Khamis, 3 Februari 2022
Casting Sebarau Sungai Tekam
Sabtu, 22 Januari 2022
Inventori Baru; Seahawk Kingdom Extreme
Seperti yang aku pernah tuliskan dalam entri yang lepas, set heavy aku menggunakan rod Awashima Imperial Spin lama yang sebenarnya pernah patah tip hujungnya.
Aku refurbish balik tambah ring baru dan ia kembali beraksi. Cuma rupa dia cacat sikit la sebab dua section tak sama panjang. Dari segi tugas berat masih lagi ok. Macamanapun rod tu agak uzur dari segi rupa dan aku baru perasan seramik line guide yang paling besar ada crack dan sompek sikit.
Ini satu risiko juga sebab sompeknya agak serius dan atas faktor kecacatan ni,ia layak dijadikan alasan untuk berbelanja membeli rod baru,😌
Selepas mengkaji sedikit sebanyak dan sebagai peminat barangan Seahawk, aku buat keputusan untuk menggandingkan reel AP Power 8000 dengan rod jigging 2 section Seahawk Kingdom Extreme PE 2-4 bersaiz 6"3'.
Rod yang berharga RM192 aku beli dari Shopee seller kegemaran aku iaitu leonghuilan sebab dia punya kedai dekat je dengan rumah aku tapi aku malas nak terjah kedai,haha! Aku mintak dia hantar hari Sabtu/ Ahad, tengahari Jumaat dah sampai. Bapak laju.
Bersekali dengan pembelian rod ni aku beli dua jenis braided berlainan kekuatan tapi masih dari jenama favourite aku iaitu Seahawk( again) Gachiri X4 multicolour 40lb dan neon green 15lb.
Braided 40lb ni aku masukkan kedalam reel AP Power 8000 sebab braided sebelum ni iaitu dari jenama Tomman Rotan 4x tak cantik, braidednya leper. Lepas tu talinya macam ada melekit sikit. Pendek kata tak berapa bestlah, maklumlah murah je.
Jenama Seahawk Gachiri ni aku suka sebab walaupun X4, sulamannya bulat dan kemas. Aku kalau dah jumpa model yang best dan murah pulak tu memang aku stay dengan jenama tu. Seahawk ni dah macam Xiaomi pulak aku rasa. Barang dia murah kompetitif, tapi kualiti tinggi.
Ada aku baca komen kat fb, dia cakap line break Gachiri X4 10lb sebenarnya lebih 20lb! Wow! Bagi aku kalau dia meet break strength yang dia declare pun cukup baik dah tapi lebih dari tu adalah bonus.
Ok berbalik ke kisah rod Kingdom Extreme tadi.
Rod yang aku beli ni dua section which is butt joint. Maksud dia sambung pangkal. Biasa rod sambung tengah kan? Sambung pangkal ni kuat sikit berbanding sambung tengah, dan yang paling kuat ialah rod jenis one piece. Masalah dengan one piece construction ni dari segi lojistik. Payah nak bawa kemana-mana.
Kingdom Extreme ni cantik, nampak premium walaupun harganya bagi aku murah. Diwarnakan ungu metalik gelap dan dikemaskan dengan material potongan CNC di beberapa tempat terutamanya bentuk 'crown' yang boleh dikatakan trademark model ni.
Dilengkapi 8 cincin Fuji untuk rod sepanjang 6 kaki 3 inci bagi jenis spinning rod cukup memadai untuk mengagihkan bebanan ke seluruh rod.
Berasaskan rod dengan material carbon blank Toray HMSC, kekuatannya boleh korang tengok di Youtube. Nampak meyakinkan matttt! Tip section dia solid carbon, agak berat tapi sesuai untuk pam mangsa-mangsa dalam air yang degil. Buat masa ni aku pam anak aku umur 4 tahun je.
Kod model rod aku beli ni adalah KDX-632MHS-B. Aku terjemahkan spec rod daripada kod nombor ni. Cara baca dia macam ni :
KDX = KingDom Xtreme, nampak?
632 = 6 kaki 3 inci 2 section
MHS = MH ( Medium Heavy ) , S ( Spinning type )
B = Butt joint
Aku belajar skill baca kod ni daripada baca kod enjin. Sebab kod ni bukan benda rahsia pengeluar,dia cuma ringkasan spesifikasi asas.
Seterusnya aku buat sikit servicing kat mesin AP Power yang berusia hampir 9 tahun ni. Aku nampak line rollernya agak teroksida. Walaupun masih lancar berpusing aku buka jugalah gosok dengan berus dawai,bersihkan apa yang patut dan griskan bearingnya dengan gris gred automotif,😆
Jangan buat pelik pulak, bearing line roller ni dia bukan kerja hi speed macam spool bearing baitcasting. Kerja dia tak laju tapi heavy. Penting beli reel ada line roller bearing ni. Kalau pam heavy target, kerja reeling mainline lebih lancar. Setakat pam ikan kolam lima enam kilo tu boleh duduk tenang je kat kerusi plastik.
Kat perenggan atas tadi juga aku ada tulis pasal braided neon green 15lb kan? Braided tu aku gantikan braided 20lb maroon yang aku pakai kat reel Abu Garcia. Rasa macam cast kurang jauh je dengan 20lb braid. So aku tukar diameter braid yang lebih halus semoga casting mencecah jarak dari tebing hingga ke Lahad Datu.
Gachiri X4 20lb simpan balik, sempat cecah air sekali je buat training. Oh ya, Gachiri X4 15lb sepanjang 150 meter ngam-ngam muat spool standard Abu Garcia Promax 3.Takde baki yang tertinggal.
Nah, sekarang 3 set pancing aku semua pakai rod Seahawk, dua mesin Ryobi, satu Abu Garcia, 2 reel pakai braided Seahawk Gachiri X4 dan satu reel pakai Lemax X5 25lb.
Lemax X5 punya braid pun cun juga diameter dia, sulaman dia tapi entah aku suka pulak pakai brand sama.
Sekian tulisan aku kali ni. Jumpa lagi akan datang.
Selasa, 11 Januari 2022
3SZVE Overheat!
Actually benda yang aku nak cerita ni bukan la terjadi baru-baru ni.Agak lama berlaku sebenarnya, sekitar Jun 2020. Puncanya boleh dikatakan silap aku juga sebab tidak mengambil serius penggunaan coolant terutamanya untuk blok enjin yang dibina berasaskan besi.Ya besi.
Sebelum ni aku pakai enjin dengan blok aluminium, kalau coolant campur air biasa pun tak ada masalah. Sebabnya aluminum kan,kurang reaktif terhadap air. Serius cakap dengan enjin lama tu aku tak pernah hadapi apa-apa masalah berkaitan sistem penyejukan enjin walaupun tak jaga kualiti bendalir penyejuk.
Berlainan pula bila aku pakai enjin dengan blok besi. Aku terbawa-bawa mentaliti,' ala blok lama elok je pakai air'. Kat situ aku silap besar. Izinkan aku share cerita disebaliknya.
Lepas aku tukar enjin, datang la rasa teringin nak bagi ruang enjin berseri sikit. Aku pun beli la set hos Samco. Kebetulan aku nak install water temp gauge, sedang elok lah beli hos baru. Senang nak potong.
Makanya kerja-kerja penukaran hos pun dibuat. Drain coolant lama, cabut hos lama dan swap masuk hos baru yang dah dipasang temperature probe. Memandangkan masa tu aku tak standby pun coolant, aku masukkan je air biasa.
Semuanya ok sampai la satu hari aku rasa nak pakai coolant balik. Sama la prosesnya,buang air lama dan masuk coolant. Aku pakai coolant tak campur air langsung,fully coolant.
Lepas isi coolant tu aku picit-picit la hos silikon tu. Saja gatal tangan. Keluar bunyi macam keropok dipecahkan, krup,krap mcm tu la lebih kurang. Agak pelik bunyinya tapi aku tak rasa la akan jadi masalah besar.
Beberapa hari lepas tu aku balik kampung. Memandangkan aku duduk Hulu Selangor, jalan paling syok nak balik Pahang adalah melalui jalan Ulu Yam - Genting. Hari tu aku rasa pelik sikit masa mendaki ke Genting.
Temperature air agak tinggi dari biasa. Lepas dari stesen polis Genting tu,alarm water temperature gauge berbunyi menunjukkan suhu 110°C! Bila slow down sikit temperature boleh turun bawah 100°C. Bacaan ni still tak normal walaupun menuruni bukit menghala ke R&R Sempah. Standard operation temperature kereta aku masa bergerak adalah sekitar 82°C - 90°C.
Aku teruskan perjalanan dengan memandu sekitar kelajuan 100kmj dengan mengekalkan putaran rpm sekitar 2000-2300. Sambil drive tu kepala otak aku ligat fikir punca masalah ni. Mungkin tak sesuai pakai fully coolant kot.
Aku berhenti kat Petronas Karak dan buang coolant dari reserve tank. Aku cuba jalan balik tapi masalah tetap tak selesai. Macamanapun mujur temperature boleh stabil bawah 100°C cuma tak boleh drive laju sangat.
Kemudian aku fikir mungkin thermostat rosak agaknya. Aku singgah Bandar Jengka dan beli seketoi. Brand Daihatsu,nampak macam orizainal. Dalam keadaan hampir2 overheat tu, berjaya juga sampai kampung tanpa kepanasan terlampau.
Hari Sabtu aku on projek merepair. Lepas drain coolant, aku buka hos. Maka nampaklah sikit2 kerak-kerak karat. Terus kepala otak aku cakap,ni la punca dia. Datang dari mana kerak-kerak karat ni?
Kat perenggan atas tadi aku ada bagitau silap aku. Bila aku picit-picit hos, kerak-kerak yang melekat kat dinding dalam hos tertanggal dan beredar ke seluruh sistem penyejukan termasuklah radiator. Kita sedia maklum fin radiator ni lubangnya sangat kecik.
Bila air radiator bergerak, kerak- kerak tadi tersangkut dan berkumpul di bahagian atas radiator dan menyumbat sebahagian besar fin radiator. Aku dah cek thermostat, masih ok lagi tapi dah alang-alang buka, aku tukar teruslah.
Radiator Perodua ni boleh diservis sebenarnya. Aku pun buka top cover dia dan bersihkan semua lubang. Dah siap cuci aku klip balik macam biasa. Kat sini nampak macam berjalan lancar dah. Lega skit jimat duit aku,hihi!
Setel klip semula cover radiator atas bawah,pasang balik hos air dan hos cooling line ATF,letak coolant dah siap!
Yaa siap pasang.
Belum siap sedia untuk dipandu. Aku start enjin dan perhatikan sebarang kebocoran. Benda ni prosedur biasa jika ada kerja-kerja penyelenggaraan melibatkan bendalir. Ah malangnya ada leaking pada klip cover sebelah bawah.
Puncanya mudah, antara sambungan cover dah fin radiator ada gasket getah. Gasket tu tak ditukar baru pun. Kemudian proses melipat klip tu aku rasa memerlukan special tool atau sekurang-kurangnya skill seseorang yang mahir dalam kerja radiator servicing.
Bila berlaku perkara macam ni, jangan buang masa jadi tikus membaiki labu. Hasil belum tentu jadi,penat dah tentu dapat. Aku pun rojer kawan yang kebetulan ke bandar untuk belikan aku satu unit radiator baru. Tak beli radiator Denso pun, OEM brand je dengan harga RM135.
Murah memang murah, so far dia masih bertugas dengan baik. Banyak yang aku belajar dari peristiwa ni.
1. Jangan pandang remeh fungsi coolant terutamanya blok besi
2. Menukar radiator baru lebih berbaloi dari repair radiator lama
3. Pandu perlahan dan kurangkan rpm sebanyak yang boleh jika terpaksa memandu jauh. Dengan teknik yang betul, insyaAllah tak berlaku overheat sampai head enjin bengkok.
4. Sentiasa perhatikan jarum/indicator suhu bendalir penyejuk.
Ingat ya tuan-tuan, benda murah je coolant tu. Kalau rosak repair sendiri tak apa la lagi. Buatnya rosak kereta tak boleh jalan tengah-tengah hutan banat, menangis la kau situ.
Selasa, 28 Disember 2021
Baitcasting Set; Perlu atau Sekadar Nak Nampak Cool?
Assalamualaikum,
Kita sambung terus topik seterusnya. Alang-alang aku rajin nak menulis ni, bedal dua entri sekaligus macam zaman kegemilangan dulu-dulu.
Orang yang bukan pemancing pastinya tak peduli pun jenis-jenis kekili. Asal boleh memancing sudah,betul tak? Tapi bagi pemancing, sekurang - kurangnya mesti ada impian memiliki set baitcasting. Antara sebabnya adalah untuk memudahkan aktiviti pancingan casting yang memerlukan peralatan sedikit berbeza berbanding teknik pancingan biasa.
Set baitcasting biasanya ringan dan kompak. Pakai set kekili mendatar yang kecik pun ringan juga kan? Betul. Boleh juga pakai tapi ada kekangan kawalan tali dan ketepatan lontaran.
Yang lebih ketara dengan set baitcasting ialah penggunaan kekili menegak low profile. Kekili jenis ni memerlukan latihan untuk meningkatkan kemahiran mengawal spool. Ini yang ramai orang takut nak pakai set baitcasting (BC) reel. Masalah utama dia ialah backlash (atau lebih dikenali dengan bihun) pada spool yang bermaksud tali berpintal apabila spool masih berputar walaupun umpan telah mencecah permukaan air.
Aku pun tak mahir dan tak pernah guna pun reel BC. Tapi aku teringin sangat nak belajar. Cara nak mula belajar kena la dapatkan satu set BC, takkan nak pinjam orang punya pulak kan? Set pancing ni macam barang peribadi juga, pantang orang pinjam.
Hasil survey di laman belibelah terkemuka iaitu Shopee (hihi), pada mulanya aku target nak beli reel BC Abu Garcia Blackmax 3. Tapi entah macamana aku terjumpa pulak reel Abu Garcia Pro Max 3. Beza dua reel ni tak banyak. Blackmax 3 pakai 5 bearing dan drag 8kg, manakala Pro Max 3 yang agak lama sikit dilengkapi 8 bearing. Drag sama 8kg.Beza harga dalam RM50-60.
Dari segi spesifikasi Pro Max 3 bernisbah kayuhan 7.1:1, 74cm retrieval per pusingan, berat 207gram, 8 bearing stainless steel, drag Power Disk™, Duragear™, sistem brek spool MagTrak™, one piece body grafit dan side plate.
Dapat reel sasaran, aku matchingkan dengan kombinasi berikut:
- Reel BC Abu Garcia ProMax 3 R ( kayuhan kanan) RM305
- Rod BC Seahawk Kossori 6 kaki 9 cincin RM135
- Tali sulam Seahawk Gachiri X4 20lb RM19.90
Shock leader aku pakai sama macam set Ryobi SMAP RG dlm entri sebelum ni iaitu Ajiking Pro Line Invicible 30lb. Shock leader aku buat pendek je lebih kurang 2 kaki. Ada aku tengok kat TikTok, satu mamat tu cakap shock leader perlu sepanjang dari hujung reel sampai rod tip.
Panjang tu...kurang-kurang 5 kaki kot. Aku buat pendek je sebab aku rasa memadailah. Walaupun shock leader 2 kaki, dia mampu meregang hampir 1 inci. Cukup la tu untuk menyerap kejutan.
Set ni aku belum bawa ke padang pancing lagi memandangkan aku masih lagi dalam proses ulangkaji fungsi2 knob yang ada terutamanya magnetic brake dan juga spool tensioner. Dua benda ni membantu mengurangkan risiko backlash jika ditala dengan betul mengikut kesesuaian penggunanya.
Next trip aku nak cuba guna reel ni. Buat masa ni aku punya lokasi memancing jauh sangat. Kat Jugra sana,iaitu kolam memancing Syawal. Sedangkan aku duduk Hulu Selangor. Minat memancing punya pasal aku redah juga sebab geng memancing duduk sana.
Barai juga modal sekali trip, minyak kereta, tol, umpan, bayaran masuk....sekali pegi habis dekat RM200 juga la kalau ambik kolam B. Dua hari lepas kolam B penuh, gila betul. Bayar RM125 bersesak macam tu tak mau la aku, banyak saingan.
Oklah, kalau ada cerita menarik lagi aku akan tulis kat sini lepas ni. Sambutan pembaca tak meriah tak apa, sebab matlamat blog ni lebih kepada diari digital, untuk kenangan dimasa tua nanti.
Next entri aku akan cuba tulis pulak pengalaman mengerjakan umrah sebelum PKP. Agak banyak nak tulis tu, kena pakai laptop baru sedap.
Jumpa lagi di entri akan datang.
Set Baru; Ryobi SMAP RG 4000
Assalamualaikum,
Malam ni aku nak menulis pasal alatan pancing.Huii..lama betul aku tak beli barang pancing sebenarnya. Last aku beli set pancing tahun 2013 dulu sebelum ke Pangkor. Manakala penulisan aktiviti memancing kali terakhir pada 2015.
Antara tempoh 2015 sampai sekarang bukanlah aku takde pergi memancing langsung,ada juga cuma tak berapa menarik untuk ditulis.
Oklah,kalau ada pembaca blog aku yang ikut tulisan aku dari dulu, mesti ada baca entri aku pasal kekili Ryobi AP Power 8000. Rod yang aku matchingkan iaitu Lemax Starmaxx 9 kaki aku dah pencenkan dan diganti dgn rod lama adik aku iaitu Awashima Imperial 7 kaki. Leceh la rod panjang sangat,susah nak angkut merata.
Set ini pun aku banyak rehatkan sebab terlalu bulky. Lagipun aku tak pernah guna kelebihan dia yang dikategorikan sebagai heavy set.
Kebelakangan ni sejak sebelum PKP sehingga sekarang, aku banyak bermain kolam air masin saja dimana set medium sudah memadai. Bulan lepas aku beli set baru iaitu:
- Kekili Ryobi SMAP RG 4000
- Rod Seahawk Ryoku M Tuned 6 kaki 6 cincin
- Lemax X5 PE Braid 25lb
Set baru ni jauh lebih ringan dari set lama yang body kekilinya full metal. Ryobi SMAP RG 4000 ni berharga RM139, rod RM85 dan tali RM11.40. Untuk shock leader, aku pakai Ajiking Pro Line 30lb, dia punya spring,mantapppp..harga aku lupa dah. Murah je kan set ni? Lepas tu aku tukar pakai leader kasar sikit,BULLZEN DFC 50lb.
Ok,spec kekili SMAP RG 4000 ni biasa-biasa je,spool machined aluminium,body grafit,drag 5kg saja, berat reel 299gram, bearing 6+1 dan ratio kayuhan 5.0:1.
Rod pulak kategori medium heavy 6 cincin sahaja. Nice design nampak cantik dan set ni dah pun teruji mendaratkan jenahak dan senangin dua hari lepas artikel ni ditulis. Bagi aku kombinasi ni cukup untuk mendaratkan ikan-ikan bersaiz 5-7kg.
Adakah aku berpuashati dengan set ni? Sudah tentulah. Tapi... ada satu lagi impian seorang pemancing kasual macam aku. Nantikan di entri seterusnya.