishing equipment Santec ni asal dari mana.

Benda bestnya pasal reel baru ni meh aku nak cerita.

Harga di laman web rasmi Kastking Crixus ialah US$55.99 iaitu sekitar RM234, manakala Crixus Armor X dijual pada harga US$88.99 (RM376). Beza sekitar RM140.
Tetapi...

Crixus Armor X yang aku beli ni berharga RM290 sahaja. Entah ada diskaun ke apa tapi real beb, murah banyak. Walaupun agak was-was tapi dari review tulen pembeli memang harga dia legit, bukan scam. Sampai benda ni dalam tangan aku pun aku still rasa, ishh biar betul ni. Seller gila ke apa tak tau la.



Tapi itulah dia, kalau ikut harga, bagi aku spec dia sangat berbaloi. 9+1 Maxidur bearing, aluminum frame, drag 8kg, double pinion bearing, dan special feature yang aku rasa membantu kelancaran casting ialah rekaan line guide berbentuk cone mengikut susunan tali didalam spool.
Pihak Kastking memanggilnya dengan jargon yang kedengaran begitu advance sekali iaitu LFTV ( Low Friction Tapered Vortex ). Nama yang rumit ni sebenarnya marketing strategi tapi xde la bodo-bodo je nama dia ganas gitu. Ada function juga la.
Bila line guide dia bentuk macam tu, susunan tali bahagian paling kiri dan kanan spool lebih lancar dikeluarkan dengan geseran paling minimum. Secara teorinya memang membantu jarak casting.


Eksperimen aku dengan Abu Garcia Promax, bila reel in heavy load, mainline didalam spool yang berada disebelah tepi akan bergeseran bila tali ditarik keluar dalam posisi drag full lock. Berlaku stress pada susunan tali dan line guide. Tambah teruk bila gulungan tali dalam spool tak cukup padat. Next cast mesti macam haram tali tersekat-sekat.
Jangkaan aku dengan design line guide berbentuk cone ni tali lebih lancar keluar dari spool semasa casting dan karauan juga kurang stress. Nanti aku try buat longcast cun ke tidak perginya.

Harapnya setup baru ni boleh menepati expectation aku bersesuaian dengan harganya. Kita pakai dulu then kita tengok berapa lama dia boleh dilenjan sedikit berat. Abu Garcia kita buat layan Duel Aile 3G Magnet Minnow dengan Yo Zuri Crystal 3D Minnow 9cm. Adik aku cakap 3D Crystal ni killer. Kena port baik, killer la. Dapat port sendu tak de guna gewang bangsawan.

Khamis, 3 Februari 2022

Casting Sebarau Sungai Tekam

Cuti CNY baru-baru ni aku balik kampung memandangkan aku apply cuti panjang. Selain menjenguk mak aku, plan lain adalah komplot memancing selepas di racun oleh foto adik aku sehari sebelumnya.

Sebarau atau nama saintifiknya Hampala macrolepidota seberat 2.4kg ni ditawan menggunakan kaedah casting.

Teruja dengan racunan tersebut, aku bergegas balik kampung pada Sabtu pagi dengan berbekalkan set senjata casting dan bottom medium heavy aku tu lah. Padahal adik aku main set light casting je kot.

Aku sampai rumah mak aku sekitar jam 3.15 petang, makan-makan kejap pastu dapat la rehat sekejap bila adik aku bagitau ada member ajak casting pukul 5 petang di lubuk yang sama.

Aisshhh rugi tak ikot weh! Lubuk ni dekat je dengan jalanraya utama, so kitorang gerak bertiga naik Miyabi aku je. Then trekking sikit dalam 100 meter dah sampai ke lokasi.



Nampak biasa-biasa je tapi sungai ni dihuni monster air deras yang bersembunyi untuk menghendap anak ikan mungkus yang mudik ke hulu.
Jam 5.45 petang kami mula casting. Adik aku pakai set joran custom Lemax yang ditambah cincin dan mesin BC jenama Sougayilang katanya dan tali utama brand apa entah berkekuatan 10lb. Umpan pula minnow 10cm jenama Bakau.
Hari tu aku tak ingat aku pakai umpan apa,SP Zman 3" rasanya. Hari tu boleh dikatakan hari latihan bermain BC memandangkan aku tak pernah guna set BC pun,🥲
Member sorang lagi aku rasa pakai spoon dengan set spinning apa entah aku tak sempat tengok. Aku kesibukan berlatih membaling SP dan membetulkan bihun. Siapa tau dia taulah,hihi!
Dari pemerhatian, nampak beberapa kali anak-anak ikan kecik berkumpulan melompat jeram; satu pemandangan yang agak unik aku rasa sebab di alam sebenar ni lah pertama kali aku tengok fenomena ni.
Selalunya aku tonton ikan salmon mudik nak bertelur je dalam dokumentari.

Lebih kurang 10 minit casting, minnow adik aku disambar sebarau. Perlawanan tak lama, lebih kurang 2-3 minit saja. Ikan hampir menyerah dan tiba-tiba benaman terakhir melucutkan single hook dari hookup yang kurang cantik.
Saiznya hampir sama macam dalam gambar pertama sebab aku nampak ikan tu dah timbul. Sempat juga aku merakam masa tu sebab kebetulan aku tengah duduk menyulam FG knot.

Selang beberapa minit minnow adik aku sekali lagi disambar sesuatu masa dia casting selaman dalam di kepala jeram (gambar ke 3).
Perlawanan ni sempat juga aku rakam sebab tak siap lagi simpul FG masa tu,😂


Dan... hasilnya amat memberangsangkan.

Sebarau seberat 2.8kg berjaya dibawa pulang. Aku dan sorang lagi member cuma sekadar membawa pulang telur masing-masing.
Videonya disini :

Apapun ada beberapa pelajaran dan ilmu baru yang aku pelajari sepanjang beberapa hari turun memancing. Nanti aku cerita di posting yang akan datang.

Sabtu, 22 Januari 2022

Inventori Baru; Seahawk Kingdom Extreme

Seperti yang aku pernah tuliskan dalam entri yang lepas, set heavy aku menggunakan rod Awashima Imperial Spin lama yang sebenarnya pernah patah tip hujungnya.

Aku refurbish balik tambah ring baru dan ia kembali beraksi. Cuma rupa dia cacat sikit la sebab dua section tak sama panjang. Dari segi tugas berat masih lagi ok. Macamanapun rod tu agak uzur dari segi rupa dan aku baru perasan seramik line guide yang paling besar ada crack dan sompek sikit.

Ini satu risiko juga sebab sompeknya agak serius dan atas faktor kecacatan ni,ia layak dijadikan alasan untuk berbelanja membeli rod baru,😌

Selepas mengkaji sedikit sebanyak dan sebagai peminat barangan Seahawk, aku buat keputusan untuk menggandingkan reel AP Power 8000 dengan rod jigging 2 section Seahawk Kingdom Extreme PE 2-4 bersaiz 6"3'.

Rod yang berharga RM192 aku beli dari Shopee seller kegemaran aku iaitu leonghuilan sebab dia punya kedai dekat je dengan rumah aku tapi aku malas nak terjah kedai,haha! Aku mintak dia hantar hari Sabtu/ Ahad, tengahari Jumaat dah sampai. Bapak laju.

Bersekali dengan pembelian rod ni aku beli dua jenis braided berlainan kekuatan tapi masih dari jenama favourite aku iaitu Seahawk( again) Gachiri X4 multicolour 40lb dan neon green 15lb.

Braided 40lb ni aku masukkan kedalam reel AP Power 8000 sebab braided sebelum ni iaitu dari jenama Tomman Rotan 4x tak cantik, braidednya leper. Lepas tu talinya macam ada melekit sikit. Pendek kata tak berapa bestlah, maklumlah murah je.

Jenama Seahawk Gachiri ni aku suka sebab walaupun X4, sulamannya bulat dan kemas. Aku kalau dah jumpa model yang best dan murah pulak tu memang aku stay dengan jenama tu. Seahawk ni dah macam Xiaomi pulak aku rasa. Barang dia murah kompetitif, tapi kualiti tinggi. 


Ada aku baca komen kat fb, dia cakap line break Gachiri X4 10lb sebenarnya lebih 20lb! Wow! Bagi aku kalau dia meet break strength yang dia declare pun cukup baik dah tapi lebih dari tu adalah bonus.

Ok berbalik ke kisah rod Kingdom Extreme tadi.

Rod yang aku beli ni dua section which is butt joint. Maksud dia sambung pangkal. Biasa rod sambung tengah kan? Sambung pangkal ni kuat sikit berbanding sambung tengah, dan yang paling kuat ialah rod jenis one piece. Masalah dengan one piece construction ni dari segi lojistik. Payah nak bawa kemana-mana.

Kingdom Extreme ni cantik, nampak premium walaupun harganya bagi aku murah. Diwarnakan ungu metalik gelap dan dikemaskan dengan material potongan CNC di beberapa tempat terutamanya bentuk 'crown' yang boleh dikatakan trademark model ni.

Dilengkapi 8 cincin Fuji untuk rod sepanjang 6 kaki 3 inci bagi jenis spinning rod cukup memadai untuk mengagihkan bebanan ke seluruh rod.

Berasaskan rod dengan material carbon blank Toray HMSC, kekuatannya boleh korang tengok di Youtube. Nampak meyakinkan matttt! Tip section dia solid carbon, agak berat tapi sesuai untuk pam mangsa-mangsa dalam air yang degil. Buat masa ni aku pam anak aku umur 4 tahun je.

Kod model rod aku beli ni adalah KDX-632MHS-B. Aku terjemahkan spec rod daripada kod nombor ni. Cara baca dia macam ni :

KDX = KingDom Xtreme, nampak?

632 = 6 kaki 3 inci 2 section

MHS = MH ( Medium Heavy ) , S ( Spinning type )

B = Butt joint

Aku belajar skill baca kod ni daripada baca kod enjin. Sebab kod ni bukan benda rahsia pengeluar,dia cuma ringkasan spesifikasi asas.

Seterusnya aku buat sikit servicing kat mesin AP Power yang berusia hampir 9 tahun ni. Aku nampak line rollernya agak teroksida. Walaupun masih lancar berpusing aku buka jugalah gosok dengan berus dawai,bersihkan apa yang patut dan griskan bearingnya dengan gris gred automotif,😆

Jangan buat pelik pulak, bearing line roller ni dia bukan kerja hi speed macam spool bearing baitcasting. Kerja dia tak laju tapi heavy. Penting beli reel ada line roller bearing ni. Kalau pam heavy target, kerja reeling mainline lebih lancar. Setakat pam ikan kolam lima enam kilo tu boleh duduk tenang je kat kerusi plastik.

Kat perenggan atas tadi juga aku ada tulis pasal braided neon green 15lb kan? Braided tu aku gantikan braided 20lb maroon yang aku pakai kat reel Abu Garcia. Rasa macam cast kurang jauh je dengan 20lb braid. So aku tukar diameter braid yang lebih halus semoga casting mencecah jarak dari tebing hingga ke Lahad Datu.

Gachiri X4 20lb simpan balik, sempat cecah air sekali je buat training. Oh ya, Gachiri X4 15lb sepanjang 150 meter ngam-ngam muat spool standard Abu Garcia Promax 3.Takde baki yang tertinggal.

Nah, sekarang 3 set pancing aku semua pakai rod Seahawk, dua mesin Ryobi, satu Abu Garcia, 2 reel pakai braided Seahawk Gachiri X4 dan satu reel pakai Lemax X5 25lb.

Lemax X5 punya braid pun cun juga diameter dia, sulaman dia tapi entah aku suka pulak pakai brand sama.

Sekian tulisan aku kali ni. Jumpa lagi akan datang.



Selasa, 11 Januari 2022

3SZVE Overheat!

Actually benda yang aku nak cerita ni bukan la terjadi baru-baru ni.Agak lama berlaku sebenarnya, sekitar Jun 2020. Puncanya boleh dikatakan silap aku juga sebab tidak mengambil serius penggunaan coolant terutamanya untuk blok enjin yang dibina berasaskan besi.Ya besi.

Sebelum ni aku pakai enjin dengan blok aluminium, kalau coolant campur air biasa pun tak ada masalah. Sebabnya aluminum kan,kurang reaktif terhadap air. Serius cakap dengan enjin lama tu aku tak pernah hadapi apa-apa masalah berkaitan sistem penyejukan enjin walaupun tak jaga kualiti bendalir penyejuk.

Berlainan pula bila aku pakai enjin dengan blok besi. Aku terbawa-bawa mentaliti,' ala blok lama elok je pakai air'. Kat situ aku silap besar. Izinkan aku share cerita disebaliknya.

Lepas aku tukar enjin, datang la rasa teringin nak bagi ruang enjin berseri sikit. Aku pun beli la set hos Samco. Kebetulan aku nak install water temp gauge, sedang elok lah beli hos baru. Senang nak potong.

Makanya kerja-kerja penukaran hos pun dibuat. Drain coolant lama, cabut hos lama dan swap masuk hos baru yang dah dipasang temperature probe. Memandangkan masa tu aku tak standby pun coolant, aku masukkan je air biasa.

Semuanya ok sampai la satu hari aku rasa nak pakai coolant balik. Sama la prosesnya,buang air lama dan masuk coolant. Aku pakai coolant tak campur air langsung,fully coolant.

Lepas isi coolant tu aku picit-picit la hos silikon tu. Saja gatal tangan. Keluar bunyi macam keropok dipecahkan, krup,krap mcm tu la lebih kurang. Agak pelik bunyinya tapi aku tak rasa la akan jadi masalah besar.

Beberapa hari lepas tu aku balik kampung. Memandangkan aku duduk Hulu Selangor, jalan paling syok nak balik Pahang adalah melalui jalan Ulu Yam - Genting. Hari tu aku rasa pelik sikit masa mendaki ke Genting. 

Temperature air agak tinggi dari biasa. Lepas dari stesen polis Genting tu,alarm water temperature gauge berbunyi menunjukkan suhu 110°C! Bila slow down sikit temperature boleh turun bawah 100°C. Bacaan ni still tak normal walaupun menuruni bukit menghala ke R&R Sempah. Standard operation temperature kereta aku masa bergerak adalah sekitar 82°C - 90°C.

Aku teruskan perjalanan dengan memandu sekitar kelajuan 100kmj dengan mengekalkan putaran rpm sekitar 2000-2300. Sambil drive tu kepala otak aku ligat fikir punca masalah ni. Mungkin tak sesuai pakai fully coolant kot.

Aku berhenti kat Petronas Karak dan buang coolant dari reserve tank. Aku cuba jalan balik tapi masalah tetap tak selesai. Macamanapun mujur temperature boleh stabil bawah 100°C cuma tak boleh drive laju sangat.

Kemudian aku fikir mungkin thermostat rosak agaknya. Aku singgah Bandar Jengka dan beli seketoi. Brand Daihatsu,nampak macam orizainal. Dalam keadaan hampir2 overheat tu, berjaya juga sampai kampung tanpa kepanasan terlampau.

Hari Sabtu aku on projek merepair. Lepas drain coolant, aku buka hos. Maka nampaklah sikit2 kerak-kerak karat. Terus kepala otak aku cakap,ni la punca dia. Datang dari mana kerak-kerak karat ni?

Kat perenggan atas tadi aku ada bagitau silap aku. Bila aku picit-picit hos, kerak-kerak yang melekat kat dinding dalam hos tertanggal dan beredar ke seluruh sistem penyejukan termasuklah radiator. Kita sedia maklum fin radiator ni lubangnya sangat kecik.

Bila air radiator bergerak, kerak- kerak tadi tersangkut dan berkumpul di bahagian atas radiator dan menyumbat sebahagian besar fin radiator. Aku dah cek thermostat, masih ok lagi tapi dah alang-alang buka, aku tukar teruslah.

Radiator Perodua ni boleh diservis sebenarnya. Aku pun buka top cover dia dan bersihkan semua lubang. Dah siap cuci aku klip balik macam biasa. Kat sini nampak macam berjalan lancar dah. Lega skit jimat duit aku,hihi!

Setel klip semula cover radiator atas bawah,pasang balik hos air dan hos cooling line ATF,letak coolant dah siap!

Yaa siap pasang.

Belum siap sedia untuk dipandu. Aku start enjin dan perhatikan sebarang kebocoran. Benda ni prosedur biasa jika ada kerja-kerja penyelenggaraan melibatkan bendalir. Ah malangnya ada leaking pada klip cover sebelah bawah.

Puncanya mudah, antara sambungan cover dah fin radiator ada gasket getah. Gasket tu tak ditukar baru pun. Kemudian proses melipat klip tu aku rasa memerlukan special tool atau sekurang-kurangnya skill seseorang yang mahir dalam kerja radiator servicing.

Bila berlaku perkara macam ni, jangan buang masa jadi tikus membaiki labu. Hasil belum tentu jadi,penat dah tentu dapat. Aku pun rojer kawan yang kebetulan ke bandar untuk belikan aku satu unit radiator baru. Tak beli radiator Denso pun, OEM brand je dengan harga RM135.

Murah memang murah, so far dia masih bertugas dengan baik. Banyak yang aku belajar dari peristiwa ni. 

1. Jangan pandang remeh fungsi coolant terutamanya blok besi

2. Menukar radiator baru lebih berbaloi dari repair radiator lama

3. Pandu perlahan dan kurangkan rpm sebanyak yang boleh jika terpaksa memandu jauh. Dengan teknik yang betul, insyaAllah tak berlaku overheat sampai head enjin bengkok.

4. Sentiasa perhatikan jarum/indicator suhu bendalir penyejuk.

Ingat ya tuan-tuan, benda murah je coolant tu. Kalau rosak repair sendiri tak apa la lagi. Buatnya rosak kereta tak boleh jalan tengah-tengah hutan banat, menangis la kau situ.

Selasa, 28 Disember 2021

Baitcasting Set; Perlu atau Sekadar Nak Nampak Cool?

 Assalamualaikum,

Kita sambung terus topik seterusnya. Alang-alang aku rajin nak menulis ni, bedal dua entri sekaligus macam zaman kegemilangan dulu-dulu.

Orang yang bukan pemancing pastinya tak peduli pun jenis-jenis kekili. Asal boleh memancing sudah,betul tak? Tapi bagi pemancing, sekurang - kurangnya mesti ada impian memiliki set baitcasting. Antara sebabnya adalah untuk memudahkan aktiviti pancingan casting yang memerlukan peralatan sedikit berbeza berbanding teknik pancingan biasa.

Set baitcasting biasanya ringan dan kompak. Pakai set kekili mendatar yang kecik pun ringan juga kan? Betul. Boleh juga pakai tapi ada kekangan kawalan tali dan ketepatan lontaran.

Yang lebih ketara dengan set baitcasting ialah penggunaan kekili menegak low profile. Kekili jenis ni memerlukan latihan untuk meningkatkan kemahiran mengawal spool. Ini yang ramai orang takut nak pakai set baitcasting (BC) reel. Masalah utama dia ialah backlash (atau lebih dikenali dengan bihun) pada spool yang bermaksud tali berpintal apabila spool masih berputar walaupun umpan telah mencecah permukaan air.

Aku pun tak mahir dan tak pernah guna pun reel BC. Tapi aku teringin sangat nak belajar. Cara nak mula belajar kena la dapatkan satu set BC, takkan nak pinjam orang punya pulak kan? Set pancing ni macam barang peribadi juga, pantang orang pinjam.

Hasil survey di laman belibelah terkemuka iaitu Shopee (hihi), pada mulanya aku target nak beli reel BC Abu Garcia Blackmax 3. Tapi entah macamana aku terjumpa pulak reel Abu Garcia Pro Max 3. Beza dua reel ni tak banyak. Blackmax 3 pakai 5 bearing dan drag 8kg, manakala Pro Max 3 yang agak lama sikit dilengkapi 8 bearing. Drag sama 8kg.Beza harga dalam RM50-60. 

Dari segi spesifikasi Pro Max 3 bernisbah kayuhan 7.1:1, 74cm retrieval per pusingan, berat 207gram, 8 bearing stainless steel, drag Power Disk™, Duragear™, sistem brek spool MagTrak™, one piece body grafit dan side plate.

Dapat reel sasaran, aku matchingkan dengan kombinasi berikut:

- Reel BC Abu Garcia ProMax 3 R ( kayuhan kanan) RM305

- Rod BC Seahawk Kossori 6 kaki 9 cincin RM135

- Tali sulam Seahawk Gachiri X4 20lb RM19.90


Shock leader aku pakai sama macam set Ryobi SMAP RG dlm entri sebelum ni iaitu Ajiking Pro Line Invicible 30lb. Shock leader aku buat pendek je lebih kurang 2 kaki. Ada aku tengok kat TikTok, satu mamat tu cakap shock leader perlu sepanjang dari hujung reel sampai rod tip.

Panjang tu...kurang-kurang 5 kaki kot. Aku buat pendek je sebab aku rasa memadailah. Walaupun shock leader 2 kaki, dia mampu meregang hampir 1 inci. Cukup la tu untuk menyerap kejutan.

Set ni aku belum bawa ke padang pancing lagi memandangkan aku masih lagi dalam proses ulangkaji fungsi2 knob yang ada terutamanya magnetic brake dan juga spool tensioner. Dua benda ni membantu mengurangkan risiko backlash jika ditala dengan betul mengikut kesesuaian penggunanya.

Next trip aku nak cuba guna reel ni. Buat masa ni aku punya lokasi memancing jauh sangat. Kat Jugra sana,iaitu kolam memancing Syawal. Sedangkan aku duduk Hulu Selangor. Minat memancing punya pasal aku redah juga sebab geng memancing duduk sana.

Barai juga modal sekali trip, minyak kereta, tol, umpan, bayaran masuk....sekali pegi habis dekat RM200 juga la kalau ambik kolam B. Dua hari lepas kolam B penuh, gila betul. Bayar RM125 bersesak macam tu tak mau la aku, banyak saingan.

Oklah, kalau ada cerita menarik lagi aku akan tulis kat sini lepas ni. Sambutan pembaca tak meriah tak apa, sebab matlamat blog ni lebih kepada diari digital, untuk kenangan dimasa tua nanti.

Next entri aku akan cuba tulis pulak pengalaman mengerjakan umrah sebelum PKP. Agak banyak nak tulis tu, kena pakai laptop baru sedap. 

Jumpa lagi di entri akan datang.

Set Baru; Ryobi SMAP RG 4000

Assalamualaikum,

Malam ni aku nak menulis pasal alatan pancing.Huii..lama betul aku tak beli barang pancing sebenarnya. Last aku beli set pancing tahun 2013 dulu sebelum ke Pangkor. Manakala penulisan aktiviti memancing kali terakhir pada 2015.

Antara tempoh 2015 sampai sekarang bukanlah aku takde pergi memancing langsung,ada juga cuma tak berapa menarik untuk ditulis.

Oklah,kalau ada pembaca blog aku yang ikut tulisan aku dari dulu, mesti ada baca entri aku pasal kekili Ryobi AP Power 8000. Rod yang aku matchingkan iaitu Lemax Starmaxx 9 kaki aku dah pencenkan dan diganti dgn rod lama adik aku iaitu Awashima Imperial 7 kaki. Leceh la rod panjang sangat,susah nak angkut merata.

Set ini pun aku banyak rehatkan sebab terlalu bulky. Lagipun aku tak pernah guna kelebihan dia yang dikategorikan sebagai heavy set.

Kebelakangan ni sejak sebelum PKP sehingga sekarang, aku banyak bermain kolam air masin saja dimana set medium sudah memadai. Bulan lepas aku beli set baru iaitu:

- Kekili Ryobi SMAP RG 4000

- Rod Seahawk Ryoku M Tuned 6 kaki 6 cincin

- Lemax X5 PE Braid 25lb


Set baru ni jauh lebih ringan dari set lama yang body kekilinya full metal. Ryobi SMAP RG 4000 ni berharga RM139, rod RM85 dan tali RM11.40. Untuk shock leader, aku pakai Ajiking Pro Line 30lb, dia punya spring,mantapppp..harga aku lupa dah. Murah je kan set ni? Lepas tu aku tukar pakai leader kasar sikit,BULLZEN DFC 50lb.

Ok,spec kekili SMAP RG 4000 ni biasa-biasa je,spool machined aluminium,body grafit,drag 5kg saja, berat reel 299gram, bearing 6+1 dan ratio kayuhan 5.0:1.

Rod pulak kategori medium heavy 6 cincin sahaja. Nice design nampak cantik dan set ni dah pun teruji mendaratkan jenahak dan senangin dua hari lepas artikel ni ditulis. Bagi aku kombinasi ni cukup untuk mendaratkan ikan-ikan bersaiz 5-7kg.

Adakah aku berpuashati dengan set ni? Sudah tentulah. Tapi... ada satu lagi impian seorang pemancing kasual macam aku. Nantikan di entri seterusnya.



Sabtu, 8 Mei 2021

Baik Beli Redmi Note 10 Pro

Assalamualaikum,

Hari ni aku nak share sikit pasal smartphone memandangkan lama juga aku tak tulis pasal smartphone. Lagi best sebab benda yang aku pakai sendiri, jadinya tulisan ni lebih pure berdasarkan pengalaman sendiri.

Oklah,kali terakhir aku beli smartphone ialah pada Ogos 2018.Boleh kata lama juga memandangkan aku ni jenis pakai barang sampai jahanam. Maklumlah bukan jenis kaya raya.

Masa tu aku beli phone marhaen je pun,tapi spec dia agak hebat juga untuk harga bawah RM1500.Untuk harga sebegitu, aku dapat merasa cip pemprosesan terpadu masa tu iaitu Snapdragon 845 dan dipadankan dengan 6GB RAM. Siap ada cooling pipe plak tu.

Phone apa? Ya, Phone paling fenomena masa tu, Pocophone F1. Sepanjang penggunaan bertahun-tahun, Pocophone F1 bertugas dengan cemerlang baik dari segi penggunaan biasa mahupun permainan mudah alih berat seperti PUBG.

Walaupun dibayangi masalah multitouch dan entah apa problem orang lain aku tak tau, unit yang aku pakai seriously xde isu. Selepas dua tahun penggunaan aku cuma replace bateri dan thermal paste.

Aku tak pasti betul original ke tidak baterinya,tapi pembuatnya sama macam bateri asal dalam phone iaitu Sunwoda Electronic, manakala thermal paste aku guna jenama Kryonaut. Buat sendiri je tak susah pun.

Baru-baru ni charging port bermasalah bila tak boleh Quickcharge. Rupanya lubang port dia dah lobos. Biasa la tu, hari-hari kena rogol. Charging board agak mahal juga, RM109 seunit. Ada yang jauh murah, tapi aku dengar problem tarik line sebab cip tak cukup. Aku taknak ambil risiko buat benda bodoh jadinya aku beli yang mahal. Alhamdulillah semuanya baik.

Kemudian berlaku lagi satu kejadian bila kamera utama Pocophone rosak lepas anak aku lempar phone aku masa aku solat terawih. Bocor tepat kat kamera utama. Glass covernya pecah dan aku ingat problem kecik je, rupanya autofokus lens pun rosak sekali. 

Aku cadang nak DIY lah macam biasa tapi bab kamera ni aku tak yakin boleh dapat modul kamera asli Sony IMX di Shopee. Sayang beb kamera Pocophone ni walaupun 12MP je bagi aku gambarnya cukup lawa.

Bila jadi macam ni aku berpendapat mungkin dah sampai masa aku beli yang lain. Cuma sasaran aku cukuplah dengan cip midrange dan harga sub RM1k. Hasil suryey yang tak seberapa, aku berkenan dengan keluarga Redmi terbaru iaitu Redmi Note 10 Pro. Adik beradik Xiaomi juga sebab aku rasa Phone Xiaomi ni berbaloi walaupun murah nak mampos.


Cadangnya aku nak beli online tapi entah macamana aku ternampak seunit model ni di booth peniaga dalam Giant Batu Caves. Harga pun tak markup walaupun dia tampal harga RM1199. Bila aku tanya, pekedai bagi harga RM1099 untuk spec 8GB RAM dan 128 GB internal memory. Ya,sama harga online. On the spot aku suruh dia buka kotak kat situ juga.

Unit yang aku beli ni MY set dan dibawa masuk oleh EIN,sama distributor dengan Pocophone dulu.

Redmi Note 10 Pro ni first sekali dia memang cantik dalam gambar, dan jauh lagi cantik depan mata. Macam phone flagship. Kemasan Gorilla Glass 5 didepan dan belakang, quad kamera dengan kamera utama 105MP dan skrin AMOLED 120Hz. Gila kan? Kalau baca specsheet dia memang impressed la macamana Xiaomi boleh untung dengan phone ni.

Selepas beberapa minggu pakai dan mengamati video-video HDR melalui skrinnya, aku rasa berbaloi gila dengan harga dia. Selain refresh rate yang sedap, touch sampling rate dia best juga,240Hz.Selain dari tu kecerahan mencapai 1200nit,bawah terik matahari memang takde masalah.

Walaupun cipnya cuma midranger Snapdragon 732G, phone ni tak kalah dengan ciri-ciri lain. Setup stereo speaker, IR blaster, slot memory khas(bukan share dgn simkad), audio jack 3.5mm yang lejen, bateri 5020mAh dan juga kamera depan jenis punch hole yang kecikk je.

Memandangkan phone ni aku cuma guna untuk kegunaan biasa, aku tak kisah langsung pasal cip dia. Cukup memadai. Walaupun skrin dia AMOLED biasa, dia tetap sejenis AMOLED yang kontras warnanya cantik dan warna yang lebih pekat berbanding LCD. Menonton video-video berframe rate tinggi dengan skrin sebesar 6.67 inci di Youtube memang nikmat betul. Kelebihan 120Hz skrinnya aku tak pakai sangat sebab memadai dengan setup 60Hz.

Dari segi pemprosesan aku rasa cukup sedap dah untuk kegunaan harian. Apa gila la phone sekarang RM1k lebih sikit pun dah pakai 8GB RAM. Ok juga cip 732G ni. Kalau anda bukan gamer tegar, boleh sangat pakai model Note 10 Pro. 

Sedikit tambahan berkenaan prestasi permainan online. Aku cuba install dan bermain PUBG walaupun aku tau setup grafiknya tak mungkin sesedap cip flagship. Tetapan maksimum cuma Smooth+Ultra. Bagaimanapun, sebenarnya layan juga main game dengan Note 10 Pro ni. Pertamanya takde isu multitouch. Skrin dia bertindak pantas dengan sentuhan bermaksud setiap refleks dapat diterjemah dengan laju. Grafik dengan paparan nisbah 20:9 dan warna yang vivid melupakan aku yang bahawa smartphone ni cuma dikuasakan cip pertengahan.

Walaupun bermain dalam keadaan bercas, bagi aku smartphone ni tak panas langsung dan tidak berlaku masalah prestasi menurun akibat pemanasan. Penggunaan bateri juga bagus. S0 far phone ni menepati kriteria yang aku nak, sebuah telefon yang cekap tenaga,AMOLED panel, rupa macam phone mahal tapi harga murah.








Khamis, 19 November 2020

Swap Kompressor Passo ke Kompressor Alza

 Assalamualaikum!

Maaf terlalu lama aku tak menulis sesuatu kat sini. Maklumlah laptop dah melingkop, terpaksalah menyepikan diri walaupun agak banyak benda sebenarnya aku nak kongsikan kat sini.

Walaupun entry blog ni bukan untuk menarik puluhan ribu click macam zaman kegemilangan platform blogspot dulu, blog aku ni aku anggap sebagai diari catatan untuk aku baca di kemudian hari atau mungkin kenangan untuk anak cucu.

 Oooo atuk depa ni dulu blogger sendu rupanya...kahkahkah!

Ok lah merapu panjang-panjang ni tak bagus, bukan tabiat aku sebenarnya. Emmm..latest project aku awal Oktober 2020 adalah penggantian set hampir lengkap aircond Myvi model 2006-2011. Myvi aku lah tu.

Disebabkan projek ni projek agak major dan dilakukan secara solo, maka aku mulakan dengan set up 'pakej jimat PKP'. Untuk makluman umum, kos penukaran set lengkap aircond Myvi model lama menggunakan set Denso berada pada lingkungan RM2200 - RM2500. Atau mungkin ada yang mencecah RM3000 jika dibuat di worksyop yang terletak di Hazafon Hachadash di Tel Aviv sana.

'Pakej Jimat PKP' ni modalnya kurang dari RM1000 merangkumi part-part utama iaitu kompressor, kondenser, expansion valve, dan cooling coil.Ini pun termasuk harga 'pelajaran" yang akan aku ceritakan nanti. Maaf ya tak ada gambar, malas aku nak geledah SD card lama.

Item yang diperlukan:

1. Kompressor - sebelum ni aku pakai kompressor Passo, kali ni aku pakai kompressor Alza dengan pulley 6PK.Harga RM355.00

2.Paip aircond dari kompressor ke cooling coil. Aku terpaksa tukar sebab posisi paip lama tak sesuai dengan kompressor baru.Harga RM55.00

3.Kondenser-aku beli baru juga untuk maksimumkan kesan penyejukan.Lagipun kondenser lama pakai dryer pack 'built in' yang mana tak boleh tukar dryer sahaja.So aku beli kondenser dengan kanister dryer boleh dibuka.Harga RM135.00

4.Expansion valve- aku beli jenama Denso

5.Cooling coil - dari jenama APM RM90.00 dan kemudian aku tukar lagi ke jenama Denso Cool Gear RM180.00. Nampak beza harga Denso dengan APM.

