Memaparkan catatan dengan label Autotechnik. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Autotechnik. Papar semua catatan

Sabtu, 15 Oktober 2016

Projek Auto : Phase #1

Salam semua, maaf lama tak update blog. Dalam dua-tiga minggu akan datang aku akan tuliskan beberapa artikel major berkaitan automotif untuk perkongsian.
Ada satu projek penambahbaikan akan dijalankan keatas teman setia aku sekeluarga yakni Myvi 1.3 manual pekak yang baru-baru ni mula menunjukkan tanda-tanda nazak.

Sebagai persediaan sampingan, pagi tadi aku standby beli beberapa alatganti komponen yang aku rasa perlu ditukar serentak dengan penambahbaikan tu.

1. Palam pencucuh Platinum G-Power DCPR7EGP
2. Absorber mounting Alza
3. Belting BANDO 6PK1630
4. Pad brek belakang Myvi TRW

Keempat-empat item diatas dibeli dengan kos RM250. Mahal? Aku rasa tak kot. Murah sangat pun tidak. Sedang-sedang je la. Buat masa ni kedai spare part kegemaran aku ialah Kumuru Autopart. Bunyi macam kedai macha, tapi sebenarnya kedai spare part yang terletak kat Taman Daya Kepong ni dimiliki seorang tauke Cina yang peramah.

Esok ( Sabtu,16 Oktober 2016 ) aku akan hantar kereta ke bengkel #JemboJDMgarage untuk kerja-kerja seterusnya.

Nantikan artikel akan datang.

Jumaat, 15 Julai 2016

Menukar Motor Kipas Radiator Myvi

Salam Syawal dan berjumpa lagi dalam siri berpomen kereta sendiri. Posting-posting sebegini agak jarang sebab bila kereta rosak baru ada story. Kalau boleh jangan la rosak manjang, tapi yelah kereta dah tua banyak la part yang dah mula uzur.
Baru-baru ni kereta aku ada masalah waktu nak pergi kerja. Sambil-sambil tunggu traffic light hijau, aku perasan ekon tak berapa nak sejuk. Aku pusing tombol sampai nak habis pun tetap sama. Aishhh...apesal pulak ni?
Kemudian aku perasan temperature enjin makin meningkat.Ah,ni kipas buat hal la ni. Kipas radiator aku tu memang aku dah mark akan kong bila-bila masa. Almaklumlah dia dah berjalan keliling bumi 6.2 kali. (250,000km).
Step pertama,jangan gelabah puyuh. Buat-buat cool macam takde pape. Kalau sangkut tengah jem kereta tak bergerak, matikan ekon, turunkan cermin dan tutup enjin. Nak bergerak baru start. Dalam kes aku, area rumah aku tu je jem sikit sebab ada construction MRT. Lepas area Pelangi Damansara, baru la line clear sampai Taman Daya Kepong.
Motifnya adalah kerana waktu kereta tak bergerak, haba enjin tak dapat dibuang dengan bantuan kipas. So kalau dah nampak jarum temperature tu perlahan-lahan naik, tutup je enjin sebelum jarum sampai garis merah. Lebih garisan merah ni, kebarangkalian untuk head bengkok sangat tinggi.

Bila kereta bergerak, ada bantuan aliran udara dari depan, so tak ada masalah sepatutnya. Aku buat macam tu sampai la selamat parking kat opis. Bila enjin dah sejuk sikit, bolehlah buat kerja-kerja penukaran motor kipas. Problem benda-benda yang bernama motor ni biasanya carbon brush habis je, jarang rosak sebab isu lain. Kalau kipas angin rumah selalu jem tu pasal takde grease kat shaft dia. Selalunya kipas rumah cap ayam la yang tak pakai bearing. Diorang ganti dengan benda serupa tembaga tah apa nama dia.

Cara-cara nak DIY motor kipas Myvi ni kacang je. Org lelaki wajib kena tau, yang perempuan tak apalah, takkan nak baring-baring bawah kereta dengan baju kurung pulak. Ikut step kat bawah ni, sori ya gambar tak ada.

1. Sediakan tools seperti ratchet sekali dengan extension dia. Tak perlu yang panjang-panjang, yang 3 inci pun cukup sebab ruang kerja tak banyak, soket saiz 8 dan 10mm, pemutar skru Philips dan playar.

2. Apa-apahal pun sebelum mulakan kerja, tanggalkan terminal -ve bateri. Safety ni, jangan tanya kenapa. Lepas tu buka kotak penapis udara. Ini senang je, buka klip lepas tu buka dua bolt 10mm. Angkat keatas untuk lepaskan kotak penapis udara dari throttle body.

3. Cabut hos getah radiator. Sebelum cabut tu pastikan enjin dah sejuk ye. Kang ada yang kena kukus. Cabut bahagian hos yang melekat pada radiator. Yang ni pakai playar je. Kepit klip dia bagi longgar dan bolehlah tarik hos.

4. Tanggalkan soket kipas. Pandai-pandailah buat macamana asalkan tertanggal tanpa merosakkan dia.

5. Persiapkan ratchet tadi dengan extension dan soket 10mm. Buka empat bolt di kesemua sudut housing kipas. Bahagian yang paling sukar ialah bolt di bahagian bawah yang paling hampir dengan foglamp. Boltnya agak kedalam dan ruang yang ada sempit. Aku baring terus, senang buat kerja. Usaha lah sikit ye?

6. Selesai buka semua bolt, tarik keatas housing kipas tu. Nampak macam susah nak lepas, tapi memang boleh keluar. Kreativiti tu penting.

7. Buka nat saiz 8 yang mengikat kipas kepada syaf motor dan dua skru Philips untuk menanggalkan kipas dari housing.

8. Bawak part pegi kedai sparepart. Sebut je nak motor kipas radiator Myvi 1.3. Kalau diorang tak kenal, baru tunjuk sampel part. Memang ada pesen kedai spare part yang suka minta nak tengok sampel, takut tak sama. Tapi jarang la tokey tak kenal, lagipun bukan kereta modified.

9. Brand asal yang ada pada Myvi 1.3 facelift 2009 ialah Denso dan Made Indonesia. Aku beli brand yang sama cuma printing atas motor tu tulis Made In Japan dengan harga RM120. Tak tau la ori ke tidak. Harganya oklah pada aku.

10. Yang terakhir, pasang balik ikut reverse order, atau bahasa ibundanya undur balik. Lagi tak paham,haha! Senang je kan? Topup balik air radiator then free to go.

Semalam masa balik kerja wife aku ada bagitau satu cerita yang boleh dijadikan teladan. Berkait dengan cerita motor kipas radiator ni jugak.
Kawan dia menghadapi problem yang sama macam kes aku ni lah. Kawan dia pun call la husband dia. Dalam dok menunggu tu datang la pomen macha yang offer bantuan. Kawan wife aku ni pun cakap tunggu husband dia sampai.
Lepas 3 jam tunggu, husband dia sampai dan bagi approval untuk pomen tu repair. Masalah bemula disini.

Lepas bagi approval husband dia terus blah tinggalkan bini dengan pomen. Pomen pulak jenis nak mengencing je kerjanya, dikaborkan la yang ada benda lain rosak juga. Si isteri ni tentu-tentu lah tak tau apa, terpaksa agree sajalah dengan kos pembaikan yang berganda-ganda.
Pomen macha ni charge lebih RM500 untuk problem kipas rosak ni saja. Kesian campur marah bila aku dengar cerita wife aku.
Harga mahal tu nombor dua. Yang paling penting apesal tinggalkan bini macam tu saja? Eh, rasa nak mencarut pulak dalam bulan Syawal ni. Dibuatnya bini dia kena culik ke, rogol ke cemana??
Haiii la manusia macam ni pun ada. Nak cari ilmu berpomen jauh sekali, tunggu dan jaga keselamatan isteri pun tak boleh? Tak payah kawin la cam tu bang. Toksah bagi alasan sibuk kerja, jadi apa-apa karang menyesal pun tak guna dah.
So, suami-suami sekalian, jadilah jantan yang bertanggungjawab. Jangan tau nak sedap je. Belajar sikit-sikit asas membaiki kereta. Aku pun bukan lahir-lahir pandai terus, dah tentu la belajar. Duit dah tentu jimat, hasil kerja puashati. Lagipun macho apa lelaki main minyak, kotor-kotor tangan.
Sekian.

Isnin, 7 Mac 2016

Edited Persona R

Ini ialah model ujian Persona R yang tersebar di media internet kebelakangan ni. Memandangkan ujian jalanraya sedang rancak dijalankan, kekerapan model ini dilihat berkeliaran dijalanraya agak tinggi, dan kebarangkalian ianya di'spyshot' oleh peminat juga tinggi.


Takpayah letak kredit pun tau dah gambar ni dirembat dari mana.Sorry ya funtasticko.

Pertama sekali, Persona R dibina berasaskan platform Iriz.Kalau diikutkan sepatutnya model yg diuji ni dibina sebagai Iriz variasi sedan.Entah macamana Proton punya matematik ekonomi, diorang sedankan Iriz lalu diberi nama Persona. Pada pendapat aku, ini tidak betul. Apa platform Persona tak ok kah? Selain dari jawapan nak berjimat, aku tak rasa ada jawapan lain yang sesuai.
Kemudian langkah meng'sedan'kan sebuah kereta kontot amat berisiko untuk nampak hodoh.Tengok la Fiesta sedan,jahanam punggung dia.Sebabnya kereta kontot cenderung berbumbung tinggi dan bahagian sisi agak tegak.
Secara jujurnya ada beberapa bahagian yang aku tak berkenan dengan 'Iriz' panjang ni.Yang paling ketara ialah tayar yang nampak kecik amat.Ada sesetengah komen cakap ni testing unit,production unit maybe pakai rim besar sikit.Yeke macam tu cara orang buat ujian?

Ujian untuk model baru macam ni adalah ujian keseluruhan kereta yang bermaksud serba serbi bahagian kenderaan diuji.Berkenaan dengan tayar,aku tak rasa saiz tayar akan berubah bila memasuki fasa produksi.
Sebabnya daripada perubahan radius tayar sahaja,data berkenaan fuel consumption, pecutan, tork, penentuan nisbah gear dan kalibrasi meter halaju akan berbeza.Jadi,semestinya unit yang diuji wajib menyamai model produksi.Takkan la pulak test mule pakai CVT, sampai kat market gearbox auto tradisional plak.
Rekabentuk adalah sesuatu yang amat-amat kritikal terutamanya dalam industri automotif.Jangan cuba-cuba buat kelainan yang tak pernah dibuat orang.Mengambil risiko itu bagus, tapi buat penilaian risiko dulu ( baca sebagai market study).
Jarang sangat pengeluar mainstream cuba-cuba buat design yg terlalu radikal untuk mass produce.

Perhatikan gambar asal diatas dan badingkan dengan yang dibawah.
Aku dah buat sedikit perubahan pada rekabentuk Persona R supaya nampak lebih sesuai di mata aku.Hangpa tak suka lantak hangpa lah.


Toksah pertikai skil Photoshop aku tu ye?Aku usik-usik Photoshop dalam laptop ni setahun dua tiga kali je.Nampak rompong ruang tayar dia kan? Haha! Ni baru la arch roda yang seimbang dengan body. Nama pun Persona R,apa barang model 'R' pakai rim 14 kilang. Tak apa, dah beli nanti cari rim besar sikit.


Ni bahagian-bahagian Persona R yang aku ubah sikit ikut selera aku.
1. Arch roda di'dalam'kan beberapa cm depan dan belakang.
2. Garisan 'bahu' aku naikkan sikit bermula dari fender depan sampai ke pertengahan pintu belakang supaya selari dengan aras garisan lampu depan.
3. Door handle depan aku naikkan sikit untuk selarikan dengan garis bahu yang aku naikkan tu.
4. Bahagian bontot aku tak usik walaupun bumper tu nampak aneh juga.Mungkin berbeza pada model produksi.Berlainan dengan bahagian yang aku edit. Bahagian-bahagian ni kalau nak ubah last minute memang kos besar.

Lepas ni Proton tolonglah buat arch yang sesuai dengan badan.Pleaseeeeeee!!!! Sejak dari Saga BLM,macam itu la pesennya.Cetek benar arch diorang ni.
 Satu lagi berkenaan huruf R. Huruf  'R' pada model-model kereta tertentu bukan boleh suka-suka letak. Ingat Honda letak Type - R tu saja-saja nak bagi nama kereta dia sedap ke?
Walaupun nama kereta diatas belum rasmi, peminat dah memandai-mandai tambah aksara. Rasa-rasanya takde kot model Proton yg pakai aksara tambahan ni. Bayangkan betapa tak kena nama ada R tapi pakai rim kompang dengan suspensi jinjang. Lain la versi R3.
Serupa emblem TURBO lah. Macam tahun 80-an plak.Sorry to say....mana ada dah orang tepek emblem turbo sebab nak bagitau yang kereta diorang pakai turbo. Paling- paling pun letak huruf 'T' je. CONTOH; Exora T-BOLD. Tak ke ganas bunyinya.

Korang setuju atau tak sila respon dengan berhemah.Ok bai.

Isnin, 29 Februari 2016

Speedometer Passo Merah Edisi Bajet

As requested by Mr. Eastone, aku tuliskan satu artikel untuk beliau sempena menyambut speedometer Passo backlight merah. Serius aku tak tau apa-apa langsung pasal barang-barang Passo ni. Selain dari aksesori yang berbagai-bagai spec,harga juga sangat varian daripada kategori mampu milik,sampailah jajan-jajan mahal yang super rare.
Barang-barang rare aku tak pandai nak cerita lah,yang aku tau meter bertenggek atas kolum stereng tu maknanya dah swap dashboard Passo. Main body dengan dashboard ni kira naiktaraf dari kelas main stiker zaman 2008 dulu. Itupun berapa ribu dah lebur akibat racunan kengkawan. Sebab tu la aku maintain body facelift 2009 rim patbelas,haha!

Ok, ada satu hari Sabtu tu wife aku dengan anak-anak nak tidur kat Taman Pinggiran,so aku macam biasalah,merdeka macam orang bujang. Cepat-cepat aku rojer Mr. Eastone kot-kot la dia tak balik kampung jenguk bini.
Kebetulan pulak dia pun tengah melapok kat rumah mengerjakan barang kereta dia. Memang cantik sangatlah buat port melepak sampai malam.Dia tanya aku,
"pandai main solder tak?"
Aku jawab "ada barang,on je.takdak hal."

Sampai kat rumah dia @ "bengkel", rupanya dia tengah kaizen suis foglamp kot.Bulbnya dah terbakar. Masalah dengan lampu-lampu suis/meter ni,pengeluar gunakan mini bulb. Susah siot nak cari. Jalan Pasar mungkin la ada kot.

Dalam gambar kat sebelah ni ialah bulb asal yang terbakar. Kakinya cukup panjang untuk dimasukkan kedalam casing.
Disebabkan alatganti tak ada,Mr. Eastone rembat bulb dari radio mana tah,tapi masalahnya kaki dah pendek.
Sebab tu yang dia tanya aku pandai solder ke tidak. Aku gamble jelah sambung kaki sampai jadi. Boleh la menyala warna merah butang suis tu.

Kerja-kerja mengkaizen belum selesai lagi sebenarnya. Mr. Eastone minta tolong aku solderkan LED strip warna merah untuk diletakkan belakang muka speedometer. Meter Passo yang dia pakai sekarang warna kuning,tak Racy kata dia. Entah,aku pun tak faham lagi permainan Passo ni.
Aku pun sambungkan la tiga gugusan LED merah yang mengandungi 3 LED setiap satu. Plan asalnya nak selitkan gugusan strip LED tu belakang muka meter je sebab jarum tak boleh cabut. Agak lawak method tu sebab hasil kerja barang pasti caca marba dengan wiring yang berserabut. Mana nak tap power source lagi.
Dipendekkan cerita entah macamana Mr. Eastone berjaya mencabut jarum speedometer yang menjadi penghalang proses pembaraian meter Passo. Hah! Dah senang kerja la ini macam.
Rupa papan litar speedometer Passo yang dibaraikan termasuk LCD display ditanggalkan sekali

Bila aku perhatikan betul-betul, LED speedometer ni sebijik sama dengan LED strip yang kami dah modified awal-awal tadi. Aku bagitau dia,kalau ada bran,buang LED lama ( kuning ),letak LED baru la. Kemas skit. Boleh pulak dia tanya aku balik,"kalau hang,bran tak?"
Bran tak bran la kan,dah buat pantang mundur kecuali bini call.

Lastly kitorang try sebijik dulu. Nak menanggalkan LED dari strip dah satu hal,nak solder pulak benda-benda saiz mikro ni tangan tak boleh goyang. Mamat ni punya solder pun satu macam,hujung tip dia tak berapa panas.
Walaupun susah sikit, akhirnya satu LED berjaya dipasang. Apa-apahal pun test dulu.Yess!! Berjaya.
Untuk LED seterusnya,kerja-kerja berjalan agak pantas sebab dah cekap sikit. Gila kau,aku dah berbelas tahun tak pegang soldering iron.
Menjelang Maghrib, lima LED untuk latar belakang angka-angka halaju, tiga untuk jarum speedometer dan satu untuk backlight LCD siap dipasang.Hasilnya seperti dibawah:
Semua menyala dengan terang.Glaring sebab belum pasang muka meter
Proses menenyeh paparan LCD kedalam slot
Tadaaaa!!! Dalam gambar ni je nampak warna dia macam oren-oren sikit dan tak sekata,keadaan sebenarnya jauh lebih cantik
Settle pasang semua barang,kitorang mencekik kat Restoran Rodong,Adenium Bukit Beruntung. Ni port wajib geng-geng dia melayan WiFi ceroi. Sampai Restoran tutup la biasanya baru reti nak angkat bontot.
OTW balik rumah dia untuk ambik kereta aku,aku try drive kereta dia yang dah swap pakai EPS. Sedap juga merembat K3-VE injektor Vios (ke Yaris tah,lupa plak), cuma sayang jalan beralun-alun+ spring keras kung membuatkan kendalian huru-hara jugak la. Alignment tayar kiri plak lari teruk sebab langgar pagar rumah berhantu. Next time setting cantik-cantik ye boss,boleh test run lagi sekali.Hehe!

Jumaat, 9 Oktober 2015

Relevankah Kereta Lama

Banyak kali aku sebut dalam blog ni yang aku mahukan sebuah lagi kereta yang berstatus kereta lama.Alasan utamanya ialah aku dah malas nak berhutang dan potensi kereta tersebut dijadikan laju.Dah berapa tahun dok pung pang sana sini,keretanya tak muncul-muncul juga.
Tak apalah,anggap saja aku sembang kencang.
Kereta baru atau lama masing-masing ada kelebihan dan kekurangan yang tersendiri.Apa yang penting ialah macamana kekurangan-kekurangan tersebut diadaptasi dalam life korang dan seterusnya mengatasi kelemahan yang ada.
Betul,kereta lama banyak kelemahannya,tapi kereta baru lemah tang mana pulak?

Satu daripada kelemahan utama kereta baru ialah HUTANG.Gila kau ingat aku mampu beli kereta cash?
Mungkin ada persoalan yang muncul berbunyi begini;
‘Axia G baru berapa RM je sebulan’
Betul,tapi aku dah ada kereta kecik yang sesuai dikerah untuk angkut kami lakibini pergi kerja tiap hari,buat apa aku nak tambah sebijik lagi yang kecik juga?Hutang pulak tu.Sedan kelas segmen C pulak komitmen bulan-bulan confirm dah RM700++.
Sebab tu sebelum masa yang sesuai untuk aku mendapatkan kereta kedua ni tiba,aku manfaatkan dengan menganalisa kebarangkalian yang impaknya kurang membebankan.Bak kata orang-orang pandai agama,pilih mudarat yang paling kurang.
Berbalik kepada model kereta lama idaman aku sebelum ni,model yang paling ‘muda’ berusia hampir 15 tahun(rujuk entri lama).Jarang( tapi masih ada ) digunakan dalam keadaan pekak kecuali pemiliknya pakcik-pakcik yang tidak bernafsu kepada kelajuan.Bukan maksud aku kereta ni enjinnya tidak reliable,enjin asal masih mampu menjalankan tugas dengan baik cuma ianya dibina untuk tujuan kegunaan normal.
Pilihan yang ada tak lain tak bukan swap enjin.Dari pemerhatian aku,halfcut 4AGE 20V yang dibawa masuk kebanyakannya memiliki perbatuan sekitar 100,000 – 150,000 km.Secara am ianya boleh dikatakan berkeadaan baik,asalkan korang pandai memilih.Kadang-kadang nasib tak baik,mileage rendah tapi internal part dah macam cilake.
Bab enjin tak apalah,material dia logam.Yang agak merisaukan ialah pendawaian dan komponen-komponen elektronik.Benda-benda kecil ni yang selalu meragam tak kira masa.Buatnya problem datang tiap-tiap minggu,tak ke semak kepala.
Apa yang boleh dibuat ialah standby sebuah lagi kereta baru yang kecil dan murah bayaran bulanannya.Kereta baru ni lah yang akan memikul tugas harian,bukan kereta lama tadi.Kereta lama yang dah dibela baik-baik tadi bawak keluar hujung minggu saja.
Hasil pengamatan aku beberapa tahun ni nampaknya mungkin aku terpaksa melupakan niat untuk mendapatkan kereta idaman aku tu.Kemungkinan besar aku akan beralih arah kepada model yang lebih muda,sedan sederhana besar,berlainan jenama,reputasinya baik dan harga yang masuk akal.Yang paling penting sekali ialah ruang modifikasi.

Model apakah itu?



Bersambung…

Jumaat, 3 Julai 2015

Myviku Kekeringan

Ni aku ada cerita ngeri skit nak habaq kat hangpa.Terutamanya owner Myvi.

Minggu lepas hari Selasa kalau tak salah,wife aku ada tanya aku pasal satu bunyi pelik datang dari enjin sewaktu dalam keadaan idle.Masa tu waktu pagi,lepas kitorang hantar anak ke taska.
Dari pengamatan aku,bunyinya macam bunyi tapet.Tak tau cemana bunyi tapet?
Bunyinya macam ktik,ktik,ktik berterusan yang jelas kedengaran dari head enjin.Aku cakap kat wife aku,tapet clearance dah makin besar gapnya kot.Wife aku pun bawak la kereta tu pergi kerja macam biasa….dari Kota Damansara – Kepong – Serendah ( kadang-kadang meronda sekitar Rawang ).Dah namanya rutin,setiap hari lah macam tu.Balik kerja pun sama,dari Serendah – Kepong – Kota Damansara.Nak tau berapa jauh distance kereta aku jalan?Petrol kena isi RM100 seminggu.
Malam Khamis tu aku pulak bawa kereta ke Bukit Sentosa,Rawang melepak dengan member-member sekampung.Sebelum balik,aku sempat tunjukkan masalah kereta aku  kat member yang kerja Perodua.Dia cakap,mungkin juga masalah tapet.Aku pun ok lah,masalah tapet ni tak perlu nak panik sangat.Nak merepairnya pun senang,asalkan tool dan ruang kerja cukup.
Lepas buka puasa hari Jumaat,kami satu keluarga balik kampung.Rilek je aku bawak macam tak ada apa-apa.Sesekali terlajak juga sampai 130kmj,tapi biasanya ikut standard highway.Dah tua-tua ni takde mood langsung nak driving macam orang gila.Kampung aku tu pulak dekat 3 jam jarak pemanduan dari Lembah Klang.
Pagi Sabtu sebelum ke bandar cari barang-barang untuk buka puasa,aku tergerak hati nak check level minyak enjin.Bila aku celup dipstick,tu diaaaaa!! Tak ada apa-apa minyak enjin langsung!
Mujur ada balance minyak enjin dari last service haritu.Aku kumpul-kumpul dapat la seliter setengah rasanya.Aku tuang habis baru la dapat level hampir maksimum kat dipstick.Lupa nak mention,aku pakai minyak enjin Perodua Semi Synthetic 5W/30.Biasanya memang aku lanyak sampai 7K++ km.Tapi sesekali terlanjur sampai 10K km pun ada.Apa ada hal,Myvi punya service interval memang 10k km pun.
Balik ke cerita minyak enjin tadi.Aku start enjin lepas tu dua tiga saat bunyi tapet tadi pun hilang..Alhamdulillah….
Tapi aku tak boleh bersorak seronok lagi.Persoalannya sekarang,mana minyak enjin tu pergi?Kes minyak enjin kering ni biasa kita dengar kat enjin-enjin lama dengan istilah ‘makan minyak hitam’.Maksudnya minyak enjin selalu kena top-up sebab enjin dah leak sana sini.Biasanya sebab gasket atau O ring yang dah kematu.
Kemudian masalah ring piston yang haus.Minyak enjin pada dinding silinder tak dapat dikikis dengan baik oleh piston ring lalu tertinggal dalam silinder dan terbakar.Ni pun punca biasa kalau enjin dah masuk status purba.
Kes paling teruk ialah minyak hitam bercampur air.Paling biasa berlaku kalau enjin overheat.Cylinder head bengkok menyebabkan air radiator menembusi ruang yang terbuka akibat pembengkokan head.Air radiator juga akan kelihatan berminyak.
Yang jadi kat kereta aku sekarang,level minyak susut dengan banyak,tapi tak tau mana perginya.Nak kata minyak leak kat mana-mana bahagian tak ada pulak aku nampak kesan-kesannya.Minyak terbakar pun tak,asap tak ada warna putih.Air radiator pun cun.Agak-agaknya pasal apa lah ya…
Performance enjin takde drop teruk sangat,fefeeling lebih kurang macam rasa enjin dah nak kena tukar minyak hitam.Itu je.Lepas tu lampu amaran minyak enjin tak menyala pun.Sebab tu lah aku tak terfikir nak check level minyak.Sape ada pengalaman macam aku ni moh share cerita.

Ngeri tak cerita aku ni?Hihihihi…..

Selasa, 17 Mac 2015

Kualiti Tidur vs. Pemanduan Jauh

Apa yang aku nak tuliskan berlaku masa cuti raya Cina baru-baru ni.Adik aku,(tuan punya Vios yang aku selalu cerita dalam blog ni) mengalami kemalangan.Alhamdulillah semua yang ada dalam kereta tu selamat.Bagaimanapun ada sedikit pengajaran yang kita boleh pelajari terutamanya yang kerap memandu untuk perjalanan jauh.

 

20/2/2015 (Jumaat)

- Adik aku masih berada di kampung(rumah mak aku) sebab cuti CNY.Sepatutnya diorang dah boleh bergerak ke Sekinchan untuk menghadiri kenduri kahwin sepupu aku,tapi wife dia seorang kakitangan Hospital Jengka perlu bertugas malam.

- Aku dengan abang ipar aku pulak dah selamat check in hotel di Sungai Besar tengahari tu.Semenjak kahwin,aku dengan abang ipar aku biasa memilih untuk bermalam di hotel sebab rumah saudara-mara confirm sesak.Nak mandi pun kena queue panjang.Untuk aku pulak pilihan tidur di hotel adalah kerana wife aku masih menyusukan anak.Biarlah selesa sikit kot-kot anak terbangun nak menyusu malam-malam.Takdelah terselak sana-sini tanpa disengajakan.

- Kitorang terpaksa book hotel jauh ke Sungai Besar sebab hotel-hotel di Sekinchan semuanya dah full booked.Maklumlah pekan Cina.Lagipun raya diorang kan..

- Sorang lagi adik lelaki aku yang masih bujang pun sama menge’check-in’ hotel di Sekinchan lepas dia tau yang kitorang pakat tidur hotel.Rezeki dia baik sebab dapat bilik kat Hotel Golden Harvest Sekinchan.Maybe bilik single banyak yang available lagi untuk walk in registration.Hotel ni best sebab hotelnya baru.Fasiliti pun padan dengan harga.

- Lepas Isyak ada aktiviti akad nikah di surau Tali Air 8 dan makan-makan.Itu saja.Agaknya dah lama aku tak makan menu kenduri kampung,sedap betul sup tulang diorang.

 

21/2/2015 (Sabtu)

- Hari kenduri.Mak aku dah sampai dengan adik aku dari kampung.Pukul 8 katanya gerak dari Bandar Jengka.Biasalah kenduri,aktiviti makan-makan,borak-borak dan menembak gambar.Lebih kurang pukul 12.00 tengahari,aku drive Vios ke pekan Sekinchan cari rokok.Bila keluar ke jalan besar,aku perasan kereta dia bergegar agak kuat.Aku suspek rim bengkok.Siap berenti tepi jalan tengok semua tayar.

- Dekat pekan pun aku check lagi sekali,tak nampak apa-apa pun.Sampai kat halaman rumah jiran makcik aku,baru la aku nampak tayar belakang sebelah kanan dah bengkak.Sebenarnya tayar tu asalnya dari rim kereta aku.Saiznya nipis sangat.Agaknya ada terlanggar lubang,dawai kat dalam putus lah tu.

- Jam 1 kitorang ke worksyop tayar(mujur ada yang buka).Asalnya nak tukar dua bijik tapi adik aku cakap kalau harga sekitar dua ratus,tukar je empat bijik.Sebabnya Isnin nanti dia nak ke Pekan,Pahang pulak.Wife dia ada kursus.

- Selesai tukar,petang tu kitorang memancing kat jeti kuala Sungai Bernam.Ingatkan best,tak best rupanya.Air serupa sungai Mekong.Bluesgang(belukang) banyak la kalau air camni.

-Lepas Maghrib aku balik hotel,adik aku yang Vios tadi balik rumah makcik sebelah mak aku kat Sekinchan.Dia tak check in hotel.

- Pukul 9 aku keluar pergi makan kat pekan Sungai Besar pekena nasi keras dengan sup daging kat gerai  medan selera depan padang majlis bandaran.Punya la lemau gerai tu,jilaka betul.Dekat sejam aku buang masa kat situ.

 

22/2/2015 (Ahad)

- Aktiviti pagi Ahad cuma berziarah ke rumah sepupu aku yang kahwin semalamnya.Kitorang dah nak balik dah,sebab tu round satu kali lagi sebelum balik.Selain tu,ada la kutipan lauk kenduri dan jajan-jajan goodie bag yang lebih,hihihi!

- Pagi tu aku cuma sempat hirup teh tarik secawan.Drive balik dari Sekinchan pulak ‘bercinta’ sakan sebab kereta banyak.Mujur la destinasi aku cuma Kota Damansara.Adik aku yang Vios tu la naya,jauh lagi nak sampai kampung aku kat Pahang tu.

- Lebih kurang pukul 3.00 petang aku sampai rumah.Terus masak nasik sebab perut dah menggelegak.Lepas makan baru aku plan nak hantar adik aku balik hostel UIA.Aku ingat lebih kurang 15 minit lepas tu abang ipar aku call bagitau adik aku eksiden.Haaaaaa!!!???

- Speechless aku beberapa saat.Kemudian baru aku tanya orang ok ke tak.Aku sarung baju semula dan terus gerak sorang-sorang ke lokasi kilometer 121 Lebuhraya Pantai Timur.Abang ipar aku gerak dulu dari Greenwood.Masa ni lapar aku tadi terus hilang,tak rasa apa dah.Sempat juga aku sambar dua goodie bag buat kudapan kalau keadaan mendesak.

- Kat highway Karak aliran trafik menghala ke Kuala Lumpur dah makin sesak.Nama je cuti CNY,Melayu yang sakan cuti balik kampung.Walaupun aliran trafik menghala ke Pahang tak heavy,aku terpaksa jugalah ON lampu hazard untuk maintain speed minimum 130kmj.Atas highway LPT laju sikit,150kmj.IMG-20150226-WA0005

- Sampai kat lokasi,kereta tengah ditarik naik towing truck

- Semua orang dalam kereta tu termasuk mak aku nampak tenang cuma wife adik aku agak trauma.

IMG-20150226-WA0001

IMG-20150226-WA0008

- Selesai urusan report di Balai Polis Temerloh,aku drive balik ke Lepar Utara bawa mak aku kat depan,adik bongsu perempuan aku kat belakang dengan wife adik lelaki aku pangku anak kecik dia.Adik lelaki aku naik dengan abang ipar aku.

- Sambil on the way tu kitorang sembang-sembang pasal punca eksiden tu..Mak aku cakap,adik lelaki aku terlelap dan kereta terbabas.Selepas menghentam pengadang tepi jalan,kereta melantun ke tengah dan hentam pembahagi jalan.Mujur kereta dibelakang agak jauh.

- Adik aku ni agak tahan driving jauh,tapi kali ni dia tewas pulak.Aku tau apa puncanya.

Kemudian aku bagitau wife adik aku,akan datang cuba dapatkan juga hotel untuk berehat.Peruntukan hotel aku yakin diorang berdua tak ada masalah.Bukan kita berlagak sombong taknak tidur rumah saudara-mara,tapi tengoklah apa dah jadi.Mak aku diam je tanpa bantahan…

- Sebabnya malam Sabtu tu lepas makan nasi keras,aku gerak ke rumah makcik aku sebab nak sembang-sembang dengan mak aku.Kat rumah tu ramai orang termasuk makcik-makcik aku yang lain pun ada balik bercuti.

- Dengan ambient yang agak panas,orang ramai,ditambah lagi dengan nyamuk(rumah dekat dengan sawah),aku amat-amat yakin tidur dia tak berkualiti.Sedangkan awal pagi Sabtu dia dah drive dari Lepar Utara ke Sekinchan yang makan masa tak kurang 4 jam setengah.Awal pagi Ahad anak kecik dia pulak meragam.Pagi Ahad dah berkemas nak balik Pahang.Kalau ikut rancangan asal,pagi Isnin nak ke Pekan pulak.Padat la jadual dia.

- Kemudian dalam kelesuan tu,driving pulak atas LPT waktu awal petang…fuhhhhhh!!!gila mengantuk!LPT lah highway paling membosankan,tak caya boleh try.Kereta rosak boleh claim insuran,nyawa hilang boleh claim?Sekali lagi aku tekankan kat sini,dapatkan TIDUR yang berKUALITI sekiranya aktiviti harian terlalu padat.

- Jam 7.15 petang aku sampai ke Lepar Utara.Lepas rehat,solat dan makan sikit(baru jumpa nasik sejak malam Sabtu!),pukul 8.30 aku dengan abang ipar aku balik KL semula.Jalan tengah jem teruk,badan barai gila,hahahaha!

- Kitorang cruising 130kmj kat LPT kemudian exit Lanchang.Abang ipar aku membebel minyak dia tinggal setakuk sebab cruise laju katanya.Lepas refuelling kat tengah-tengah jalan lama Lanchang-Karak,abang ipar aku pulak buat perangai pelesit dia.Dah la masa tu hujan,kereta awak tu ekon pun rosak.Adoiiiii!Aku rilek follow kat belakang.Bagi je dia lead,kang masuk sikit Highway Karak tetap nak kena hadap jem sikit  sebelum exit Bentong.

- Keluar jalan lama Bentong-Gombak,abang ipar aku kembali mempelesit.Tau la power touge dengan 1.5 way LSD.Aku bawak Myvi nak touge kejadahnya.Braking pun dah rasa faded, plus mounting absorber kong.Sampai naik mabuk aku ikut belakang dia,terutamanya bila dah makin dekat dengan area Gombak.Sharp betul selekoh kat situ.

- Pukul 1.15 pagi aku sampai Kota Damansara.Ok,dah habis.Korang paham dak cerita aku ni?

Bila Jerman Beli Myvi…

Korang mesti ada terbaca post kat FB yang agak viral,pasal komplen sorang engineer Jerman pencen tentang ‘kecacatan’ Myvi bini dia.Cerita dia macam ni…bini dia beli Myvi,kemudian baru dia perasan yang sistem lampu utama kereta-kereta Perodua berbeza sedikit menyebabkan bini dia yang kurang berakal terlupa membuka lampu diwaktu malam.

Sepanjang aku memiliki Myvi, memang banyak kali aku terjumpa kereta-kereta yang dipandu tanpa menyalakan lampu utama.Terutamanya MYVI dan pemandunya PEREMPUAN!Puncanya mungkin disebabkan pencahayaan jalan di kebanyakan kawasan bandar agak baik.

Kalau nak diikutkan,ada juga kereta jenama lain yang pernah tak buka lampu waktu malam.Aku pernah terserempak Honda Jazz warna hitam kat highway PLUS dipandu di lorong paling kanan tanpa menyalakan lampu utama.Pendek kata,apa juga kereta yang menggunakan panel meter optitron berkebarangkalian agak tinggi untuk dipandu tanpa lampu utama ketika waktu malam.Di Malaysia ni paling kerap kita nampak tentulah Myvi sebab nisbahnya banyak berbanding kenderaan lain.

Dalam hal ni,dua perkara yang perlu diambil berat oleh pengguna dan pengeluar.

 

Bagi pengguna,kenali kereta yang anda beli.Study cukup-cukup sifat dan ciri-ciri kereta anda.Untuk model Perodua,Myvi sebagai contoh;lampu meter akan menyala setiap kali enjin dihidupkan.Dah tentulah enjin perlu hidup tak kira siang malam mengikut kehendak tuan dia.Bagi pemilik baru yang pertama kali jumpa kereta macam ni,perhatikan lampu-lampu instrumen lain pada dashboard.Paling mudah di waktu malam.

Bila kunci dimasukkan dan enjin dihidupkan,hanya panel gugusan meter utama yang akan menyala.Apabila lampu utama di’ON’kan,kecerahan latar belakang meter utama akan berkurang sedikit (dim) dan lampu-lampu butang pada dashboard akan menyala(radio,aircond,dsb…)Nak tak nak kena biasakan dengan sistem macam ni,takkan nak jual balik kereta tu sebab tak pandai ON lampu pulak kan?

Sama juga macam sistem tuil signal sebelah kiri.

Kereta-kereta Jepun biasanya tuil signal terletak disebelah kanan,manakala kereta-kereta Eropah memilih susunatur tuil signal sebelah kiri.Katakan sebelum ni anda biasa dengan stail kereta Jepun,tetiba beli Proton korang baru perasan tuil signal dia sebelah kiri.Kenalah biasakan juga.Mula-mula pakai mesti hangin sebab nak masuk simpang je wiper yang bergerak,tapi apa ada hal.Lama-lama tak rasa apa dah.

Begitulah halnya dengan sistem lampu utama kereta seumpama Myvi.Otomatik bila nak drive malam,tangan terus pulas tuil sebelah kanan untuk buka lampu.Benda basic je ni.Drive malam kena buka lampu.Untuk memudahkan isteri Mr. Wolf Vaupel memandu dengan selamat diwaktu malam,saya cadangkan beliau menampal memo di stereng kereta isteri beliau untuk menghidupkan lampu.

