Selasa, 13 Disember 2022

ATC Combat CF50/51 BFS ; Adik Bongsu Siri Combat

Aku terjumpa satu reel dari ATC yang agak menarik juga tapi macam biasalah reel ATC ni amat sukar untuk dicari review yang ekstensif samada dalam bentuk penulisan atau video. Ada la aku jumpa satu video review yang agak complete, malangnya dalam bahasa Siam. Subtitle tak ada pulak tu.

Ok, reelnya adalah ATC Combat CF BFS 50/51. Reel baitcasting siri Combat ni bukanlah baru pun, ianya dilancarkan sekitar setahun yang lepas. Aku je yang tak perasan kewujudannya sebab bilangan yang dijual agak terhad dan kurang review yang macam aku cakap tadi lah.

Dari segi rupa design reel ni agak nice and clean dengan skema warna yang selamat. Tidaklah fancy dan kelihatan seperti reel murah buatan China, tapi pemilihan tema selamat ni kadangkala agak merugikan sebab tak nampak menarik. Hanya pengguna tegar yang kenal jenama ATC tahu menilai kelebihan jenama ni. Bab kosmetik aku rasa ATC boleh mencontohi/belajar dari Kastking. 
Walaupun dikilangkan di China dengan kos jualan yang rendah, reel Kastking pertengahan diberikan finishing yang cantik, material yang premium, skema warna tidak berlebihan dan kemasan cetakan informasi pada reelnya cukup jitu. Bagaimanapun reel ni tidaklah hodoh, dia cuma macam kereta Yakuza kot, gelap semacam. Kau orang tengoklah barang ATC mana ada yang fancy-fancy. Kilang dia ada cat hitam je.
Rekaan thumb bar diberikan sedikit rupa yang tidak simetri dengan badan reel. Senang cakap macam thumb bar Shimano Metanium DC lah. Dia offset ke arah handle. Benda-benda tak simetri ni adakalanya nampak cantik kalau kena pada tempatnya. Kecuali frame Shimano Antares. Buruk ya amat! Dah la design plain,warna chrome, senget pulak tu. Nasib baik kau barang bangsawan.

Berbalik kepada ATC, ia didatangkan dengan kayuhan kiri dan kanan, ATC Combat CF BFS bersaiz kompak dan ringan ni berfokuskan game Medium ke Medium Heavy. Beratnya cuma 160 gram hasil penggunaan material binaan serat karbon dan juga diberikan carbon fibre handle. Sebab tu nama dia ada CF.
Manakala BFS pula bermaksud bait finesse yang merujuk kepada permainan umpan ringan; senang cerita macam ultralight game lah. Spoolnya cetek untuk memuatkan tali berkekuatan rendah sekadar mencukupi untuk jarak balingan yang dekat. 
Tapi yang bagusnya ATC ni dia suka buat reel baitcasting yang multi purpose. Selain spool cetek BFS, spool standard juga diberikan yang boleh memuatkan tali setebal 0.2mm sebanyak 120 meter. Cukup banyak dah tu. Braided 8x yang baru-baru dipasaran saiz 30lb pun cuma setebal 0.18mm sahaja. 150 meter should be no problem aku rasa.

Untuk nisbah gear cuma diberikan satu ratio sahaja iaitu 6.6 : 1 dan satu pusingan handle akan retrieve mainline sebanyak 68cm. Karauannya tidaklah laju, tapi ada sikit kekuatan tork disitu. Drag berbilang cakeranya pula berkekuatan sekitar 5kg, which is cukuplah untuk permainan sederhana berat. Tak lupa juga ciri yang agak jarang ada pada reel baitcasting iaitu drag clicker dibekalkan standard bersama reel. 
Factory design siap dengan drag clicker ni jauh lebih baiklah daripada drag clicker aftermarket sebab banyak kes-kes kekuatan drag reel baitcasting menurun apabila dipasangkan drag clicker. Kosnya juga agak tinggi sekitar RM60-80 ringgit tak termasuk upah pemasangan.
Cuma dari pengamatan aku, bunyi drag clickernya tidaklah nyaring, macam dengar- tak dengar je bunyinya. Kalau ikan yang tarik tak tahulah audible ke tidak. Nanti aku test dulu.
Sebelum terlupa, aku perasan tombol star drag reel ni nampak macam materialnya CFRP. Nak kata full carbon macam handle tak juga. Ringan tapi kurang menyerlah. Sikit yang aku nak komen ialah tombol star drag ni wobbly. Tak fit. Fungsinya untuk melaras drag tak terjejas cuma itulah,rasa loose-loose ni tak bestlah. Macam reel murahan Shopee pulak.

Sistem brek masih lagi menggunakan brek magnet tradisional, teknologi lama tapi masih relevan digunakan dan mudah diselenggara. Tak lupa juga line guidenya berbentuk segitiga ( Open-Frame V Shape Line Guide ) seperti abang-abang besarnya untuk mengurangkan rintangan casting.

Dari segi harga, ATC Combat CF BFS boleh dikatakan sederhana dan berpatutan dengan apa yang ditawarkan. Ok lah kot dapat dua spool, drag clicker lagi. Dua benda ni je kurang-kurang bernilai RM100-120.
Tinjauan aku di Shopee dan Facebook harganya berada dalam lingkungan RM415 hingga RM470. Seller yang jual RM415 tu tak payah carilah, memang dah habis stok. 
Ringkasannya aku listkan dibawah :

+ extra BFS spool
+ drag clicker
+ kayuhan lancar dan halus
+ 9 + 1 stainless steel ball bearing
+ lightweight (160gram)
+ rekabentuk kompak
+ harga berpatutan

- sukar dijumpai terutamanya kayuhan kanan 
- tipikal ATC, kedekut dakwat printing tampo
- bunyi drag clicker kurang jelas
- tombol star drag tak kemas, wobbly orang putih cakap
- sistem brek magnet tradisional
- Amat kurang review/informasi. Website atcfishing.com pula selalu under maintenance

Aku cuba hubungi alamat emel yang diletakkan pada akaun Instagram @atcfishing ,malangnya alamat tersebut tidak dapat dijumpai. Senang cakap emel aku tu tak sampailah. Bab ni aku rasa ATC sangat-sangat perlu ambil berat kalau nak bertahan lama dalam industri. Website down tu dah satu hal,nak contact pun susah. No wonder lah ramai agak ragu-ragu nak pakai barang ATC walaupn barang dia bagus-bagus. In case ada part yang rosak atau nak claim warranty, pishang mat.

Tiada ulasan: