Sabtu, 11 Jun 2022

Seahawk Lite Pro SW 800 ; Kekurangan Yang Aku Tak Boleh Terima

Benda yang aku nak tulis ni sebenarnya aku dah ulas tahun 2014 dulu, boleh refer posting lama aku pasal Kepentingan Line Roller Bearing . Mesin yang aku ulas tu pun mesin lama dan MURAH. Tak sangka dah hampir separuh tahun 2022 ni aku boleh jumpa benda bodoh ni lagi.

Dalam keghairahan aku menambah koleksi joran, salah satu kategori yang aku nak simpan juga ialah set ultralight. Set ultralight ni boleh tahan gila juga orang main pam ikan besar. Modus operandinya mudah; gunakan set yang seringan mungkin untuk memancing ikan bersaiz sederhana besar. Set yang biasa orang pakai ialah kekuatan tali utama antara 1 - 6lb, reel bersaiz 500 - 1000 dan rod ultralight yang kebiasaannya ialah single piece solid rod. Itu orang lain punya set up.

cantik tapi sayangnya ada major flaw

Set up aku tak ada la ikut orang sangat, reel saiz 800 iaitu Seahawk Lite Pro SW, rod solid butt joint dari Eupro UL Madness dan juga mainline 8lb Asuka Bravo X8 + leader Asuka Ghost Vanish 100% fluorocarbon 15lb. So far nampak set up ni dah cukup seimbang walaupun aku tak pernah guna langsung sejak dibeli sekitar pertengahan bulan April 2022. Set utralight ni semuanya aku beli dari Shopee,pusat membeli belah masakini.

Sebelum ke point sebenar posting ni, mari berkenalan dulu dengan reel comel yang nampak fancy sangat.

Berat : 163g, Drag : 2.75kg, Bearing : 7 + 1, Ratio : 4.8 : 1, oversized main shaft dan sealed drag knob. Selebihnya ialah feature kosmetik yang aku akui nampak cun betul dalam gambar.

Malam tadi aku saja la kayuh-kayuh sikit sambil berangan layan ikan. Sesekali aku tarik line keluar dari spool just nak rasa drag dia macamana. Kemudian aku perasan satu benda yang aku cukup tak puas hati.

Line roller tak berpusing!

Cepat-cepat aku cari kotak dia dan check diagram. Tak puas hati dengan diagram aku buka assembly line roller pulak. Sah! memang tak ada bearing!


Aku roger adik aku kat kampung dan dia check Seahawk Lite Pro 800 dia. Confirm ada bearing. Seahawk Lite Pro (tanpa SW) dikeluarkan ke pasaran lebih awal pada harga RM139. Manakala Lite Pro SW yang aku pakai ni dijual pada harga RM200. Tak murah beb untuk reel bersaiz 800 dari jenama tempatan.

Sekarang ni aku nak penjelasan Seahawk, kenapa part yang kritikal ni tiada bearing? Takkan pembuat peralatan pancing tak tahu menganalisa movement,load dan tension pada reel diorang? Dengan harga RM200 nampaknya reel Lite Pro SW ni cuma semata-mata kosmetik tanpa memfokuskan performance.

Team Seahawk baca apa aku tulis ni. Bahagian line roller adalah bahagian yang menerima beban terbanyak ketika pertarungan dengan ikan berlaku. Bila line roller tak bergerak akibat tegangan tali utama, tali akan bergesel dan seterusnya memotong line roller tadi dalam jangkamasa panjang. Ini perkara asas yang korang confirm tau tapi diabaikan.Mungkin korang rasa pengguna tak perasan sebab reel ni kecik je.

No. Aku beli dengan harga RM200 kot. Tak ada alasan untuk korang buang line roller bearing ni.

Diatas kertas, reel ni dilengkapi 7 bearing dan hasil semakan diagramnya, dua bearing diletakkan pada tombol handle. Selebihnya aku malas nak tengok dah dimana diorang letak.Bearing yang banyak tanpa diletakkan pada tempat yang betul hanya menambahkan kos tidak tentu hala.

Kalau justifikasi diorang kapasiti reel yang kecil beban pada line roller bearing tidak signifikan, kenapa versi awal Lite Pro boleh diletakkan bearing dan dijual dengan harga jauh murah? Aku sangat sensitif dengan line roller bearing ni sebab ada pengalaman main reel murah. Purposenya sama je untuk memancing, tapi reel murah takde bearing line roller tu harga dia cuma RM50, suku dari harga Lite Pro SW. Baca link story lama yang aku tulis dulu.

Korang yang beli reel dikedai, tak kiralah brand apa pun, harga macamana sekalipun check dulu part penting ni.Bukan kena buka pun reel tu, just check diagramnya. Kalau tak ada tak payah beli. Tak kira la reel tu berjenama besar atau lawa sekalipun. Korang pam ikan nanti korang menyesal.

Seahawk, tolong perbaiki reel korang ni.Pegi ambil satu sampel dan test pam beban,sedap ke tidak kayuhannya. Bandingkan dengan Lite Pro 800 lama. Aku suka barang Seahawk ni terutamanya rod pancing dia. Ni first time aku beli reel Seahawk dan nampaknya trauma la jumpa reel macam ni. Dah la aku target nak beli reel BC Barricade SW. 

Admit your mistake and fix it.







Rabu, 8 Jun 2022

Modifikasi rod Bullzen The Joker Limited Edition 2022!

Hasil kejayaan aku meng'custom' rod Bullzen Iguana Elite yang baru dua hari dibeli, adik aku jadi tak senang duduk. Balik rumah agaknya ligat dalam kepala macamana nak pendekkan rod Bullzen The Joker.
Telahan aku betul.

Malam semalam dia on terus projek buang sikit butt rod baru dia.

Sikit pengenalan dengan rod Bullzen kolaborasi Warner Bros 'the Joker' Limited Edition 2022. Rod one piece ini dibuat sebanyak 10,000 unit sahaja kalau tak silap lengkap dengan nombor siri. Dibina dengan material HDCC3 (High Density Carbon Composite Gen3), drag rod 30kg,Sea Guide ring, kemasan2 logo Joker dan compressed cork butt. Rod ni memang cantik dan adik aku beli spec PE1-3. Harganya RM398.
Sama juga isunya dengan rod Iguana aku, adik aku berhajat nak pendekkan sikit butt rod supaya selesa bermain casting kolam.
Jangan buat pelik ye, dia ada banyak rod casting tapi gatal tangan nak custom barang limited edition.Padahal last week dia baru beli rod Senses Counter Blow TR yang dipadankan dengan reel BC 13 Fishing Concept Z SLD.


Malam semalam dia whatsapp aku projek dia.
Ni aku kongsikan proses menjahanamkan barang limited,haha!
marking dulu bahagian mana yang nak dibuang

kasi kukus daaa

compressed cork berjaya ditanggalkan dengan jayanya

potong bahagian bawah rod lebih kurang 3 inci,potong cork bagi ngam tulisan the Joker duduk tengah-tengah, sapu epoxy pada rod dan slide masuk cork butt. Selesai

Rod Bullzen Iguana Elite custom (kiri) dan Bullzen the Joker custom (kanan)

Modifikasi the Joker tak memerlukan kemasan semula memandangkan bahagian yang dipotong tak mengganggu cincin kemasan pada bahagian atas cork butt.Aku tak tau nama dia apa daaa..
Manakala untuk rod Iguana Elite,sedikit kerja2 merapikan rod perlu dibuat.Kemasan cincin logam dibahagian atas butt EVA foam perlu dililit semula benang dan disapu epoxy. Aku pilih warna emas sebagai tanda dia adalah Iguana Elite Limited Edition 5'9" yang aku sorang je ada,hahahah!


Ahad, 5 Jun 2022

Kisah Storm Adventure X, Eupro Twister dan Bullzen Iguana Elite

Lepas aku beli rod baitcasting Storm Discovery, aku mula memikirkan satu rod 2 piece untuk dipadankan dengan reel Shimano. Buat masa ni reel Shimano dipadankan dengan rod Team Seahawk Kingdom Xtreme. Rod ni bagus,cuma kombinasi butt jointnya agak menyulitkan untuk aku muatkan kedalam Myvi King.
Jadinya aku cuba survey2 rod spinning 2 piece yang berkekuatan 10-20lb.Entah macamana aku beli rod Storm Adventure X AXS662MH. Kombinasi ni nampak macam sesuai sehinggalah satu hari aku cuba lenturan rod Adventure X untuk menetapkan drag Shimano Stradic. Tarik punya tarik, prapppp!!
Rod patah di bahagian lebih kurang 1½ kaki dari tip.Masa aku cuba lenturkan rod tu,bahagian tengah tip yang melentur dengan ekstrim. Dari bentuk lenturan juga aku nampak rod Adventure X ni dibina untuk Fast Action. Rod ni patah tanpa sempat dibawa untuk diuji ke kolam pancing.
That's it....aku tapekan bahagian yang patah dan simpan. Aksesori cincin dan reel seat Fujinya masih boleh dimanfaatkan untuk projek custom rod misalnya.
Jadinya hujung minggu tu terpaksalah pakai dulu rod Seahawk Kingdom.

Rod penggantinya adalah rod murah dari Eupro, bajet dah tak berapa nak ada ni kena bercatu sikit. Aku pun beli la rod Eupro Twister TS602 10-25lb 2 piece spinning type.
Rod ni murah je harga dia,sekitar RM120-130. Dari segi aksesori dan buatannya boleh la.Cincin dan reel seat pun tak ada brand, rod tak ada Xwrap. Tapi alignment backbone dia cantik. Bending rod pun nampak macam medium action.
Prestasinya di padang pancing belum teruji,tapi nampak boleh tahan la. Aku cuba matchingkan dulu dengan reel Stradic.
---------------------------------------

Minggu lepas adik aku borong reel 13 Fishing Concept A3. Asalnya dok melayan video gasak kolam. Youtuber tu introduce la setup dia. Masa tu baru je tau brand 13 Fishing ni. Boleh tahan keras bai harga dia.Average market price lebih kurang RM900.
Reel baitcasting ni agak berat,aku tak ingat berapa tapi berat la dari kebanyakan BC reel. Ratio karauan laju,8.1:1 dengan drag 40lb. Reel ni dipadankan dengan rod spec jigging one piece Bullzen The Joker Limited Edition PE1-3 6 kaki. Mainline adik aku bedal letak braid brand apa tah berkekuatan 40lb juga.
Setup ni agak overkill untuk kolam pancing tapi ikut dia lah,modal banyak,haha! 1st time ujian lapangan di kolam pancing Sealion 3A menghanyirkan setup ni dengan dua kerapu hybrid seberat 3.5kg. Aku yang pakai setup Stradic 5000XG + Seahawk Kingdom Extreme PE1-3 cuma mampu merenung masa depan selama 5 jam!
Balik rumah sambil baring lengan atas dahi,aku mula berkira-kira nak beli rod baru untuk penaik semangat. 
Pusing sana sini dalam Shopee tak jadi kerja juga. Kebetulan adik aku balik Temerloh singgah kedai pancing aku minta dia carikan rod Eupro X Power. Malangnya rod Eupro habis stok. Next choice Bullzen Iguana Elite BSET601C/3 PE1-3.
Rod kelas jigging ni juga binaan one piece,tapi yang paling murah dikalangan adik beradik Bullzen Iguana. Atas sikit dari Iguana Elite ialah Iguana Platinum dan yang atas sekali ialah Iguana Velocity. Murah-murah dia pun koyak jugak RM260.

Bila namanya kelas jigging, butt section dibina extra panjang berbanding kelas casting supaya EVA butt dapat dikepit dicelah ketiak ketika mengepam sasaran yang besar.
Memandangkan rod ni aku akan salahguna untuk buat casting kolam air masin,kepanjangan butt section ni sedikit mengganggu. Lagi satu nampak tak cantik la rod dengan butt section panjang ni. Aku suka rod ni tapi tu la,tak tenang jiwa aku dengan butt section dia.
Selepas mengkaji beberapa video Youtube, aku buat keputusan untuk memotong sedikit bahagian pangkal kira-kira dua inci setengah. Memotong rod bukanlah satu roket sains, yang perlu difikirkan ialah perancangan untuk pakai balik EVA butt asal. Hasil dari kajian video Youtube,aku menemui cara untuk menanggalkan EVA foam tanpa merosakkan rod dan EVA tu sendiri.
Caranya adalah dengan memanaskan EVA dengan wap air panas. Kiranya macam layur la,tapi indirectly. Prosesnya agak memakan masa sekitar ½ jam sebelum gam epoksi lembut dan EVA foam dapat ditarik keluar.
Selesai tarik keluar, terus potong ikut selera masing.Aku tak suka butt pendek sangat,atau terlalu panjang. Itu yang aku buang 2 ½ inci saja bahagian pangkal daripada keseluruhan 6 kaki panjang rod.
rebus atas dapur mak aku

Selesai potong, campur resin dan hardener epoxy pada rod dan masukkan semula EVA butt. Selesai. Hensem terus rod Bullzen Iguana aku.

Mungkin ada yang tanya kenapa tak cari je rod yang memenuhi kehendak aku. So far aku suka dengan spec Bullzen, cuma dalam line up dia tak ada spec casting one piece solid kelas medium heavy dengan panjang 6 kaki.
Benda kita boleh ejas,kita ejas,takde masalah. Dari projek custom ringan ni la mendedahkan teknologi rod HDCC2 Bullzen. Rod yang khabarnya mampu menarik van dan kapal terbang ringan.
Nampak apa isi dia? 
Teknologi ni lebih kurang insirasinya macam pembinaan katana. Boleh rujuk posting lama aku pasal teknik membuat katana.
Bahagian tiub karbon yang keras tetapi rapuh ni dibantu oleh fleksibiliti gentian fiberglass yang fleksibel dan liat. Jadinya teknologi ni memberi manfaat rod kuat dan sensitif tapi cukup fleksibel ketika menerima bebanan.

Selepas dipotong nampak seimbang sikit rupa dia,tapi saiz asal merosot menjadi 5' 8½. Rod kontot ni akan ditugaskan ke kolam-kolam pancing berbayar sahaja. Senang nak cast tak sangkut bumbung.






Isnin, 23 Mei 2022

Shimano Stradic FL 5000XG

Bagi kaki pancing tegar, nama Shimano Stradic cukup dikenali dalam siri kelas pertengahan Shimano. Tapi kalau ditanya apa bezanya secara mendalam dengan reel jenama-jenama lain pada harga sama, mungkin jawapan yang diterima terlalu ringkas seperti reel ni sedap ooo...best pakai, mantap dan sebagainya. Yelah harga dia pun boleh tahan, takkan lah tak sedap pulak. Dari jenama terkenal pula tu.


Ditambah aksesori reel stand dari Gomexus

Stradic FL 2019 boleh dikatakan model terbaru dalam siri Stradic selain dari Stradic Ci4+ dan Stradic SW walaupun usianya dah hampir 3 tahun. Aku tak jumpa lagi Stradic yang lagi terbaru dari varian FL atau mungkin aku terlepas pandang dimana-mana.

Bezanya dengan Stradic Ci4+ ialah binaannya mengekalkan aloi aluminium magnesium manakala Ci4+ pula variasi lain yang menggunakan material grafit yang diperkuat dengan karbon fiber. Kelebihannya berat keseluruhan yang agak drastik lebih ringan berbanding material aluminium magnesium. 

Kalau anda peminat Shimano, ada satu model lagi sedikit diatas siri Stradic FL yang menggunakan material Ci4+ iaitu Shimano Vanford. Dengan beza harga sedikit tinggi sekitar RM100++ anda akan dapat reel lebih ringan,lebih bearing dan dilengkapi spool AR-C. Yang ni aku taknak cerita panjanglah, kang tak jadi aku nak cerita pasal Stradic.

Sedikit sebanyak berkenaan Shimano Stradic FL 5000XG; reel ni seberat 295 gram, dilengkapi 6+1 bearing, Hagane body, cold forged aluminium Micro Module II gear, carbon drag 11kg dan nisbah karauan 6.2:1.

Sebelum siri FL, siri FK menggunakan drag washer dari material felt. Siri FK ni boleh dikenali dengan corak potongan pada spoolnya berbentuk serong, berbanding lurus pada FL. Kemampuan maksimum dragnya pula sedikit kurang iaitu 10kg dan berat keseluruhan saiz 5000XGnya berbanding FL ialah 320gram; 25 gram lebih berat.

........

Satu kelebihan reel Shimano yang kerapkali dihighlight ialah karauannya yang smooth. Dalam Bahasa Melayu maksudnya lancar. Tapi aku tak rasa lancar menepati maksud sebenar smooth. Smooth ni dia gabungan antara kelancaran dan kehalusan. 

Kebanyakan reel murah pun lancar kayuhannya sebab aku biasa dengan jenama-jenama mampu milik. Tak adalah teruk sampai nak kayuh pun susah. Benda ni kita tak dapat bezakan kalau kita tak cuba model-model sedikit high end. Aku pun baru discover erti smoothness feel ni sebenarnya.

Dia ada kaitan dengan kejuruteraan rekabentuk dan material. Walaupun jenama besar selalu bragging dengan jargon-jargon teknikal yang kedengaran hebat atau cuma marketing stunt semata-mata, ada sesetengah jenama yang memang serius dengan teknologi mereka. Macam Micro Module gear ni lah.

Aku ambil contoh paling dekat ialah reel yang aku pakai sekarang. Masa mula-mula pakai reel Abu Garcia Promax 3, bagi aku kayuhannya ok je, ringan dan lancar. Kemudian aku beli pula Kastking Armor X.Harga pun lebih kurang  dengan Promax 3. Sama juga lancarnya dan sepatutnya begitulah.

Tapi bila aku uji sebelah menyebelah, aku perasan satu benda halus yang mungkin susah nak perasan dalam penggunaan biasa. Karauan Promax 3 ada sikit getaran halus berbanding Armox X yang terasa 'licin'. Layout gear reel baitcasting ni majoriti sama je, tapi yang membezakan satu sama lain ialah macamana gigi gear bersentuhan antara satu sama lain.

Dia lebih kurang macam perbezaan gear jenis bevel dan spiral bevel. Kedua-duanya masih menjalankan tugas yang sama, cuma gear bevel biasa agak kasar dan bising, manakala spiral bevel lebih senyap. Gear bevel bekerja dengan sentuhan antara gear berlaku satu persatu, spiral bevel pula bersentuh secara bertindan (overlapped).

Ini yang menghasilkan feel smooth tadi. Benda-benda kecik ni dinamakan teknologi walaupun impak dia tak dapat dilihat ketara, dia bagi feel berbeza. Sebab tu bila orang dah rasa kelebihan reel yang smooth, tak ada nya tiba-tiba dia nak downgrade pakai reel yang biasa.

Tapi bukan setiap masa sifirnya begitu; yang mahal berjenama pasti bagus,kurang terkenal performanya biasa-biasa. Dalam koleksi yang aku ada ni, Kastking membuktikan jenama baru juga mampu memberikan pengalaman terbaik pada harga yang berpatutan. Nanti aku buat artikel khas user experience Armor X.





Ahad, 22 Mei 2022

Kumpau di Kolam Air Masin? Mungkin Ini Jawapannya

Tajuk ni mungkin ayat yang dicari-cari pemancing yang baru berjinak-jinak dengan permainan kolam air masin. Sesetengahnya bukanlah baru menceburi bidang pemancingan. Ada juga yang dah lama terjebak dengan hobi memancing tapi baru mencuba memancing di kolam-kolam air masin. 

Korang selalu kumpau? Biasa la tu, jangan cepat mengalah. Bukan semua pemancing lahir dikalangan circle yang pakar. Apa yang kita perlu buat ialah belajar dan terus belajar. Aku pernah bawa 'pakar' casting sungai mencuba pancingan kolam. Turn out beliau pun kumpau mattt!

Artikel yang betul-betul detail tentang teknik yang ampuh memang tak ada, apa yang dikongsi sekadar pengalaman dan pemerhatian untuk dikongsi. Kalau kat Facebook tu satu artikel berkaitan tips pancingan kolam air masin diulang siar beberapa kali,tulisannya sama tapi yang pos dari bermacam-macam sumber. Pendek kata susah nak cari panduan yang bagus sebabnya ramai yang pakar memancing kolam  bukanlah penulis yang mahir. Sebab tu senang orang buat video Youtube je.

Asasnya hampir sama saja dengan pancingan di medan diluar sana, cuma ada sedikit perkara yang perlu ditambah baik untuk meningkatkan peluang menaikkan ikan. Ingat ya,ini bukan jaminan, cuma potensi menaikkan ikan lebih tinggi.

Kolam air masin ada dua jenis; kolam yang menggunakan air masin/payau yang dipam masuk dari muara sungai atau menggunakan garam untuk mendapatkan kadar kemasinan yang sesuai untuk ikan-ikannya. Biasanya kolam yang menggunakan garam terletak jauh dari pesisir pantai. Kolam air masin pakai garam belum lagi berkesempatan aku cuba. Mungkin ada beberapa pengetahuan baru yang boleh dipelajari disana.

1.Set up joran

- Dari pemerhatian aku, set up untuk pancingan kolam lebih sesuai menggunakan set up ringan hingga ke sederhana berat.Walaupun ada segelintir yang suka menggunakan set up ultralight, set up ultra ringan ni kurang sesuai untuk kolam yang banyak kolong atau ketika kolam dipenuhi pemancing. Kadang-kadang umpan kita dimakan ikan-ikan bersaiz bagöng yang memerlukan peralatan yang kuat untuk menahan larian ikan yang meluru masuk ke kolong dan juga mengawal tali pancing daripada berbelit dengan pemancing lain.

Satu kejadian yang pernah berlaku kat aku bilamana setup peralatan yang aku kira cukup berat tidak mampu menahan larian ikan dan tali putus begitu sahaja.Rod PE3 dengan reel bersaiz 8000 dilengkapi mainline 25lb sekadar mampu menahan larian ikan kurang 1 minit. Waktu ini akan meletakkan anda dalam dilema; lock drag tali akan putus. Longgarkan drag ikan akan bersembunyi didalam kolong. Masa untuk berfikir terlalu singkat dan tiba-tiba mainline putus...Bayangkan kalau pakai set up ultralight.

Kali kedua berlaku masa aku pakai rod medium light 6-15lb dengan mainline 20lb. Tapi kejadian ni lebih kepada teknik. Ketika ikan mula melarikan umpan,aku membiarkan terlalu lama ikan membawa lari umpan sehingga semuanya dah terlambat. Drag yang lambat dikunci dan rod yang agak lembut tak mampu menarik keluar ikan dan juga berakhir dengan tali putus.

Untuk itu,bawalah set pancingan sederhana dilengkapi reel bersaiz 2000-4000 dengan tali utama sekitar 15lb-30lb dan leader bersaiz 30lb-60lb untuk lebih selamat. Drag 5kg-8kg sudah memadai. Bila ikan mula menjamah umpan, lock drag pada kadar bersesuaian, buka bail arm/tekan thumb bar dan biarkan seketika sekitar 3-5 saat sebelum hookup.

Set ringan bukan tak boleh, cuma kena study kondisi kolam dahulu. Kolam bersih,orang tak ramai boleh pakai set ringan. Layan la ikan lari sampai 30 minit pun tak apa.

2.Umpan

- Umpan yang paling biasa didapati di kolam pancing dan banyak digunakan ialah udang hidup. Tapi tahukan kalian umpan udang hidup bukanlah umpan yang paling efektif di semua tempat? 

Jarang ikan yang aku dapat menjamah umpan udang hidup. Ada masanya aku pakai dua umpan; udang hidup dan udang kopek, ikan lebih berminat dengan udang kopek.

Perkara ni sangat contradict dengan teknik pancingan di kawasan semulajadi. Prinsip pancingan di kawasan semulajadi memerlukan umpan dipersembahkan seasli mungkin. Itupun bukan sepanjang masa berkesan. Kalau tak,takkan la ikan kat laut tu boleh jamah jig besi. Betul tak?

Umpan hidup yang lebih efektif ialah umpan belanĂ¡k. Selebihnya ialah potongan ikan dan kadangkala ikan kembong/pelaling seekor yang dicangkuk di kepala. Teorinya mudah, ikan-ikan kolam air masin ni bukan ikan liar. Ianya adalah ikan-ikan sangkar yang dibela. Takkan lah tauke sangkar ikan bagi makan udang hidup ye tak?

Yang pakai umpan udang/belanĂ¡k hidup,elakkan pakai matakail dengan gauge dawainya besar. Maksud aku tebal matakail yang berlebihan. Bila matakail kasar sangat ia terlalu berat dan menyebabkan umpan cepat mati.

Keadaan kolam

- Ini perkara paling asas perlu pemancing ingat. Tak semua kolam air masin sama teknik permainannya. Keadaan kolam memberikan petunjuk teknik apa yang perlu dipakai. Ada sesetengah kolam dasarnya penuh lumut.

Bila ini berlaku,teknik yang berkesan cuma teknik menggunakan pelampung. Panjang pelampung sedepa sudah memadai.

Sebab apa teknik pelampung berkesan di kolam yang berlumut? Bila dasar kolam berlumut, teknik bottom dengan udang hidup atau udang kopek tak berkesan kerana umpan tersorok atau menyorok disebalik lumut.Tambahan lagi jika memancing sesi malam. Peluang umpan ditemui ikan sangat nipis.

Kolam banyak lumut ni juga tak sesuai menggunakan teknik seretan umpan didasar kolam atas alasan yang sama.Umpan anda hanya akan menarik lumut-lumut dan sisa perambut. Kalau ada rezeki dapatlah batu ladung percuma.

3.Perambut

- Bila memancing kolam, perambut yang biasa kita tengok orang pakai ialah perambut cabang samada salah satunya diletakkan pelampung atau pemberat.

Penggunakan perambut juga memerlukan pemerhatian keadaan kolam terlebih dahulu. Sebaiknya gunakan perambut yang mampu menggantungkan umpan sedikit tinggi dari dasar. Walaupun tak ada set up perambut all rounder yang boleh dipakai di semua kolam, kebanyakan kolam lebih sesuai dipraktikkan teknik perambut ini.

Kalau menggunakan batu ladung,cuba letakkan pelampung kecil berhampiran mata kail untuk mengangkat umpan dari dasar. Atau jika perambut cabang dengan batu ladung digunakan, pastikan cabang yang diletakkan umpan cuma pendek sahaja.


Perambut agak kasar tak apa asalkan halimunan. Ikan-ikan kolam air masin ni mampu membuat perambut anda cepat berbulu. Pilih perambut 100% fluorokarbon dari jenama yang baik.

4.Teknik pancingan

Teknik pancingan kolam biasanya tiga je, casting,bottom atau pelampung. Orang lama selalu pilih skill pelampung. Yang tak berapa lama pakai kaedah bottom. Dan yang selebihnya kaki casting. Ada sesetengah kaki casting yang memang pro dan ada juga yang poyo.

Yang pro sekali turun bawa geng dan hasil diorang ni jenis bawa balik pakai kereta sorong. Memang pro kolam pancing lah.

Yang jenis poyo ni pulak dah tau tali pancing bersilang-silang depan dia,dia balun cast juga. Kalau cast dapat hookup ikan tak apalah,ini tali orang yang dicastnya. Bila kita cuba bantu meleraikan tali,dia pulak suruh kita sabar. Anjai betul. Kita yang membottom punya lah baling dekat-dekat taknak kacau geng casting, tapi dia selamba cast tak peduli orang lain. Ingat ya,dalam kolam pancing ni elakkan menyusahkan orang lain.

Sesat jauh dah aku ni. Oklah,bab teknik ni terpulang masing-masing asalkan tak menyusahkan orang. Yang pilih pakai pelampung, boleh guna umpan belanak atau udang hidup,cuma pastikan pelampung jangan hanyut jauh sangat. Ada sesetengah kolam kipas pengudaraan airnya sangat kuat,pakai batu ladung pun boleh hanyut.

Yang bottom, cuba apungkan umpan. Perambut tak perlu panjang,kalau terapung tapi panjang sama juga umpan boleh tersorok.Agak-agak timbul 1 kaki ke 1½ kaki dari dasar kolam sudah memadai. Lagipun kalau perambut panjang sangat susah nak cast. Kalau kolam tu banyak anak ikan, tukar umpan lain. Kang umpan udang kopek habis macam tu saja.

Yang casting, pakai udang kopek atau ikan pelaling/kembong/sardin sebesar dua jari. Udang hidup pun boleh tapi setakat pemerhatian aku kolam-kolam di sebelah pantai barat Selangor ni tak berapa menjadi sangat. Satu sebab lagi udang hidup ni senang terbang bila cast. Free je udang tu masuk kolam.

5. Masa

- Dari pemerhatian aku, waktu ikan paling rancak makan sekitar waktu kolam pancing dibuka antara jam 9am-11.am,1pm-2pm dan 5pm-7pm. Malam macam slow sikit tapi ada. 

Setakat ini itu saja pemerhatian aku. Aku pun sama je macam orang lain, masih belajar. Andai teknik yang aku kongsikan ni berkesan,alhamdulillah. Ada pahala untuk aku. Kalau kurang menjadi, sama-sama cari jawapannya dan KONGSIKAN. Ilmu yang baik ialah ilmu yang bermanfaat untuk orang lain. Sebagai pemancing kena fleksibel dan cuba terapkan ilmu-ilmu baru berdasarkan pemerhatian sekeliling. Sebab lain padang lain belalang.  Sekian terima kasihhhh.