Rabu, 29 Mei 2019

Enkei RPF1 Ayam Tayar Gemuk

Agak lama aku tak menulis berkenaan penyelenggaraan kereta, kereta aku lah tu. Bila dah lama makanya agak banyak parts yang aku telah tukar dan beberapa lagi akan menyusul.
Beberapa bulan lepas aku tukar spring kereta aku daripada spring cap ayam yang entah aku dah lupa namanya kepada spring buatan tempatan iaitu APM Performax. Spring APM Performax ni sedikit lembut dari spring sport cap ayam yang aku gunakan sebelum ni tetapi masih agak keras jika dibandingkan dengan spring asal Myvi.
Padanan spring APM, penyerap hentak asal dan tayar bersaiz standard 175/65/14 memberikan pemanduan yang sedikit selesa hasil kelegaan tebal tayar yang membantu menyerap hentakan halus.
Bagaimanapun penyerap hentak kereta aku dah berusia 10 tahun.Agak mengkagumkan ketahanan dia memandangkan perbatuan sebenar kereta aku rasanya sudah melebihi 500,000 kilometer. Aku agak bersedia sekiranya penyerap hentak ini gagal dalam masa terdekat.
Telahan aku ternyata benar bila kereta aku dinaikkan diatas ramp untuk proses penukaran rim dan tayar. Ahad lepas aku tukarkan rim standard Myvi Lagi Best bersaiz 14' kepada rim replika Enkei RPF1 bersaiz 15' ET30. Rim replika ini dipadankan dengan tayar buatan Jepun berjenama Yokohama BluEarth ES32 iaitu spec abah-abah. Maksudnya bunga tayar standard,kompaun sederhana lembut untuk cengkaman ketika kering dan basah.
Asalnya aku mahukan kombinasi rim dan tayar Toyo TR1, tayar prestasi tinggi buatan Kamunting,Perak. Malangnya tiada dalam stok, begitu juga dengan tayar Bridgestone Potenza RE003. Terpaksalah aku berpuashati dengan spec tayar gemuk 195/55/15. Kos yang terlibat cuma RM1600 tidak termasuk trade in. Rim asal aku bawa balik, entah apa nasibnya nanti.
Ok, semasa kereta diatas tanjakan, aku intai- intailah bahagian bawah kereta maklumlah kawasan ini jarang kita pantau. Aku nampak penyerap hentak sebelah kiri belakang diselaputi minyak, tanda ianya sudah bocor.
Aku terus buat tempahan penyerap hentak Kayaba RS Ultra dari sahabat pembekal alatganti iaitu ZL Autopart.
Memandangkan penukaran penyerap hentak ni lebih baik dibuat di bengkel yang pastinya ada air gun wrench, aku minta dipasangkan terus bersama-sama kelengkapan yang perlu ditukar sekali termasuk mounting dan aksesori getah menggantikan getah lama yang dah kematu.
Bila dibuka penyerap hentak lama, rupa-rupanya penyerap hentak hadapan kanan juga sudah hancur. Eloklah tu, mujur tukar satu set.
Harga satu set Kayaba RS untuk Myvi ialah RM520. Murah berbanding harga pasaran sekitar RM530-560.
Kos yang terlibat termasuk parts tambahan dan dan upah ialah RM800.
Parts tambahan yang aku tukar sekali ialah:
1. Mounting 1 set
2. Getah boot depan 1 set
3. Getah pelapik spring depan atas/bawah 1 set
4. Getah pelapik spring belakang 1 set
5.Hos air wiper Samco

Bagi aku harganya berpatutan untuk semua parts dan upah pemasangan. Korang rasa macamana? Ha, siapa-siapa yang berhajat untuk mendapatkan alatganti kereta terutamanya kereta Perodua dan produk Aisin, boleh beli di ZL Autopart. InsyaAllah harganya terbaik. Boleh cari pagenya di Facebook.
Dari segi keselesaan aku rasa tidaklah selesa mana sebab kombinasi APM Performax + Kayaba RS Ultra lebih sesuai untuk meratah selekoh sederhana laju. Kalau nak dapatkan sedikit keselesaan dan keyakinan  seperti melenjan Axia pekak aku rasa tahap kekerasan spring standard+Kayaba RS Ultra lebih sesuai.

Untuk projek akan datang set mounting,ATF filter dan oil pan kotak transmisi akan diganti sebelum pulang beraya.