Selasa, 13 Disember 2022

ATC Combat CF50/51 BFS ; Adik Bongsu Siri Combat

Aku terjumpa satu reel dari ATC yang agak menarik juga tapi macam biasalah reel ATC ni amat sukar untuk dicari review yang ekstensif samada dalam bentuk penulisan atau video. Ada la aku jumpa satu video review yang agak complete, malangnya dalam bahasa Siam. Subtitle tak ada pulak tu.

Ok, reelnya adalah ATC Combat CF BFS 50/51. Reel baitcasting siri Combat ni bukanlah baru pun, ianya dilancarkan sekitar setahun yang lepas. Aku je yang tak perasan kewujudannya sebab bilangan yang dijual agak terhad dan kurang review yang macam aku cakap tadi lah.

Dari segi rupa design reel ni agak nice and clean dengan skema warna yang selamat. Tidaklah fancy dan kelihatan seperti reel murah buatan China, tapi pemilihan tema selamat ni kadangkala agak merugikan sebab tak nampak menarik. Hanya pengguna tegar yang kenal jenama ATC tahu menilai kelebihan jenama ni. Bab kosmetik aku rasa ATC boleh mencontohi/belajar dari Kastking. 
Walaupun dikilangkan di China dengan kos jualan yang rendah, reel Kastking pertengahan diberikan finishing yang cantik, material yang premium, skema warna tidak berlebihan dan kemasan cetakan informasi pada reelnya cukup jitu. Bagaimanapun reel ni tidaklah hodoh, dia cuma macam kereta Yakuza kot, gelap semacam. Kau orang tengoklah barang ATC mana ada yang fancy-fancy. Kilang dia ada cat hitam je.
Rekaan thumb bar diberikan sedikit rupa yang tidak simetri dengan badan reel. Senang cakap macam thumb bar Shimano Metanium DC lah. Dia offset ke arah handle. Benda-benda tak simetri ni adakalanya nampak cantik kalau kena pada tempatnya. Kecuali frame Shimano Antares. Buruk ya amat! Dah la design plain,warna chrome, senget pulak tu. Nasib baik kau barang bangsawan.

Berbalik kepada ATC, ia didatangkan dengan kayuhan kiri dan kanan, ATC Combat CF BFS bersaiz kompak dan ringan ni berfokuskan game Medium ke Medium Heavy. Beratnya cuma 160 gram hasil penggunaan material binaan serat karbon dan juga diberikan carbon fibre handle. Sebab tu nama dia ada CF.
Manakala BFS pula bermaksud bait finesse yang merujuk kepada permainan umpan ringan; senang cerita macam ultralight game lah. Spoolnya cetek untuk memuatkan tali berkekuatan rendah sekadar mencukupi untuk jarak balingan yang dekat. 
Tapi yang bagusnya ATC ni dia suka buat reel baitcasting yang multi purpose. Selain spool cetek BFS, spool standard juga diberikan yang boleh memuatkan tali setebal 0.2mm sebanyak 120 meter. Cukup banyak dah tu. Braided 8x yang baru-baru dipasaran saiz 30lb pun cuma setebal 0.18mm sahaja. 150 meter should be no problem aku rasa.

Untuk nisbah gear cuma diberikan satu ratio sahaja iaitu 6.6 : 1 dan satu pusingan handle akan retrieve mainline sebanyak 68cm. Karauannya tidaklah laju, tapi ada sikit kekuatan tork disitu. Drag berbilang cakeranya pula berkekuatan sekitar 5kg, which is cukuplah untuk permainan sederhana berat. Tak lupa juga ciri yang agak jarang ada pada reel baitcasting iaitu drag clicker dibekalkan standard bersama reel. 
Factory design siap dengan drag clicker ni jauh lebih baiklah daripada drag clicker aftermarket sebab banyak kes-kes kekuatan drag reel baitcasting menurun apabila dipasangkan drag clicker. Kosnya juga agak tinggi sekitar RM60-80 ringgit tak termasuk upah pemasangan.
Cuma dari pengamatan aku, bunyi drag clickernya tidaklah nyaring, macam dengar- tak dengar je bunyinya. Kalau ikan yang tarik tak tahulah audible ke tidak. Nanti aku test dulu.
Sebelum terlupa, aku perasan tombol star drag reel ni nampak macam materialnya CFRP. Nak kata full carbon macam handle tak juga. Ringan tapi kurang menyerlah. Sikit yang aku nak komen ialah tombol star drag ni wobbly. Tak fit. Fungsinya untuk melaras drag tak terjejas cuma itulah,rasa loose-loose ni tak bestlah. Macam reel murahan Shopee pulak.

Sistem brek masih lagi menggunakan brek magnet tradisional, teknologi lama tapi masih relevan digunakan dan mudah diselenggara. Tak lupa juga line guidenya berbentuk segitiga ( Open-Frame V Shape Line Guide ) seperti abang-abang besarnya untuk mengurangkan rintangan casting.

Dari segi harga, ATC Combat CF BFS boleh dikatakan sederhana dan berpatutan dengan apa yang ditawarkan. Ok lah kot dapat dua spool, drag clicker lagi. Dua benda ni je kurang-kurang bernilai RM100-120.
Tinjauan aku di Shopee dan Facebook harganya berada dalam lingkungan RM415 hingga RM470. Seller yang jual RM415 tu tak payah carilah, memang dah habis stok. 
Ringkasannya aku listkan dibawah :

+ extra BFS spool
+ drag clicker
+ kayuhan lancar dan halus
+ 9 + 1 stainless steel ball bearing
+ lightweight (160gram)
+ rekabentuk kompak
+ harga berpatutan

- sukar dijumpai terutamanya kayuhan kanan 
- tipikal ATC, kedekut dakwat printing tampo
- bunyi drag clicker kurang jelas
- tombol star drag tak kemas, wobbly orang putih cakap
- sistem brek magnet tradisional
- Amat kurang review/informasi. Website atcfishing.com pula selalu under maintenance

Aku cuba hubungi alamat emel yang diletakkan pada akaun Instagram @atcfishing ,malangnya alamat tersebut tidak dapat dijumpai. Senang cakap emel aku tu tak sampailah. Bab ni aku rasa ATC sangat-sangat perlu ambil berat kalau nak bertahan lama dalam industri. Website down tu dah satu hal,nak contact pun susah. No wonder lah ramai agak ragu-ragu nak pakai barang ATC walaupn barang dia bagus-bagus. In case ada part yang rosak atau nak claim warranty, pishang mat.

Isnin, 12 September 2022

Ujian Lapangan Perambut Anti Kumpau

Kali ni aku nak tulis tambahan sikit kepada beberapa posting sebelum ni, pertamanya tentang custom rod iaitu memotong butt rod jigging untuk kegunaan kolam air masin dan juga perambut toyol anti kumpau dalam posting lepas.
Aku ada tuliskan haritu berkenaan projek aku mengerjakan rod Bullzen Brutal Monster Iguana Elite PE1-3. Jumlah kepanjangan yang aku potong sekitar 3 inci sahaja menjadikan panjang keseluruhan berkurangan daripada 6 kaki kepada 5 kaki 9 inci.
Tujuannya bukan apa, kalau butt panjang, butt akan sangkut kat perut.Susah nak buat cast. Ok, bila dah pendek, adakah pengurangan panjang ni akan menjejaskan jarak lontaran?
Seimbas lalu mungkin ya, tapi bagi aku tak begitu menjejaskan.
Casting menggunakan pergelangan tangan sebagai fulcrum point, atau titik tengah untuk menghayun pancing. Titik tengah ni adalah pada reel seat.Atau lebih mudah difahami lagi ialah, jarak efektif cuma dari tempat kita menggenggam rod (reel seat) hingga ke tip rod.
Yang memberi kesan besar terhadap jarak casting adalah sekiranya kita mengalihkan posisi reel seat. Jika sekadar memotong butt dan jarak antara reel seat dan tip rod masih sama, seharusnya tidak banyak kesan ketara.
Mana ada orang pegang betul-betul kat pangkal rod masa buat casting kan? Macamana dia nak kepit mainline masa mula cast betul tak? Sebab tu ada yang buat handle joran pendek serupa hulu parang. Dari segi artistik mungkin pada dia nampak cantik, dari ergonomik dan praktikaliti tak ada. 
Butt rod tu ada gunanya. Masa pam ikan, butt rod duduk betul-betul bawah lengan supaya pergelangan tangan tak terseksa tahan beban. Kalau pergelangan tangan semata-mata jadi fulkrum dan berkerja penuh tanggung beban, sakit mattt! Ikan kecik boleh la.

---------------------------
Kedua berkenaan perambut toyol yang aku kongsikan pada posting lepas. Dalam ujian lapangan terbukti tidak kumpau. Ujian pertama di kolam air masin Kg.Delek. Sebaik saja siren dibunyikan, tiga kali umpan ditemui ikan dalam masa kurang 10 minit. Dua sambaran pertama melepas sebab aku tak pandai main siakap. Hookup cepat sangat. 
Kali ketiga aku betul-betul bagi dia sedut dan berjaya dibawa naik.
Ujian kedua dilakukan di kolam air masin Gansaan. Kat sini memang sesuai nak uji teknik kau berkesan ke tidak sebab kolam ni bukan jenis lepas ikan banyak tiap-tiap jam. Aku anggarkan sekitar 30-40 ekor saja. Bahagi dengan jumlah pemancing, kalau kau dapat hookup 5 ekor dah kira sifu la.
Aku berjaya menaikkan GT seberat 3.05kg dan ikan merah seberat 2.245kg, satu strike lagi lucut. Ujian aku simple je, bila diorang lepas ikan aku cast berdekatan sangkar dalam jarak 5-7 meter dan ikan berjaya menjumpai umpan aku. Sedangkan masa tu beberapa pemancing pun parking umpan diorang ditempat yang sama.
Ujian ketiga juga di kolam air masin Gansaan Sabtu lepas.
Strike pertama ikan bawal yang lariannya mirip GT menjamah matakail Fire Eagle Hosoji-Mutsu saiz 2/0 berumpankan udang kopek. Anggaran berat sekitar 1.5-1.7kg.

Strike kedua ikan merah yang membawa lari umpan/batu ladung aku yang tersangkut. Masa tersangkut ni aku tak paksa tarik so aku biarkan saja umpan terapung-apung 1 kaki dari dasar kolam. Dalam beberapa minit saja umpan dijumpai ikan merah dan melepaskan batu ladung yang tersangkut tadi. Selesai masalah sangkut, ikan pun dapat.
Strike ketiga macam biasa, parking umpan berdekatan sangkar masa pekerja lepaskan ikan. Larian pertama aku hookup tapi rasa kosong, kemudian lepas tu aku masih rasa ada ragutan. Aku biarkan lagi beberapa saat ternyata ikan membawa lari umpan dan yess hookup kemas didalam tekaknya. Seekor jenahak skala 1.3kg berjaya ditewaskan.
Dari pemerhatian aku, kolam Gansaan ni ikan tak berapa banyak sebab hanya frenzy bila ikan dilepaskan.Tapi dengan persembahan yang betul, kita bantu memudahkan ikan jumpa umpan kita.
InsyaAllah kalau tak ada aral, aku akan uji kali keempat di pembukaan semula Kolam Air Masin Sealion 3A minggu depan. Khabarnya 1500 ekor ikan akan dilepaskan sepanjang hujung minggu. Jika berjaya, aku berpuashatilah dengan kajian dan eksperimen aku ni. Modal banyak untuk test perambut ni hasil pemerhatian berbelas-belas trip. Kalau nak ubahsuai pakai ladung berat pun tak ada masalah asalkan guna teknik batu hidup.