6.Kabin filter - Penting ni,cooling coil dah baru.Jangan bagi sirip-sirip dia melekat habuk.Harga RM2.70

7.O-Ring Denso 3 jenis saiz RM33.00

8.Expansion valve Denso RM38.00. Harga kedai biasanya RM100.00

9.Span untuk kondenser.Ini pun penting untuk mengelakkan kipas menyedut udara panas dari manifold ekzos terutamanya waktu berhenti di traffic light dalam cuaca tengahari.Harga RM19.50


Kita terus ke proses membaraikan kereta ya? Mula-mula sekali pastikan dalam sistem aircond dah tak ada gas. Kalau ada pandai-pandailah keluarkan. Tekan jela mana-mana valve sebelah paip 'low pressure' atau 'high pressure'.

Terminal -ve bateri jangan lupa buka sekali.

Job pertama dan paling melecehkan dalam penyelenggaraan aircond kereta ialah menanggalkan dashboard.Untuk kereta aku, ianya boleh dikatakan agak mudah sebab aku dah biasa buka.Walaupun mudah, kerjanya agak renyah dan sebab aku tak buka steering column. Ada lah skilnya, payah aku nak terangkan kat sini.

Bila dashboard dah selesai dibuka, cabut paip low & high pressure yang bersambung ke firewall kereta anda. Ada skru 10mm yang memegang paip aircond in/out ke expansion valve.

Bila dua-dua paip dah dibuka,barulah box yang memegang cooling coil dapat ditanggalkan dari firewall kereta.Ada lah lagi beberapa skru kecik tang mudah dicapai. Segala soket pendawaian juga ditanggalkan.Tak banyak pun,cuma soket blower fan,sensor suhu dan juga kabel-kabel pelaras laluan udara.

Buka kotak saluran udara,dan tanggalkan cooling coil lama.Senang je bro- bro sekalian.Alang-alang dah buka tu,cucilah sekali blower fan.Memandangkan kerja buka dashboard ni agak leceh,cucilah apa yang patut.Kalau kat kedai ni upah buka pasang saja mau tiga empat ratus agaknya.

Pasang semula ikut turutan dan selesaikan di bahagian dalam kabin dulu.Dah setel masuk cooling coil dan expansion valve baru,tutup lubang expansion valve dengan masking tape.

Sebab nanti masa nak pasang balik kotak angin saluran udara tuke firewall,kebarangkalian untuk habuk masuk sangat tinggi.Ingat,expansion valve ni kalau masuk habuk kira lingkup terus.Takdenya boleh cuci-cuci lagi dah.

Dah setel semua part kabin, barulah fokus part luaran.Kompressor lama kasi buka dan lambung ke tepi.Pasang kompressor baru tapi ingat ya,tapaknya ngam cuma skru kena ejas sikit.Saiz pulley kompressor Alza ni agak besar dari pulley kompressor Passo,jadinya belting 6PK1580 ngam- ngam je dengan sedikit freeplay.

Kalau discharge hose custom untuk kompressor Passo tak ngam sebab posisi kompressor Alza agak senget,beli hos baru atau cari adaptor.

Hos dari kompressor ke kondenser juga aku tukar baru sebab tak cantik posisinya.

Masuk bab kondenser ni ada isu sikit. Mula-mula aku rasa taknak tukar,tapi memikirkan banyak part baru,aku tukar fikiran.Aku beli juga kondenser untuk Myvi model lama (2005-2011).

Harga dikedai agak mahal untuk seketoi jenama OEM iaitu RM185.Kalau kat Shopee ni topup skit dah boleh dapat kondenser Denso.Tapi aku malas nak tunggu,aku sambar jelah.

Sampai kat rumah bila nak pasang tak ngam.Sini silap aku,aku ingat Myvi aku sama je macam Myvi lama yang lain.Rupanya Myvi aku pakai paip high pressure untuk model Myvi lagi best.

Beza dia saiz inlet / outlet paip .

Untuk model Myvi lama,saiz inlet/outlet sama besar,lebih kurang 10mm.Aku agak-agak je ni.

Paip aku pulak inlet 10mm outlet 7mm.Terpaksalah aku beli kondenser lain.

Ok dah setel pasang semua,proses seterusnya masukkan gas R134a. Masa gas masuk,paip low pressure dari kabin ke kompressor sangat sejuk.Tapi anehnya suhu dalam kabin tak sejuk pun.Satu tanda yang kurang menyenangkan ialah kompressor berjalan tanpa cut-off.Kompressor jalan non stop ni tandanya ada yang tak kena dengan penyejukan cooling coil.

Mekanik takde cakap apa-apa kat aku.Minggu berikutnya aku bawa ke worksyop lain.Aku minta dia topup gas sebab aku syak gas tak cukup.

Bila on sistem, pressure in out dah cantik,paip sejuk tapi kabin tak sejuk.Suhu dalaman cuma 16°C. Ekon rumah boleh la setara tu,kalau kereta paling koman 6°C baru dikira sistem cun.

Mekanik agak bingung apatah lagi aku.Tapi suspek kami ialah cooling coil walaupun ianya unit yang baru,kesejukan dari pengembangan gas aircond tak dapat disebarkan ke seluruh sirip-sirip penyejuk.Maka sensor 'membaca' suhu yang ditetapkan masih belum dicapai dan memaksa kompressor jalan berterusan.

Balik rumah aku terpaksa buat kerja leceh kali kedua.Beli cooling coil Denso,buka dashboard dan swap cooling coil yang disyaki defect.

Span baru pun aku dah letak dengan sedikit modifikasi untuk disesuaikan dengan bumper Passo yang pendek.Span ni tujuan dia untuk fokuskan aliran udara dari luar enjin untuk penyejukan gas aircond.

Kalau tak fokus,udars panas dari ekzos akan disedut sekali maka penyingkiran haba dari gas aircond tak sempurna.Nampak bodo-bodo je span tu tapi peranan dia besar.

Then aku recharge sistem balik.Alhamdulillah suhu kabin dapat 2°C dan kompressor ada cut off.

Selesai masalah aircond kereta aku.

Cuma yang tak disangka adalah barang APM yang defect.Jenama APM kot,takde la ayam sangat.Lagi ayam jenama kondenser aku,tah apa brand pun aku tak tau.Kompressor pun made in China tau.Harga RM350 je.

Barang-barang luar dashboard aku tak kisah sangat walaupun cap ayam sebab senang nak tukar. Untuk part cooling coil dan expansion valve,pakailah jenama Denso.Tak delah sampai dua kali kena barai dashboard.

Ini harga yang perlu aku bayar untuk sebuah pelajaran.Ok lagilah kos separuh je dari bikin kat kedai.Hasil jangan cakaplah,untuk diri sendiri aku sangat puas hati walaupun rugi beli cooling coil APM dan kondenser salah saiz tu.










Rabu, 29 Mei 2019

Enkei RPF1 Ayam Tayar Gemuk

Agak lama aku tak menulis berkenaan penyelenggaraan kereta, kereta aku lah tu. Bila dah lama makanya agak banyak parts yang aku telah tukar dan beberapa lagi akan menyusul.
Beberapa bulan lepas aku tukar spring kereta aku daripada spring cap ayam yang entah aku dah lupa namanya kepada spring buatan tempatan iaitu APM Performax. Spring APM Performax ni sedikit lembut dari spring sport cap ayam yang aku gunakan sebelum ni tetapi masih agak keras jika dibandingkan dengan spring asal Myvi.
Padanan spring APM, penyerap hentak asal dan tayar bersaiz standard 175/65/14 memberikan pemanduan yang sedikit selesa hasil kelegaan tebal tayar yang membantu menyerap hentakan halus.
Bagaimanapun penyerap hentak kereta aku dah berusia 10 tahun.Agak mengkagumkan ketahanan dia memandangkan perbatuan sebenar kereta aku rasanya sudah melebihi 500,000 kilometer. Aku agak bersedia sekiranya penyerap hentak ini gagal dalam masa terdekat.
Telahan aku ternyata benar bila kereta aku dinaikkan diatas ramp untuk proses penukaran rim dan tayar. Ahad lepas aku tukarkan rim standard Myvi Lagi Best bersaiz 14' kepada rim replika Enkei RPF1 bersaiz 15' ET30. Rim replika ini dipadankan dengan tayar buatan Jepun berjenama Yokohama BluEarth ES32 iaitu spec abah-abah. Maksudnya bunga tayar standard,kompaun sederhana lembut untuk cengkaman ketika kering dan basah.
Asalnya aku mahukan kombinasi rim dan tayar Toyo TR1, tayar prestasi tinggi buatan Kamunting,Perak. Malangnya tiada dalam stok, begitu juga dengan tayar Bridgestone Potenza RE003. Terpaksalah aku berpuashati dengan spec tayar gemuk 195/55/15. Kos yang terlibat cuma RM1600 tidak termasuk trade in. Rim asal aku bawa balik, entah apa nasibnya nanti.
Ok, semasa kereta diatas tanjakan, aku intai- intailah bahagian bawah kereta maklumlah kawasan ini jarang kita pantau. Aku nampak penyerap hentak sebelah kiri belakang diselaputi minyak, tanda ianya sudah bocor.
Aku terus buat tempahan penyerap hentak Kayaba RS Ultra dari sahabat pembekal alatganti iaitu ZL Autopart.
Memandangkan penukaran penyerap hentak ni lebih baik dibuat di bengkel yang pastinya ada air gun wrench, aku minta dipasangkan terus bersama-sama kelengkapan yang perlu ditukar sekali termasuk mounting dan aksesori getah menggantikan getah lama yang dah kematu.
Bila dibuka penyerap hentak lama, rupa-rupanya penyerap hentak hadapan kanan juga sudah hancur. Eloklah tu, mujur tukar satu set.
Harga satu set Kayaba RS untuk Myvi ialah RM520. Murah berbanding harga pasaran sekitar RM530-560.
Kos yang terlibat termasuk parts tambahan dan dan upah ialah RM800.
Parts tambahan yang aku tukar sekali ialah:
1. Mounting 1 set
2. Getah boot depan 1 set
3. Getah pelapik spring depan atas/bawah 1 set
4. Getah pelapik spring belakang 1 set
5.Hos air wiper Samco

Bagi aku harganya berpatutan untuk semua parts dan upah pemasangan. Korang rasa macamana? Ha, siapa-siapa yang berhajat untuk mendapatkan alatganti kereta terutamanya kereta Perodua dan produk Aisin, boleh beli di ZL Autopart. InsyaAllah harganya terbaik. Boleh cari pagenya di Facebook.
Dari segi keselesaan aku rasa tidaklah selesa mana sebab kombinasi APM Performax + Kayaba RS Ultra lebih sesuai untuk meratah selekoh sederhana laju. Kalau nak dapatkan sedikit keselesaan dan keyakinan  seperti melenjan Axia pekak aku rasa tahap kekerasan spring standard+Kayaba RS Ultra lebih sesuai.

Untuk projek akan datang set mounting,ATF filter dan oil pan kotak transmisi akan diganti sebelum pulang beraya.

Selasa, 5 Februari 2019

Politik di Sebalik Fenomena Hotwheels

Sekitar Jun 2016, aku mula terjebak dengan permainan Hotwheels. Antara model terawal yang aku beli ialah Chevy Chevelle 396 Leap Year,66 Ford Torino Talladega,Camaro model tahun berapa aku tak ingat dan juga Toyota AE86. Lepas tu pembelian aku agak slow sebab banyak jumpa kereta 'dinosor' mengikut panggilan peminat Hotwheels atau istilah sebenarnya ialah fantasy car.
Masa tu aku memang tak berkenan dengan kereta yang berbentuk fantasi sebab merepek kot. Jadinya fokus aku lebih kepada real car.
Setahun lepas tak banyak aku beli dalam sebulan,mungkin tiga unit atau paling banyak. Bukan pasal mahal, pasal citarasa. Masa tu aku tak nampak lagi scene Hotwheels dah mula jadi wabak teruk. Lokasi aku membeli pun tak pelbagai, biasanya pasaraya Giant atau Tesco itupun bila ada promosi. Harga RM7.90 boleh dikatakan berpatutanlah, kalau promosi beli 2pcs RM10.
Ada satu tahap aku macam malas nak beli dah sebab susah sangat nak jumpa model yang bagus. Kebetulan cuti raya tahun 2017, sorang kawan aku Mael namanya bagitau ada satu variasi model Hotwheels yang dinamakan Treasure Hunt. Siri ni dihasilkan dalam unit terhad. Kiranya kalau jumpa umpama jackpot lah.
Aku pun kaji la apadia Hotwheels Treasure Hunt. Rupanya ada dua kategori, pertama regular Treasure Hunt (RTH) dan yang lebih rare ialah Super Treasure Hunt.
Siri Super Treasure Hunt mungkin dikeluarkan sekitar 10 jenis model untuk tiap-tiap tahun. Istimewanya model Super Treasure Hunt ni, warnanya metalik, perincian yang lebih kemas dan disertakan dengan real rider iaitu tayar getah dan rim yang lebih real.
Set tayar istimewa ni memang memberi impak besar kepada penampilan Hotwheels sebab kalau kau beli Hotwheels biasa dan kau masukkan rim bertayar getah, rupa dia memang cantik lain macam.
Serupa kereta kita lah, kalau standard kilang memang bosan rupa dia. Sekali masuk sport rim haa tengok,mesti berseri.
Disebabkan siri Super Treasure Hunt teramat sukar ditemui, aku cuma mencari regular Treasure Hunt yang masih mudah dijumpai. Orang tak berapa nak gila sangat.
Tapi kemudian aku perasan kenapa model kereta Jepun pun amat susah nak dilihat tergantung bebas di rak pasaraya. Rupa-rupanya selain Super Treasure Hunt, apa juga model kereta Jepun (JDM) turut sama menjadi kegilaan pengumpul. Ni baru nak masuk isi penting tulisan posting aku.
Dalam scene Hotwheels Malaysia, ada amat ramai peminat yang menggilai model JDM dan Treasure Hunt. Yang Treasure Hunt tu tak kisah sebab benda memang rare. Kegilaan Hotwheels ni mewujudkan satu golongan 'pengumpul' tetapi fokus mereka cuma keuntungan dari kegilaan masyarakat.
Apa yang pengumpul atau istilahnya scalper ini buat ialah mereka akan memburu model- model spesifik yang mendapat permintaan tinggi dan memborong dalam kuantiti yang banyak. Tujuannya cuma satu; untuk dijual semula dengan harga tinggi. Nak lagi tinggi mereka buka bidaan.
Oklah, aku nak tanya dan aku jawab sendiri. Korang pernah tengok orang kumpul objek yang sama sebijik sampai puluh-puluh jenis? Contohnya kasut. Ada orang cukup gila tak nak beli Adidas Yeezy sampai 50 pasang atas alasan minat?
Jawapan aku, bullshit. Tak ada manusia kumpul benda sama sebanyak itu. Hatta lagenda pengumpul Hotwheels sekalipun tak ada koleksi semacam itu. Aku banyak kali tengok sesetengah so called collector ni show off koleksi diorang di media sosial.Ada sekali tu tengok sorang mamat ni tunjuk Honda Civic EF merah lebih 50 unit.
Heh, kalau ye pun minat Civic EF, kumpul la variasi warna yang pelbagai. Jadah apa kumpul model sama, warna sama.
Ianya berbalik semula pada minat. Model Civic EF boleh dikatakan masih hangat permintaannya. Harga biasa sekarang RM8.90, tetapi ditangan kapitalis-kapitalis ini ianya dijual antara RM25-35.
Menjual adalah hal penjual, kita ada hak untuk tak beli kalau dia jual mahal. Iye betul tu. Kalau ye pun nak berniaga jangan lupa hukum hakam. Mengambil untung berlebihan namanya riba'. Melayu kita ni takut makan babi je, makan riba ok takde masalah.
Permintaan tinggi model-model JDM ni pasal susah nak jumpa ada kaitannya dengan aktiviti kapitalis ni lah. Kapitalis biasanya berurusan terus dengan jalan belakang iaitu pengurusan stor pasaraya besar. Model-model hangat disisihkan terlebih dahulu dan saki baki model sampah akan dijual di rak-rak pasaraya.
Pasal tu la kalau korang perhatikan amat susah nak jumpa model yang baik di pasaraya.
Sebagai pengumpul biasa, aku dan ramai lagi pengumpul memperluaskan lagi skop pencarian. Antara lokasi biasa ialah kedai 7Eleven, KK Mart dan terbaru Family Mart. Itupun ikut rezeki jugalah. Kapitalis pun sama juga akalnya macam kita, tau je kat mana lubang-lubang baekkk untuk hunting.
Jika dulu hobi mengumpul Hotwheels boleh dikategorikan murah, sekarang tidak lagi. Aku move on dari Gundam dan siri-siri model skala dalam majalah sebab kos yang tinggi. Akhir-akhir ni hobi Hotwheels jadi makin mahal bila aku terpaksa mendapatkan model-model yang aku nak di laman jualan online.
Baru-baru ni pengumpul menggilai siri Gran Turismo yang dijual di 7Eleven. Dalam lapan model siri GT ni, dua daripadanya iaitu Nissan Skyline R34 dan Mitsubishi Evolution X paling sukar didapati sebab....JDM.
Dengan harga jualan RM17.80 di 7Eleven, melengkapkan kesemua lapan unit siri GT memerlukan modal lebih RM140. Aku pilih jalan mudah dengan membeli online satu set berharga RM115 sahaja.
Kalau kau beli seunit Skyline atau Evo tadi dari scalper, kos kau kena bayar tak kurang RM40. Modal minyak dan masa diorang cakap.
Ikut suka korang lah. Aku takkan sokong peniaga yang menjual harga riba. Selagi korang beli dari diorang, macam itulah harga yang akan diorang letak dimasa akan datang dan makin sukar korang nak dapat dengan harga murah. Jangan sokong, biar stok diorang yang berlonggok tu kurang permintaan. Masih ramai lagi penjual online yang berpatutan.
Baru-baru ni aku sempat tengok event open case di Giant Gombak. Kotak baru akan dibuka dan siapa yang bayar yuran boleh pilih sendiri dari kotak baru ikut giliran. Aku pergi dah lewat, so dapat beli yang biasa-biasa je. Itupun lepas kecek kat brader organizer. Yang JDM jangan harap la dia nak bagi aku.
Masalahnya Hotwheels yang aku ambil tu aku bayar kepada Giant. Maksudnya Hotwheels tu milik Giant. Adakah brader tu bayar lebih kepada Giant untuk pilih sendiri? Atau aku pun boleh buat benda sama kalau aku bayar lebih kepada Giant?
Itulah scene Hotwheels ya tuan-tuan. Mainan skala 1/64 pun banyak politik disebalik tabir. Apatah lagi urusniaga negara yang bernilai jutaan ringgit. Maka sebagai pengumpul asli, bertabahlah. Jangan jadikan hobi ni sebagai tekanan. Ada yang murah kita beli, yang mahal abaikan.

Rabu, 26 September 2018

Pocophone F1, Takhta Master of Budget & Speed

Sekitar 2014, satu jenama baru muncul mencabar pasaran telefon pintar berprestasi tinggi iaitu One Plus. Dengan spesifikasi flagship tetapi pada harga mampu milik, jenama ini mula mendapat perhatian. Dikenali sebagai 'flagship killer' One Plus menepati hampir setiap kehendak pengguna yang mahukan telefon yang mampu menjalankan tugas dengan pantas tetapi murah.
Buat masa ni One Plus masih lagi dengan konsep spesifikasi tertinggi tapi produk mereka tidak lagi tergolong dalam kelompok 'murah' kerana mereka akur dengan kehendak pengguna yang mahukan spesifikasi tertinggi, rupa premium tapi bajet ketat. Akhirnya faktor bajet dan kos terpaksa diketepikan.
Tapi tak apa, patah tumbuh hilang ganti baru ape ada hal.
Xiaomi memperkenalkan sub jenamanya, Pocophone (Poco di India) dan model pertama mereka, F1. Ada sebab kenapa namanya F1. Mestilah sebab laju ye dak?
Pocophone F1 difokuskan untuk menjalankan tugas harian dan mobile gaming dengan pantas tanpa perlu berbelanja besar membeli flagship berbadan Gorilla Glass 5 yang akhirnya terpaksa ditutup juga dengan casing RM10.
F1 dibina berteraskan SoC Snapdragon 845, GPU Adreno 630,skrin IPS LCD 6.18inci 403ppi, 6 GB RAM, 64GB ROM dan bateri sebesar 4000mAh.
Nampak tak ciri-ciri flagshipnya disitu?
Sebenarnya banyak lagi ciri-ciri menarik yang disumbatkan dalam telefon mampu milik berharga RM1299 ni antaranya IR face unlock, fingerprint sensor yang pantas, dual speaker, 3.5mm audio jack, expandable memory slot/sim hibrid dan yang paling cool sekali ialah 'Liquid Cooling Technology'.
Liquid Cooling Technology ni bukan sekadar gimik ok, telefon ni memang tak panas langsung pada penggunaan biasa. Laporan dari mobile gamer yang bermain PUBG pada tetapan frame rate tertinggi sekalipun tidak menjejaskan suhu operasi mahupun kelancaran sistem.
Dari sudut penghasilan gambar, kamera Pocophone ni tidaklah ayam sangat. Malahan tidak keterlaluan jika dikatakan imej yang terhasil agak setanding dengan telefon pintar lain yang terbaru. Kamera belakang dilengkapi dua lensa 12 + 5MP dual flash dan kamera hadapan untuk ambil gambar muka sendiri sebesar 20MP.
Imej yang terhasil ketika pencahayaan mencukupi amat baik, so-so diwaktu malam dan pemprosesan imej dengan efek bokeh boleh dikatakan agak baik. Kecuali jika diteliti dengan mata helang, penghasilan bokehnya dan beautification pada gambar agak berlebihan sedikit.
Ketahanan bateri boleh dianggap baik bilamana purata SOT (screen on time) berada diantara 7 - 8 jam bagi penggunaan normal. Kalau bateri full pagi dan digunakan secara biasa barangkali boleh mencapai satu hari setengah. Pengecasan pantas disokong oleh Quickcharge 3.0 menggunakan USB Type C.
Ok,sekarang ni apa kurangnya Pocophone F1 memandangkan mustahil la spesifikasi tinggi tapi harga 1/3 flagship?
Setelah digunakan hampir 25 hari, aku dapati benda yang mereka abaikan untuk mengurangkan kos ialah material badan dan perlindungan LCD.

Material - Pocophone menggunakan material polikarbonat yang sedap sikit bila disebut berbanding plastik dikala jenama lain mula mengaplikasikan material aluminium pada telefon pintar pertengahan.
Perlindungan paparan adalah Gorilla Glass yang tidak dinyatakan generasi berapa. Ada yang kata Gorilla Glass 3. Sekarang dah nak masuk generasi ke 6. Ramai yang risau dengan ketahanan Gorilla Glass 3 tapi jangan lupa, di era kegemilangan HTC One X, ianya hanya dilengkapi Gorilla Glass generasi pertama dan diuji sebagai tukul!

Paparan - IPS LCD yang digunakan banyak dipakai oleh jenama lain juga untuk spesifikasi pertengahan. Kosnya yang lebih rendah dan paparan yang cukup baik menjadikan ianya cukup sesuai digunakan. Walaupun AMOLED lebih cantik dengan warna yang punchy dan kurang penggunaan tenaga, kosnya yang merepek akan menghantui anda jika anda memerlukan alatganti sekiranya skrin pecah.

Sambungan - ada sedikit kekurangan dari segi sambungan ke pengendali khidmat talian dan gadget lain. Untuk pengguna Digi, telefon ini tidak menyokong LTE😭 Walaubagaimanapun kelajuan 4G nya memadailah. Telco Malaysia ni bukan power sangat pun.
Sistem perkongsian paparan (screen sharing) tidak begitu mengkagumkan aku. Pocophone dilengkapi wireless display maknanya anda boleh memaparkan paparan telefon ke tv pintar malangnya hanya paparan yang boleh dikongsikan ke tv, bunyi kat telefon,WTF?! Telefon Z2 purba aku lagi power woii!

Perlindungan Ingress Protection - Pocophone F1 tiada perlindungan dari rendaman air. Maklumlah bajet kecik je kan. So tak payah panik sangat ok? Nak perlindungan dari air sepenuhnya, sediakan bajet lebih dari 2k.

Striman HD Netflix - Isu ni sangat popular di page Facebook Pocophone Malaysia. Ianya berlaku kerana Pocophone F1 tiada lesen Widevine L1; lesen yang membenarkan penstriman video HD. Sebagai pengguna Netflix dengan pakej Ultra HD dan pengguna Pocophone, aku tak rasa isu ni masalah yang berat sangat. Pertamanya bukan pasal kekurangan hardware. Lesen je pun, benda ni anytime boleh fix dengan update akan datang. Kedua nak tengok filem baik tengok kat TV rumah jelah. Semua benda kau nak buat kat phone gila ke apa.

Bleeding - Masalah ni bukan saja dihadapi kaum wanita, telefon pintar juga tidak terkecuali. Semenjak aku mula menggunakan telefon pintar, masalah ni aku tak pernah dengar langsung. Bila aku mencuba jenama China, isu bleeding display ni agak kerap diperkatakan. Selepas aku memahami apa itu masalah bleeding, aku dapati panel LCD Pocophone aku ada sikit bleed di bahagian dagu.
Keadaan ni hanya boleh dikesan bila skrin memaparkan warna hitam sepenuhnya. Bleeding yang dimaksudkan adalah paparan warna hitam tidak dapat menghalang sepenuhnya cahaya putih dari belakang layar skrin. Maka warna hitam tadi akan nampak sedikit pudar di kawasan pinggir skrin. Dari komen-komen yang aku baca, ramai pengguna Pocophone tak berpuashati dengan masalah ni. Aku agak beruntung sebab masalah bleeding ni sangat minimum kat telefon aku. Takde sebab untuk aku tak berpuashati dengan masalah remeh ni. 

* tambahan
Satu lagi kekurangan ialah anda tak boleh screenshot ketika video sedang dimainkan. Satu notifikasi akan keluar menyatakan "memori sedang digunakan". Tapi bukan dalam semua aplikasi. Setakat ni screenshot ketika menonton video di MX Player masih berfungsi dengan baik.

Kesimpulan yang aku boleh cakap kat sini, harga RM1299 untuk telefon pintar SD845 dilengkapi audio jack, bateri besar dan slot memori tambahan, gila punya barang ni weiii!
Untuk versi 6GB/128 GB ROM, harganya lebih sikit lah dan spesifikasi tertinggi dilengkapi 8GB RAM dan 256GB internal serta kemasan kevlar.

Diharap Pocophone kekal murah dan tak menjadi seperti OnePlus dimasa akan datang.

Isnin, 16 Julai 2018

Menukar Bearing Roda Depan Myvi

Assalamualaikum, salam semua.

Untuk siapa - siapa yang biasa baca blog aku, tentu maklum dengan satu tabiat aku iaitu DIY. Terutamanya kereta sendiri. Paling terbaru aku tukar bearing depan Myvi. Kerjanya tidaklah mudah tapi kalau berjiwa kental, ok je kot.

Sebelum tukar bearing, mesti ada sebab kita nak tukar ye dak? Problem bearing dah tentulah bearing tu dah tak smooth pusingannya. Kalau elok lancar takde bunyi-bunyian aneh buat apa tukar.
Bila tak smooth, kabin kereta kau berdengung kaw-kaw tahap annoying. Lagi kuat bila mendaki bukit.

Bearing roda kereta sebenarnya lasak dan tahan lama, tapi ada beberapa keadaan yang menyebabkan bearing pencen awal. Antaranya terlanggar lubang, sudut camber terlalu ekstrim dan juga menggunakan spring yang keras. Yaa..pakai spring keras sangat pun masalah ni boleh berlaku, sebab jalan kat negara kita ni tak cantik. Semua gegaran tadi tidak diserap sepenuhnya oleh suspensi dan dibebankan keatas bearing.

Dalam kes aku, aku syak puncanya spring lah. Memang keras sangat pun. Knuckle yang aku pakai sekarang ni pun bukan asal daripada kereta aku. Knuckle asal kereta aku tak ada sensor ABS. Jadinya knuckle ni datang dari sebuah Passo.
Bila dah namanya halfcut, kondisi asalnya kita tak dapat pastikan. Nasib lah kalau dapat yang elok.

Ok, nak tukar bearing kena la ada bearing. Myvi pakai bearing jenis roller yang kalau kau ikat habis nut driveshaft tu kuat-kuat pun takde hal.
Tapi kelemahan dia kau tak mampu nak ketuk keluar bearing tu sendiri. Mesti pakai special tool which is mesin press.
Ada jugak jenis bearing yang macam cone, tapi still roller jugak. Bezanya yang ni nak ketatkan nat driveshaft kena ngam-ngam. Ketat sangat bearing kau terbakar, longgar sangat tayar kau wobble. Biasa Proton Wira pakai kalau tak silap aku. Jenis ni kau boleh ketuk keluar sendiri bearing tu, tapi nak cantik suruh kedai jela press kan.

Bearing roda yang bermasalah dikesan berlaku pada roda depan kanan. Memang ada goyang-goyang sikit. Lagipun beban banyak ditanggung roda depan kanan ni. Sebab tu kalau korang perasan brek pad depan sebelah driver cepat worn out.

Alatan yang diperlukan ialah :

1. 2 x jack (untuk roda kiri dan kanan)
2. Set soket nat tayar
3. Spanar 14mm
4. Spanar 17mm
5. Tukul
6. Playar
7. Soket 30mm + adaptor
8. Paip besi hollow lebih kurang 0.7 meter
9. Bearing roda depan Myvi jenama Koyo
( DAC3564A-1CS31 )
10. WD-40 (pakailah dimana-mana yang dirasakan perlu)
11. Spanar 10mm

1. Langkah pertama jack dan buka tayar lepas tu letak bawah kereta berdekatan jack. Ni SOP standard berpomen. Nak selamat pakai stand.

2. Tanggalkan kaliper disc brake pakai spanar 17mm. Tanggalkan kaliper dari knuckle sahaja. JANGAN TANGGALKAN PAIP BENDALIR BREK.
Tanggalkan juga sensor ABS pakai spanar 10mm.
Kalau tak ada, abaikan.

3. Cabut disc brek. Biasanya longgar je. Kalau ketat, ketuk-ketuk sikit kat tengah disc. Jangan sampai bengkok dah la.

4. Marking absorber dan knuckle untuk elakkan dari sudut camber lari lintang pukang. Aku pakai paint marker. Kemudian buka dua nat 17mm untuk pisahkan knuckle dan absorber.

* Tanggalkan juga stabilizer link. Tak perlu buka semua, cukup dengan buka nat di bahagian yang bersangkut dengan lower arm sahaja.
Stabilizer link ni kalau kau jack sebelah tayar je memang susah nak buka, pasang balik nanti lagi la susah. Seeloknya jack dua-dua belah tayar depan.
( sebab tu aku liskan dua unit jack )

5. Seterusnya tanggalkan tie rod end steering rack. Nat saiz 14mm kalau tak silap aku. Lepastu ketuk bahagian knuckle yang berhampiran dengan tie rod. Jangan takut mengetuk, ni memang kaedah dia.

6. Buka kekunci nat driveshaft, tanggalkan pin dan kekuncinya. Pakai soket 30mm. Kalau tak ada beli satu. Aku pun kena beli sebab lupa ada nat sebesar ni. Dah la soket besar, kena beli adaptor pulak sebab soket tu pakai soket handle L  saiz lori. Besar sikit.

7. Buka nat 30mm tu, henjut pakai handle L yang disambung dengan paip besi. Kurang azab sikit nak memusingnya.

8. Di bawah knuckle ada satu lagi nat yang mengikat knuckle dan bersambung dengan lower arm. Natnya saiz 17mm beserta pin. Yang ni pun kena ketuk kuat. Buat kerja siang supaya tidak dibenci jiran. Ketuk knuckle tu ya, jangan ketuk lower arm.

9. Selesai longgarkan/pisahkan knuckle dari lower arm, tarik keluar knuckle dari driveshaft. Jangan sampai driveshaft tercabut.

10. Berjaya tanggalkan knuckle bermakna dah selesai part yang paling sakit. Bawalah knuckle tu ke kedai tayar sekali dengan bearing baru untuk ditekan masuk. Kerja-kerja tekan bearing ni memerlukan mesin khas. Kalau ketuk sendiri aku rasa sampai minggu depan pun tak boleh siap.

11. Kos memasukkan bearing sahaja antara RM22 - RM35. Nanti hujung artikel aku totalkan kos yang terlibat.

12. Setel pasang bearing, reverse balik step tadi.

Kos-kos yang terlibat :
1. Bearing Koyo RM55
2. Soket 30mm+ Adaptor :RM42
3. Upah press bearing: RM30 (kat tempat aku cajnya agak mahal)
Total = RM127

Kalau buat kat kedai sepenuhnya aku tak tau caj berapa, tapi yang aku pasti bila buat sendiri ni penatnya boleh tahan. Aku anggarkan upahnya antara RM50 - 70.

Berbaloi ke tidak buat sendiri ni?
Bagi aku berbaloi sebab satu pengalaman baru dan pembelajaran baru untuk aku. Bagi yang tak minat aku cadangkan tak payah la susah-susah pegang spanar. Buat kotor tangan je.

Antara jalan pintas lain untuk atasi masalah bearing berdengung ni korang beli je knuckle halfcut. Biasa diorang jual sepasang sekali dengan disc brek. Anggaran harga RM200. Boleh juga request nak knuckle saja, dalam RM100 bergantung pada runner yang jual. Tapi macam aku cakap kat atas tadi lah, nasib kalau dapat yang cun.

Setel kerja tukar bearing, excited la aku nak test nikmat hasil kerja sendiri. Aik? Awat bunyi berdengung tak hilang??

Rupa - rupanya bearing depan kiri pun melingkop daaa....