Isnin, 14 Februari 2022

Kastking Crixus Armor X Murah Beb!

Membeli kelengkapan memancing ni macam ada satu ketagihan sebenarnya. Para pemancing mesti faham. Jangankan lalu depan kedai pancing, sambil pegang handphone pun boleh ziarah kedai online. Tak beli pun tak apa, sekurang-kurangnya mesti add to cart. Betul tak?

Lepas aku berjaya mendapatkan set BC, ada satu kekurangan yang aku baru sedar. Rod Seahawk Kossori aku tu berkelas 8-17lb dan lure yang sesuai adalah seberat 10-20 gram. Agak berat sebenarnya memandangkan beberapa lure aku cuma seberat 4 gram hingga 7.5 gram. Yang paling berat cuma Ozmy Silencer iaitu 20 gram.

Lure seberat 10 gram keatas kebanyakannya bersaiz besar nak mampus, tak sesuai dengan padang pancingan aku. Jadi, aku berkeputusan untuk membina kombinasi BC lain yang lebih ringan.

Lepas aku menjelajah kedai-kedai online mencari rod sasaran, aku jumpa dengan sebatang rod mampu milik yang sesuai iaitu Santec Capricorn 6" two pieces. Murah sikit dari Seahawk Kossori iaitu cuma RM108. Dilengkapi 10 cincin, yaa 10...spec rod ni menepati keperluan aku, line weight 6-15lb, lure weight 4-13g dan cukup ringan sekitar 110 gram.
Rupa rod ni tak hensem langsung,biasa-biasa je dengan kemasan benang silver di beberapa tempat,reel seat gloss black, sedikit penggunaan cork di bahagian pengunci reel dan diakhiri dengan layangan cat warna hitam. Low profile habis. Line guide yang 10 ketoi tu pun tak tau brand apa. Boleh la padan dengan harga dia.

Rod ni aku sesuaikan dengan reel BC Abu Garcia Promax 3 sebab ngam dah mainline dia braid 15lb. Untuk leader aku dah gantikan dengan leader level bangsawan sikit iaitu Mustad 100% fluorocarbon 30lb. So dah settle set yang sedikit ringan untuk cast lure ringan.

Sekarang ni Seahawk Kossori tak ada reel. Untuk Kossori ni aku plan untuk setup yang sedikit berat. Reel yang aku padankan ialah Kastking Crixus Armor X beserta mainline Kastking Mega 8 20lb. Senang order sekali jalan.

Beza Crixus Armor X dan Crixus biasa ialah material mainframe dan bilangan bearing. Armor X dibina dengan cast aluminium manakala Crixus biasa material grafit. Harganya for surelah berbeza agak banyak.
Kastking ni jenama baru jugak la dari US. Tapi confirm kilang dia kat China. Ini barang kalau made in USA silap-silap harga dia level Shimano. Tengok website dia nampak serius juga la brand ni. Tak macam rod Santec tadi. Walaupun agak ramai juga yang pakai, haram tak jumpa kompeni fishing equipment Santec ni asal dari mana.

Benda bestnya pasal reel baru ni meh aku nak cerita.

Harga di laman web rasmi Kastking Crixus ialah US$55.99 iaitu sekitar RM234, manakala Crixus Armor X dijual pada harga US$88.99 (RM376). Beza sekitar RM140.
Tetapi...

Crixus Armor X yang aku beli ni berharga RM290 sahaja. Entah ada diskaun ke apa tapi real beb, murah banyak. Walaupun agak was-was tapi dari review tulen pembeli memang harga dia legit, bukan scam. Sampai benda ni dalam tangan aku pun aku still rasa, ishh biar betul ni. Seller gila ke apa tak tau la.



Tapi itulah dia, kalau ikut harga, bagi aku spec dia sangat berbaloi. 9+1 Maxidur bearing, aluminum frame, drag 8kg, double pinion bearing, dan special feature yang aku rasa membantu kelancaran casting ialah rekaan line guide berbentuk cone mengikut susunan tali didalam spool.
Pihak Kastking memanggilnya dengan jargon yang kedengaran begitu advance sekali iaitu LFTV ( Low Friction Tapered Vortex ). Nama yang rumit ni sebenarnya marketing strategi tapi xde la bodo-bodo je nama dia ganas gitu. Ada function juga la.
Bila line guide dia bentuk macam tu, susunan tali bahagian paling kiri dan kanan spool lebih lancar dikeluarkan dengan geseran paling minimum. Secara teorinya memang membantu jarak casting.


Eksperimen aku dengan Abu Garcia Promax, bila reel in heavy load, mainline didalam spool yang berada disebelah tepi akan bergeseran bila tali ditarik keluar dalam posisi drag full lock. Berlaku stress pada susunan tali dan line guide. Tambah teruk bila gulungan tali dalam spool tak cukup padat. Next cast mesti macam haram tali tersekat-sekat.
Jangkaan aku dengan design line guide berbentuk cone ni tali lebih lancar keluar dari spool semasa casting dan karauan juga kurang stress. Nanti aku try buat longcast cun ke tidak perginya.

Harapnya setup baru ni boleh menepati expectation aku bersesuaian dengan harganya. Kita pakai dulu then kita tengok berapa lama dia boleh dilenjan sedikit berat. Abu Garcia kita buat layan Duel Aile 3G Magnet Minnow dengan Yo Zuri Crystal 3D Minnow 9cm. Adik aku cakap 3D Crystal ni killer. Kena port baik, killer la. Dapat port sendu tak de guna gewang bangsawan.

Khamis, 3 Februari 2022

Casting Sebarau Sungai Tekam

Cuti CNY baru-baru ni aku balik kampung memandangkan aku apply cuti panjang. Selain menjenguk mak aku, plan lain adalah komplot memancing selepas di racun oleh foto adik aku sehari sebelumnya.

Sebarau atau nama saintifiknya Hampala macrolepidota seberat 2.4kg ni ditawan menggunakan kaedah casting.

Teruja dengan racunan tersebut, aku bergegas balik kampung pada Sabtu pagi dengan berbekalkan set senjata casting dan bottom medium heavy aku tu lah. Padahal adik aku main set light casting je kot.

Aku sampai rumah mak aku sekitar jam 3.15 petang, makan-makan kejap pastu dapat la rehat sekejap bila adik aku bagitau ada member ajak casting pukul 5 petang di lubuk yang sama.

Aisshhh rugi tak ikot weh! Lubuk ni dekat je dengan jalanraya utama, so kitorang gerak bertiga naik Miyabi aku je. Then trekking sikit dalam 100 meter dah sampai ke lokasi.



Nampak biasa-biasa je tapi sungai ni dihuni monster air deras yang bersembunyi untuk menghendap anak ikan mungkus yang mudik ke hulu.
Jam 5.45 petang kami mula casting. Adik aku pakai set joran custom Lemax yang ditambah cincin dan mesin BC jenama Sougayilang katanya dan tali utama brand apa entah berkekuatan 10lb. Umpan pula minnow 10cm jenama Bakau.
Hari tu aku tak ingat aku pakai umpan apa,SP Zman 3" rasanya. Hari tu boleh dikatakan hari latihan bermain BC memandangkan aku tak pernah guna set BC pun,🥲
Member sorang lagi aku rasa pakai spoon dengan set spinning apa entah aku tak sempat tengok. Aku kesibukan berlatih membaling SP dan membetulkan bihun. Siapa tau dia taulah,hihi!
Dari pemerhatian, nampak beberapa kali anak-anak ikan kecik berkumpulan melompat jeram; satu pemandangan yang agak unik aku rasa sebab di alam sebenar ni lah pertama kali aku tengok fenomena ni.
Selalunya aku tonton ikan salmon mudik nak bertelur je dalam dokumentari.

Lebih kurang 10 minit casting, minnow adik aku disambar sebarau. Perlawanan tak lama, lebih kurang 2-3 minit saja. Ikan hampir menyerah dan tiba-tiba benaman terakhir melucutkan single hook dari hookup yang kurang cantik.
Saiznya hampir sama macam dalam gambar pertama sebab aku nampak ikan tu dah timbul. Sempat juga aku merakam masa tu sebab kebetulan aku tengah duduk menyulam FG knot.

Selang beberapa minit minnow adik aku sekali lagi disambar sesuatu masa dia casting selaman dalam di kepala jeram (gambar ke 3).
Perlawanan ni sempat juga aku rakam sebab tak siap lagi simpul FG masa tu,😂


Dan... hasilnya amat memberangsangkan.

Sebarau seberat 2.8kg berjaya dibawa pulang. Aku dan sorang lagi member cuma sekadar membawa pulang telur masing-masing.
Videonya disini :

Apapun ada beberapa pelajaran dan ilmu baru yang aku pelajari sepanjang beberapa hari turun memancing. Nanti aku cerita di posting yang akan datang.

Sabtu, 22 Januari 2022

Inventori Baru; Seahawk Kingdom Extreme

Seperti yang aku pernah tuliskan dalam entri yang lepas, set heavy aku menggunakan rod Awashima Imperial Spin lama yang sebenarnya pernah patah tip hujungnya.

Aku refurbish balik tambah ring baru dan ia kembali beraksi. Cuma rupa dia cacat sikit la sebab dua section tak sama panjang. Dari segi tugas berat masih lagi ok. Macamanapun rod tu agak uzur dari segi rupa dan aku baru perasan seramik line guide yang paling besar ada crack dan sompek sikit.

Ini satu risiko juga sebab sompeknya agak serius dan atas faktor kecacatan ni,ia layak dijadikan alasan untuk berbelanja membeli rod baru,😌

Selepas mengkaji sedikit sebanyak dan sebagai peminat barangan Seahawk, aku buat keputusan untuk menggandingkan reel AP Power 8000 dengan rod jigging 2 section Seahawk Kingdom Extreme PE 2-4 bersaiz 6"3'.

Rod yang berharga RM192 aku beli dari Shopee seller kegemaran aku iaitu leonghuilan sebab dia punya kedai dekat je dengan rumah aku tapi aku malas nak terjah kedai,haha! Aku mintak dia hantar hari Sabtu/ Ahad, tengahari Jumaat dah sampai. Bapak laju.

Bersekali dengan pembelian rod ni aku beli dua jenis braided berlainan kekuatan tapi masih dari jenama favourite aku iaitu Seahawk( again) Gachiri X4 multicolour 40lb dan neon green 15lb.

Braided 40lb ni aku masukkan kedalam reel AP Power 8000 sebab braided sebelum ni iaitu dari jenama Tomman Rotan 4x tak cantik, braidednya leper. Lepas tu talinya macam ada melekit sikit. Pendek kata tak berapa bestlah, maklumlah murah je.

Jenama Seahawk Gachiri ni aku suka sebab walaupun X4, sulamannya bulat dan kemas. Aku kalau dah jumpa model yang best dan murah pulak tu memang aku stay dengan jenama tu. Seahawk ni dah macam Xiaomi pulak aku rasa. Barang dia murah kompetitif, tapi kualiti tinggi. 


Ada aku baca komen kat fb, dia cakap line break Gachiri X4 10lb sebenarnya lebih 20lb! Wow! Bagi aku kalau dia meet break strength yang dia declare pun cukup baik dah tapi lebih dari tu adalah bonus.

Ok berbalik ke kisah rod Kingdom Extreme tadi.

Rod yang aku beli ni dua section which is butt joint. Maksud dia sambung pangkal. Biasa rod sambung tengah kan? Sambung pangkal ni kuat sikit berbanding sambung tengah, dan yang paling kuat ialah rod jenis one piece. Masalah dengan one piece construction ni dari segi lojistik. Payah nak bawa kemana-mana.

Kingdom Extreme ni cantik, nampak premium walaupun harganya bagi aku murah. Diwarnakan ungu metalik gelap dan dikemaskan dengan material potongan CNC di beberapa tempat terutamanya bentuk 'crown' yang boleh dikatakan trademark model ni.

Dilengkapi 8 cincin Fuji untuk rod sepanjang 6 kaki 3 inci bagi jenis spinning rod cukup memadai untuk mengagihkan bebanan ke seluruh rod.

Berasaskan rod dengan material carbon blank Toray HMSC, kekuatannya boleh korang tengok di Youtube. Nampak meyakinkan matttt! Tip section dia solid carbon, agak berat tapi sesuai untuk pam mangsa-mangsa dalam air yang degil. Buat masa ni aku pam anak aku umur 4 tahun je.

Kod model rod aku beli ni adalah KDX-632MHS-B. Aku terjemahkan spec rod daripada kod nombor ni. Cara baca dia macam ni :

KDX = KingDom Xtreme, nampak?

632 = 6 kaki 3 inci 2 section

MHS = MH ( Medium Heavy ) , S ( Spinning type )

B = Butt joint

Aku belajar skill baca kod ni daripada baca kod enjin. Sebab kod ni bukan benda rahsia pengeluar,dia cuma ringkasan spesifikasi asas.

Seterusnya aku buat sikit servicing kat mesin AP Power yang berusia hampir 9 tahun ni. Aku nampak line rollernya agak teroksida. Walaupun masih lancar berpusing aku buka jugalah gosok dengan berus dawai,bersihkan apa yang patut dan griskan bearingnya dengan gris gred automotif,😆

Jangan buat pelik pulak, bearing line roller ni dia bukan kerja hi speed macam spool bearing baitcasting. Kerja dia tak laju tapi heavy. Penting beli reel ada line roller bearing ni. Kalau pam heavy target, kerja reeling mainline lebih lancar. Setakat pam ikan kolam lima enam kilo tu boleh duduk tenang je kat kerusi plastik.

Kat perenggan atas tadi juga aku ada tulis pasal braided neon green 15lb kan? Braided tu aku gantikan braided 20lb maroon yang aku pakai kat reel Abu Garcia. Rasa macam cast kurang jauh je dengan 20lb braid. So aku tukar diameter braid yang lebih halus semoga casting mencecah jarak dari tebing hingga ke Lahad Datu.

Gachiri X4 20lb simpan balik, sempat cecah air sekali je buat training. Oh ya, Gachiri X4 15lb sepanjang 150 meter ngam-ngam muat spool standard Abu Garcia Promax 3.Takde baki yang tertinggal.

Nah, sekarang 3 set pancing aku semua pakai rod Seahawk, dua mesin Ryobi, satu Abu Garcia, 2 reel pakai braided Seahawk Gachiri X4 dan satu reel pakai Lemax X5 25lb.

Lemax X5 punya braid pun cun juga diameter dia, sulaman dia tapi entah aku suka pulak pakai brand sama.

Sekian tulisan aku kali ni. Jumpa lagi akan datang.



Selasa, 11 Januari 2022

3SZVE Overheat!

Actually benda yang aku nak cerita ni bukan la terjadi baru-baru ni.Agak lama berlaku sebenarnya, sekitar Jun 2020. Puncanya boleh dikatakan silap aku juga sebab tidak mengambil serius penggunaan coolant terutamanya untuk blok enjin yang dibina berasaskan besi.Ya besi.

Sebelum ni aku pakai enjin dengan blok aluminium, kalau coolant campur air biasa pun tak ada masalah. Sebabnya aluminum kan,kurang reaktif terhadap air. Serius cakap dengan enjin lama tu aku tak pernah hadapi apa-apa masalah berkaitan sistem penyejukan enjin walaupun tak jaga kualiti bendalir penyejuk.

Berlainan pula bila aku pakai enjin dengan blok besi. Aku terbawa-bawa mentaliti,' ala blok lama elok je pakai air'. Kat situ aku silap besar. Izinkan aku share cerita disebaliknya.

Lepas aku tukar enjin, datang la rasa teringin nak bagi ruang enjin berseri sikit. Aku pun beli la set hos Samco. Kebetulan aku nak install water temp gauge, sedang elok lah beli hos baru. Senang nak potong.

Makanya kerja-kerja penukaran hos pun dibuat. Drain coolant lama, cabut hos lama dan swap masuk hos baru yang dah dipasang temperature probe. Memandangkan masa tu aku tak standby pun coolant, aku masukkan je air biasa.

Semuanya ok sampai la satu hari aku rasa nak pakai coolant balik. Sama la prosesnya,buang air lama dan masuk coolant. Aku pakai coolant tak campur air langsung,fully coolant.

Lepas isi coolant tu aku picit-picit la hos silikon tu. Saja gatal tangan. Keluar bunyi macam keropok dipecahkan, krup,krap mcm tu la lebih kurang. Agak pelik bunyinya tapi aku tak rasa la akan jadi masalah besar.

Beberapa hari lepas tu aku balik kampung. Memandangkan aku duduk Hulu Selangor, jalan paling syok nak balik Pahang adalah melalui jalan Ulu Yam - Genting. Hari tu aku rasa pelik sikit masa mendaki ke Genting. 

Temperature air agak tinggi dari biasa. Lepas dari stesen polis Genting tu,alarm water temperature gauge berbunyi menunjukkan suhu 110°C! Bila slow down sikit temperature boleh turun bawah 100°C. Bacaan ni still tak normal walaupun menuruni bukit menghala ke R&R Sempah. Standard operation temperature kereta aku masa bergerak adalah sekitar 82°C - 90°C.

Aku teruskan perjalanan dengan memandu sekitar kelajuan 100kmj dengan mengekalkan putaran rpm sekitar 2000-2300. Sambil drive tu kepala otak aku ligat fikir punca masalah ni. Mungkin tak sesuai pakai fully coolant kot.

Aku berhenti kat Petronas Karak dan buang coolant dari reserve tank. Aku cuba jalan balik tapi masalah tetap tak selesai. Macamanapun mujur temperature boleh stabil bawah 100°C cuma tak boleh drive laju sangat.

Kemudian aku fikir mungkin thermostat rosak agaknya. Aku singgah Bandar Jengka dan beli seketoi. Brand Daihatsu,nampak macam orizainal. Dalam keadaan hampir2 overheat tu, berjaya juga sampai kampung tanpa kepanasan terlampau.

Hari Sabtu aku on projek merepair. Lepas drain coolant, aku buka hos. Maka nampaklah sikit2 kerak-kerak karat. Terus kepala otak aku cakap,ni la punca dia. Datang dari mana kerak-kerak karat ni?

Kat perenggan atas tadi aku ada bagitau silap aku. Bila aku picit-picit hos, kerak-kerak yang melekat kat dinding dalam hos tertanggal dan beredar ke seluruh sistem penyejukan termasuklah radiator. Kita sedia maklum fin radiator ni lubangnya sangat kecik.

Bila air radiator bergerak, kerak- kerak tadi tersangkut dan berkumpul di bahagian atas radiator dan menyumbat sebahagian besar fin radiator. Aku dah cek thermostat, masih ok lagi tapi dah alang-alang buka, aku tukar teruslah.

Radiator Perodua ni boleh diservis sebenarnya. Aku pun buka top cover dia dan bersihkan semua lubang. Dah siap cuci aku klip balik macam biasa. Kat sini nampak macam berjalan lancar dah. Lega skit jimat duit aku,hihi!

Setel klip semula cover radiator atas bawah,pasang balik hos air dan hos cooling line ATF,letak coolant dah siap!

Yaa siap pasang.

Belum siap sedia untuk dipandu. Aku start enjin dan perhatikan sebarang kebocoran. Benda ni prosedur biasa jika ada kerja-kerja penyelenggaraan melibatkan bendalir. Ah malangnya ada leaking pada klip cover sebelah bawah.

Puncanya mudah, antara sambungan cover dah fin radiator ada gasket getah. Gasket tu tak ditukar baru pun. Kemudian proses melipat klip tu aku rasa memerlukan special tool atau sekurang-kurangnya skill seseorang yang mahir dalam kerja radiator servicing.

Bila berlaku perkara macam ni, jangan buang masa jadi tikus membaiki labu. Hasil belum tentu jadi,penat dah tentu dapat. Aku pun rojer kawan yang kebetulan ke bandar untuk belikan aku satu unit radiator baru. Tak beli radiator Denso pun, OEM brand je dengan harga RM135.

Murah memang murah, so far dia masih bertugas dengan baik. Banyak yang aku belajar dari peristiwa ni. 

1. Jangan pandang remeh fungsi coolant terutamanya blok besi

2. Menukar radiator baru lebih berbaloi dari repair radiator lama

3. Pandu perlahan dan kurangkan rpm sebanyak yang boleh jika terpaksa memandu jauh. Dengan teknik yang betul, insyaAllah tak berlaku overheat sampai head enjin bengkok.

4. Sentiasa perhatikan jarum/indicator suhu bendalir penyejuk.

Ingat ya tuan-tuan, benda murah je coolant tu. Kalau rosak repair sendiri tak apa la lagi. Buatnya rosak kereta tak boleh jalan tengah-tengah hutan banat, menangis la kau situ.

Selasa, 28 Disember 2021

Baitcasting Set; Perlu atau Sekadar Nak Nampak Cool?

 Assalamualaikum,

Kita sambung terus topik seterusnya. Alang-alang aku rajin nak menulis ni, bedal dua entri sekaligus macam zaman kegemilangan dulu-dulu.

Orang yang bukan pemancing pastinya tak peduli pun jenis-jenis kekili. Asal boleh memancing sudah,betul tak? Tapi bagi pemancing, sekurang - kurangnya mesti ada impian memiliki set baitcasting. Antara sebabnya adalah untuk memudahkan aktiviti pancingan casting yang memerlukan peralatan sedikit berbeza berbanding teknik pancingan biasa.

Set baitcasting biasanya ringan dan kompak. Pakai set kekili mendatar yang kecik pun ringan juga kan? Betul. Boleh juga pakai tapi ada kekangan kawalan tali dan ketepatan lontaran.

Yang lebih ketara dengan set baitcasting ialah penggunaan kekili menegak low profile. Kekili jenis ni memerlukan latihan untuk meningkatkan kemahiran mengawal spool. Ini yang ramai orang takut nak pakai set baitcasting (BC) reel. Masalah utama dia ialah backlash (atau lebih dikenali dengan bihun) pada spool yang bermaksud tali berpintal apabila spool masih berputar walaupun umpan telah mencecah permukaan air.

Aku pun tak mahir dan tak pernah guna pun reel BC. Tapi aku teringin sangat nak belajar. Cara nak mula belajar kena la dapatkan satu set BC, takkan nak pinjam orang punya pulak kan? Set pancing ni macam barang peribadi juga, pantang orang pinjam.

Hasil survey di laman belibelah terkemuka iaitu Shopee (hihi), pada mulanya aku target nak beli reel BC Abu Garcia Blackmax 3. Tapi entah macamana aku terjumpa pulak reel Abu Garcia Pro Max 3. Beza dua reel ni tak banyak. Blackmax 3 pakai 5 bearing dan drag 8kg, manakala Pro Max 3 yang agak lama sikit dilengkapi 8 bearing. Drag sama 8kg.Beza harga dalam RM50-60. 

Dari segi spesifikasi Pro Max 3 bernisbah kayuhan 7.1:1, 74cm retrieval per pusingan, berat 207gram, 8 bearing stainless steel, drag Power Disk™, Duragear™, sistem brek spool MagTrak™, one piece body grafit dan side plate.

Dapat reel sasaran, aku matchingkan dengan kombinasi berikut:

- Reel BC Abu Garcia ProMax 3 R ( kayuhan kanan) RM305

- Rod BC Seahawk Kossori 6 kaki 9 cincin RM135

- Tali sulam Seahawk Gachiri X4 20lb RM19.90


Shock leader aku pakai sama macam set Ryobi SMAP RG dlm entri sebelum ni iaitu Ajiking Pro Line Invicible 30lb. Shock leader aku buat pendek je lebih kurang 2 kaki. Ada aku tengok kat TikTok, satu mamat tu cakap shock leader perlu sepanjang dari hujung reel sampai rod tip.

Panjang tu...kurang-kurang 5 kaki kot. Aku buat pendek je sebab aku rasa memadailah. Walaupun shock leader 2 kaki, dia mampu meregang hampir 1 inci. Cukup la tu untuk menyerap kejutan.

Set ni aku belum bawa ke padang pancing lagi memandangkan aku masih lagi dalam proses ulangkaji fungsi2 knob yang ada terutamanya magnetic brake dan juga spool tensioner. Dua benda ni membantu mengurangkan risiko backlash jika ditala dengan betul mengikut kesesuaian penggunanya.

Next trip aku nak cuba guna reel ni. Buat masa ni aku punya lokasi memancing jauh sangat. Kat Jugra sana,iaitu kolam memancing Syawal. Sedangkan aku duduk Hulu Selangor. Minat memancing punya pasal aku redah juga sebab geng memancing duduk sana.

Barai juga modal sekali trip, minyak kereta, tol, umpan, bayaran masuk....sekali pegi habis dekat RM200 juga la kalau ambik kolam B. Dua hari lepas kolam B penuh, gila betul. Bayar RM125 bersesak macam tu tak mau la aku, banyak saingan.

Oklah, kalau ada cerita menarik lagi aku akan tulis kat sini lepas ni. Sambutan pembaca tak meriah tak apa, sebab matlamat blog ni lebih kepada diari digital, untuk kenangan dimasa tua nanti.

Next entri aku akan cuba tulis pulak pengalaman mengerjakan umrah sebelum PKP. Agak banyak nak tulis tu, kena pakai laptop baru sedap. 

Jumpa lagi di entri akan datang.