Sabtu, 19 Februari 2022

Tali Sulam (Braided) dan Shock Leader

Sambil-sambil aku rajin nak menulis, aku key in jela apa yang aku nak tulis sekarang. Korang jangan menyampah pulak. Aku tengah gila memancing ni.

Penulisan ni cuma sekadar perkongsian dari pengalaman aku yang tak seberapa. Tulisan ni lebih kepada perkongsian untuk orang yang tak tahu apa-apa pasal tali pancing. Yang dah expert sila pergi ke aplikasi TikTok.

Zaman-zaman awal aku memancing dulu, tali utama yang aku pakai biasanya ialah tali monofilamen. Orang senang faham kalau disebut tali tangsi. Tali tangsi ni kira tali paling asas la dalam sukan memancing. Untuk yang baru nak menceburkan diri bidang memancing, tali ni paling murah dan mudah diurus.

Karekteristik tali tangsi ni bersifat lutsinar dan elastik. Macam ada spring. Kalau kita regangkan dia, tali ni akan memanjang dan kembali ke kepanjangan asal bila dilepaskan.

Sifat elastik ni ada kelebihan dan kekurangan. Jika dikenakan kejutan, ia mampu menyerap kejutan dan mengelakkan daripada putus.

Tapi jika tersangkut di dahan pokok atau ranting kayu didalam air, amat bahaya bila kita cuba tarik. Sifat springnya mampu menerbangkan batu ladung atau swivel pada kelajuan tinggi. Kalau terpelanting kena tanah tak apa, kalau kena mata? Pecah bijik mata mat!

Bagaimanapun tali tangsi ni masih banyak kegunaan lain yang bermanfaat. Sebab tu masih wujud di pasaran. Kebiasaannya untuk big game atau koyan.

Tali sulam atau braided. Tali utama jenis sulam ni agak lama juga dah ada dalam market, cuma aku agak lambat pakai sebab masa tu kewangan tak mengizinkan.

Tali sulam diberi nama berdasarkan teknik pembuatannya yang menggunakan kaedah sulaman sepertimana tali cord pendaki gunung. Beberapa lembaran halus digabungkan untuk menghasilkan tali berkekuatan tinggi. Kelebihan tali sulam ialah nisbah kekuatan vs. diameter yang tinggi. 

Maksudnya untuk kekuatan 20lb,tali sulam cuma berketebalan 0.15mm(contoh),dibandingkan tali tangsi setebal 0.35mm untuk kekuatan yang sama. Tali yang lebih halus bermaksud lebih banyak tali dapat dimuatkan kedalam spool berbanding tali tangsi.

Ada beberapa kategori sulaman contohnya 4X,5X,8X,12X dan yang paling banyak aku dengar 16X. Angka-angka ni merujuk kepada jumlah lembaran yang digabungkan menjadi satu.

Makin tinggi jumlah lembaran digunakan,makin mahal tali sulam tersebut. Simple matematik. Dalam banyak-banyak jenis ni tiga jenis tali sulam aku dah pakai; 4X, 5X dan 8X.

Ketiga-tiga jenis tali ni ada karekteristik yang sedikit berbeza. Semuanya lembut dan mudah tenggelam dalam air, tapi tali 4X dan 5X sedikit kasar permukaan talinya. Jika dipegang kita tak rasa sangat, terutamanya jika kita tak pernah menyentuh kehalusan permukaan tali sulam 8X. 'Kekasaran' tali 4X ni hanya kita sedar bila kita membuat karauan berat. Maksudnya mengarau semasa perlawanan dengan ikan besar.

Seahawk Gachiri X4

Permukaan tali sulam 4X yang bergesel dengan seramik ring guide akan menghasilkan bunyi umpama tali tu sedang menggergaji permukaan ring guide. Kebiasaannya tiada kesan yang ketara sebab seramik guide ring memang tahan geseran, cuma kita akan rasa macam reel pancing kita yang kasar. Sebenarnya tidak. Bunyi-bunyian kasar tu datang dari tali sulaman.

Tali 5X pun lebih kurang juga karekternya dengan 4X. Kalau diteliti betul-betul, 5X jenama Lemax ni sulaman dia lebih kasar berbanding 4X Seahawk Gachiri. Talinya kuat, tapi kalau tarik tali sulam ni bila sangkut, pastikan pakai glove. Makan tangan ooo!

Lemax X5 PE braid 25lb

Berbanding dengan tali 8X, permukaan braided 8X lebih halus dan licin disebabkan lembaran yang disulam jauh lebih halus dan rapat.

Kastking Mega 8

Masa tali ditarik keluar ataupun semasa kita membuat karauan, terasa macam pakai equipment yang premium. Smooth, lancar dia lain sikit. Tak ada bunyi-bunyi yang merisaukan.

Cumanya barang yang terasa premium  didatangkan dengan harga yang premium juga. Contohnya Gachiri 4X berharga sekitar RM11 untuk 100 meter. 300 meter berharga RM33.

Manakala tali Kastking Mega 8 (8X) berharga RM69 untuk 274 meter, begitu juga dengan Gachiri 8X 300 meter berharga RM75. Dua kali lebih sulaman pada harga lebih kurang 120% lebih mahal.

Baik 4X atau 8X, ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Kelebihannya 8X aku dah tuliskan kat perenggan atas tadi. Kekurangan 8X pula ialah lembaran halus bermakna ia lebih senang berbulu/putus akibat geseran. Kontra dengan 8X,4X pulak lebih tahan geseran.

Jadi setiap tali perlu digunakan mengikut padang pancingan masing-masing. Kawasan berbatu sebaiknya pakai 4X dan kawasan yang lapang seperti kolam pancing contohnya sesuai pakai 8X.

Kedua-dua jenis braided ni atau apa kategori braided sekalipun tidak akan mampu menyerap kejutan sebaik monofilamen. Sifatnya yang tidak bermemori merupakan satu kelemahan juga selain dari fizikal tali sulam yang tidak transparent didalam air.

Untuk mengatasi kekurangan tali sulam, pemancing digalakkan menggunakan shock leader, atau sambungan tali mono/fluorokarbon dibahagian paling hadapan. Shock leader berperanan menyerap kejutan dan juga menyembunyikan kewujudan tali sulam berhampiran umpan.

Shock leader kebanyakannya dibina dengan 80% fluorokarbon bersifat sedikit bermemori dan agak lembut. Kadang-kadang berkedut selepas dibuat knot dan ada juga yang terlalu elastik. Jenis 80% fluorokarbon masih lagi boleh dikatakan murah, berharga sekitar RM10 untuk 50 meter. 

Shock leader 100% fluorokarbon pula sedikit keras, agak sukar untuk dibuat knot. Tapi sifatnya cuma sedikit elastik dan sangat kurang memori. Maknanya jika tali berkedut, kita cuma perlu regangkan dan ia akan kembali lurus. Harga pula berbeza-beza mengikut jenama, kebiasaannya lebih mahal dari 80% fluorokarbon.

Contoh yang aku pakai sekarang ialah Bullzen DFC 50lb 80% fluorokarbon 50 meter berharga cuma RM10, manakala Mustad Shock Leader 30lb 100% fluorokarbon 50 meter berharga RM43.


Jauh beza harganya kan? Apapun yang lebih mahal selalunya berkualiti lebih baik dari yang biasa. Jika ada bajet, cubalah pakai asalkan jangan sampai membebankan poket.






Jumaat, 18 Februari 2022

Yo-Zuri Crystal 3D Minnow Killer!

Berkait dengan benda yang aku bebelkan pasal J&T semalam, sebenarnya ni la benda yang aku tunggu sangat.


Yo-Zuri Crystal 3D Minnow sinking spec 10gram 90mm. Aku beli dua jenis dengan kod warna HSBL dan HAY.

Alkisahnya aku dengan adik aku bercerita pasal hard lure. Borak punya borak pasal lure, mesti la ada cerita pasal lure mahal,lure marhaen. Sebenarnya harga lure tak jadi isu sangat. Sebabnya dengan lure cap Bakau pun adik aku rilek je naikkan sebarau 2-4kg. Dia ni bab sebarau memang boleh buat rujukan la. Dah berzaman hunting sebarau dengan teknik casting. 
Sepanjang penglibatan dia bermain casting, bermacam-macam jenis lure dia pakai. Walaupun aku abang dia, bab ni aku kena berguru dengan dialah sebab memang expertise dia.
Then dia ada sebut satu jenis lure yang aku cuma ingat perkataan Crystal 3D Minnow. Google punya Google (yang ni kepakaran aku), aku jumpa benda ni kat Shopee. Memandangkan benda ni barang lama, satu seller je yang jual dan stok dia nak habis dah! Seller pun dah mention stok clearance.
Tanpa membuang masa, aku terus tekan dua bijik. Seterusnya apa yang berlaku, aku ada ceritakan dalam entri lepas.
Barisan Crystal Minnow dan 3D Crystal Minnow 90mm

Tapi bila Shopee refund duit, aku terus reorder balik item sama secepat mungkin sebab satu item berkod HSBL cuma tinggal last stock. Kali ni aku bertindak bijak macam selalu iaitu menggunakan alamat rumah. Petang Rabu (16 Feb) aku order, hari ni Jumaat (18 Feb) dah sampai. Power kan J&T Batang Kali? 
Berbalik kepada kisah adik aku sebut tentang Crystal 3D Minnow tu, dia kabor gewang ni bapak killer nya. Killer tak killer, masalahnya wujud lagi ke tidak dalam pasaran. Kalau ada, dia pesan beli secepat mungkin.

Bila aku trace balik bila start pengeluaran siri 3D Crystal ni, sebenarnya tak ada info pun. Kecuali satu posting paling awal dari Facebook berkenaan keyword 3D Crystal Minnow Yo-Zuri pada November 2010.
Itu satu-satunya hint yang menunjukkan bila benda ni diketahui public. Sekarang dah 12 tahun lah kiranya dia dipasarkan. Tapi ni cuma research ringkas aku jelah, barangkali tak tepat.

Selama 12 tahun dalam market, stok didalam pasaran makin terhad. Sebelum benda ni jadi macam RXZ baik aku simpan dulu. Itupun bukan la nak peram sampai jadi barang buruan, cuma nak rasa macamana guna gewang bangsawan sikit.
Sejak Shopee/ Lazada wujud, macam-macam jenis gewang murah ada di pasaran. Zaman kedai fizikal dulu lain, option tak banyak. Harga pun boleh tahan sebab didominasi jenama-jenama terkemuka.
Sekarang ni gewang RM2 pun ada. Yang nampak macam berkualiti ada, yang haprak pun banyak toksah cakaplah. Sekali tengok dalam gambar memang cantik, harga murah pulak laju je beli dua tiga butir.
Maklumla excited nak penuhkan lure box. At some point aku rasa ada yang tak kena dengan gewang-gewang murah ni.

Pertamanya berat lure. Ada lure pencil yang bapak besar sampai 11cm, tapi ringan nak mampos. Maknanya apa? Material dia pakai tu nipis. Sekali kena baham bocor terus agaknya.

Kedua, kualiti binaan. Sesetengah gewang murah ni QC dia hancur. Lebihan ultrasonic weld dia di'trim' pakai kaki. Maksud aku cincai. Tak kemas langsung. Paint job lagilah,kelaut.

Ketiga, R&D. Yang ni paling penting. Korang rasa gewang mur2 ni ada buat R&D ke? Macamana bentuk renangan dia, berat lure seimbang ke tak, selaman dia cantik ke tidak, reflection cahaya ikut kedalaman air mampu menggoda ikan ke tidak, itu semua mempengaruhi harga.
Kadang-kadang kita pelik tengok macamana orang cast dapat ikan baik-baik. Set up dia lain, set up kita ikan pun tak sudi jamah. So dalam dunia pancingan ada benda yang kita boleh jimat, dan ada benda yang kita kena invest.
Selalu kita rasa ikan tu bodo je kan. Asal boleh je letak umpan,matakail, setel..padahal presentation terbaik tu la yang tentukan tinggi-rendah peratusan kejayaan menaikkan ikan.
Bila kumpau, paham la kita kat situ bahawasanya kita yang bodo tak tau tekniknya.

Sekian.

* by the way aku ada buat backup order dari Hot Tackles Singapore. Harga keras untuk dua bijik ni,RM136. Tapi masih dalam status pending. Kalau sampai nanti aku sedekah jela kat adik aku tu.



Khamis, 17 Februari 2022

Buat Hal La J&T Kepong KUL302!

Sejak 2016 aku mula menjinakkan diri membeli secara online melalui platform Lazada. Masa tu beli sikit-sikit jelah dan ada beberapa pembelian yang agak mahal iaitu PS4 dan Pocophone F1.
Lepas tu aku dah tak berapa minat shopping kat Lazada. Aku beralih pula ke Shopee.
Di Shopee ni aku mula dengan beli benda-benda murah macam aksesori telefon dan gajet-gajet biasa. Lama-lama barang aku beli makin mahal dan makin kerap aku membeli. Last year aku kira perbelanjaan aku di Shopee bernilai lebih kurang RM13K. 
Kerancakan bershopping kat Shopee ni tak lain tak bukan disokong oleh kecekapan lojistik dalam menguruskan parcel. 
Kat Lazada bukan lojistiknya tak bagus cuma entah la kekadang jumpa seller bangang. Macam PKP 2020 dulu, aku order kolam air inflatable untuk anak-anak aku berendam. Aku tunggu lama kot lebih seminggu rasanya, seller dok prepare parcel lagi. Aku cuba cancel kena reject pulak.
Dua tiga hari lepas tu seller cancelkan sebab stok takde. Tak ke bangang namanya tu. Tak pasal-pasal masa terbuang.

Di kawasan rumah aku ni selain Poslaju,DHL atau Shopee Express, J&T merupakan solusi lojistik yang cemerlang. Sesekali ada la delivery main campak je barang walaupun aku ada dalam rumah. Itu pun aku tak kisah asal barang sampai.

Cemerlang yang aku maksudkan kat sini spesifiknya ialah J&T cawangan Batang Kali. Setakat ni aku masih berpuashati jika menggunakan alamat rumah untuk shipping.
Sesekali aku guna juga alamat ofis, bukan apa receive barang kat tangan sendiri ni lebih puas. Letak alamat rumah waktu weekdays kang takde siapa nak receive. Masalahnya ialah bila aku pakai alamat ofis, barang-barang aku akan transit di J&T CDC Kepong (KUL302).
Ni aku nak cerita berapa punya cibai branch KUL302 ni. Kebanyakan barang aku akan dihantar diluar waktu pejabat. Sedangkan kalau kau tengok alamat pejabat, ape ke jadah kau deliver lepas jam 5 petang?
Ok la, aku faham area urban ni banyak parcel nak hantar, so tak sempat. Default punya jawapan. Tak apa, asal barang sampai kat pondok guard.
And semalam berlaku perkara yang paling aku benci nak dengar iaitu PARCEL LOST.

Barang yang aku beli tu dari Kelantan:

- 8 Feb 2022 parcel dah pickup dari seller.
- 9 Feb 2022 9am parcel sampai di KUL302,branch Kepong tadi lah. 
- 11 Feb 2022 pagi aku check barang dok in transit lagi. Petang lepas Jumaat aku pegi la branch KUL302 untuk self pickup. Senangkan kerja depa, kot la parcel menimbun. Sampai sana cek nombor, staff dia cakap barang dah out for delivery. Awat out for delivery tapi dalam Shopee status dok tulis in transit? 
Dia cakap Shopee lambat update. Oklah aku balik opis tunggu call sampai kul 5. Malam aku cek status dok in transit. Nampak sangat pembohongnye.
- 14 Feb Isnin aku dah panas hati. Call tak berangkat, center pun cam babi chatbot yang jawab. Semak kat JnT tracker, status barang 'delayed due to external factor'. Pastu ada lagi status 'bad weather'. Palabutuh dia bad weather.Masa tu Kepong mana ada hujan lebat.
- Takpe aku biar lagi, sambil-sambil hantar komplen kat website dia. Sehinggalah tengahari semalam,(16/2/2022) tetiba ada nombor wasap aku bagitau barang aku disyaki HILANG.

14 kali status in transit sejak 9 Feb 2022

Haaaaa tu la punca pasal apa depa sidai barang aku kat warehouse lama sangat. Sedangkan masa aku nak self pickup Jumaat lepas warehouse tak busy langsung. Barang pun tak menimbun dalam bakul.
Dalam hal ni aku panas bukan pasal parcel lost. Barang lost tak pe Shopee akan refund balik duit aku n seller bila kurier claim parcel lost. Aku boleh repeat order balik, cuma cam bodo la tunggu lama-lama untuk barang yang sama.

Paling aku bengang adalah sebab barang tu antara stok terakhir. Nak cari balik online sakit matt! Aku jumpa seller online tapi dari Singapore. Dah la dollar dia mahal, convert duit kita dah jadi double dari harga asal.
Next posting aku cerita barang apa yang aku harap sangat sampai ni.

Aku memang tak faham dengan J&T KUL302 ni. Komplen berlambak-lambak kat Google map review. Management buat bodo je ke? Ke gaji depa banyak sangat sampai tak kisah kena potong bila barang hilang?
J&T Malaysia tengok-tengok sikit branch korang yang problematic ni. Kot la staff-staff korang buat dajal sebab ada aku dengar komisyen delivery kena cut. Korang plak kalau check status dia tulis in transit sampai 3-4 hari tu baik pegi self pickup. Kalau takde, memang hilang la.



Isnin, 14 Februari 2022

Kastking Crixus Armor X Murah Beb!

Membeli kelengkapan memancing ni macam ada satu ketagihan sebenarnya. Para pemancing mesti faham. Jangankan lalu depan kedai pancing, sambil pegang handphone pun boleh ziarah kedai online. Tak beli pun tak apa, sekurang-kurangnya mesti add to cart. Betul tak?

Lepas aku berjaya mendapatkan set BC, ada satu kekurangan yang aku baru sedar. Rod Seahawk Kossori aku tu berkelas 8-17lb dan lure yang sesuai adalah seberat 10-20 gram. Agak berat sebenarnya memandangkan beberapa lure aku cuma seberat 4 gram hingga 7.5 gram. Yang paling berat cuma Ozmy Silencer iaitu 20 gram.

Lure seberat 10 gram keatas kebanyakannya bersaiz besar nak mampus, tak sesuai dengan padang pancingan aku. Jadi, aku berkeputusan untuk membina kombinasi BC lain yang lebih ringan.

Lepas aku menjelajah kedai-kedai online mencari rod sasaran, aku jumpa dengan sebatang rod mampu milik yang sesuai iaitu Santec Capricorn 6" two pieces. Murah sikit dari Seahawk Kossori iaitu cuma RM108. Dilengkapi 10 cincin, yaa 10...spec rod ni menepati keperluan aku, line weight 6-15lb, lure weight 4-13g dan cukup ringan sekitar 110 gram.
Rupa rod ni tak hensem langsung,biasa-biasa je dengan kemasan benang silver di beberapa tempat,reel seat gloss black, sedikit penggunaan cork di bahagian pengunci reel dan diakhiri dengan layangan cat warna hitam. Low profile habis. Line guide yang 10 ketoi tu pun tak tau brand apa. Boleh la padan dengan harga dia.

Rod ni aku sesuaikan dengan reel BC Abu Garcia Promax 3 sebab ngam dah mainline dia braid 15lb. Untuk leader aku dah gantikan dengan leader level bangsawan sikit iaitu Mustad 100% fluorocarbon 30lb. So dah settle set yang sedikit ringan untuk cast lure ringan.

Sekarang ni Seahawk Kossori tak ada reel. Untuk Kossori ni aku plan untuk setup yang sedikit berat. Reel yang aku padankan ialah Kastking Crixus Armor X beserta mainline Kastking Mega 8 20lb. Senang order sekali jalan.

Beza Crixus Armor X dan Crixus biasa ialah material mainframe dan bilangan bearing. Armor X dibina dengan cast aluminium manakala Crixus biasa material grafit. Harganya for surelah berbeza agak banyak.
Kastking ni jenama baru jugak la dari US. Tapi confirm kilang dia kat China. Ini barang kalau made in USA silap-silap harga dia level Shimano. Tengok website dia nampak serius juga la brand ni. Tak macam rod Santec tadi. Walaupun agak ramai juga yang pakai, haram tak jumpa kompeni fishing equipment Santec ni asal dari mana.

Benda bestnya pasal reel baru ni meh aku nak cerita.

Harga di laman web rasmi Kastking Crixus ialah US$55.99 iaitu sekitar RM234, manakala Crixus Armor X dijual pada harga US$88.99 (RM376). Beza sekitar RM140.
Tetapi...

Crixus Armor X yang aku beli ni berharga RM290 sahaja. Entah ada diskaun ke apa tapi real beb, murah banyak. Walaupun agak was-was tapi dari review tulen pembeli memang harga dia legit, bukan scam. Sampai benda ni dalam tangan aku pun aku still rasa, ishh biar betul ni. Seller gila ke apa tak tau la.



Tapi itulah dia, kalau ikut harga, bagi aku spec dia sangat berbaloi. 9+1 Maxidur bearing, aluminum frame, drag 8kg, double pinion bearing, dan special feature yang aku rasa membantu kelancaran casting ialah rekaan line guide berbentuk cone mengikut susunan tali didalam spool.
Pihak Kastking memanggilnya dengan jargon yang kedengaran begitu advance sekali iaitu LFTV ( Low Friction Tapered Vortex ). Nama yang rumit ni sebenarnya marketing strategi tapi xde la bodo-bodo je nama dia ganas gitu. Ada function juga la.
Bila line guide dia bentuk macam tu, susunan tali bahagian paling kiri dan kanan spool lebih lancar dikeluarkan dengan geseran paling minimum. Secara teorinya memang membantu jarak casting.


Eksperimen aku dengan Abu Garcia Promax, bila reel in heavy load, mainline didalam spool yang berada disebelah tepi akan bergeseran bila tali ditarik keluar dalam posisi drag full lock. Berlaku stress pada susunan tali dan line guide. Tambah teruk bila gulungan tali dalam spool tak cukup padat. Next cast mesti macam haram tali tersekat-sekat.
Jangkaan aku dengan design line guide berbentuk cone ni tali lebih lancar keluar dari spool semasa casting dan karauan juga kurang stress. Nanti aku try buat longcast cun ke tidak perginya.

Harapnya setup baru ni boleh menepati expectation aku bersesuaian dengan harganya. Kita pakai dulu then kita tengok berapa lama dia boleh dilenjan sedikit berat. Abu Garcia kita buat layan Duel Aile 3G Magnet Minnow dengan Yo Zuri Crystal 3D Minnow 9cm. Adik aku cakap 3D Crystal ni killer. Kena port baik, killer la. Dapat port sendu tak de guna gewang bangsawan.

Khamis, 3 Februari 2022

Casting Sebarau Sungai Tekam

Cuti CNY baru-baru ni aku balik kampung memandangkan aku apply cuti panjang. Selain menjenguk mak aku, plan lain adalah komplot memancing selepas di racun oleh foto adik aku sehari sebelumnya.

Sebarau atau nama saintifiknya Hampala macrolepidota seberat 2.4kg ni ditawan menggunakan kaedah casting.

Teruja dengan racunan tersebut, aku bergegas balik kampung pada Sabtu pagi dengan berbekalkan set senjata casting dan bottom medium heavy aku tu lah. Padahal adik aku main set light casting je kot.

Aku sampai rumah mak aku sekitar jam 3.15 petang, makan-makan kejap pastu dapat la rehat sekejap bila adik aku bagitau ada member ajak casting pukul 5 petang di lubuk yang sama.

Aisshhh rugi tak ikot weh! Lubuk ni dekat je dengan jalanraya utama, so kitorang gerak bertiga naik Miyabi aku je. Then trekking sikit dalam 100 meter dah sampai ke lokasi.



Nampak biasa-biasa je tapi sungai ni dihuni monster air deras yang bersembunyi untuk menghendap anak ikan mungkus yang mudik ke hulu.
Jam 5.45 petang kami mula casting. Adik aku pakai set joran custom Lemax yang ditambah cincin dan mesin BC jenama Sougayilang katanya dan tali utama brand apa entah berkekuatan 10lb. Umpan pula minnow 10cm jenama Bakau.
Hari tu aku tak ingat aku pakai umpan apa,SP Zman 3" rasanya. Hari tu boleh dikatakan hari latihan bermain BC memandangkan aku tak pernah guna set BC pun,🥲
Member sorang lagi aku rasa pakai spoon dengan set spinning apa entah aku tak sempat tengok. Aku kesibukan berlatih membaling SP dan membetulkan bihun. Siapa tau dia taulah,hihi!
Dari pemerhatian, nampak beberapa kali anak-anak ikan kecik berkumpulan melompat jeram; satu pemandangan yang agak unik aku rasa sebab di alam sebenar ni lah pertama kali aku tengok fenomena ni.
Selalunya aku tonton ikan salmon mudik nak bertelur je dalam dokumentari.

Lebih kurang 10 minit casting, minnow adik aku disambar sebarau. Perlawanan tak lama, lebih kurang 2-3 minit saja. Ikan hampir menyerah dan tiba-tiba benaman terakhir melucutkan single hook dari hookup yang kurang cantik.
Saiznya hampir sama macam dalam gambar pertama sebab aku nampak ikan tu dah timbul. Sempat juga aku merakam masa tu sebab kebetulan aku tengah duduk menyulam FG knot.

Selang beberapa minit minnow adik aku sekali lagi disambar sesuatu masa dia casting selaman dalam di kepala jeram (gambar ke 3).
Perlawanan ni sempat juga aku rakam sebab tak siap lagi simpul FG masa tu,😂


Dan... hasilnya amat memberangsangkan.

Sebarau seberat 2.8kg berjaya dibawa pulang. Aku dan sorang lagi member cuma sekadar membawa pulang telur masing-masing.
Videonya disini :

Apapun ada beberapa pelajaran dan ilmu baru yang aku pelajari sepanjang beberapa hari turun memancing. Nanti aku cerita di posting yang akan datang.