Sambil-sambil aku rajin nak menulis, aku key in jela apa yang aku nak tulis sekarang. Korang jangan menyampah pulak. Aku tengah gila memancing ni.
Penulisan ni cuma sekadar perkongsian dari pengalaman aku yang tak seberapa. Tulisan ni lebih kepada perkongsian untuk orang yang tak tahu apa-apa pasal tali pancing. Yang dah expert sila pergi ke aplikasi TikTok.
Zaman-zaman awal aku memancing dulu, tali utama yang aku pakai biasanya ialah tali monofilamen. Orang senang faham kalau disebut tali tangsi. Tali tangsi ni kira tali paling asas la dalam sukan memancing. Untuk yang baru nak menceburkan diri bidang memancing, tali ni paling murah dan mudah diurus.
Karekteristik tali tangsi ni bersifat lutsinar dan elastik. Macam ada spring. Kalau kita regangkan dia, tali ni akan memanjang dan kembali ke kepanjangan asal bila dilepaskan.
Sifat elastik ni ada kelebihan dan kekurangan. Jika dikenakan kejutan, ia mampu menyerap kejutan dan mengelakkan daripada putus.
Tapi jika tersangkut di dahan pokok atau ranting kayu didalam air, amat bahaya bila kita cuba tarik. Sifat springnya mampu menerbangkan batu ladung atau swivel pada kelajuan tinggi. Kalau terpelanting kena tanah tak apa, kalau kena mata? Pecah bijik mata mat!
Bagaimanapun tali tangsi ni masih banyak kegunaan lain yang bermanfaat. Sebab tu masih wujud di pasaran. Kebiasaannya untuk big game atau koyan.
Tali sulam atau braided. Tali utama jenis sulam ni agak lama juga dah ada dalam market, cuma aku agak lambat pakai sebab masa tu kewangan tak mengizinkan.
Tali sulam diberi nama berdasarkan teknik pembuatannya yang menggunakan kaedah sulaman sepertimana tali cord pendaki gunung. Beberapa lembaran halus digabungkan untuk menghasilkan tali berkekuatan tinggi. Kelebihan tali sulam ialah nisbah kekuatan vs. diameter yang tinggi.
Maksudnya untuk kekuatan 20lb,tali sulam cuma berketebalan 0.15mm(contoh),dibandingkan tali tangsi setebal 0.35mm untuk kekuatan yang sama. Tali yang lebih halus bermaksud lebih banyak tali dapat dimuatkan kedalam spool berbanding tali tangsi.
Ada beberapa kategori sulaman contohnya 4X,5X,8X,12X dan yang paling banyak aku dengar 16X. Angka-angka ni merujuk kepada jumlah lembaran yang digabungkan menjadi satu.
Makin tinggi jumlah lembaran digunakan,makin mahal tali sulam tersebut. Simple matematik. Dalam banyak-banyak jenis ni tiga jenis tali sulam aku dah pakai; 4X, 5X dan 8X.
Ketiga-tiga jenis tali ni ada karekteristik yang sedikit berbeza. Semuanya lembut dan mudah tenggelam dalam air, tapi tali 4X dan 5X sedikit kasar permukaan talinya. Jika dipegang kita tak rasa sangat, terutamanya jika kita tak pernah menyentuh kehalusan permukaan tali sulam 8X. 'Kekasaran' tali 4X ni hanya kita sedar bila kita membuat karauan berat. Maksudnya mengarau semasa perlawanan dengan ikan besar.
Seahawk Gachiri X4 |
Permukaan tali sulam 4X yang bergesel dengan seramik ring guide akan menghasilkan bunyi umpama tali tu sedang menggergaji permukaan ring guide. Kebiasaannya tiada kesan yang ketara sebab seramik guide ring memang tahan geseran, cuma kita akan rasa macam reel pancing kita yang kasar. Sebenarnya tidak. Bunyi-bunyian kasar tu datang dari tali sulaman.
Tali 5X pun lebih kurang juga karekternya dengan 4X. Kalau diteliti betul-betul, 5X jenama Lemax ni sulaman dia lebih kasar berbanding 4X Seahawk Gachiri. Talinya kuat, tapi kalau tarik tali sulam ni bila sangkut, pastikan pakai glove. Makan tangan ooo!
Lemax X5 PE braid 25lb |
Berbanding dengan tali 8X, permukaan braided 8X lebih halus dan licin disebabkan lembaran yang disulam jauh lebih halus dan rapat.
Kastking Mega 8 |
Masa tali ditarik keluar ataupun semasa kita membuat karauan, terasa macam pakai equipment yang premium. Smooth, lancar dia lain sikit. Tak ada bunyi-bunyi yang merisaukan.
Cumanya barang yang terasa premium didatangkan dengan harga yang premium juga. Contohnya Gachiri 4X berharga sekitar RM11 untuk 100 meter. 300 meter berharga RM33.
Manakala tali Kastking Mega 8 (8X) berharga RM69 untuk 274 meter, begitu juga dengan Gachiri 8X 300 meter berharga RM75. Dua kali lebih sulaman pada harga lebih kurang 120% lebih mahal.
Baik 4X atau 8X, ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Kelebihannya 8X aku dah tuliskan kat perenggan atas tadi. Kekurangan 8X pula ialah lembaran halus bermakna ia lebih senang berbulu/putus akibat geseran. Kontra dengan 8X,4X pulak lebih tahan geseran.
Jadi setiap tali perlu digunakan mengikut padang pancingan masing-masing. Kawasan berbatu sebaiknya pakai 4X dan kawasan yang lapang seperti kolam pancing contohnya sesuai pakai 8X.
Kedua-dua jenis braided ni atau apa kategori braided sekalipun tidak akan mampu menyerap kejutan sebaik monofilamen. Sifatnya yang tidak bermemori merupakan satu kelemahan juga selain dari fizikal tali sulam yang tidak transparent didalam air.
Untuk mengatasi kekurangan tali sulam, pemancing digalakkan menggunakan shock leader, atau sambungan tali mono/fluorokarbon dibahagian paling hadapan. Shock leader berperanan menyerap kejutan dan juga menyembunyikan kewujudan tali sulam berhampiran umpan.
Shock leader kebanyakannya dibina dengan 80% fluorokarbon bersifat sedikit bermemori dan agak lembut. Kadang-kadang berkedut selepas dibuat knot dan ada juga yang terlalu elastik. Jenis 80% fluorokarbon masih lagi boleh dikatakan murah, berharga sekitar RM10 untuk 50 meter.
Shock leader 100% fluorokarbon pula sedikit keras, agak sukar untuk dibuat knot. Tapi sifatnya cuma sedikit elastik dan sangat kurang memori. Maknanya jika tali berkedut, kita cuma perlu regangkan dan ia akan kembali lurus. Harga pula berbeza-beza mengikut jenama, kebiasaannya lebih mahal dari 80% fluorokarbon.
Contoh yang aku pakai sekarang ialah Bullzen DFC 50lb 80% fluorokarbon 50 meter berharga cuma RM10, manakala Mustad Shock Leader 30lb 100% fluorokarbon 50 meter berharga RM43.
Jauh beza harganya kan? Apapun yang lebih mahal selalunya berkualiti lebih baik dari yang biasa. Jika ada bajet, cubalah pakai asalkan jangan sampai membebankan poket.