Jumaat, 2 September 2022

Perambut Kolam Anti Kumpau!

Hari ni aku nak kongsikan sikit satu variasi perambut yang aku inovasikan daripada beberapa kegagalan di padang pancingan kolam air masin. Teknik perambut ni menggabungkan kaedah casting dan bottom, so aku boleh katakan perambut ni is the best of both; dua teknik permainan dalam satu. Dia macam casting dan bottom tapi lebih bestlah,hehe!

Teknik yang dikatakan 'casting' kolam air masin sebenarnya bukanlah casting sebenar sepertimana teknik casting menggunakan umpan tiruan. Casting umpan tiruan biasanya meliputi kedalaman air sekitar 1 meter untuk selaman dalam, 20 cm untuk selaman cetek dan top water. Manakala casting menggunakan umpan udang atau belanak di kolam air masin sukar untuk dianggarkan kedalaman selamannya dan hanya bergantung kepada kelajuan karauan dan berat umpan.

Maka 'casting' di kolam air masin sebenarnya adalah permainan bottom tetapi umpan diseret rapat ke dasar.Kebanyakannya tidak menggunakan perambut. Bagaimanapun ada kalanya keadaan tak mengizinkan bila ada sesetengah kolam dipenuhi lumut dan dasar kolam dibina struktur-struktur seperti batu-batu dan kolong(culvert) untuk dijadikan tempat persembunyian ikan.

Apabila umpan hidup atau mati diseret rapat kedasar dalam kolam yang sebegini,potensi umpan dijumpai ikan agak tipis. Pertamanya visibiliti dalam air yang rendah dan kebarangkalian umpan akan tersangkut/ tersorok didalam lumut. Bukan semua kolam ada ikan pemakan dasar.

Sebab itu kalau kita rajin memerhatikan, teknik pelampung adakalanya lebih efisien kerana umpan tergantung pada kedalaman yang optimum di zon ikan bermain. Bagaimanapun kelemahan teknik pelampung ni tetap ada, pertamanya sukar menganggarkan kedalaman kolam dan kepanjangan perambut yang sesuai. Satu depa? Dua depa? Bayangkan anda melempar umpan menggunakan perambut yang panjang di kolam pancing yang berbumbung rendah contohnya Kolam Pancing Kampung Delek Klang. Susah nak cast umpan woi!

Kelemahan kedua ialah pelampung hanyut merata tempat. Semua kolam menggunakan sistem pengudaraan jenis kipas dan ini menyebabkan airnya sedikit berarus. Pelampung yang hanyut ni bukan sekadar menyusahkan kita untuk selalu retrieve semula, malah mengganggu zon pancingan orang lain.

Hasil kajian kelebihan dan kelemahan tiap-tiap teknik samada bottom,casting dan pelampung, maka aku hasilkan satu teknik perambut yang boleh dikatakan hampir sempurna untuk menangani pelbagai jenis dan ragam kolam pancing.

Teknik ni menggabungkan kelebihan kaedah casting dalam mencari ikan instead of menunggu ikan, dan juga menjangkau zon ikan bermain yang dimiliki oleh teknik pelampung, tetapi tidak hanyut mengganggu orang lain.

Lihat gambar dibawah:

Boleh faham kan macamana ia berfungsi? Selain dari mampu diseret untuk mencari ikan di zon yang optimum, teknik perambut ini juga mampu mengatasi kelemahan perambut lain di kolam yang banyak lumut. Pelampung kecil akan mengangkat umpan keluar dari lumut-lumut atau rumpai2 dibawah air dan potensi ikan menjumpai umpan lebih tinggi. Ditambah lagi dengan menggunakan udang kopek, deria bau ikan akan cepat mengesan kehadiran umpan walaupun visibiliti air rendah.

Aku menggunakan setup seperti berikut:

Mainline: Seahawk Gachiri 4X 20lb

Leader: Daiwa J Thread 100% FC 40lb

Perambut: Daiwa J Thread 100% FC 60lb

Ladung: Saiz 3

Pelampung: 3g

Swivel: Bearing swivel

Mata kail : Fire Eagle Hosoji-Mutsu DX980 HC saiz 2/0 atau 3/0

* sedikit pembetulan pada gambar,yang aku labelkan mainline tu sebenarnya adalah fluorocarbon leader.

Teknik ni hampir sama dengan teknik perambut yang aku kongsikan sebelum ni cuma teknik tu ditambahbaik. Antara sebabnya adalah kedalaman kolam tak memadai untuk membolehkan perambut tersebut menggantung umpan pada ketinggian yang sesuai dari dasar kolam.

Aku tak jamin teknik ni mampu membuang saka kumpau korang, tapi kalau korang sering dihantui masalah kumpau teruk dengan teknik-teknik yang biasa korang guna, cubalah buat apa yang macam aku ajarkan ni. 

Aku pun macam korang juga asalnya, habis semua skil perambut dalam YouTube aku study, tapi belum cukup efektif. Macam-macam stail aku jumpa, yang complicated pun ada.Makin rumit teknik perambut anda, makin sukar untuk anda buat balingan. So keep it simple as possible and maximize your prensentation to the target fish. 

Tak perlu pakai banyak matakail, perambut pendek senang nak baling umpan,tak perlu potong leader kalau leader berbulu dimamah ikan bergigi tajam dan udang kopek tak memerlukan air pump. Mudah kan?

Kaedah ni mungkin boleh dicuba menggunakan soft plastic kerana sifat soft plastic yang timbul diatas air. 

Ahad, 21 Ogos 2022

Alza 2022, Legasi Yang Bertambah Baik

Alza 2022 ni dah agak lama launching, tapi aku tulis juga untuk kenangan dalam blog aku. Berbaloi untuk aku tulis memandangkan model baru ni jauh lebih baik dengan penambahan-penambahan sistem keselamatan termaju.
Bila sebut pasal Alza, satu benda saja yang mungkin jadi penanda aras kenapa dia masih diterima masyarakat walaupun sehingga ke akhir produksi; ruang dan reliabiliti.
Alza mula dilancarkan sekitar tahun 2009 dan penerimaannya amat baik memandangkan masyarakat kita suka benar kereta yang banyak seat walaupun sekadar untuk kegunaan harian pergi balik kerja.
Faktor utamanya adalah kelasakannya dan praktikaliti. Walaupun spesifikasinya biasa-biasa saja, masyarakat kita ni mudah; asal  mekanismanya boleh bekerja dengan baik sudah cukup memadai.
kredit gambar Paultan.org

Kenderaan yang cukup diterima di Malaysia ni bagaimanapun ditamatkan hayatnya untuk memberi laluan kepada model serba baru yang dilengkapi jajan-jajan moden dan enjin baru.
Dari segi trenkuasa, Alza 2022 menerima enjin 2NR-VE Dual VVTi-i 1.5 liter yang mampu mengekstrak 105hp dan 138Nm tork. Kecil saja angkanya,even dibandingkan dengan 3SZ-VE yang menghuni enjin bay Myvi aku sekarang. Angka-angka ini sinonim dengan Perodua walaupun aku amat-amat berharap Perodua memecah tembok sempadan bawah 110hp untuk kenderaan keluaran mereka. Saiz-saiz MPV aku rasa kuasakuda sekitar 138-140hp dan tork 170-200Nm semestinya lebih enak dipandu.
Tapi itu cuma anganan saja,mungkin selamanya Perodua akan kekal dengan angka sebegitu. 
Bagaimanapun sistem transmisi telah dinaiktaraf daripada 4AT kepada D-CVT untuk penjimatan bahanapi dan pecutan yang lebih baik. 
Nak tau jimat tak jimat mudah je, kau drive sampai 110kmj, kau tengok berapa rpm enjin masa tu. Kalau bawah 2000rpm,serius jimat.
Untuk sistem brek, Perodua menampilkan brek cakera depan dan belakang, buat pertama kalinya untuk rangkaian kenderaan Perodua. Pakai gelendong tak best kan, haa sekarang dah dapat brek cakera. Brek cakera ni bagi aku satu je bagusnya,mudah diselenggara. Kau cuba tukar brake shoe gelendong, penat dia rasa macam nak bergaduh.
Penggunaan brek cakera belakang ni aku rasa ada kaitan dengan brek parkir elektronik (EPB). 
Ditambah lagi dengan platform baru DNGA, sistem kendalian kereta Perodua terbaru tidak lagi berupa sampan. Some said ia cuma placebo, tapi bagi aku yang amat-amat masak dengan kendalian Perodua lama, aku yakin pengendaliannya jauh lebih baik.
Beralih ke bahagian kabin, sistem audio menggunakan panel skrin floating 7 inci dilengkapi Android Auto dan Apple CarPlay, ASA 3.0 yang lebih baik, kamera panorama 360° dan meter digital yang berkongsi dengan Ativa.
Perodua juga mendengar komplen netizen berkenaan ketiadaan aircond vent untuk baris belakang. Nah! Model 2022 dilengkapi dengan vent dan blower siap cooling coil didalam ya. Tak main la sekadar blower semata-mata. Cup holder dan port USB pun banyak, sesuai dengan kehendak masakini.
Seat baris kedua menggunakan sistem tumble untuk memudahkan penumpang baris belakang memasuki kenderaan dan ruang kaki mencukupi serta penyandar boleh laras untuk lebih keselesaan. Ruang kargo juga amat fleksibel dan jauh lebih luas dari model 2009.
Tiga model ditawarkan X,H dan yang teratas AV, lebih bijak jika dipakejkan sekali dengan kit badan GearUp yang nampak cantik dan tidak keterlaluan.
Harga bermula dari RM62,500 sehingga RM75,500. Mahal?Tak mahal mana kalau kau tengok jajan-jajan yang dia bagi. Alza high spec model lama pun cecah RM72k masa launching dulu kalau tak silap aku. 
Cuma bila baca komen-komen netizen buat aku rasa sedih sikitlah sebab bukan pasal kecaman, tapi sebab ada lagi yang tanya pasal keupayaan naik Genting. Dah 2022 ni, come on la.
Kau tengok sendirilah video Abg Gan bagi Alza 2022 dia kena lenjan dengan YS Khong siap full load.



Isnin, 18 Julai 2022

Kekili Baitcasting atau Spinning untuk Kolam Air Masin?

Ini adalah artikel ke 889 dalam blog aku, dan yang ke-14 streak tanpa henti tentang postingan memancing,haha!Nasib la korang.
Tulisan harini aku nak tulis pendek je kot berkenaan pendapat aku tentang perbezaan penggunaan reel baitcasting (BC) dan spinning di kolam pancing air masin.
Ni pendapat peribadi aku lah ya? Mungkin ada sesetengah orang yang tak bersetuju.
Aku berpendapat reel spinning lebih sesuai bermain kolam air masin disebabkan sifatnya yang 'multi tasking'.
Setuju?

Kalau tak setuju, tak apa. Ada 888 tulisan aku yang lain untuk dibaca. Jika bersetuju, teruskan baca perenggan seterusnya.

Alkisahnya begini; semalam aku masuk kolam pancing Sealion 3A sesi pagi, dari jam 9am - 2pm.
Biasanya sesi pagi ni meriah sikit sebab ikan lapar. Tapi semalam lain macam betul.
Pertamanya aku perhatikan orang tak ramai sangat macam selalu. 
Kedua, ikan malas nak makan.
Bab ikan malas nak makan ni agak pelik sebenarnya. Daripada pemerhatian aku ada sesuatu yang tak kena. Sebelum ni ikan yang berjaya dibawa naik selalunya kerapu hibrid, jenahak dan MJ. Terlalu jarang aku tengok siakap bagong berjaya didaratkan.
Tapi semalam lain sikit. Spesies yang berjaya didaratkan cuma MJ dan siakap. Dalam sebaris pemancing yang sama side kolam dengan aku, cuma dua pemancing yang berjaya bawa naik 4-6 ekor ikan setiap seorang.
Hampir kesemua MJ dan cuma seekor siakap. Bayangkan 5 jam ikan ketuk pun tak ada. Sedangkan setiap satu jam ikan dilepaskan sebanyak 100 ekor. Misteri betul kejadian semalam.
Dua pemancing yang berhasil mendaratkan ikan 
menggunakan teknik yang berbeza iaitu seorang casting-seret dan seorang lagi pelampung. Kedua-duanya menggunakan reel spinning.
Jadi apa kaitannya dengan jenis reel yang aku nak cerita ni?
Semalam aku bawa dua set pancing; Shimano Stradic ( spinning ) dan ATC Combat V2 + shallow spool ( baitcasting ). Antara dua ni aku pilih pakai satu je iaitu ATC Combat V2 sebab set baru kan, nak test dululah.
Sejam pertama aku main casting, tak ada masalah dengan jarak casting cuma agak kerap berlaku birdnest bila pakai umpan potongan ikan. 
Selebihnya aku banyak parking, main bottom sebab penat woi casting guna reel berat + rod 6'9". Aku imagine, katakanlah kalau setup yang aku pakai ringan sekalipun, aku tetap rasa set BC kurang sesuai untuk main game panjang.
Bayangkan 5 jam kot, mampu ke kau non stop casting 5 jam? 
Kemudian satu problem lagi teknik pancingan dan mood ikan yang berubah-ubah. Ada masa dia bottom rancak,pelampung pun rancak. Selalunya castinglah paling rancak sebab skil umpan cari ikan.
Tapi semalam lain. Ikan yang nak menjamah umpan cuma MJ dan teknik yang berkesan ialah teknik pelampung. Bila kau bawa set BC, apa kejadahnya nak main pelampung? Nak main bottom pun tak kena juga sebenarnya.
Kat sini lah kita akan sedar limitasi reel BC iaitu tidak 'multi purpose'. Dia cuma sesuai untuk casting sahaja.
Berlainan dengan reel spinning. Nak main teknik casting? Tak ada masalah. Boleh je sebab kat kolam tak perlukan accuracy. Open area kan, bedal jela jauh mana kau nak baling. 
Teknik pelampung? Pun tak ada isu, reel spinning tak akan buat tali kau membihun bila cast umpan berat dengan perambut panjang.
Apatah lagi teknik bottom. Memang kerja dialah.
Disebabkan mood ikan makan berubah-ubah, maka kita perlu bersedia dengan pelbagai teknik pancingan yang paling mujarab ketika itu. Dan reel yang sesuai untuk dilenjan pelbagai teknik sudah semestinya reel spinning.
Jadi, untuk pemancing-pemancing baru yang target untuk bermain kolam, jangan ghairah membeli reel BC. Memang nampak hensem pakai BC bila strike ikan, tapi percayalah strike ikan banyak tiap kali turun memancing jauh lebih hensem. Reel BC tu simpan jela untuk trip-trip sungai dihutan,lombong atau jigging.
Ni nasihat untuk diri aku juga ni. Bila turun memancing kolam air masin, stick to spinning reel. Beli reel yang padu-padu sikit spesifikasinya asal jangan terlalu besar. Saiz 1000 - 3000 dah memadai.

Sekian.