Ahad, 5 Jun 2022

Kisah Storm Adventure X, Eupro Twister dan Bullzen Iguana Elite

Lepas aku beli rod baitcasting Storm Discovery, aku mula memikirkan satu rod 2 piece untuk dipadankan dengan reel Shimano. Buat masa ni reel Shimano dipadankan dengan rod Team Seahawk Kingdom Xtreme. Rod ni bagus,cuma kombinasi butt jointnya agak menyulitkan untuk aku muatkan kedalam Myvi King.
Jadinya aku cuba survey2 rod spinning 2 piece yang berkekuatan 10-20lb.Entah macamana aku beli rod Storm Adventure X AXS662MH. Kombinasi ni nampak macam sesuai sehinggalah satu hari aku cuba lenturan rod Adventure X untuk menetapkan drag Shimano Stradic. Tarik punya tarik, prapppp!!
Rod patah di bahagian lebih kurang 1½ kaki dari tip.Masa aku cuba lenturkan rod tu,bahagian tengah tip yang melentur dengan ekstrim. Dari bentuk lenturan juga aku nampak rod Adventure X ni dibina untuk Fast Action. Rod ni patah tanpa sempat dibawa untuk diuji ke kolam pancing.
That's it....aku tapekan bahagian yang patah dan simpan. Aksesori cincin dan reel seat Fujinya masih boleh dimanfaatkan untuk projek custom rod misalnya.
Jadinya hujung minggu tu terpaksalah pakai dulu rod Seahawk Kingdom.

Rod penggantinya adalah rod murah dari Eupro, bajet dah tak berapa nak ada ni kena bercatu sikit. Aku pun beli la rod Eupro Twister TS602 10-25lb 2 piece spinning type.
Rod ni murah je harga dia,sekitar RM120-130. Dari segi aksesori dan buatannya boleh la.Cincin dan reel seat pun tak ada brand, rod tak ada Xwrap. Tapi alignment backbone dia cantik. Bending rod pun nampak macam medium action.
Prestasinya di padang pancing belum teruji,tapi nampak boleh tahan la. Aku cuba matchingkan dulu dengan reel Stradic.
---------------------------------------

Minggu lepas adik aku borong reel 13 Fishing Concept A3. Asalnya dok melayan video gasak kolam. Youtuber tu introduce la setup dia. Masa tu baru je tau brand 13 Fishing ni. Boleh tahan keras bai harga dia.Average market price lebih kurang RM900.
Reel baitcasting ni agak berat,aku tak ingat berapa tapi berat la dari kebanyakan BC reel. Ratio karauan laju,8.1:1 dengan drag 40lb. Reel ni dipadankan dengan rod spec jigging one piece Bullzen The Joker Limited Edition PE1-3 6 kaki. Mainline adik aku bedal letak braid brand apa tah berkekuatan 40lb juga.
Setup ni agak overkill untuk kolam pancing tapi ikut dia lah,modal banyak,haha! 1st time ujian lapangan di kolam pancing Sealion 3A menghanyirkan setup ni dengan dua kerapu hybrid seberat 3.5kg. Aku yang pakai setup Stradic 5000XG + Seahawk Kingdom Extreme PE1-3 cuma mampu merenung masa depan selama 5 jam!
Balik rumah sambil baring lengan atas dahi,aku mula berkira-kira nak beli rod baru untuk penaik semangat. 
Pusing sana sini dalam Shopee tak jadi kerja juga. Kebetulan adik aku balik Temerloh singgah kedai pancing aku minta dia carikan rod Eupro X Power. Malangnya rod Eupro habis stok. Next choice Bullzen Iguana Elite BSET601C/3 PE1-3.
Rod kelas jigging ni juga binaan one piece,tapi yang paling murah dikalangan adik beradik Bullzen Iguana. Atas sikit dari Iguana Elite ialah Iguana Platinum dan yang atas sekali ialah Iguana Velocity. Murah-murah dia pun koyak jugak RM260.

Bila namanya kelas jigging, butt section dibina extra panjang berbanding kelas casting supaya EVA butt dapat dikepit dicelah ketiak ketika mengepam sasaran yang besar.
Memandangkan rod ni aku akan salahguna untuk buat casting kolam air masin,kepanjangan butt section ni sedikit mengganggu. Lagi satu nampak tak cantik la rod dengan butt section panjang ni. Aku suka rod ni tapi tu la,tak tenang jiwa aku dengan butt section dia.
Selepas mengkaji beberapa video Youtube, aku buat keputusan untuk memotong sedikit bahagian pangkal kira-kira dua inci setengah. Memotong rod bukanlah satu roket sains, yang perlu difikirkan ialah perancangan untuk pakai balik EVA butt asal. Hasil dari kajian video Youtube,aku menemui cara untuk menanggalkan EVA foam tanpa merosakkan rod dan EVA tu sendiri.
Caranya adalah dengan memanaskan EVA dengan wap air panas. Kiranya macam layur la,tapi indirectly. Prosesnya agak memakan masa sekitar ½ jam sebelum gam epoksi lembut dan EVA foam dapat ditarik keluar.
Selesai tarik keluar, terus potong ikut selera masing.Aku tak suka butt pendek sangat,atau terlalu panjang. Itu yang aku buang 2 ½ inci saja bahagian pangkal daripada keseluruhan 6 kaki panjang rod.
rebus atas dapur mak aku

Selesai potong, campur resin dan hardener epoxy pada rod dan masukkan semula EVA butt. Selesai. Hensem terus rod Bullzen Iguana aku.

Mungkin ada yang tanya kenapa tak cari je rod yang memenuhi kehendak aku. So far aku suka dengan spec Bullzen, cuma dalam line up dia tak ada spec casting one piece solid kelas medium heavy dengan panjang 6 kaki.
Benda kita boleh ejas,kita ejas,takde masalah. Dari projek custom ringan ni la mendedahkan teknologi rod HDCC2 Bullzen. Rod yang khabarnya mampu menarik van dan kapal terbang ringan.
Nampak apa isi dia? 
Teknologi ni lebih kurang insirasinya macam pembinaan katana. Boleh rujuk posting lama aku pasal teknik membuat katana.
Bahagian tiub karbon yang keras tetapi rapuh ni dibantu oleh fleksibiliti gentian fiberglass yang fleksibel dan liat. Jadinya teknologi ni memberi manfaat rod kuat dan sensitif tapi cukup fleksibel ketika menerima bebanan.

Selepas dipotong nampak seimbang sikit rupa dia,tapi saiz asal merosot menjadi 5' 8½. Rod kontot ni akan ditugaskan ke kolam-kolam pancing berbayar sahaja. Senang nak cast tak sangkut bumbung.






Tiada ulasan: