Isnin, 12 September 2022

Ujian Lapangan Perambut Anti Kumpau

Kali ni aku nak tulis tambahan sikit kepada beberapa posting sebelum ni, pertamanya tentang custom rod iaitu memotong butt rod jigging untuk kegunaan kolam air masin dan juga perambut toyol anti kumpau dalam posting lepas.
Aku ada tuliskan haritu berkenaan projek aku mengerjakan rod Bullzen Brutal Monster Iguana Elite PE1-3. Jumlah kepanjangan yang aku potong sekitar 3 inci sahaja menjadikan panjang keseluruhan berkurangan daripada 6 kaki kepada 5 kaki 9 inci.
Tujuannya bukan apa, kalau butt panjang, butt akan sangkut kat perut.Susah nak buat cast. Ok, bila dah pendek, adakah pengurangan panjang ni akan menjejaskan jarak lontaran?
Seimbas lalu mungkin ya, tapi bagi aku tak begitu menjejaskan.
Casting menggunakan pergelangan tangan sebagai fulcrum point, atau titik tengah untuk menghayun pancing. Titik tengah ni adalah pada reel seat.Atau lebih mudah difahami lagi ialah, jarak efektif cuma dari tempat kita menggenggam rod (reel seat) hingga ke tip rod.
Yang memberi kesan besar terhadap jarak casting adalah sekiranya kita mengalihkan posisi reel seat. Jika sekadar memotong butt dan jarak antara reel seat dan tip rod masih sama, seharusnya tidak banyak kesan ketara.
Mana ada orang pegang betul-betul kat pangkal rod masa buat casting kan? Macamana dia nak kepit mainline masa mula cast betul tak? Sebab tu ada yang buat handle joran pendek serupa hulu parang. Dari segi artistik mungkin pada dia nampak cantik, dari ergonomik dan praktikaliti tak ada. 
Butt rod tu ada gunanya. Masa pam ikan, butt rod duduk betul-betul bawah lengan supaya pergelangan tangan tak terseksa tahan beban. Kalau pergelangan tangan semata-mata jadi fulkrum dan berkerja penuh tanggung beban, sakit mattt! Ikan kecik boleh la.

---------------------------
Kedua berkenaan perambut toyol yang aku kongsikan pada posting lepas. Dalam ujian lapangan terbukti tidak kumpau. Ujian pertama di kolam air masin Kg.Delek. Sebaik saja siren dibunyikan, tiga kali umpan ditemui ikan dalam masa kurang 10 minit. Dua sambaran pertama melepas sebab aku tak pandai main siakap. Hookup cepat sangat. 
Kali ketiga aku betul-betul bagi dia sedut dan berjaya dibawa naik.
Ujian kedua dilakukan di kolam air masin Gansaan. Kat sini memang sesuai nak uji teknik kau berkesan ke tidak sebab kolam ni bukan jenis lepas ikan banyak tiap-tiap jam. Aku anggarkan sekitar 30-40 ekor saja. Bahagi dengan jumlah pemancing, kalau kau dapat hookup 5 ekor dah kira sifu la.
Aku berjaya menaikkan GT seberat 3.05kg dan ikan merah seberat 2.245kg, satu strike lagi lucut. Ujian aku simple je, bila diorang lepas ikan aku cast berdekatan sangkar dalam jarak 5-7 meter dan ikan berjaya menjumpai umpan aku. Sedangkan masa tu beberapa pemancing pun parking umpan diorang ditempat yang sama.
Ujian ketiga juga di kolam air masin Gansaan Sabtu lepas.
Strike pertama ikan bawal yang lariannya mirip GT menjamah matakail Fire Eagle Hosoji-Mutsu saiz 2/0 berumpankan udang kopek. Anggaran berat sekitar 1.5-1.7kg.

Strike kedua ikan merah yang membawa lari umpan/batu ladung aku yang tersangkut. Masa tersangkut ni aku tak paksa tarik so aku biarkan saja umpan terapung-apung 1 kaki dari dasar kolam. Dalam beberapa minit saja umpan dijumpai ikan merah dan melepaskan batu ladung yang tersangkut tadi. Selesai masalah sangkut, ikan pun dapat.
Strike ketiga macam biasa, parking umpan berdekatan sangkar masa pekerja lepaskan ikan. Larian pertama aku hookup tapi rasa kosong, kemudian lepas tu aku masih rasa ada ragutan. Aku biarkan lagi beberapa saat ternyata ikan membawa lari umpan dan yess hookup kemas didalam tekaknya. Seekor jenahak skala 1.3kg berjaya ditewaskan.
Dari pemerhatian aku, kolam Gansaan ni ikan tak berapa banyak sebab hanya frenzy bila ikan dilepaskan.Tapi dengan persembahan yang betul, kita bantu memudahkan ikan jumpa umpan kita.
InsyaAllah kalau tak ada aral, aku akan uji kali keempat di pembukaan semula Kolam Air Masin Sealion 3A minggu depan. Khabarnya 1500 ekor ikan akan dilepaskan sepanjang hujung minggu. Jika berjaya, aku berpuashatilah dengan kajian dan eksperimen aku ni. Modal banyak untuk test perambut ni hasil pemerhatian berbelas-belas trip. Kalau nak ubahsuai pakai ladung berat pun tak ada masalah asalkan guna teknik batu hidup.

Tiada ulasan: