Memaparkan catatan dengan label Pancing. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pancing. Papar semua catatan

Selasa, 28 Disember 2021

Set Baru; Ryobi SMAP RG 4000

Assalamualaikum,

Malam ni aku nak menulis pasal alatan pancing.Huii..lama betul aku tak beli barang pancing sebenarnya. Last aku beli set pancing tahun 2013 dulu sebelum ke Pangkor. Manakala penulisan aktiviti memancing kali terakhir pada 2015.

Antara tempoh 2015 sampai sekarang bukanlah aku takde pergi memancing langsung,ada juga cuma tak berapa menarik untuk ditulis.

Oklah,kalau ada pembaca blog aku yang ikut tulisan aku dari dulu, mesti ada baca entri aku pasal kekili Ryobi AP Power 8000. Rod yang aku matchingkan iaitu Lemax Starmaxx 9 kaki aku dah pencenkan dan diganti dgn rod lama adik aku iaitu Awashima Imperial 7 kaki. Leceh la rod panjang sangat,susah nak angkut merata.

Set ini pun aku banyak rehatkan sebab terlalu bulky. Lagipun aku tak pernah guna kelebihan dia yang dikategorikan sebagai heavy set.

Kebelakangan ni sejak sebelum PKP sehingga sekarang, aku banyak bermain kolam air masin saja dimana set medium sudah memadai. Bulan lepas aku beli set baru iaitu:

- Kekili Ryobi SMAP RG 4000

- Rod Seahawk Ryoku M Tuned 6 kaki 6 cincin

- Lemax X5 PE Braid 25lb


Set baru ni jauh lebih ringan dari set lama yang body kekilinya full metal. Ryobi SMAP RG 4000 ni berharga RM139, rod RM85 dan tali RM11.40. Untuk shock leader, aku pakai Ajiking Pro Line 30lb, dia punya spring,mantapppp..harga aku lupa dah. Murah je kan set ni? Lepas tu aku tukar pakai leader kasar sikit,BULLZEN DFC 50lb.

Ok,spec kekili SMAP RG 4000 ni biasa-biasa je,spool machined aluminium,body grafit,drag 5kg saja, berat reel 299gram, bearing 6+1 dan ratio kayuhan 5.0:1.

Rod pulak kategori medium heavy 6 cincin sahaja. Nice design nampak cantik dan set ni dah pun teruji mendaratkan jenahak dan senangin dua hari lepas artikel ni ditulis. Bagi aku kombinasi ni cukup untuk mendaratkan ikan-ikan bersaiz 5-7kg.

Adakah aku berpuashati dengan set ni? Sudah tentulah. Tapi... ada satu lagi impian seorang pemancing kasual macam aku. Nantikan di entri seterusnya.



Jumaat, 3 Jun 2016

Abang Man Dalam Kenangan

Entri lepas dah cerita bab memancing, tapi tahukah kalian siapa yang bertanggungjawab memperkenalkan kami adik-beradik ni kepada dunia sukan ekstrim memancing lautan dalam Atlantik??

Ni aku nak cerita ni.

Dalam ramai-ramai sepupu, aku ada sorang sepupu yang agak rapat berbanding yang lain. Kami panggil di abang Man. Zaman aku kecik-kecik dulu, aku membesar di kampung. Rumah keluarga aku pun dekat sangat dengan rumah nenek sebelah abah aku. Masa tu sepupu aku ni tiga beradik duduk dengan nenek aku. Dia lelaki dengan satu kakak dan satu adik. Aku tak pernah kenal mak ayah diorang, yang aku tau diorang duduk dengan nenek aku sejak aku lahir lagi.
Disebabkan diorang masa tu dah remaja dan aku dengan kakak aku masih lagi kecik, diorang ni la teman kitorang bermain. Abang Man ni rajin bawa aku bonceng basikal keliling kampung dan mandi parit. Walaupun masa tu umur aku sekitar tiga ke empat tahun,aku masih ingat suasana aku peluk belakang dia masa berenang kat parit, kaki aku tersepit celah jejari rim basikal dan masa kepala aku terhantuk rasuk rumah nenek aku.
 Impak trauma berenang kat parit dan sakit yang pernah aku rasa menyebabkan memori-memori tersebut sangat kuat sampai aku dewasa.
Lebih kurang umur aku lima tahun, kami sekeluarga berpindah ke Felda. Maka kami berjauhan dan membesar dalam dunia baru  yang jauh berbeza. Kami balik kampung pun dah jarang, maklumlah masa tu mana ada kereta. Sepupu-sepupu kitorang pun dah masuk zaman sekolah menengah. Sesekali bila kami balik kampung, diorang memang excited macam tunggu family sendiri.
Masa tunggu result SPM, abang Man ni duduk dengan kitorang di Felda. Banyak la dia bantu renovate rumah papan asal kitorang dan juga bantu arwah abah aku kat ladang sawit.Masa tu tahun 1989 kalau tak salah. Cuma ada satu gambar beliau tengah main badminton dengan jiran-jiran aku. Nanti aku selongkar album gambar cari balik gambar dia. Legend betul gambar tu sebab court badminton ditengah jalanraya tanah merah berlatarbelakangkan deretan rumah-rumah kayu felda yang masih standard belaka.

Masa aku tingkatan 1, kitorang satu keluarga beraya dikampung. Salah satu aktiviti selain beraya ialah memancing pantai. Abang Man ni la bawa aku dengan adik aku memancing ikan duri dan sembilang. Umpan yang kitorang pakai ialah larva kumbang badak yang banyak dalam batang kelapa reput. Dengar je dia nak cari umpan memancing, teruja betul nak ikut sebab aku suka tengok laut. Yang peliknya masa tu la aku baru tau kat kampung aku ni ada pantai. Pasal apa tah abah aku tak pernah bawak aku jalan-jalan tepi pantai masa kecik-kecik dulu. Selalu tengok kubota dengan mesin padi kat bendang je.
Sebelum kami balik ke Pahang semula sebaik habis cuti raya, abang Man belikan dua set joran asas untuk aku dengan adik aku. Murah je set pancing tu, tapi keseronokannya macam dapat Shimano Stella free!
Abang Man cakap untuk permulaan guna la dulu set pancing asas ni, nanti dah mampu beli yang elok, beli la yang tahan lasak sikit. Aku peduli apa masa tu, janji dapat set joran yang real,boleh dicasting dan dikarau; maksud aku bukan joran pakai tangsi ikat kat batang bemban.
Bertitik tolak dari situ, macam-macam set rod dan kekili kami beli.Tak adalah mahal-mahal sangat,agak-agak mampu dibeli dengan duit biasiswa. Yang aku ingat cuma kekili D.A.M Quick dan Okuma. Ada la beberapa lagi yang dipinjam kawan tapi tak pulang balik.
Aktiviti memancing ni dah jadi macam aktiviti wajib bila kami balik Sekinchan, joran mesti kami angkut sekali. Bezanya cuma abang Man dah jarang kami jumpa sebab dia dah berkahwin, dah tentu la dia fokus dengan family dia...
Selepas bertahun-tahun, kitorang sesekali ada berhubung melalui telefon bertanyakan khabar. Dalam ramai-ramai sepupu kitorang baik sebelah abah atau mak, rasanya dia sorang je yang rajin call kami. Mungkin bonding masih kuat sebab dia pun dah biasa sangat dengan kitorang. Selalu dia jemput datang kerumah dia di Kajang, tapi aku tak pernah berkesempatan.
Bulan Februari lepas aku jumpa dia, kaki dia sakit sebab jatuh terduduk di tandas. Entah baik ke tidak sakitnya masa tu kami tak tahu. Kenduri adik aku kahwin awal Mac pun dia tak hadir. Selalunya dia tak pernah miss kalau ada kenduri kahwin kat Pahang walaupun jarak dari Kajang ke Lepar Utara 3 boleh tahan jauhnya.
Hujung Mac barulah abang Man maklumkan yang dia dimasukkan ke hospital sebab sakit pinggangnya bertambah teruk. 10 April baru kami dapat melawat dia beramai-ramai di HUKM.Masa ni abang Man nampak masih berisi dan ceria bersembang dengan kami. Tapi bila dia tanya mak aku tau tak dia sakit, aku agak keberatan nak jawab. Sebabnya masa tu kami adik beradik yang berkelana kat Selangor ni ada krisis sikit dengan mak kitorang.
Punca sakit masih didalam siasatan doktor. Dia cakap dari kesan retakan tulang pinggul, doktor dapat kesan satu kelainan dalam teras tulang dia.Macam ada lubang-lubang. Kitorang agak, osteoporosis kot.
8 Mei 2016 kami sekali lagi kami melawat abang Man bila dapat berita yang keadaan kesihatan dia merosot dengan teruk. Badan makin kurus dan  percakapan dia dah perlahan sedikit sebab kesukaran bernafas, cuma belum dipakaikan alat sokongan oksigen. Masa ni aku dah rasa sesuatu yang tak enak sebab dalam masa yang singkat, keadaan dia makin teruk.
Selang beberapa hari, mak aku bergegas melawat abang Man. Dari Pahang, mak aku berkesempatan jenguk dia tapi keadaan semakin kritikal. Abang Man dah tak sedar keadaan sekeliling. Mak aku cuma mampu menangis tengok dia.
18 Mei 2016 jam 5.00 pagi aku dapat mesej WhatsApp yang memaklumkan Abang Man dah meninggal dunia...Aku ambil cuti kecemasan hari tu. Aku dapat tahu yang penyakitnya adalah berasal dari kanser hati yang dah merebak ke tulang. Aihhh...tak taulah macamana nak describe rasa kehilangan seseorang yang kami anggap macam abang sendiri.
Selepas beliau tiada barulah aku sampai kerumah abang man untuk pertama kali.Ralat sungguh sebab tak pernah serius untuk menziarahi dia.

Beberapa hari lepas tu, kakak aku ada cerita kenapa mak aku tiba-tiba nak pergi jenguk abang Man kat hospital. Katanya mak aku ada bermimpikan abang Man. Dalam mimpi tu abang Man cakap kat mak aku yang dia seronok nak jumpa arwah abah aku. Mungkin itu yang mak aku rasakan sebagai hint, bahawa beliau akan pergi selama-lamanya....

Gambar kat atas tu gambar abang Man dengan anak-anaknya.Ada lagi sepasang sebenarnya.
Beliau meninggal dunia di usia 43 tahun. Semoga Allah S.W.T mengampuni dosa-dosa Abdul Rahman bin Jelani dan meletakkan abang Man dikalangan orang-orang yang beriman....

Al Fatihah...


Sijangkang Monster Fish

Aku fikir hari ni hari yang sesuai untuk tuliskan sesuatu untuk pembaca blog aku yang 'ramai' kat luar tu.Macam biasalah, cerita pasal hobi aku la, apa lagi.
Kali terakhir joran puaka aku mencecah air kalau tak salah lebih setahun lepas. Bukan aku tak minat lagi nak memancing, sebenarnya susah betul nak buat trip yang betul-betul jadi. Bulan Oktober 2015 cadangnya nak memancing kat benteng pemecah ombak Kuala Terengganu, tak jadi sebab tak cukup masa.
Lepas tu bulan Mac 2016, konon-konon nak mancing pantai kat Pantai Sepat. Pun tak jadi sebab jadual penuh.Sampailah plan ad-hoc yang terbaru hujung minggu lepas. Hajat aku nak memancing tertunai juga akhirnya di Sungai Langat, Sijangkang.

Puncanya pasal gambar ni lah:

Brader dalam gambar ni aku tak kenal,tapi abang dia satu tempat kerja dengan adik aku kat Teluk Panglima Garang nun.

Adik aku setkan satu trip ke lokasi brader ni pagi Ahad berbekalkan 50 ekor udang hidup.Kalau tak silaplah. Tapi nak ceritanya memang banyak standby udang. Mana la tahu ada serangan gerombolan siakap.

Malam sebelum tu aku siap-siapkan perambut dawai 40 paun setengah depa sebagai persediaan menghadapi tentangan monster Sungai Langat,kahkah! Tudiaaa...semangat baq hang.

Teknik yang digunakan macam biasa,pelampung tapi yang aku tak gemar dengan kaedah pelampung ni bila port air laju.Sungai Langat tu aku rasa tak pernah air tak laju kot?

Port pertama aku tak reti nak describe lokasinya macamana. Ada tebing yang agak sempit dan dipayungi pokok-pokok kecik.Boleh la buat tempat berteduh untuk 3-4 orang. Lepas setengah jam,aku dengan adik aku berpindah port.Tak jauh mana pun dari port asal, cuma port tu terbuka sikit, senang nak buat balingan tapi bersedialah dengan sunburn.
Spek aku plak transition lens, rasa macam redup je padahal cuaca panas terik. Kat port ni aku dapat sambaran pertama bila pelampung aku hilang sekejap.Bila pelampung timbul semula, tak ada lagi tanda-tanda aktiviti ikan dibawah. Pelik juga ni.
Bila aku check umpan, udang yang dicangkuk ekor dah hampir putus. Telahan aku mungkin ikan terasa sesuatu yang tidak natural kat mata kail tu. Samada mata kail terlalu besar,atau perambut kasar sangat. Ah, lantakkan. Namanya pun trip target monster, takkan pakai mata kail saiz 8.

Jam bergerak menjelang tengahari, cuaca makin panas, air Sungai Langat semakin perlahan dan menyurut. Tanda-tanda kehadiran ikan cuma sekali, yang aku cerita kat perenggan atas tu. Time ni la perut sakit,adoiiiyaii......part berak tak payah ceritalah ye,ke hangpa nak tau jugak?haha!
 Sekitar jam 2 petang, ikan kembali menyentuh umpan, cuma petandanya terlalu kecil. Hanya getuan-getuan disusuli kehilangan umpan.
Tiap kali labuh umpan tak lama lepas tu mesti pelampung tenggelam timbul, umpama digetu ikan kecik. Macam tu lah keadaannya sampai jam 4.00 petang. Daripada 50 ekor udang, baki yang tinggal kurang dari 15 ekor, kebanyakannya habis disesah buntal. Aku suspek je ni sebab lengkuk gigitan kecik, pastu clean cut. Buntal punya gigi kan macam razor blade. Buntal punya gigi ni dia punya kuat, mata kail saiz #1 pun boleh berlekuk dia gigit.
Lebih kurang jam 4.30pm, kami tapau baliklah. Belum sampai rezeki lagi nampaknya. Mesti korang kecewa, cerita panjang-panjang last-last bawak balik telur je,hihi!
Tak apalah, tak dapat ikan, dapat kawan baru dan jugak sunburn.

Lepas mandi-mandi kat rumah adik aku, kitorang pergi pekena kambing bakar kat Pak Tam Kambing Bakar. Malangnya menu kambing bakar+nasi putih tu cuma ada waktu tengahari. Nak kambing punya pasal kami order je lamb chop dengan nasi putih.

Berasap-asap masa menu ni sampai. Sizzling style lamb chop dia ni.

Hmmm.... nampak menarik. Cer bagitau rasa dia?
.
.
.
.

Ni nak habaq kat hangpa, ni la lamb chop terSEDAP yang aku pernah rasa. Kalau hangpa rasa penilaian aku tak betul, pergi rasa sendiri kat sana.Serius tidak membohongi kalian.
Malam-malam aku rasa ada menu lain yang disediakan gerai-gerai kecik tepi restoran tu umpamanya Yong Tau Fu dan jugak Sate.


Alamat dia:
Pak Tam Kambing Bakar,
B130 Jalan Kebun Baru Batu 10, Telok Panglima Garang

Search guna Waze je, InsyaAllah sampai. Sedikit kekurangan ialah ada sedikit gangguan lalat. Tak adalah terlalu banyak cuma sedikit mengganggu. Diharap restoran Pak Tam menambahbaik dengan memasang perangkap lalat UV kat restoran dia dimasa akan datang.

Jumpa lagi di entri seterusnya. Baiii!



Selasa, 26 Januari 2016

Lata Medang; Liburan Santai Ver.1 2016

N 3 32' 26" E 101 45' 11"
Sabtu lepas aku n da geng HTC (Mr.KI dan Mr.Timi) menjelajah dan bermalam di Lata Medang Kuala Kubu Baru.Lokasi ni dipilih saat-saat akhir atas cadangan orang rumah aku.Persediaan pun last minute jugalah,hari Jumaat baru nak cari kasut getah,beli parang baru,khemah baru,seluar trek baru.Serba barulah sebab dah lama tak camping.Tahun 2014 dulu aku masuk hutan Ulu Sia Raub pakai jeans dengan safety boot je untuk trekking 5 jam.Gila betul.Hasilnya semua kuku jari kaki pecah.
Dalam banyak-banyak barang,kasut getah boleh terlupa beli.Sudahnya aku sarung kasut getah saiz 41 bini aku...dah ini mendatangkan bala di akhir perjalanan.Baca sampai habis ye?
Untuk bermalam satu malam (masuk pagi Sabtu,balik pagi Ahad) aku cuma bawa :

1.dua set baju
2.beras satu kilo
3.sardin satu tin
4.minyak masak sebotol (letak dalam botol budu)
5.garam,kunyit,kicap (simpan dalam zipper bag) 
6.fire starter
7.parang
8.powerbank dua biji (20,000mAh + 5000mAh) dan handphone Sony Z2 yang dicas penuh sebelum masuk hutan
9.tali benang segulung (selalu orang kampung guna untuk buat pembinaan rumah)
10.set basic memancing (ladung,mata kail saiz 10 dan tali 10 paun)
11.khemah untuk 2 orang jenama Coleman Go!
dan sepasang bebola titanium (tak paham nasiblah,haha!)Beg simple je,iaitu beg Deuter yang hari-hari aku bawak pergi opis.
Sebenarnya powerbank sampai dua bijik tu agak melampau sebab Sony Z2 dicas penuh mampu bertahan sampai keesokan hari dengan baki bateri 40%.Itupun malam tu aku layan game dengan mp3 sekejap.Syaratnya kena pakai flight mode lah.Tapi tak apa,apa salahnya bersedia dengan kuasa simpanan lebih kan?
Member lagi dua orang aku tak pasti secara detail barang yang diorang bawa,yang pastinya alatan memasak(mess tin,kuali,periuk nasi dan solid fuel)sosej,megi,telur ayam, sayur???! dan jajan adalah antara barang-barang yang ada masa tu.
Untuk ke lokasi,kami bergerak dari Taman Ehsan ke pintu masuk dengan kereta kodok aku.Wife aku sukarela bawa balik kereta dan jemput balik nanti sebab kitorang fikir tak selamat kot nak tinggal kereta kat situ.Belum betul-betul sampai kat pintu masuk dah nampak bersusun kereta sampai tak boleh U-turn keluar.Mujur Myvi dicipta untuk situasi macam ni,ditambah pulak dengan kecekapan driver level 99999(aku la beb),maka nak pusing keluar balik tak jadi masalah.
Kitorang bertiga cepat-cepat unloading barang sebab tak mau port camping dipenuhi orang ramai.Mujur ada satu group yang sampai serentak dengan kitorang nak panjat Gunung Rajah.Hehehe!dah selamat satu kumpulan.

Perjalanan bermula dengan merentas jambatan gantung dan kebun getah lama lebih kurang 500 meter.Masa ni pun dah boleh nampak sungai berair jernih melalui batu-batu besar.Kondisi trek masih tahap biasa-biasa,umpama jalan kebun lah senang cerita.Kesan tayar 4WD pun ada.Lebih kurang 1km,pendakian pertama bermula iaitu selepas simpang terakhir yang mana laluan ke Lata Medang adalah di sebelah kanan.Sudut mendaki taklah ekstrim,lebih kurang 25 darjah kot??Agak panjang juga trek mendaki ni.Untuk seorang perokok yang tak pernah bersukan macam aku ni,pendakian panjang tu agak meletihkan,tapi bila trek kembali rata,degupan jantung kembali normal dan tempo perjalanan kembali macam biasa.Not bad.
Seterusnya trek semakin sempit dan trek tidak lagi betul-betul rata.Majoriti laluan di peringkat pertengahan ini adalah menaik walaupun sudutnya masih belum ekstrim.Sekiranya laluan betul,dalam tempoh masa satu jam,kita akan jumpa titian kayu bulat yang diikat dengan rantai motorsikal.Tak jauh dari titi ni aku update lokasi ke wife aku.Signal DiGi kat point ni H+ tau? Wife aku yang pernah sampai ke Lata Medang sebelum ni,dia cakap lagi sejam sampai lah tu...Whatttt ???
Anggaran baki 1/3 perjalanan adalah mendaki dengan beberapa tempat sudutnya hampir 70 darjah mungkin.Di peringkat ni Mr.Timi agak barai sebab dia pun sama macam aku,tak pernah bersukan.Aku tak barai sangat (ceh!) sebab aku rasa trek ke Lata Medang ni cuma 1/5 je level sukar dia compare dengan trip Ulu Sia Raub.Mr.KI lain,dia memang pendaki gunung berpengalaman.Dengan backpack besar pun,dia mampu berlari-lari panjat bukit sambil menyanyi dengan lirik lagu ikut suka hati dia.
Dipendekkan cerita,kami sampai ke air terjun Lata Medang jam 11.30 pagi.Rupanya ramai betul manusia kat situ,campsite pun dah hampir penuh.

Ni yang tak syok ni....Kitorang tinjau-tinjau sikit,jumpa la satu tempat lapang berdekatan rumpun buluh.Baru nak buat port,tetiba nampak lipan besar.Tak pasal-pasal lipan tu merasa pakukan parang bau kedai aku.Kemudian muncul sorang pakcik berbaju celoreng PLKN menunjukkan jarinya ke puncak bukit.Ooooo...bisu pakcik ni.
Apa yang kami faham,pakcik tu cakap kat atas lagi ada tempat berkhemah yang lebih baik.Mr.KI pun ikut pakcik tu tinjau diatas bukit,manakala aku dengan Mr.Timi melepak kat bawah.Sempat la aku pekena Winston sebatang sementara nak tunggu diorang turun.
Kemudian Mr.KI turun dan bagitau,kat atas campsitenya agak luas.Tak ada khemah orang lain kat situ.Memandangkan kami mengutamakan privasi dalam berlibur,kami buat keputusan untuk naik setingkat lagi.Dia punya naik,mak aiiiii!!macam panjat dinding dia punya tegak.Tapi tak apalah,asalkan boleh bercamping tanpa gangguan orang ramai.Pakcik bisu tadi kami bayar RM5,upah tunjuk port baekkk.
Cukuplah untuk kami bertiga,huhuhu!
Settle set up khemah dan Mr.KI punya hammock,kitorang masak lunch dulu.Mr.Timi dan KI pilih untuk mandi-manda lepas makan,aku macam biasalah...bikin pancing 1st.Dapatlah seekor tengas kecik.Saiz-saiz nakal camni padan dengan pistol ikan je ni.Petang tu juga ada satu group set up tali dari tempat kitorang mandi-manda sebab diorang nak main waterfall rappelling.Betul ke eja ni.
Mata tengok ikan ye,abaikan abdomen tu
Settle mandi, memancing dan solat,kitorang masak makan malam dulu sebelum hari gelap.Kat sini susah nak buat unggun api sebab kayu-kayu susah dapat.Yang ada pun buluh kering.Belum pukul 10.30 malam lagi kayu-kayu yang aku kumpul dah habis dibakar.
Malam tu kami tidur awal sebab tak ada aktiviti.Rugi tak bawak playing card.Jam 4 pagi ada satu group dari mana tah sembang-sembang luar khemah kitorang.Aku perasan diorang sampai cuma malas nak amik port.Lantak koranglah,jadi la kau sentri kat luar tu.Pukul 6.40 pagi baru aku keluar khemah.Rupanya geng ni masuk jam 2 pagi nak naik puncak bukit tapi tak tau jalan.Selesai solat subuh,diorang patah balik keluar.Ape ke bijak sangat masuk hutan tengah malam?Ekstrim?Haha!Nak ekstrim lagi cer try trekking guna siku.Haaaa,power.Sebenarnya safety paling penting.Contohnya dah panjat air terjun tu toksah la nak berselfie sampai ke hujung tebing,tergelincir karang,selamatlah kamu terbang 70 meter kebawah.

Lepas breakfast,kami mandi-manda kejap,pack barang,dan kemas campsite,kami bergerak keluar jam 10.40 pagi.Lebih kurang 30 minit berjalan keluar aku tukar pakai selipar jamban je sebab jari sakit kasut ketat punya pasal.Ingat lega la pakai selipar,rupanya pakai selipar jamban bijik-bijik tu hazab juga.Melecet tapak kaki siot.Dalam sakit-sakit tu,kitorang sampai ke pintu masuk dalam masa kurang 2 jam.Hari Ahad lagi gila ramai manusia.
Ingatkan ekstrim dah aktiviti pembukaan kami 2016 ni,sekali mainstream daaa..huhu!
Ni lah dia kalau pergi tempat-tempat mudah.Ramai boleh buat aktiviti sama.Pergi tempat-tempat ganas kang,bahayanya banyak.Adoiiiii....Apapun Lata Medang tempatnya cantik,akses pun mudah dan selamat.Kebersihan masih baik.Sampah kitorang bawa balik dan sisa makanan ditanam.Mujur ada Mr.KI yang berpengalaman dalam liburan hutan tanpa mencemarkan alam.
1.Lokasi tengas  2.Tempat public mandi kat bawah sana,kami mandi kat atas,hahahaha!
 Lata Medang ohsemness level,3.5/5 bintang,yayyyy!




Isnin, 16 Februari 2015

Senangin Saat Akhir!

Lama jugak rasanya kan aku tak cerita pasal aktiviti memancing?Entri terakhir berkaitan aktiviti hanyir yang ramai isteri-isteri kurang mengerti ni masa aku masuk hutan Raub dulu.Bulan Mei tahun lepas.

Sebenarnya sesekali ada juga aku turun padang, cuma hasilnya taklah best mana.Segan nak riuh rendah setakat bawak naik gelama pisang.Cuma Ahad bebaru ni aku berjaya juga menguji kekuatan kombinasi Ryobi AP Power II + Lemax Starmaxx yang dipasangkan tangsi 25 paun.Ikan apa yang mengasak peralatan diatas,teruskan bacaan tak berfaedah ni,huhu!

Port memancing aku dengan adik-beradik biasanya di Pulau Carey,yakni didalam territori Sime Darby Plantation.Maksudnya  tempat tu bukan untuk semua orang access.Setakat ni hasilnya taklah membanggakan sangat,cuma tempat tu taklah jahanam dibelasah terlalu ramai pemancing.

Semalam aku dengan adik-beradik pergi ke Pulau Carey untuk memancing,tapi tak masuk ke port biasa memandangkan member dalaman Sime Darby sibuk dengan pertandingan memancing kat pantai Morib.Kitorang pun pergilah ke pantainya dengan harapan yang tak seberapa sebab masa tu jam dah pukul 9 lebih,sedangkan peak level air pasang dalam pukul 8 macam tu.

Telahan aku memang betul.Sampai je kat pantai,air laut dah beratus-ratus meter dari tebing pemecah ombak.Driver punya pasal la ni,dia bantai tido jam 5 pagi lepas layan movie,pastu aku call pukul 6 pagi,telefon tak berangkat.Pukul 6.30 pagi aku call adik aku yang duduk Teluk Panglima Garang mintak dia cuba call pulak.Aku dah tak berapa nak semangat sebab confirm tak sempat kejar waktu air pasang.Baik sambung tidorr….

Lebih kurang pukul 7.40,adik aku yang paling muda(driver) call bagitau dia on da way,singgah isi minyak kejap katanya.Pulak dah.Aku baru je nak masuk fasa hibernasi hujung minggu.Dekat pukul 8.00 baru dia sampai Kota Damansara,switch driver (aku pulak yang jadi driver).Bagi can dia lelap sekejap.

Dah sampai Teluk Panglima Garang,memusing-musing pulak dalam 20 minit mencari rumah adik aku sorang lagi ni.Hantu betul.Ada ke patut,aku mintak koordinat rumah dia,dibaginya koordinat Sekolah Agama Rakyat.

Dari situ pulak gerak ke pantai Pulau Carey,itu yang sampai pukul 9 lebih tu.Lepak sekejap bincang-bincang rancangan seterusnya,kami decide nak pergi Morib.Adik aku suggest pegi istana lama Sultan Selangor kat Jugra.Tengok-tengok tempat bersejarah.Sampai kat jambatan masuk ke Pulau Carey,adik aku cerita pulak pasal kolam pancing.Ah,pegi tengok orang memancing pun boleh lah.

Akhirnya kitorang kumpul-kumpul duit, dan check in memancing kat situ bertiga.Untuk tempoh 3 jam minima,kos satu pancing RM60 + RM20 deposit.Total damage RM240 3 batang pancing.Ikan-ikan yang ada ialah kerapu,siakap,jenahak,kaci dan senangin.Umpan udang hidup pulak RM0.50 seekor.Murah kot.Biasa seringgit sekor.Tolak deposit semula masa check out nanti,total damage RM180.

Dalam sejam yang pertama kitorang guna kaedah bottom dan adik aku yang paling muda mendahului carta dengan tangkapan ikan jenahak dalam anggaran 2.5kg++ minima.Pancing aku senyap sunyi sampai masuk jam kedua.Ada ragutan tapi udang yang dicangkuk dikepalanya hilang.Pandai ikan tu curi senyap-senyap.

Bekal udang hidup pulak dah meninggal sebab kurang oksigen,terpaksa la aku pakai kaedah pelampung dengan udang kopek.Kira tawakkal habis dah ni.Masa tu la wife menghantar mesej-mesej WhatsApp yang meruntuhkan lagi moral memancing selepas tiada update tangkapan,huhu!

 

Setengah jam terakhir aku cabut pelampung dan guna kaedah bottom semula.Bezanya cuma persembahan umpan tak fresh dan natural langsung.Kalau rezeki ada,ada lah…...

Tak lama lepas tu tali pancing aku bergerak sikit.Aku pegang pancing dan rasa pergerakan tali di hujung kail dengan jari.Aku tarik slow-slow untuk rasa ada lagi ke tidak ‘orangnya’…..tetiba ‘makhluk’ yang menelan kail aku lari!

Aku layankan dengan agak santai (sambil duduk kat kerusi plastik),dan biarkan ikan menarik keluar tali dari spool dengan drag yang diset agak loose sikit.Bila dipam naik ke permukaan,ikan tu membenam semula dengan gagah.Fuhhhh…terbaik betul feeling masa tu sambil ditemani Surya original.

Lebih kurang 5 minit,ikan dah pancit dan berjaya disauk.Apa taknya,set pancing medium heavy 9 kaki dengan mesin saiz 8000.Ooooo…encik senangin rupanya.Hampir dua kali panjang dari jenahak pertama tadi,anggaran beratnya mungkin lebih kurang 5kg++ maksimum.

Lepas ambik gambar lebih kurang,post kat FB untuk next trip approval,then kitorang bungkus balik rumah bikin kari lahh...

Next time dah confirm tak ada masalah bebelan untuk trip seterusnya.Terbaik juga kolam ni.Siapa nak try kolam air masin yang baru buka Disember lepas ni,cuba-cuba la cari kolam GANSAAN berhampiran jambatan baru dekat dengan traffic light ke Pulau Carey.Koordinat dia aku tengok dalam gambar:

Gansaan

 

Walaupun hasil kitorang cuma dua ekor,bukan bermakna kolam ni tak banyak ikan.Pemancing-pemancing lain aku nampak busy juga melayan ikan.Yang lima,enam kali rabut pun ramai.Rezeki memasing kan?Mana nak sama si kucing belang(tiba-tiba).

Apa yang aku perhatikan,ada pemancing yang mempraktikkan kaedah casting udang kopek (agak efektif) dan ada yang sekadar melayan bottom dengan umpan isi ikan kembung.Dua mata kail tak apa,asalkan bukan mata tiga.

Equipment cukup dengan mesin bersaiz 4000 dengan rod medium 5-6 kaki.Tali 15-25 paun la kot.Rasa-rasa nak melayan ikan lebih,buat la macam adik aku yang duduk Teluk Panglima Garang tu.Tak pernahnya nak beli set pancing kasar sikit,semuanya ciput-ciput.Bila trip ke pantai mula la tali habis bila baling jauh.Aku lain,jarang main kolam,tak pernahnya ada set kecik-kecik.Nantilah cari set macam mikro jigging tu.Zen Zagan ke apa tah nama rod dia.Satu lagi,penyauk bawa sendiri punya.Kat situ takde sediakan penyauk.

Bekal makanan,rokok dengan air bawak la sendiri siap-siap.Dari situ nak keluar ke kedai berdekatan kompom malas.

 

* Aku rasa nak share sikitlah dekat perenggan tambahan ni.Kitorang naik Vios G manual 2nd generation 2013 adik aku punya.Base model je.Masa baru beli dulu pun aku pernah cerita dah  tentang keekonomian FC dia.Sekarang ni kalau aku compare balik dengan Myvi tua aku,FC Vios dia lagi ohsem lah.

Dia refuelling full tank dekat Taman Medan,gerak ke Seksyen 4 Kota Damansara,kemudian kitorang masuk NKVE dan SKVE sampai ke Teluk Panglima Garang.Pusing-pusing sesat,masuk Pulau Carey,patah balik keluar pulau dan balik ke Kota Damansara.Total distance aku tak pasti.Yang aku pasti betul bila sampai kat tempat parking kereta rumah aku di Seksyen 4,meter bahanapi dia masih tak bergerak-gerak.Kalau Myvi aku tadi confirm dah hilang dua bar paling kurang.

Nak kata Vios tu standard pekak,memang taklah.Piping complete dari manifold sampai muffler stainless steel,saiz berapa aku tak pasti.Masa low rpm bunyi dah serupa enjin boxer.Intake funnel Apexi dipasangkan untuk pernafasan mesin 1NZ-FE yang kemudiannya dikerah pula untuk mengheret rim 17 inci.

Efisien?Ya.Sangat efisien.Seriously.Walaupun reputasi Vios dipandang remeh oleh sesetengah so called hardcore automotive fan, realiti yang enjin purbakala 1NZ-FE still relevant because of their FC & reliability.Bak kata majalah KERETA,bulletproof.Lain kali baca prakata editor dia.

Rabu, 7 Mei 2014

Pahit Manis Misi Tengas Ulu Sia;Part 2

Sambungan …

 

Pagi Jumaat agak awal juga aku bangun.Lepas solat subuh,aku terus prepare set pancing.Kaedah simple sudah,batu hidup dengan perambut 25 paun sekaki setengah.Air laju-laju ni tak guna perambut panjang,cepat kusut.

Kitorang guna umpan cengkerik,yang agak mujarab sebenarnya.Aku cuma dapat seekor ikan saiz juvenil,entah tengas ke kelah tak taulah.Tapi ikan ni menyambar masa aku karau pancing untuk periksa umpan.Maknanya ikan-ikan kat sini lebih suka menyambar umpan yang bergerak.Sebab tu geng-geng asli kat sini cuma guna pancing bodo dari pelepah palma dengan berumpankan buah hutan berwarna merah.Buah tu kecik je,agak keras sebab dalamnya cuma ada bijik dan saiznya besar sikit dari pellet airsoft.

Kaedah memancingnya memang unik.Umpan tadi dihayun(lebih kurang macam menghempas) ke permukaan air.Ikan-ikan sungai bersaiz dua tiga jari memang kebulur dengan buah ni.

IMAG2018_BURST001

Mr. Ben10 praktikal kaedah tradisional asli Semai

IMG-20140503-WA0019

Adik beradik tengas jugak kot??

IMAG2014

Ikan saiz juvenil yang dipancing orang asli.Depa peduli apa amalan catch & release

Menjelang jam 10.00 am keatas,tak ada lagi getuan ikan.Maybe semua dah lari.Lubuk tu agak sempit dan selebihnya cetek dimana kami jadikan tempat mandi-manda.Total hour aku memancing pun rasanya sekitar 4 jam je.Malas nak explore lubuk lain sesorang atas faktor keselamatan.Kejap lagi aku cerita pasal apa.

Hari tu diisi dengan aktiviti rilek-rilek je sambil tunggu orang asli bawa balik ikan.Diorang ni tak reti duduk diam,kejap memancing,kejap menembak.Keje kitorang masak makanan sambil-sambil halau lebah.Kat sini nyamuk tak ada tapi lebah yang banyak.Mujur bukan jenis lebah yang bisa sangat.Kalau kena sedas dua tu sakitnya dalam 10 minit jugak la baru hilang.

 

Aktiviti sepanjang hari:

IMG-20140503-WA0011

IMG-20140503-WA0027

Abg. Mel sampai juga ke lokasi walaupun tenaga dah 0%

IMG-20140503-WA0009

Abg.P,pak imam dalam misi ni

IMG-20140505-WA0033

Abg. Din,bab masak dia handle

IMG-20140503-WA0008

Abg. Jul,barang camping macam nak duduk dua minggu dalam hutan,hehe!

Sepanjang tiga hari dua malam dalam misi ni,banya benda yang kami belajar terutamanya persediaan yang sesuai.Misi ni amat meletihkan sebab ada beberapa perkara yang tersalah jangka terutamanya keperluan-keperluan yang optimum untuk aktiviti lasak macam ni.

 

1.Pakaian

- Orang lain punya pakaian dah ok,kecuali aku.Aku dengan selambanya memakai jeans dan menyarung safety boot Oscar.Rupanya sangat susah bergerak dalam hutan dengan seluar jeans dan kasut yang berat.Next time kena cari pakaian yang lebih fleksibel dan kasut kicap.

 

2.Kelengkapan

-Sebaiknya barangan untuk survival kena optimum,tak lebih,tak kurang.Sebahagian besar membawa barangan yang berlebihan.Sebaiknya barang semua dalam beg galas dan tak perlu ada objek untuk dipegang sepanjang masa.Lebih mudah untuk bergerak dalam hutan.Berat maksimum untuk selesa bergerak aku rasa tak lebih dari 10kg.

Untuk alatan memancing memadai bawa set medium dengan panjang rod maksimum 6 kaki.Dua set cukup,tak payah banyak.

 

3.Informasi tepat

-Yang ni paling penting.Punca dua benda diatas berlaku ialah informasi yang tidak tepat.Jangkaan awal ialah perjalanan mengambil masa selama dua jam.Kondisi dan jarak trek tidak diketahui.So ramai yang tersalah jangka dengan membawa bebanan lebih dan juga apparel yang tak sesuai langsung.

 

4.Alatan sokongan

-Kami bawa portable stove dengan empat tin gas.Agak mudah tapi memerlukan ruang.Barangkali lepas ni kami perlu bawa hexamine fuel tablet.Begitu juga dengan pencahayaan malam.Sistem lampu mentol dengan bateri kereta agak tidak praktikal untuk dibawa jauh kedalam hutan.Lepas ni group kena invest beli sistem lampu yang compact dan pencahayaannya cukup terang.

 

5.Keselamatan diri

-Jauh didalam hutan tanpa sebarang komunikasi dengan dunia luar memang berisiko.Sebarang aktiviti yang boleh mengundang kecederaan perlu dielakkan.Tapi kita cuma mampu merancang….

IMG-20140505-WA0007

Spot yang ditunjukkan anak panah merah adalah spot yang hampir meragut nyawa Abg.Jul.Asalnya beliau meranduk air cetek tapi seliparnya hanyut ke spot tersebut.Beliau cuba mengambil seliparnya semula dan tiba-tiba beliau disedut masuk kebawah batu.

Kami semua panik tak tau nak buat apa terutamanya Mr.Ben10 yang menyaksikan kejadian tu depan mata.Aku yang masa tu pakai kain pelikat pun macam tak percaya sebab tak nampak apa-apa.Dalam berdebar-debar tu nampak tangan Abg Jul keluar dari celah batu.

Hasil usaha beliau sendiri yang fight for his life,beliau berjaya menimbulkan kepala untuk mengambil nafas.Seriously kejadian tu agak meninggalkan trauma sebab kami tak mampu buat apa-apa untuk menyelamatkan beliau.Alhamdulillah umur beliau masih dipanjangkan.Sampai hari ni aku terasa agak kesal sebab buntu dalam saat-saat genting macam tu.

Walaupun spot tu nampak biasa je kan,tapi sebenarnya sangat dalam dan airnya deras memasuki celahan batu.One way in kedalam lubang,almost impossible to get out.

Sekali lagi diingatkan untuk diri sendiri,UTAMAKAN KESELAMATAN.Do not underestimate the power of nature.

Ingat lagi perenggan yang aku cerita pasal orang asli ternampak harimau besar lembu?Sebenarnya Mr.Ben10 pun ada ternampak masa mengejar orang asli yang lead trekking.Masa tu dia dah kena tinggal dengan orang asli,kitorang pulak jauh tertinggal kat belakang.Betul ke tidak wallahua’lam…

 

6.Sentiasa dalam kumpulan

-Jangan berpecah-pecah.Orang asli memang laju langkah dia,tak terkejor baq hang.Kita ada disiplin masuk hutan,jangan tinggal kawan,rehat bila barai.Banyak kes sesat dalam hutan sebab tersasar dari trek.Bila bergerak dalam kumpulan In Sya Allah laluan kita betul.Kalau sesat pun sesat semua sekali,hahah!

 

Personally,banyak benda yang aku dapat daripada misi ni.Terutamanya erti sebenar merindui anak isteri.Aku memang biasa dah jauh dengan anak bini,seminggu sekali baru jumpa.Tapi dalam hutan ni lain.Mana boleh calling,WhatsApp.

Satu lagi aktiviti ni macam motivasi juga.Mengajar kita merendah diri dan sedar kita ni insan yang kecil dan lemah.Jauh kerdilnya berbanding alam ciptaan tuhan.Macam aku cerita dalam entri satu lagi,1/3 trek je kami bergerak guna tenaga,selebihnya dorongan mental.

Kalau takut penat,taknak cari sakit baik baring depan TV layan HBO.Tapi inilah pengalaman tak ternilai harganya yang barangkali sekali seumur hidup.

 

Next time kalau ada rezeki berkomplot masuk hutan lagi,kita rancanglah baik-baik.Pertimbangkankan point-point yang aku nomborkan.Selebihnya kita serahkan pada Allah S.W.T.Sekian,jumpa lagi.

Pahit Manis Misi Tengas Ulu Sia;Part 1

Assalamualaikum semua,

 

Entri ni barangkali akan menjadi entri terpanjang dalam sejarah aku berblogging.Siapa rasa malas nak baca intro,skip je terus ke perenggan #Misi Bermula.Ceritanya adalah berkenaan misi mencari ikan false mahseer/tengas/kejor.Entah betul ke tidak nama ikannya aku tak tau,korang pandai-pandai la bezakan.Perkara pokoknya ikan ni hanya boleh didapati di sungai-sungai pedalaman yang belum tercemar airnya.Kampung aku pun pedalaman jugak,tapi air sungai serupa teh ais ceroi.

So,nak mencari ikan elusif yang mendiami sungai-sungai cantik berair deras ni kat mana?

Maka Mr. Ben10 (member sekampung,tapi nama betul aku tak tau,hahah!) mengaturkan satu trip ke hulu Sungai Sia,Raub,Pahang (N 3 56’ 47’’,E101 42’ 54’’).Trip ni sebenarnya dah sebulan dirancang oleh Mr. Ben10 dan juga geng-geng angler senior dari Klang,aku cuma kebetulan dijemput sama disaat-saat akhir.

Misi Kejor

Mr. Ben10 agak bertuah bermentuakan orang Raub,ada 4WD pulak tu.Syok sangat la beliau meneroka ceruk-ceruk kampung.Dari aktiviti tu juga beliau mengenali orang asli,key person yang boleh diharap untuk memandu arah dalam hutan.

Aku pulak secara tiba-tiba bersetuju ditambah lagi dengan greenlight bini aku yang entah macamana setuju aku keluar memancing.Selalunya ada beberapa questionnaire dan ayat-ayat penurunan moral.

Tarikh 1 Mei 2014 (Khamis) lepas dipilih untuk bergerak ke Kampung Ulu Sungai,trekking 2 jam,pacak khemah dan mula memancing.Pagi Sabtu keluar dari hutan.Simple je cerita dia.Aku cuma bawa baju sepasang dua,kain pelikat,torchlight,Maggi Big Curry 6 bungkus,sardin 3 tin kecik,beras 2kg,bekalan rokok dan parang.Set pancing macam biasa,mesin RYOBI AP Power 8000 tak tinggal,Ajiking AirMaxx 5000 dengan rod AwaShima dan PT Pioneer 8 kaki,nah kau!Orang lain siap sleeping bag bagai,aku cuma bawak sweater kot-kot temperature malam serupa Kutub Utara.

Dengan pakai T-Shirt + jeans + safety boot + barang-barang dekat 15kg,aku terpacak tunggu member-member lain sampai kat tol Gombak.Dalam kepala,kosong,takde preparation mental.Ah,boleh je bohhh!Aritu rilek je gua panjat Bukit Hari kat FRIM,tak semput pun.

 

Dekat pukul 9.00am semua geng komplot sampai.Selain Mr. Ben10 dan aku trip ni disertai empat sekawan yang jauh senior,semua nak masuk 40-an dah.Jul,P,Mel dan jugak Din.Abang-abang  hardcore berenergi seladang semua ni.

IMG-20140505-WA0017

IMAG2005

Borak-borak dalam perjalanan,beli barang pastu lepak minum kat Batu Malim,kitorang terus gerak ke Pusat Pembiakan Ikan Kelah Agro Harvest yang dijadikan stesen untuk menurunkan barang.Tiga orang asli akan guide kami masuk ke hulu Sungai Sia.Selain jadi guide depa ni jugak bawak barang-barang kitorang.Siapa lagi nak pikul bateri kereta NS40 dengan beras 5kg bhaiii…

Menengokkan barang-barang Mr. Ben10 dan geng-geng angler senior,ternyata bebarang aku paling ‘ringan’.Depa punya aku suspek tak kurang 20kg.Gagah betul depa ni.Perjalanan dimulakan dengan bacaan doa oleh Abang P,semoga perjalanan selamat pergi balik dan juga dapat ikan tengas besar peha,hehe!

IMAG2009

Empangan lama

Route ke lokasi memancing sejauh lebih kurang 7km bermula dari : Pusat Pembiakan Kelah Agro Harvest -----Empangan-----hutan buluh betong-----tiga anak sungai-----pondok-----lokasi memancing.Keadaan trail 70% extreme level amatur dimana kebanyakan masa mendaki anak bukit dan menyusur tebing sungai dengan kecerunan 60-70 darjah.

 

Misi Bermula

12.45PM- Fasa pertama ialah laluan 4WD dari Pusat Pembiakan Ikan Kelah hingga ke empangan lama sejauh setengah kilometer kot,agak barai juga mendaki laluan tu.Empangan lama tu nama apa aku tak tau.Tak sempat nak kaji.Lepas rehat dalam 10 minit dan menembak gambar,guide kami terus memanjat tebing bukit.Aku yang langsung tak pernah trekking ni mula rasa tenaga dah tinggal 20% walaupun belum sampai ke hutan buluh betong.

Setakat pikul beg mungkin tak jadi masalah,tapi yang menyukarkan perjalanan ialah batang pancing,beg khemah,botol air dan dua bijik bekas plastik kuih raya.Susah nak berjalan kot?Hangpa try la kalau nak rasa.Punya la hazab nak bergerak.

2.45PM- Meredah tebing tinggi yang dipenuhi pokok buluh.Tempat berpijak memang ngam-ngam tapak kasut.Masa ni kaki dah rasa macam diheret,bukan berjalan lagi dah.Agaknya ujian untuk kami,cuaca menjadi gelap tanda-tanda nak hujan.Bergegas kami ke tempat orang asli menunggu kat atas batu selepas hutan buluh.Diorang punya muka chill je sambil pam rokok Surya.Sambil gelak-gelak diorang cakap ada nampak harimau besar lembu.Jilaka lawak tak best langsung,takde mood gua nak gelak dalam keadaan barai.

 

Masa ni diorang cakap tempat mancing tu tak jauh dah,cuma tinggal 3 anak sungai kena rentas.Bunyi macam dekat je kan,kejap lagi tau la macamana.Pukul 3 lebih kami bergerak semula ke lokasi sasaran.Dua orang asli dan Mr Ben10 dah hilang jauh kedepan.Aku ingat tak sampai 100 meter kot dari tempat rehat lepas hutan buluh tadi,kitorang berhenti semula.Aku,Syuk,Jul,P dengan Man dah mengalami masalah tekanan moral,huhuhu!

Sudahnya kitorang berjalan 5 minit,rehat 10 minit.Lantaklah,barai nak mampos dah ni.

2 kilometer terakhir merupakan perjalanan paling ekstrim dalam hidup aku.Pertamanya laluan yang semakin sukar,kedua tenaga yang langsung dah tak ada,ketiga air minuman pun habis dan yang keempat lokasi yang dituju tak tau berapa jauh lagi.Orang asli dah hilang kemana tah.Masa tu jam dah pukul 5.20pm.Jerit panggil member depan pun dah tak ada menyahut.

Tapi sebenarnya cabaran yang paling kuat ialah melawan fikiran negatif.Beberapa kali aku berhenti pekena rokok sebatang dua dan duduk berfikir,what the hell i’m doing here didalam hutan tebal dengan tenaga yang dah lama habis….Alangkah enaknya waktu-waktu ni duduk dirumah melayan anak isteri atau bermain game konsol kegemaran.Damn…

But,turning back is not an option.

Berbekalkan kekuatan mental kami bergerak perlahan-lahan dan bagai pekena seplastik air ketum,kami bersemangat semula bila orang asli yang leading paling depan muncul depan kami membantu angkat barang.Maknanya lokasi memancing dah dekat.Masa ni segala tenaga dalaman RGK,PASKAL,PASKAU,VAT69 semua keluar.Serius terasa macam dah nak habis fasa latihan escape & evasion.

5.45pm- Kami kumpulan terakhir sampai ke lokasi.Aku letak barang,buka baju sarung seluar mandi,terus berendam.Tak mampu nak cakap apa dah.Air minum pun terus teguk dari anak sungai je.Lepas mandi,solat dan makan aku rehat je.Esok-esok ajelah memancing….

 

Bersambung…

Selasa, 11 Mac 2014

Kepentingan Line Roller Bearing

Tercerita pasal Banax GT Extreme,baru aku teringat satu benda yang aku nak tuliskan.Aku ni memang pesen macam ni.Satu entri terdahulu akan diikuti entri susulan yang nampak macam sama.

Minggu lepas aku servis mesin bajet rendah Tomman Megatronic AL4000 yang aku beli tahun 2010 dulu.Mesin tu amat jarang aku pakai sebenarnya disebabkan ketiadaan masa untuk serius memancing.Ditambah lagi dengan kehadiran satu set pancingan yang baru,mesin ni dibiarkan berhabuk dalam stor.

TOMMAN REEL   MEGATRONIC AL   TCE TACKLES SINGAPORE PTE LTD

Lampu disko kat rotornya memang lulz!

Secara amnya Tomman Megatronic 4000 ni dibina dengan material murah dan kejuruteraan yang ringkas untuk membolehkannya dijual pada harga bawah RM50.Aku dah lupa berapa tapi memang amat murah.

Nama pun mesin murah,maka prestasinya pun oooppsss gituu!!haaaa!Paham kot ye?Bila aku uji mesin tu yang dipadankan dengan rod AwaShima untuk mengangkat helmet,terasa dragnya agak tersangkut-sangkut.Lepas tu tali monofilamennya jadi berpintal-pintal macam mee megi.

Agak pelik juga sebab sistem dragnya bersih dan sudahpun diletakkan sedikit pelincir untuk mengelakkan karat.

Kemudian aku periksa line roller.Masa spooling tali tanpa beban,line roller bergerak lancar.Tapi bila mula menarik beban,line roller berhenti bergerak dan tali mula bergesel.Tekanan tali menekan line roller rapat ke bushing plastik yang berfungsi sebagai ‘bearing’ dan seterusnya rotor jammed.Itulah punca drag tersangkut-sangkut dan tali jadi mee megi.

942c

Contoh line roller Shimano

Disebabkan pengurangan kos binaan,mesin Tomman Megatronic ni cuma dibekalkan 3 ball bearing,dua di gear pemacu dan satu untuk bahagian rotor (pinion gear).Ketiga-tiga bearing ni bekerja dengan baik,cuma ketiadaan bearing pada line roller menghadkan keupayaannya bekerja.Patut la masa aku pam belukang 1.5kg pun rasa macam pam kayu balak hanyut.

Kesimpulannya ialah,pilih mesin pancing yang mempunyai ball bearing di tempat yang menerima tekanan tinggi semasa bekerja.Tak banyak bearing tak apa,janji ianya diletakkan ditempat yang betul.

Contohnya macam ni:

 

1 pada pinion gear

2 pada gear pemacu

1 pada line roller (paling penting)

1 pada handle

1 infinite anti-reverse gear

Kombinasi 5 + 1 bearing ni biasanya tak mungkin dapat bawah RM100.Harga mesin pancing mahal-mahal pun belum tentu dapat hasil.Kena sesuaikan dengan padang pancingan.Cuma kalau pernah rasa betapa smoothnya mesin yang baik kejuruteraannya,tentu dah tak berkenan lagi pakai mesin bajet.

Walaupun pemakaian line roller bearing ni selalu diabaikan pembuat mesin bajet rendah,sebenarnya tugas line roller lah paling kritikal.Diorang ni tak study ke apa.Bayangkan tugas menyusun tali yang tegang ditarik ikan ditanggung oleh roller yang hanya dialas dengan plastik.Merepek sungguh!

Impian Seorang Pemancing…

Entri ni pendek je sebab topiknya lebih kepada persoalan untuk pihak yang berkaitan.Dulu aku pernah follow satu page Facebook iaitu Kelab Joran Facebook.Agak meriah page ni tapi aku unfollow beberapa minggu lepas sebab rasa “terganggu” dengan posting “ini ikan ape yewww?”.Serius aku tak rasa penanya soalan tu ikhlas memang tak tau nama ikan.Posting macam tu lebih kepada menganjing atau minta kaki perhatian.

Macamanapun sesekali aku jengah juga page tu.Yelah,jiwa gua memang dekat dengan alam semulajadi,hehe!

Tadi aku terbaca satu post yang agak interesting untuk difikirkan.Ada satu brader tu post gambar slip gaji dia yang menunjukkan baki bersih RM264.30.Hajat beliau nak pakai kekili mendatar Banax GT Extreme,tapi dengan baki sebanyak tu makan minum anak isteri perlu diutamakan dulu.Macamana pun brader tersebut sanggup mengenepikan impian beliau asalkan anak isterinya cukup makan pakai.Yang penting berkat bang.

Aku selalu rasa macam tak cukup duit,padahal kombinasi gaji agak boleh la selesa sikit.Kurang keberkatan agaknya…

 

Banax-qpsvgv

Mesin Banax GT Extreme ni takdelah mahal sangat.Untuk saiz 5000 harganya sekitar RM270 macam tulah.Untuk range harga sedemikian spesifikasinya agak mantap,cun dan padu dengan 7 bearing,drag maksimum 30kg bla..bla..bla..baca kat sini jelah senang, http://www.banaxfishing.co.nz/banax_spinning_gt_extreme.htm

Cuma mesin ni agak berat sikit (kata orang yang pernah pakai).

 

Khabarnya potongan gaji yang banyak adalah disebabkan dulu beliau pernah menjamin seorang kawan untuk membuat pinjaman.Kawan lari,dia yang kena selesaikan hutang.Aku bersimpati dengan nasib brader ni.Persoalan yang bermain difikiran aku sekian lama ialah,kenapa pihak bank meletakkan beban bayaran balik kepada penjamin?Sedangkan peminjam yang lari bebas hidup aman.Paling koman pun kena blacklist.

Bagi aku tanggungjawab bank ialah mencari peminjam sampai dapat,tak kiralah pakai kaedah apa sekalipun.Minta polis keluarkan waran tangkap ke.Jangan terus proceed minta duit dari penjamin.Naya kat orang beb.Imagine macamana brader diatas mengharungi kehidupan sukar tambahan lagi sekarang ni RM50 dapat beli dua kali je barang dapur.

Kerja dengan bank komersil sekarang ni kena berhati-hati..Jangan seronok makan bonus je.Sedar atau tak,riba berleluasa.Nama je Islamic banking,entah apa yang Islamic tah.Pinjam RM5000,bayar balik RM9800.Cer citer mana Islamnya?

Oklah,daripada aku meroyan lebih-lebih kat sini,ada baiknya kalau ada sesiapa yang arif tentang perbankan Islam meninggalkan komentar diruang komen.Kita kongsi ilmu perbankan.

 

Pendek je entri ni ye dak?

Isnin, 20 Mei 2013

Trip Pertama di Pulau Carey

Semalam,(Ahad,19 Mei 2013) satu trip memancing telah diaturkan oleh Mr.Bantan..Mr.Bantan ni kawan sekampung aku.Walaupun tak sebaya,kami pernah sama-sama mengharung susah payah berkelana di Puchong masa zaman habis persekolahan dulu.

Sekarang Mr.Bantan berkhidmat dengan Sime Darby R&D Pulau Carey,dimana kaki pancing lembah Klang mesti tau yang persekitaran Pulau Carey amat banyak port memancing yang baik,cuma akses terhad menyebabkan hanya segelintir dapat masuk kedalam kawasan hakmilik Sime Darby ni.

Pulau Carey bukanlah seperti pulau yang kita semua faham,iaitu setompok daratan yang berada ditengah-tengah laut.Pulau Carey terbentuk apabila aliran Sungai Langat memisahkan sebahagian daratan menjadi seperti sebuah pulau.Pulau ni cuma ada ladang sawit,kilang pemprosesan sawit,perumahan kakitangan,fasiliti R&D dan juga biodiesel plant.

Disebabkan hampir kesemua permukaan Pulau Carey dimiliki oleh Sime Darby,akses kepada orang luar sangat terhad,melainkan korang adalah orang asli Mah Meri.Orang asli je boleh keluar masuk sesuka hati,sebab diorang adalah penduduk asal Pulau Carey ni.Memandangkan Mr.Bantan adalah kakitangan Sime Darby,dapatlah kami menumpang memancing kat pulau ni.

Berdasarkan jadual pasang surut,air mula pasang lebih kurang jam 7.00am.Maka aku tiga beradik bersama abang ipar mula bergerak dari Kota Damansara lebih kurang jam 6.15am.Mujur barang pancing dah siap packing dan bekalan nasik goreng juga wife aku sempat siapkan.

Agak kelam kabut juga pagi tu sebab masa adik aku sampai,aku masih terbongkang kat katil.Alarm bunyi pukul 5.30am pun aku tak sedar dah.Puncanya malam tu aku tak boleh tidur sebab cuaca panas,walaupun rasa mengantuk lepas balik dari diagnose kereta kat Rawang.

Selepas menghenjut Vios merentas NKVE,ELITE dan SKVE,kami sampai di depan guard post Sime Darby jam 7.02am.

Eksplorasi ke lokasi memancing memerlukan motorsikal untuk meredah ladang sawit,dimana Mr.Bantan sudah uruskan semuanya.Kami cuma parking kereta di kuarters kakitangan,dan motorsikal sudah tersedia untuk dilenjan.Lebih kurang 15 minit masa perjalanan untuk merentas ladang sawit untuk ke lokasi memancing yang terletak di koordinat 2.902075,101.369774.

 

IMAG1034

semua orang hati banyak hepi loo

 

IMAG1036

selipar kena buka sebab wajib randuk lumpur paya bakau

Cabaran seterusnya adalah seperti diatas.Itu baru sikit.Di tempat yang betul-betul lembut,kaki aku terbenam hampir ke paras lutut!Walaupun jarak yang perlu diranduk lebih kurang 30-40 meter saja,terasa pancit jugalah menarik kaki dari lumpur sambil memegang barang pancing.Cuba tengok stokin lumpur kat kaki diorang ni:

 

IMAG1037

 

Lebih kurang jam 7.45am barulah aktiviti memancing bermula.Mr.Bantan menyediakan umpan ikan belanak sebanyak 2kg,dan udang pasar setengah kilo kot.Kata dia umpan lain kurang ampuh.Isi belanak lebih berkesan untuk memancing spesies gelama pisang dan senangin.Tapi macamana pun dah tentu tuan rumah yang score dulu.Mari lihat aksi beliau,saspen gak la tengok beliau mengepam mesin pancing:

 

IMAG1039

Bakal hasil pertama yang membuat kitorang teruja

IMAG1043

Tuuu diaaaa!!ikan belukang!

 

Walaupun ianya ikan belukang,kira oklah daripada membangau.Kemudian ikan tu dilepaskan semula supaya menjadi lebih monster,hehehe!Lagipun sebenarnya reputasi belukang ni agak buruk disebabkan dongengan orang dulukala.Khabarnya ikan ni makan tahi.Mungkin zaman purba dulu orang Melayu berak tepi sungai.La ni Melayu dah berevolusi jadi spesies manusia yang lebih bertamadun,mana ada berak tepi-tepi sungai lagi dah.

Malangnya nama belukang tetap juga tercemar.Kasihan si belukang…..Agaknya kalau ikan belukang ni sedap macam patin masak tempoyak,sure berebut orang terjah pantai Sekinchan.

Apapun sasaran kami ialah ikan bersisik.Gegaran pancing aku yang pertama rupanya dihenjut sirat-sirat,rupanya lebih kurang belut.Fighting dengan sirat-sirat ni agak best juga sebab berat macam ikan besar.Tapi perambut habis jahanam digulungnya.

Tak lama lepas tu ikan bersisik pertama naik,iaitu gelama pisang yang menjamah umpan isi belanak di kail aku,diikuti Mr.Bantan yang mendapat gelama pisang juga dengan saiz besar sedikit.

IMAG1046

Ikan ni kalau banyak memang syok melayan,tapi teknik ragutannya yang halus menyukarkan kami yang selalu melayan sambaran belukang ni.Banyak yang miss.Tak ada spesies lain berjaya dibawa naik.Sehingga jam 1.30pm,semuanya gelama pisang kecuali ikan penutup yang memakan umpan aku iaitu ikan buntal.

Lepas tu kami terus balik sebab kelaparan.Walaupun hasil tak berapa memberangsangkan,aku yakin port ni berpotensi cuma masa pancingan tak cukup panjang.Arus didasar sungai agak kuat memandangkan batu ladung saiz 8 masih lagi mudah hanyut.Mungkin kena pakai ladung bersegi.

Next trip boleh cuba-cuba bermain casting sebab banyak siakap menyambar berhampiran tebing.Mungkin boleh cuba kaedah casting udang kopek.Cuma kali ni kami semua bawa set pancing agak kasar,tak sesuai langsung untuk casting.

Akan datang diharap ahli forum WhatsApp AFC dapat membawa bekalan makanan secukupnya untuk stay sampai petang.Boleh hayun fasa air pasang dengan surut sekali.Sambil tunggu ikan makan,kita boleh gotong royong bikin dangau tempat berteduh.Rugi woo datang jauh-jauh tapi mancing sekejap je.

Isnin, 22 April 2013

Misi Gagal Di Jeti Wak Sempuh

Sejak ada set pancing baru ni,semangat nak memancing jadi berkobar-kobar lain macam.Sampai rasa nak ambik cuti pegi memancing.So semalam(Ahad),aku try satu port memancing kat Bagan Lalang.Port ni boleh tahan glemer kot,atas suggestion dari member sekampung.

Maklumat lokasi yang diberi nama Jeti Memancing Wak Sempuh ni aku dapat dari blog jenahakpanggang.Dari entri beliau,tempat memancing ni memang lumayan dengan ikan-ikan gred A.Bacalah sendiri,confirm menggigil joran korang kat rumah,hehehe!

Tepat jam 4.00am,aku dan adik aku bergerak ke lokasi yang terletak di koordinat 2"36"29.67 N / 101"42"09.31 E,berbekalkan burger oblong dan kueh teow sebekas besar,hasil air tangan wife aku yang risaukan suaminya kelaparan.Itu ajelah yang aku bawa selain dua set pancing.Adik aku yang ikut sekali,terpaksa membeli rod baru iaitu rod X-Puyu Legend 9 kaki untuk menggantikan rod AwaShimanya yang patah dan dipadankan dengan kekili AjiKing Airmaxx 5000.

Umpan memang tak dibawa langsung memandangkan dari informasi asal,kat jeti tu ada jual umpan udang hidup dengan harga 0.50sen seekor.Cantiklah,bayaran masuk pun murah,RM4 je,umpan pun senang dapat.

Dalam perjalanan,member aku yang sampai lagi awal bagitau umpan dah habis.Mana mau cari umpan daaa…sampai aku terfikir nak guna daging burger oblong buat umpan.Aku sampai ke Jeti Wak Sempuh jam 5.20am.Umpan pun tak ada nak memancing apa kejadahnya.Aku pun cuba-cuba la tanya kolam pancing berhampiran,kot-kot sudi menjualkan barang lima enam ekor udang hidup.Tapi tak ada rezeki juga sebab stok dia pun sikit,lagipun ada tiga orang tengah memancing kat kolam tu.

 

IMAG0935

Jeti Wak Sempuh jam 7.26am

 

Maka,perkara yang sepatutnya dilakukan adalah tidur dalam kereta menunggu hari cerah.Jam 7.30am,aku meronda pekan Sungai Pelek mencari pasar/mini market untuk mencari udang mati.Agak pelik juga,kat situ pasar/mini market pun cuti.Jam 8.30am,aku bersama adik aku,Toficx Man dan Bob(teka kenapa nama dia Bob) mencari umpan di pasar basah berdekatan pantai Bagan Lalang.Yang ada cuma udang bersaiz L dan XXL,dengan harga sekilo RM32,saiz XXL tak payah tanya.Akhirnya kami beli ikan kembung sekilo.

Disebabkan Bob seorang yang peramah,Bob berjaya mengayat makcik penjual ikan tu untuk memberitau lokasi menjual udang hidup.Bukan sekadar informasi umpan,Bob juga berjaya mendapatkan kotak polistrin bersaiz besar siap dengan ais.

Menurut makcik tu,umpan udang hidup ada dijual dikedai pancing yang terletak bersebelahan 7-Eleven.Kami terus kesana dan membeli udang hidup sebanyak 30 ekor(RM10).Murah punya pasal,rasa macam nak beli RM20.Lega rasanya bila dah ada umpan…

Hampir pukul 9.00 jugakla baru dapat labuhkan umpan.Time macam tu matahari dah mula terang dan membakar kulit,disamping terasa baju basah akibat peluh yang berjejeran.Semangat punya pasal,tahan jugalah demi hobi yang tak berapa nak tegar ni.

Masuk pukul 10.00am,akhirnya tak boleh tahan lagi dah.Bukan setakat panas punya pasal,umpan pun belum digetu ikan.Yang anehnya lagi,air terlalu tenang dengan parasnya kekal sama macam jam 5.30am tadi.Mujur adik aku kreatif,bersebelahan kerusi tempat duduk berbumbung tu ada bunting UITM yang terbiar.Dia gantung buat khemah terus.Baru la selesa nak memancing.Toficx Man and the gang kecuali Bob sedap je aku tengok berbaring atas jeti tengah panas.Kalis haba betul la nelayan part time ni.

 

11.00am……………

 

12.00pm……………

 

Bob dah mula bosan,kengkawan lain dah berbunyi-bunyi nak terjun dalam air sebab tak tahan panas.Yang kelaparan pun ada.Masa ni jeti dah dikunjungi agak ramai orang termasuk yang membawa keluarga sekali.Umpan udang aku dah ditukar ke hirisan ikan kembung,lepas tu pasang udang balik.Keputusannya tetap sama walaupun nampak paras air mula naik tapi dengan sangat perlahan.

Akhirnya jam 12.30pm,aku pun bungkus selepas member aku bagitau pancingan muara ni memang macam tu bila dah masuk tengahari.Ikan tak selera nak menjamah umpan ditambah lagi air baru nak pasang.Beliau berjanji untuk mengaturkan trip gantian ke lokasi khas bulan Mei nanti sebagai ganti.

Disebabkan misi ni misi yang pertama selepas lama memeram pancing,aku terselamat dari bebelan isteri.Next trip wajib kena ada hasil sebagai impression yang baik dan untuk memastikan trip-trip seterusnya mendapat sokongan isteri.

 

Antara beberapa perkara yang aku boleh highlightkan dalam misi ni sebagai pengajaran ialah:

 

1.Waktu pasang dan surut air juga wajib diambilkira selain dari memilih hari yang baik iaitu dua hari sebelum dan dua hari selepas air mati.

2.Jangan mengharapkan udang di Jeti Wak Sempuh,beli udang hidup dan udang pasar sebagai backup.

3.Walaupun tempat tu buka 24 jam dan ada kedai makan,kedainya tak buka 24 jam ya.Sila bawa bekalan makanan.

4.Lokasi ni sememangnya jeti,maka banyak bot yang keluar masuk.Kekadang aku tengok driver bot macam saja-saja je lalu rapat dengan tempat orang lontar umpan.Aku suspek kekerapan bot lalu tu menyebabkan ikan lari.(alasan tipikal orang tak pandai mancing,haha!)

 

Bayaran RM4 untuk sebatang joran tidak dikenakan sebab aku tengok kaunternya tutup.Kesimpulannya hari tu tak ada rezeki dengan keadaan air yang tidak mengizinkan.Maybe aku tak pandai memancing sebab tu tak dapat ikan,tapi orang lain pun aku tengok membangau jugak,hehehe!

Nama lain untuk keadaan ini ialah “kumpau”,hampir menyamai tajuk sebuah filem parodi lawak Amerika tahun 2002 lakonan Steve Oedekerk iaitu Kung Pow.Bezanya filem tu dipenuhi lawak bangang parodi filem Hong Kong,manakala kumpau bukanlah satu perkara lawak.Kebarangkalian untuk menjadi bahan ketawa kawan-kawan sangat tinggi.

Rabu, 3 April 2013

Dapat Juga RYOBI AP Power II Reel!

Petang tadi aku berjaya mendapatkan kekili sasaran sebagai teman rod Lemax Starmax Z 9 kaki iaitu RYOBI AP Power II 8000.Hasil kajian di forum-forum pancing dengan kata kunci kekili bajet antara RM200-RM400,beberapa jenis kekili dicadangkan antaranya Daiwa Fream J,Banax GT 3000,Ryobi AP Power,Daiwa OpusBull 4500 dan beberapa lagi.
Sesetengahnya menghampiri angka empat ratus,tapi Ryobi AP Power lebih menyerlah dengan reliabiliti dan harganya yang jauh murah berbanding yang lain,kata bebudak dan otai-otai forumlah.Selepas memantau lingkungan harga di forum-forum dan mudah.com,aku dapati harga termurah ialah RM230 di sebuah kedai di Klang.Kalau ada yang murah lagi aku tak pasti.Rezeki la kalau jumpa.
Atas saranan saudara Taufik Azman atau lebih dikenali sebagai Toficx Man dikalangan member-member aku,beliau menunjukkan sebuah kedai pancing di Klang.Lokasinya tak sempat aku nak set dalam GPS.Kedainya kecil sahaja.Di cermin depan kedai terpampang kadbod bertulis "harga tetap".Kompom tak boleh negosiasi nih!Tak apalah,masuk dulu tengok barang.
Ngam-ngam dalam kaca pameran aku ternampak kekili ni berposing cantik dengan tanda harga RM230 sebelah Daiwa Saltiga.Saltiga tu lagi cunlah,tapi tanda harganya agak kabur-kabur sikit,entah RM2200 atau RM220.0.Kalau RM220 memang aku sambar  Saltiga tu.Bila aku tanya tauke kedai yang bermuka ketat sebab tak nak orang mintak diskaun,dia sebut Saltiga tu memang RM2.2k.Fuuuuuuuu!!!
So,aku terus buat-buat jatuh hati kat RYOBI walaupun kecewa dengan harga kekili yang lagi mahal dari downpayment kereta aku.Sebenarnya memang aku target AP Power je,malas nak belek kekili lain.Lepas dikayuh-kayuh sikit dan main-main dragnya untuk dengar bunyi "erangan" mesin kalau ditarik ikan,aku bersedia untuk membayar.
Kemudian baru aku perasan mesin ni tak ada suis anti reverse.Agak terkedu aku sekejap.Lepas bincang2 dengan Toficx Man,aku teruskan niat membeli kekili ni sebabnya fungsi suis on-off anti reverse tak berapa penting sangat.
Oh ya,spesifikasi asas kekili yang beratnya 595 gram ni ialah nisbah gear 5.0:1,drag maksimum 10kg,enam galas bebola,bail arm yang tebal,knob bulat aluminium dan spool dari material yang sama.Kapasiti tali yang boleh dimuatkan ialah 200 meter untuk tangsi berdiameter 0.435mm.Tapi aku penuhkan spool dengan tangsi 25 paun je.Cukup la kot agaknya.
Asyik dok puji je macam tak fair pulak ye tak?Mesin harga macam ni ada beberapa kekurangan.Antaranya berat,lebih setengah kilo tu.Agak bisa-bisa jugak otot lengan aku masa masukkan tali dalam spool.Kedua,tiada suis on-off one way clutch.Istilah one way clutch ni aku tak pasti betul ke tidak,kalau salah harap maafkan.Anti reverse kot.Macamanapun ianya terpulang pada pendapat masing-masing.Yang ketiga,"erangan"nya agak kurang nyaring.Maybe telinga aku yang problem,sebab hari-hari exposed kat bunyi mesin.
Lain-lain semua ok.Informasi tentang penggunaannya di medan pancingan bolehlah korang baca di forum kaki pancing.Yang ni 'bau kedai' lagi,heee!
*Nama lain untuk reel ni ialah Tubertini AP Power.Walaupun rupanya sedikit berbeza pada bahagian spool,sebahagian besar partnya adalah sama.Sangat susah nak mencari review yang baik tentang kekili ni apatah lagi bila ramai yang ragu-ragu ketiadaan model AP Power dalam senarai model di laman web RYOBI.
Kekili ni adalah kolaborasi antara Tubertini dan RYOBI.Untuk review yang agak panjang,boleh baca di totalseamagazine.com.Reviewnya sangat positif dan ada juga jawapan kenapa suis anti reverse ditiadakan pada kekili ni.

Isnin, 1 April 2013

Rod Pancing Lemax Starmax-Z Series

Semalam aku ke kedai TCE Tackle Shah Alam sebab nak beli set pancing baru.Set pancing terakhir yang aku beli sebelum ni sangatlah asas.Bayangkan dengan bajet tak sampai RM100,aku dapat beli rod,kekili dengan tali.Imagine la betapa cap ayamnya jenama yang aku beli.Entrinya ada aku tulis kat sini.Tapi harga bukan penentu hasil pancingan.
Setakat ni set pancing tu tak ada masalah langsung,cuma mungkin tangsinya dah reput.Itu saja.Macamanapun tak mungkinlah aku nak pakai set pancing tu sampai bila-bila.Semalam aku beli rod pancing baru jenama Lemax model Starmax-Z Series.Jenama Lemax ni taklah grand sangat,tapi dari respon yang aku baca kat forum-forum pancing,semuanya berpuashati dengan jenama tempatan ni.

34ceb1e4-056c-4cbc-ba99-11da129a0b5b
Nombor model Starmax-Z Series yang aku beli ialah STS-Z 90HF2 berukuran 9 kaki dengan dua section.Baru puas baling umpan kelaut!Sesetengah spesifikasi rod ni aku tak berapa faham sangat,tapi yang jelasnya rod ni dibina dengan material grafit,tujuh cincin,pemegang gabus,seat kekili grafit,dan dibina dengan ciri GCF(Gradual Curve Fighting).Entah apa kelebihan GCF ni aku tak tahulah,ikan cepat surrender kot.Memandai jerr!
Rod ni dikategorikan sebagai berat,aksi pantas,kekuatan tali 12-40lbs dan berat umpan maksimum sehingga 60 gram.Harganya RM166,tak ada diskaun ahli.
Tali yang aku pilih ialah tangsi monofilamen jenama Tomman Elephant BigFoot berkekuatan 25 paun dengan diameter 0.30mm.Mulanya aku nak beli tali sulam,tapi bila memikirkan bajet…lain kali sajalah.Lagipun tali sulam ni menyerap air,ditambah lagi aku ni agak pemalas dalam menjaga alat-alat pancing,potensi untuk tali mahal mereput adalah sangat tinggi.
Kekuatan tali 25 paun aku rasa dah mencukupi walaupun ada juga terlintas niat dihati nak padankan rod dengan tali 40 paun.Mengikut sejarah pemancingan aku,belum pernah aku daratkan ikan lebih 2kg,hahaha!So,jalan paling bijak adalah memilih tangsi yang patut padan.
Peralatan seterusnya adalah yang paling penting,kekili.Mulanya aku dah pilih kekili jenama Ajiking model Airmaxx 5000.Model ni dilengkapi 7+1 gegalas(bearing),termasuk satu one-way clutch bearing.
Tapi disaat akhir aku perasan tuil on-off one-way clutchnya macam tak ada spring,agak loose gitu.Kebetulan itu je unit yang ada,maka tak jadilah aku beli kekili.Kat kedai TCE Tackle ni tak banyak jenama pilihan,yang ada cuma jenama Tomman,Ajiking,dan Banax.Kekili Banax jenama Korea ni agak ok juga prestasi dan harganya tapi model SX nya kelihatan old school sikit.
Balik rumah buat sikit survey,aku terjumpa satu model yang bersesuaian dengan bajet dan jenamanya yang agak baik iaitu RYOBI AP Power II 8000.

ryobi

Ini antara jenama Jepun tapi harganya berpatutan.Dulu semuanya dibuat di Jepun,tapi sekarang dihasilkan di China.Semuanya berkaitan dengan tujuan untuk menawarkan harga yang kompetitif.Kat Selangor ni tak tahulah berapa harganya,kena rajin meronda dalam minggu ni.

Jumaat, 9 September 2011

Geografi Nasional;Swamp Monsters

Entri sebelum ni aku ada mention pasal misi Swamp Monster tu.Ni lah gambar-gambar yang aku sempat tembak dengan kamera henpon aku.

Landasan kapal terbang baja yang dah lama tak digunakan.Terletak berdekatan simpang masuk ke Felda Lepar Utara 10.Jarang manusia nak masuk felda ni kecuali penghuni kat sini je.
Masa ni aku tengah tunggu sebijik EX5 yang pancit.Sebenarnya jalan ni boleh sampai ke Sri Jaya,Kuantan.Tapi pakai 4WD la lebih selesa.Naik motor pun boleh,tapi sakit pinggang ngan sesak nafas.Nak pulak musim kemarau,habuknya tak boleh tahan.
Perjalanan melalui jalan ladang sawit,jalan balak,kemudian masuk ke jalan estet Asia Palm Oil,Maran.Agak jauh kedalam lagi aku agak terkejut bila jumpa kompleks kilang pemprosesan sawit Carotino Sdn.Bhd.Apekehal buat kilang dalam area hulu banat ni?Dengan takde jalan raya bertar,selekoh tajam,macamana tanker bawa minyak sawit mentah keluar dari kilang?Nanti aku tanya mat Indon.

Cabaran yang biasa bila lalu jalan ladang.Kali ni tayar tertusuk duri pelepah sawit.Bukan sekadar duri je mampu memancitkan tayar,batu kerikil kat sini pun tajam.EX5 yang pancit kali kedua ni aku balutkan tiub baru dengan tiub lama,buat dua layer.Simpanan tiub cuma tinggal satu je lagi.Tawakkal sajalah.

Suda sampe pak!
Lebih kurang pukul 3.00pm baru sampai ke lokasi selepas beberapa kali salah jalan masuk.Bertolak dari rumah member aku(Bantan),jam 11.45am.Amacam?Kebas bontot jalan jauh macam ni dengan permukaan jalan yang bumpy.Habuk kat muka dah macam bedak SilkyGirl.
Selain tu,kulit aku rentung terbakar.Tak sangka panas cuacanya boleh membakar kulit dengan jangkamasa singkat.Lokasi spesifik tempat ni susah nak ditentukan.Lagipun kawasan ni berdekatan Paya Bungor,memang banyak tasik dan paya.
Mengikut koordinat Garmin GPS,lokasi ni berada lebih kurang 7-8 km dari Lebuhraya Pantai Timur.Kampung terdekat ialah Kampung Paya Rambutan.Spesifiknya adalah disini:

Lat: 3° 46' 15.8916"

Long: 102° 52' 57.057"
Semak samun hutan sekunder.Kawasan dah ditebang balaknya,semak macam ni memang cepat naik.Bulan Mei lepas adik aku datang tempat ni,kawasan ni clear lagi.

Nilah dia paya sasaran.Actually port memancing ni agak tersalah koordinat sikit.Di sebelah hujung nun kawasannya agak luas.Cuma siapa yang berani nak redah area ni.Mamat dalam Man vs.Wild tu boleh kot.Musim panas toman duduk tengah-tengah tasik.

Periuk kera yang bersepah kat tebing paya.Hutan banat macam ni je ada.Walaupun kampung aku agak jauh dari bandar,susah juga nak jumpa periuk kera ni.

Gua suspek ni kerja toman rempit remaja.Umpat keli besar sikit dari ibu jari gua ni cuma dibaham ekor.Bukan takde saiz monster,tapi yang besar-besar betis gua buat bodo je umpan lalu depan mata.

Riak anak ikan toman.Gua ada lukis anak panah,tapi apasal tak berapa nampak pulak ni....Adik gua tengah kacau kumpulan anak toman amik udara.Mak dia punyalah besar,tapi tak layan macam Tiz Zaqyah yang gua jumpa kat Burger King Damansara semalam.
Sebut pasal Tiz Zaqyah,gua ingat dia tinggi,rupanya saiz petite je.Patut la Remy Ishak nampak tinggi.Gua saspek badan Remy Ishak sama tough macam gua jugak.

Memula usya dulu pastu...
Berendamlahhh!Lagi mau tunggu kaa?

Umpan keli 16 ekor tak cukup menaikkan barang seekor dua toman.On da way balik kitorang singgah ke Sungai Berakit.Gua tak pasti nama sungai ni nama rasmi atau adik gua memandai letak nama.Cuaca panas berbahang buat kitorang terlentang kat sungai cetek ni.
Sedang gua rilek-rilek sejukkan badan tetiba gua nampak satu benda hanyut yang agak menarik perhatian....Laaaa...sebijik rapala gemuk rupanya.Matakailnya dah takde.

Ni satu lagi kawasan yang agak 'misteri' bagi gua.Apekejadah diorang buat dalam hutan tebal ni.Member-member gua cakap ni lombong emas.Tapi taktau syarikat apa yang run operasi perlombongan ni.Ada satu simpang lagi menghala ke Mineral Mine apa tah.Mineral apa gamaknya diorang lombong tu.Air mineral??Menurut maklumat dari Google yang sempat gua buat research kejap tadi,site ni adalah sebuah lombong tembaga bernama Mengapor Copper Mine.

Lain kali gua repeat lagi port ni dengan keli 50 ekor pulak.