Ataupun Mr Vaupel mencari apa-apa kereta yang dilengkapi DRL.Bini beliau tak nampak jalan waktu malam tak apa,janji orang lain nampak kereta bini beliau.

 

Pihak pengeluar kenderaan pula,(dalam kes ni Perodua bersalah menurut dakwaan Mr.Wolf Vaupel) mereka perlu mewujudkan satu penunjuk pada meter yang memberitahu bahawa lampu utama tidak di’ON’kan.Buatlah dalam bentuk lampu merah berkelip-kelip ke atau lebih baik dipasangkan buzzer amaran kepada pemandu yang menggerakkan kereta diwaktu malam tanpa membuka lampu utama.Buzzer tu biar annoying bunyinya supaya tidak berlaku lagi kejadian seperti yang dihadapi bini Mr. Wolf Vaupel dan pemandu-pemandu lain.Mana la tau ada 1000 orang lagi berspesifikasi seperti bini beliau.

 

Apa yang aku dapat rumuskan ialah,Mr.Wolf Vaupel seorang yang prihatin terhadap bininya dan keselamatan pemandu lain.Cuma beliau mengetengahkan isu ni dengan agak berlebihan.Beliau cakap,

 

“I have driven in my life for more than 3 Million km in arround 30 different car brands and/or car types and all cars was having the same safe international feature: Head lights on – dasboard light on.”

 

Barangkali antara 30 jenama kenderaan yang beliau pandu,datang dari jenama yang sama,cuma model berlainan.Atau boleh jadi beliau seorang yang bertuah sebab tak pernah jumpa kereta bermeterkan optitron.

Dalam hal ni aku tak mau bersifat bias walaupun aku pengguna kereta buatan Perodua.Seingat aku,sejak hari pertama aku pakai Myvi,ada juga sesekali aku terlupa ON headlight terutamanya di tahun pertama.Tapi tak lah lama sampai cruising highway pun tak buka lampu,beberapa saat je aku dah sedar yang pemandangan depan gelap semacam.Tipikal sebahagian kecil pemandu perempuan agaknya,start kereta terus jalan tak kira siang malam.Silap-silap tayar sebijik tak ada pun tak perasan.

Pada pendapat aku perkara ni taklah kritikal pun.Sejak Myvi mula dilancarkan tahun 2006 dulu,dah berapa ratus ribu unit ada atas jalan ditangan beratus ribu pemilik.Tiba-tiba muncul engineer pencen claim bini dia tak pandai guna headlamp kereta jenis Perodua Myvi.Untuk situasi menang-menang kedua-dua pihak,eloklah dibuatkan juga sistem amaran yang aku cakap kat perenggan atas tu.Selesai masalah.

Rabu, 4 Mac 2015

2015 Civic Type R;FWD Torsion Beam Masta!

Bulan September tahun lepas aku dah tulis sikit pasal Civic Type R baru dan secara rasminya ditayangkan di Geneva Motor Show 2015.Bezanya dengan model concept cuma lampu brek belakang yang lebih sesuai dengan masa sekarang,sama macam model ujian bercamouflage kat Nurburgring dulu.Tak nampak macam alien.Rekaan lampu LED yang bersambung dengan spoiler belakang pada model concept nampak agak errrrrrrr……

Spec lebih kurang sama saja angka-angkanya iaitu 2.0 liter VTEC turbo,310ps dan 400Nm tork pada 2500 rpm.Prestasi pecutan 0-100 kmj dalam masa 5.7 saat dan kelajuan maksimum 270kmj.Impresif?Untuk FWD ya.Apapun matlamat sebenar Civic baru ni ialah untuk dethrone Renault Megane RS 275 Trophy R yang memegang rekod pusingan terpantas untuk kategori kenderaan pacuan hadapan.

Cuba tengok gambar dia,tak bergerak pun nampak laju,huhuhu!

Honda-Civic-Type-R-04-850x403

Usaha Honda berhasil bila catatan ujian masa yang dicatatkan di Nurburgring ialah 7 minit 50.63 saat,4 saat lebih cepat dari Megane RS selepas talaan ringan (membuang sistem AC,audio, seat penumpang dan dipasangkan roll cage).Jadi,apa yang menariknya pencapaian Honda ni?

Bagi aku,pencapaian terkini Honda membuktikan layout gantungan torsion beam bukan penghalang untuk catatan masa terbaik di trek.Eh,bukan Honda jelah,banyak lagi hot hatch yang pakai set up torsion beam.

Dulu-dulu aku selalu dengar rumor yang cakap torsion beam ni bodyroll dia kuat.Betullah tu,cuma silap diorang bila belasah kereta yang tujuannya untuk bawak family macam bawa kereta trek,lepas tu buat comparison yang tak sesuai.Lagipun untuk kegunaan normal,kita tak boleh rasa pun beza torsion beam dengan multilink.Tak apalah,depa pro racer

VIDEO  Honda Civic Type R sets 7 50.63 Nurburgring lap time

Zaman moden ni torsion beam bukan macam zaman dulu,nak pulak torsion beam Type R.Sah-sah dah factory setting Type R ni rigidity chassis dia mantap.Kesimpulannya statement bahawa sistem gantungan torsion beam ni untuk kereta makcik-makcik pergi pasar tak tepatlah.Barangkali sistem yang ada pada Civic ni jauh lebih baik dari multilink/McPherson era 90-an.

Teknik driving yang menentukan sebenarnya,tambahan lagi bila melalui laluan berselekoh.Kalau nak kira jalan lurus,Viva pun laju.Bila masa nak brek,tukar gear rendah,sudut masukan/exit,banyaklah kaedahnya.Point paling penting sentiasa realistik pada limitasi kenderaan yang dipandu.Beragak lah sikit brader kalau sedar suspensi OEM kilang yang tak pernah bertukar sejak hari pertama pakai…

Isnin, 16 Februari 2015

Senangin Saat Akhir!

Lama jugak rasanya kan aku tak cerita pasal aktiviti memancing?Entri terakhir berkaitan aktiviti hanyir yang ramai isteri-isteri kurang mengerti ni masa aku masuk hutan Raub dulu.Bulan Mei tahun lepas.

Sebenarnya sesekali ada juga aku turun padang, cuma hasilnya taklah best mana.Segan nak riuh rendah setakat bawak naik gelama pisang.Cuma Ahad bebaru ni aku berjaya juga menguji kekuatan kombinasi Ryobi AP Power II + Lemax Starmaxx yang dipasangkan tangsi 25 paun.Ikan apa yang mengasak peralatan diatas,teruskan bacaan tak berfaedah ni,huhu!

Port memancing aku dengan adik-beradik biasanya di Pulau Carey,yakni didalam territori Sime Darby Plantation.Maksudnya  tempat tu bukan untuk semua orang access.Setakat ni hasilnya taklah membanggakan sangat,cuma tempat tu taklah jahanam dibelasah terlalu ramai pemancing.

Semalam aku dengan adik-beradik pergi ke Pulau Carey untuk memancing,tapi tak masuk ke port biasa memandangkan member dalaman Sime Darby sibuk dengan pertandingan memancing kat pantai Morib.Kitorang pun pergilah ke pantainya dengan harapan yang tak seberapa sebab masa tu jam dah pukul 9 lebih,sedangkan peak level air pasang dalam pukul 8 macam tu.

Telahan aku memang betul.Sampai je kat pantai,air laut dah beratus-ratus meter dari tebing pemecah ombak.Driver punya pasal la ni,dia bantai tido jam 5 pagi lepas layan movie,pastu aku call pukul 6 pagi,telefon tak berangkat.Pukul 6.30 pagi aku call adik aku yang duduk Teluk Panglima Garang mintak dia cuba call pulak.Aku dah tak berapa nak semangat sebab confirm tak sempat kejar waktu air pasang.Baik sambung tidorr….

Lebih kurang pukul 7.40,adik aku yang paling muda(driver) call bagitau dia on da way,singgah isi minyak kejap katanya.Pulak dah.Aku baru je nak masuk fasa hibernasi hujung minggu.Dekat pukul 8.00 baru dia sampai Kota Damansara,switch driver (aku pulak yang jadi driver).Bagi can dia lelap sekejap.

Dah sampai Teluk Panglima Garang,memusing-musing pulak dalam 20 minit mencari rumah adik aku sorang lagi ni.Hantu betul.Ada ke patut,aku mintak koordinat rumah dia,dibaginya koordinat Sekolah Agama Rakyat.

Dari situ pulak gerak ke pantai Pulau Carey,itu yang sampai pukul 9 lebih tu.Lepak sekejap bincang-bincang rancangan seterusnya,kami decide nak pergi Morib.Adik aku suggest pegi istana lama Sultan Selangor kat Jugra.Tengok-tengok tempat bersejarah.Sampai kat jambatan masuk ke Pulau Carey,adik aku cerita pulak pasal kolam pancing.Ah,pegi tengok orang memancing pun boleh lah.

Akhirnya kitorang kumpul-kumpul duit, dan check in memancing kat situ bertiga.Untuk tempoh 3 jam minima,kos satu pancing RM60 + RM20 deposit.Total damage RM240 3 batang pancing.Ikan-ikan yang ada ialah kerapu,siakap,jenahak,kaci dan senangin.Umpan udang hidup pulak RM0.50 seekor.Murah kot.Biasa seringgit sekor.Tolak deposit semula masa check out nanti,total damage RM180.

Dalam sejam yang pertama kitorang guna kaedah bottom dan adik aku yang paling muda mendahului carta dengan tangkapan ikan jenahak dalam anggaran 2.5kg++ minima.Pancing aku senyap sunyi sampai masuk jam kedua.Ada ragutan tapi udang yang dicangkuk dikepalanya hilang.Pandai ikan tu curi senyap-senyap.

Bekal udang hidup pulak dah meninggal sebab kurang oksigen,terpaksa la aku pakai kaedah pelampung dengan udang kopek.Kira tawakkal habis dah ni.Masa tu la wife menghantar mesej-mesej WhatsApp yang meruntuhkan lagi moral memancing selepas tiada update tangkapan,huhu!

 

Setengah jam terakhir aku cabut pelampung dan guna kaedah bottom semula.Bezanya cuma persembahan umpan tak fresh dan natural langsung.Kalau rezeki ada,ada lah…...

Tak lama lepas tu tali pancing aku bergerak sikit.Aku pegang pancing dan rasa pergerakan tali di hujung kail dengan jari.Aku tarik slow-slow untuk rasa ada lagi ke tidak ‘orangnya’…..tetiba ‘makhluk’ yang menelan kail aku lari!

Aku layankan dengan agak santai (sambil duduk kat kerusi plastik),dan biarkan ikan menarik keluar tali dari spool dengan drag yang diset agak loose sikit.Bila dipam naik ke permukaan,ikan tu membenam semula dengan gagah.Fuhhhh…terbaik betul feeling masa tu sambil ditemani Surya original.

Lebih kurang 5 minit,ikan dah pancit dan berjaya disauk.Apa taknya,set pancing medium heavy 9 kaki dengan mesin saiz 8000.Ooooo…encik senangin rupanya.Hampir dua kali panjang dari jenahak pertama tadi,anggaran beratnya mungkin lebih kurang 5kg++ maksimum.

Lepas ambik gambar lebih kurang,post kat FB untuk next trip approval,then kitorang bungkus balik rumah bikin kari lahh...

Next time dah confirm tak ada masalah bebelan untuk trip seterusnya.Terbaik juga kolam ni.Siapa nak try kolam air masin yang baru buka Disember lepas ni,cuba-cuba la cari kolam GANSAAN berhampiran jambatan baru dekat dengan traffic light ke Pulau Carey.Koordinat dia aku tengok dalam gambar:

Gansaan

 

Walaupun hasil kitorang cuma dua ekor,bukan bermakna kolam ni tak banyak ikan.Pemancing-pemancing lain aku nampak busy juga melayan ikan.Yang lima,enam kali rabut pun ramai.Rezeki memasing kan?Mana nak sama si kucing belang(tiba-tiba).

Apa yang aku perhatikan,ada pemancing yang mempraktikkan kaedah casting udang kopek (agak efektif) dan ada yang sekadar melayan bottom dengan umpan isi ikan kembung.Dua mata kail tak apa,asalkan bukan mata tiga.

Equipment cukup dengan mesin bersaiz 4000 dengan rod medium 5-6 kaki.Tali 15-25 paun la kot.Rasa-rasa nak melayan ikan lebih,buat la macam adik aku yang duduk Teluk Panglima Garang tu.Tak pernahnya nak beli set pancing kasar sikit,semuanya ciput-ciput.Bila trip ke pantai mula la tali habis bila baling jauh.Aku lain,jarang main kolam,tak pernahnya ada set kecik-kecik.Nantilah cari set macam mikro jigging tu.Zen Zagan ke apa tah nama rod dia.Satu lagi,penyauk bawa sendiri punya.Kat situ takde sediakan penyauk.

Bekal makanan,rokok dengan air bawak la sendiri siap-siap.Dari situ nak keluar ke kedai berdekatan kompom malas.

 

* Aku rasa nak share sikitlah dekat perenggan tambahan ni.Kitorang naik Vios G manual 2nd generation 2013 adik aku punya.Base model je.Masa baru beli dulu pun aku pernah cerita dah  tentang keekonomian FC dia.Sekarang ni kalau aku compare balik dengan Myvi tua aku,FC Vios dia lagi ohsem lah.

Dia refuelling full tank dekat Taman Medan,gerak ke Seksyen 4 Kota Damansara,kemudian kitorang masuk NKVE dan SKVE sampai ke Teluk Panglima Garang.Pusing-pusing sesat,masuk Pulau Carey,patah balik keluar pulau dan balik ke Kota Damansara.Total distance aku tak pasti.Yang aku pasti betul bila sampai kat tempat parking kereta rumah aku di Seksyen 4,meter bahanapi dia masih tak bergerak-gerak.Kalau Myvi aku tadi confirm dah hilang dua bar paling kurang.

Nak kata Vios tu standard pekak,memang taklah.Piping complete dari manifold sampai muffler stainless steel,saiz berapa aku tak pasti.Masa low rpm bunyi dah serupa enjin boxer.Intake funnel Apexi dipasangkan untuk pernafasan mesin 1NZ-FE yang kemudiannya dikerah pula untuk mengheret rim 17 inci.

Efisien?Ya.Sangat efisien.Seriously.Walaupun reputasi Vios dipandang remeh oleh sesetengah so called hardcore automotive fan, realiti yang enjin purbakala 1NZ-FE still relevant because of their FC & reliability.Bak kata majalah KERETA,bulletproof.Lain kali baca prakata editor dia.

Khamis, 12 Februari 2015

nanoFlowcell Quant F

Semalam aku baca artikel dari laman Paul Tan berkenaan sebuah kenderaan elektrik Quant F.Apa yang menarik perhatian aku ialah kuasa dan jarak pemanduannya yang hebat.Diklaim mempunyai 1090 hp/ 801.69 kW,Quant F mampu bergerak lebih 800km!Setakat yang aku tahu,kereta elektrik penuh ni kalau dapat bergerak 3,4 ratus km pun dah kira achievement terbaik dah.

Disebalik angka-angka yang amazing tadi,ada teknologi termaju dibelakangnya.Buat masa ini,kereta hibrid atau elektrik penuh menggunakan rechargeable battery atau kombinasi dengan enjin petrol biasa.Kuasa elektrik pada Quant F dijanakan oleh satu teknologi penghasilan kuasa elektrik bernama nanoFlowcell.

 

nano-flow-cell-79146432

Apakebenda nanoFlowcell ni?

“ The flow cell battery is a beacon of hope because it is an especially simple and effective storage medium for electrical energy. Flow cells are chemical batteries that combine aspects of an electrochemical accumulator cell with those of a fuel cell. Liquid electrolytes circulate through two separate cells in which a “cold burning” takes place, during which oxidation and reduction processes happen in parallel and thereby produce electrical power for the drive train.

The flow cell battery’s greatest advantage lies in its range: It can drive a vehicle 20-times further than a conventional lead-acid battery and 5-times further than the lithium-ion technology that powers most of today’s electric cars. Flow cell batteries are also durable. Furthermore, recharging them does not take hours and hours. All that is required to recharge them is to exchange spent electrolytes (which can be recharged outside the vehicle) for new, charged fluid.”

-sumber,http://www.nanoflowcell.com/en/nanoflowcell

 

Haaa,tu dia.Sistem bateri flow cell ni berupaya menghasilkan elektrik setinggi 735V.Walaubagaimanapun atas faktor teknikal dan ekonomikal,kuasanya distabilkan pada 400V 50A dan satu unit buffer akan meningkatkan ampere sehingga 2000A.

Bateri flow cell tak sama macam bateri boleh cas biasa.Sebab tu kereta Quant F dipasangkan 2 tangki berasingan sebesar 250 liter setiap satu untuk menempatkan ‘bahanapi’ bateri.Mungkin lebih kurang macam bateri sel basah.

Apa yang diperlukan oleh bateri flow cell sama seperti bateri sel basah memerlukan air bateri.Tangki yang berasingan tadi menempatkan dua bendalir ionik dengan dua cas berbeza,positif dan negatif.Lagi kemungkinan yang bendalir ionik ni perlu direfill macam isi petrol kot. Bagaimana sistem pengecasan bendalir ionik tadi aku tak tau.

Secara am,kereta Quant F ialah sebuah sport saloon sepanjang 5.25 meter dengan mod elektrik penuh beserta pacuan empat motor elektrik di keempat-empat sudut roda.Senang cerita,4X4 tapi boleh ditukar kepada mod RWD dengan ‘declutchedaxle roda depan.Rumit benar bunyinya.

Aku imagine nak switch daripada AWD kepada RWD dia macam ni,cut power supply kepada motor roda depan,dan tadaaaa….jadi la RWD.

Tapi cakap senang la ye?Hihi!

Feature lain,aerofoil belakang 2 peringkat yang akan deploy pada kelajuan melebihi 80kmj.Apesal dia tak sebut spoiler je.

Pendapat aku,teknologi nanoFlowcell ni bakal mengubah dunia automotif di masa depan.Cuma,aku tak perlukan kuasa setinggi lebih 1000hp.Cukup sekadar kuda ‘jinak’ 600hp,saiz kereta yang tak terlalu besar dan jarak 1500km.

Jumaat, 6 Februari 2015

RON95 vs. RON97 : Final Stage

Akhirnya,seseorang dah buat ujian perbandingan petrol RON95 vs. RON97 dalam penggunaan harian.At least,diorang dah cuba adaptasi sedekat mungkin tabiat pemanduan harian yang mempengaruhi penggunaan bahanapi.

Harap korang dah baca dulu artikel tu di link berikut:

 

http://paultan.org/2015/02/04/ron-95-vs-ron-97-fuel-test-use/

 

Rasanya isu penggunaan bahanapi yang sesuai ni sampai bila-bila pun takkan habis dibincangkan sebab masyarakat nampaknya masih tak faham-faham apa itu nombor RON.Selain dari mentaliti angka yang besar bermakna lebih bagus,masyarakat jugak masih terperosok dengan mindset bahawa ‘mahal lebih baik’.Cuba mintak diorang eksplen sikit ape benda RON dengan nombor-nombor kat belakang dia.9/10 confirm tak tau apa.

Sedangkan petrol paling murah dalam Malaysia,RON95 adalah petrol premium di luar negara.Kekadang bila aku tanya kengkawan sendiri pun,respon diorang mesti macam ni,”pakai 97 enjin sedap sikit’.Sedap yang macamana aku tak taulah sebab tak boleh ukur.Pada aku ‘sedap’ yang diorang maksudkan datangnya dari tanggapan petrol mahal lebih power.

Benda tu dah tertanam dalam kepala siap-siap.Tak boleh ubah dah.Sedangkan hakikatnya sama je hasilnya kalau dipakai pada kereta-kereta kebanyakan.Teori ni sama la macam pakai muffler ekzos perang cap ayam.Disebabkan mindset kita dah tetapkan yang bunyi perang macam kereta resing,hasil dia mesti laju macam kereta resing.Sedap pulak nak menekan pedal tu sampai redline sebab nak dengar bunyi perang dia.Of coz la laju kereta tu perginya.

Masa pakai ekzos standard takde plak nak menekan sampai macam tu ye tak?Sebab tu timbul rasa pakai ekzos perang kereta jadi laju sikit.Cuba pergi dyno tengok,ada improvement ke tidak.Silap-silap tork low end berterabur.

Sekarang tengok balik ujian penggunaan bahanapi PaulTan.Harapnya ramai orang lebih faham penggunaan bahanapi yang sesuai untuk kereta masing-masing.Tau la RON97 dah murah,mampu je pun bayar kan?Apa barang pakai petrol RM1.70.Mesin rumput je pakai petrol murah ni.

FC table

 

Percaya tak walaupun dah tengok table ni,akan ada golongan yang masih tak faham?

Cuba tengok ruang RON95 vs. RON97 untuk Polo Sedan 1.6 MPI.

Polo Sedan yang guna RON97 dapat distance lebih baik (13.44km/l) berbanding yang pakai RON95 (13.03km/l).Untuk jarak perjalanan yang sama,sebanyak 17.612 liter RON97 dibakar berbanding 18.160 liter RON95.Perbezaan adalah sebanyak 0.548 liter.Nampak jimat RON97 disitu kan??

Kalau korang terus fikir RON97 lebih jimat berdasarkan perbezaan penggunaan liter bahanapi,korang silap besar.

Dengan harga semasa bahanapi,kos untuk perjalanan tersebut (YANG SAMA JARAKNYA) untuk kedua-dua jenis bahanapi ialah:

 

RON97 : RM2.00/liter

17.612 liter x RM2 = RM35.224

 

RON95 : RM1.70/liter

18.160 liter x RM1.7 = RM30.872

 

Nah,sekarang nampak tak untuk jarak yang sama,penggunaan petrol RON95 jauh lebih jimat RM4.325,atau ekstra 33.36 kilometer (RM4.325/RM1.70 = 2.56 liter x 13.03km/l) jika kos yang digunakan untuk membayar petrol RON97 digunakan untuk membeli RON95.

 

Bila difikirkan lebih dalam,ini bukan soal petrol apa yang lebih baik lagi dah,persoalan dalam pemilihan bahanapi ni lebih kepada apa yang anda cari sebenarnya.Nak jimat,angka-angka diatas dah tunjukkan.Nak performance,pergi jenguk balik kondisi kereta anda,spec yang ditetapkan pengeluar.Tanya diri sindiri berapa lama dah tak tukar air filter.

Setakat kereta marhaen,toksah pakai lah petrol premium sangat.Faedah pun takde,hasil tah kemana.

Sebab tu la PaulTan and the gang pun still prefer RON95 untuk kenderaan harian.

Mungkin terma performance/prestasi kenderaan tak boleh disamakan dengan kuantiti jarak perjalanan dalam pemilihan bahanapi mana yang sesuai untuk kereta masing-masing.

Contohnya kereta A boleh pecut 0-100km/j dalam masa 9.5 saat bila pakai RON97,tapi bila pakai RON95 prestasinya merosot sikit,10 saat mungkin.Ini nak jimat masa bolehlah,bukan duit.Itupun kalau boleh dibuktikan dengan ujian-ujian yang boleh diterimapakai.

Agak rumit sebenarnya kalau isu ni nak didebatkan dengan perbincangan teknikal.Banyak faktor yang memberi kesan kepada penjimatan dan prestasi kenderaan.Nanti kita bincangkan kemudian.Karang ada yang muntah hijau nak hadamkan semua benda-benda ni,padahal nak pilih petrol je pun,bukan nak buat tesis.

Secara ringkasnya,terimalah kenyataan diatas.Buang mentaliti bahawa RON95 ni petrol cap ayam.Kata nak jimat….bila petrol RON95 murah,korang pulak dok pertegak fakta petrol mahal lagi bagus. Hakikat sebenar dah dibuktikan.Kontranya dalam iklan TV,petrol mahal lebih kilometer.Ambik kau,hidup-hidup kena kencing dengan kompeni minyak,kohkohkoh!

Selasa, 6 Januari 2015

Edisi Air-Cond Myvi Lagi

Entri ni patutnya aku tulis hujung bulan 11 hari tu tapi busy skit dengan urusan keluarga,makanya hari ni aku taipkan sesuatu untuk dikongsi bersama-sama.Ceritanya berkenaan kereta buruk aku tu lah,air-cond punya hal…

Tengah bulan 11 tahun lepas,air-cond kereta aku sekali lagi gagal berfungsi.Tapi kali ni agak berbeza sikit simptomnya.Masa tu aku tengah drive dalam cuaca panas tengahari,atas highway MRR2.Tiba-tiba aku rasa air-cond aku tak sejuk.Pasal apa pulak ni?

Aku pun offkan la suis air-cond,tetiba aku dengar sesuatu jatuh atas jalan dan melantun kena lantai bawah kereta.Aku tak berhenti pegi kutip balik ‘benda’ yang jatuh tu sebab masa tu aku rasa aku tau benda apa yang tertanggal.

Aku teruskan memandu sampai tempat kerja,parking dan terus buka bonet.Confirm,jangkaan aku betul.

‘Benda’ yang terjatuh atas highway tadi ialah magnetic clutch air-cond.Dia tertanggal bukan sebab skru longgar ke apa,benda tu tertanggal sebab getah yang berperanan sebagai spring pada magnetic clutch tu dah melting.Bermakna clutch tu bekerja terlalu panas.

Daripada pemerhatian aku,aku buat kesimpulan yang kompressor air-cond aku bergerak dalam keadaan heavy load.Bila sistem dia berat untuk diputarkan pulley,magnetic clutch yang menerima bebanannya.

Maksudnya macam ni,pulley pusing macam biasa ikut rpm enjin,magnetic clutch pulak transfer pusingan pulley melalui lekapan untuk memusingkan kompressor.Dalam kes aku ni,kompressor dah berat,jadi contact surface antara pulley dengan magnetic clutch ni bergeser lebih lama daripada normal,so haba yang terhasil pun lebih lah.Thats why getah dia melting….

Ok,tu baru intro.

Bila air-cond dah rosak musim-musim cuaca tak menentu ni mana boleh tahan.Aku pun bawalah Miyabi tua aku tu ke bengkel air-cond Melayu yang aku pernah cerita dalam entri lepas-lepas.

Hasil siasatan dan rundingan,bengkel akan menjalankan kerja-kerja servis penuh,penukaran unit kompressor,expansion valve dan condenser.

Total damage yang dicadangkan ialah RM1300.00.Unit kompressor adalah recond dan condenser pulak unit baru yang lebih lebar dan tebal dari saiz OEM Perodua.Condenser tu datang sekali dengan tabung dryer.

Prosedur membarai pun dijalankan…

 

Luar dan dalam…

IMAG2392

IMAG2393

Tujuan membarai dashboard diatas bertujuan untuk mengeluarkan sistem blower air-cond.Dalam kotak hitam dibawah ni ada blower,cooling coil dan expansion valve.Blower dan cooling coil dicuci manakala expansion valve diganti baru.

Expansion valve ni aku tak paham sangat pasal apa kena tukar.Kondisi yang lama dengan yang baru nampak sama je.

IMAG2395

Ni lah rupa condenser baru beserta tabung drier.Satu set RM150

IMAG2391

Walaupun kompressor aku dianggap dah punah,mekanik agak terkejut sebab katanya bahagian internal masih cantik sebab lubricant yang keluar dari lubang fitting piping masih berwarna kuning keemasan.Kata dia,sebelum ni dia biasa tengok lubricant kompressor yang dah hitam sikit.Sesekali tu yang hitam rentung pun ada juga.

Tapi aku tetap nak tukar juga sebab aku rasa kompressor tu memang dah berat,tiap kali magnetic clutch enggage,enjin terus rasa berat sangat dan bunyi berdecit tiap kali surface clutch melekap pada pulley.Tandanya kekuatan magnet tu melekap masih tak mampu nak pusingkan kompressor tanpa slip.

Lebih kurang jam 2.30 petang,kereta pun siap.Sehari dua pakai,aku mintak diorang topup gas dan sekarang puas hatilah.Not bad hasilnya walaupun tak seefisien semasa baru.Yang paling ketara,enjin tak terbeban sangat bila air-cond dibuka semasa memandu.Petrol pun jimatlah sikit.

Khamis, 13 November 2014

All Hail Lexus!!

Semalam aku belajar tafsiran sebenar kereta mewah dari laman web Carlist menerusi jenama Lexus.Selama ni istilah luxury car diterjemahkan dengan cara yang salah oleh pembuat-pembuat kereta kecuali Lexus.

Mewahkah Lexus?Pendapat peribadi aku sebelum ni jenama Lexus berada diantara jenama kereta kebanyakan dan trio Jerman (Mercedes,BMW & Audi).Mahal serupa Boeing pun tidak,murah jauh sekali.Malahan jauh tertinggal dengan jenama-jenama eksotik.Tapi itu dulu.Masa zaman IS200 yang serupa Altezza dan jugak SUV RX300 yang fotostat dengan Harrier.

Sebelum ni aku pernah menulis pasal supercar LFA,tapi artikel tu tak cukup mendalam kajiannya terutama sekali cerita disebalik tabir pembikinan karya agung dunia automotif tu.Aku cuba recall balik apa yang aku baca semalam untuk bacaan semua.Lebih mudah untuk ramai orang faham kisah Lexus dalam bahasa Melayu.

 

Lexus ialah divisyen mewah gergasi automotif Jepun iaitu Toyota.Pada tahun 1989,Lexus menghasilkan model LS400 yang mana model ni memberi impak yang sangat kuat kepada jenama BMW dan Mercedes Benz di US.Dalam masa yang sama,Lexus memperkukuhkan kredibiliti jenama dengan membina imej yang baik dikalangan penggunanya.

Strategi Lexus menjadi dan motto korporat ‘The Pursuit of Perfection’ benar-benar diinterpretasikan keatas model-model seterusnya.

Tahun 2000,pembangunan supercar LFA dimulakan dan sembilan tahun selepas tu,LFA secara rasminya dilancarkan serta tempahan dibuka untuk unit terhad sebanyak 500 unit.Pemerhati industri yakin Toyota tidak untung dengan model ini,tapi itu bukan matlamat utama bagi Lexus.Apa yang cuba disampaikan melalui pembinaan LFA ialah terjemahan istilah ‘spirit of automobile engineering’,erti sebenar hubungan antara pemandu dan kereta.

Sembilan tahun proses R&D dengan kos berbilion-bilion dolar,LFA benar-benar menepati matlamat Lexus.Semuanya dibuat dengan teliti dan rekabentuk yang berfungsi,bukan semata-mata kosmetik.Horsepower?Tak adalah besar mana pun,enjin 1LR-GUE V10 4.8 liternya ‘cuma’ menghasilkan 552hp pada 8700rpm.Harga mahal pulak tu.Boleh dapat 5 bijik GTR R35 yang powernya lebih kurang sama.

Jadi apa yang amazingnya dengan LFA?

 

Banyak amazingnya.Sangat-sangat banyak.Tapi aku tuliskan sikit je sudahlah.

Pertamanya enjin.Kebanyakan enjin mempunyai karekter penyampaian tork maksimum pada rpm rendah.Berlainan dengan LFA,enjinnya ditala supaya tork maksimum tiba hampir dengan garisan merah.Revving daripada idling ke 9000 rpm hanya memerlukan masa selama 0.6 saat.

Kedua,transmisi.Feel menukar ke gear rendah lebih ‘berat’ sedikit berbanding menaikkan gear untuk kelajuan tinggi.Kenapa benda remeh temeh pun nak diambilkira?Ada sebabnya.

Ketiga,posisi kerusi pemandu dan penumpang.Kedua-duanya dirapatkan sedikit supaya penumpang dapat menikmati sensasi pemanduan sehampir mungkin dengan pemandu.Faedah lainnya ialah tumpuan graviti di tengah-tengah.

Keempat,bunyi.Sistem intake dan ekzos menghasilkan tone dua oktaf yang ditala dengan kerjasama Yamaha Music Division.Bunyinya memang sedap,hampir menyamai bunyi ekzos F1 cuma kurang ‘garing’ sikit.Huhu! Tak reti pulak aku nak describe dalam bahasa Melayu.

Lain-lain ialah kejituan kejuruteraan,baik dari sudut mekanikal mahupun luaran.Lexus melaburkan modal yang bukan kecik anak untuk retooling semua production line.Komponen-komponen enjin dibina dengan material terbaik dan tolerance paling jitu hanya untuk mengatasi masalah getaran.Biasa la kan enjin bergetar,tetapi tidak biasa pada Lexus.Semua masalah-masalah kecil diperhalusi dan diatasi daripada puncanya,bukan menutup masalah tersebut.

Ketua juruteranya Haruhiko Tanahashi juga obses dengan istilah ‘zero gap’.Kepingan-kepingan panel badan dipasang dengan jarak yang sangat minimum.

Di tangan pengguna,semua kombinasi kejuruteraan tadi diterjemahkan kepada kepuasan pemanduan.Boleh inzal agaknya.

Lexus ‘mengajar’ semua pembuat-pembuat kereta baik yang murah hinggalah eksotik tentang bagaimana keupayaan mereka membina jentera beroda empat premium tulen.Istilah-istilah dinamik,kualiti,prestasi dan kemewahan semuanya ada pada LFA.Tabik untuk Jepun dan Lexus!

LEXUS-RC-F-2015-front

RC-F1

Walaupun LFA tak diproduksi lagi,pembelajaran sepanjang membinanya adalah khazanah yang amat bernilai.Baru-baru ni Lexus melancarkan model RC F,coupe yang mewarisi agak banyak DNA LFA.Dibekalkan enjin V8 5.0 liter 470hp dan rupa yang cantik,aku rasa spesis ni lagi rare dari Lamborghini.Boring kot tengok supercar Itali tu.

Aku saja-saja jela browse website Lexus Malaysia siang tadi.Harga asas yang ditawarkan untuk model RC F  ialah RM782,000.00.Yaaaa!Tujuhratusribu lebih.Kalau downpayment RM200,000.00 dan loan bank 5 tahun pada kadar faedah 2.6%,bayaran ansuran bulanan ialah RM10,961.00.Ok fine!

Ahad, 19 Oktober 2014

Untung vs. Rugi Isi Petrol Dengan Kaedah Liter

Lepas kenaikan harga bahanapi,tiba-tiba muncul teori pengisian minyak mengikut jumlah liter yang ter'viral' sekejap dalam Facebook.Menurut pencipta teori tersebut,kaedah ini lebih menguntungkan pengguna berdasarkan pemerhatian berikut;semua pam minyak menunjukkan paparan jumlah liter dalam angka sehingga 3 titik perpuluhan.
Contohnya macam ni,dengan pengisian RON95 sebanyak RM10 pada harga bahanapi seliter RM2.30,jumlah bahanapi yang dipamkan ke tangki adalah sebanyak 4.347 liter.Sedangkan sepatutnya jumlah yang seharusnya pengguna dapat adalah 4.347826087 liter.
Berdasarkan paparan jumlah bahanapi yang dipamkan ke tangki pengguna ‘hanya’ 4.347 liter,pengguna ‘kerugian’ sebanyak 0.000826087 liter,atau 0.826087 ml untuk setiap pengisian berjumlah RM10.
Dari kira-kira diatas,memang benar kita ‘kerugian’ hampir 1ml untuk setiap pengisian RM10 dan 5ml jika mengisi RM50.Itupun kalau ada lah manusia bangang yang isi petrol lima puluh ringgit tapi bayar kat kaunter lima kali;sekali bayar RM10.
Tetapi berapa nilai kerugian kita yang sebenar jika diterjemahkan dalam bentuk wang ringgit?
Rujuk kira-kira matematik Darjah 1 dibawah:

Harga semasa bahanapi RON95 = RM2.30 sen seliter (1000ml)
RM2.30 sen (230sen) / 1000ml = 0.23
HARGA 1ML RON95 = 0.23SEN
0.23 sen x 0.826087 ml = 0.19 sen

Ertinya kita kerugian sebanyak petrol bernilai 0.19 sen untuk setiap pembelian sebanyak RM10,0.95 sen jika mengisi sebanyak RM50 dan seterusnya.

Persoalannya berapa banyak kerugian untuk pengisian bahanapi dalam sebulan atau setahun?

Katakan sebulan belanja petrol anda RM300.
0.95 sen x 6 = 5.7 sen x 12 bulan = 68.4 sen

Nampak dah sekarang? 68.4 sen setahun adalah jumlah kerugian selepas mengisi RON95 sebanyak RM300 sebulan selama setahun.
Wowwowowow!Lanjioooo betullah pengusaha pam minyak ni.Kita semua rugi 68.4 sen (297.4ml petrol RON95) lepas berbelanja RM3600.00 untuk petrol tahu tak??Hampir satu ringgit tu!
 IMG-20141020-WA0008
Sebelum tu fikir dulu.
Dalam setahun berapa banyak korang bazirkan duit.Makan berlebihan,spending untuk barang-barang yang tak perlu dan jugak hadap jem dalam setahun tu dah berapa liter petrol korang bakar sia-sia?Belum lagi kira yang jenis warm up enjin sampai 15 – 20 minit sehari.
Sekarang ni aku tengok ramai yang salah faham pulak.Paling kelakar tak boleh blah ada yang sebut lagi untung isi 10 liter daripada isi RM20.Sebabnya yang isi RM20 cuma dapat 8.695 liter.Of kos la dol!Isi 10 liter hang kena bayar RM23.Takkan tak nampak beza RM20 dengan RM23.Bayar lebih dapat la petrol lebih.Apa daaa…..

Ok lah,sekarang terpulang kat anda semua nak ikut kaedah mana.Kalau 68.4 sen setahun amat bernilai untuk anda,go for it.Tapi dalam masa yang sama,,jimatkan wang dari sudut lain juga.Pengiraan diatas ikut paparan jumlah liter dengan tiga titik perpuluhan.Andai ada pam yang display dua titik perpuluhan sahaja,siap genapkan lagi (4.35 liter/RM10 ),anda pula yang untung.
Daripada pendapat aku,keadaan sebenar tak semestinya selari dengan kiraan matematik.Aku jangkakan kerugian beberapa ml tu sangat minima berdasarkan kekerapan mengisi minyak.Lagi kerap berziarah ke pam minyak,lagi banyak rugi.Baik isi penuh tiap-tiap kali.Maksud aku isi minyak RM100 sekaligus tak semestinya anda rugi petrol bernilai 1.9sen.Sebab:

RM10 RON95 = 4.347826087 liter
RUGI = 0.000826087 liter / 0.826087 ml / 0.19 sen

RM100 RON95 = 43.47826087 liter
RUGI = 0.00026087 liter / 0.26087 ml / 0.06 sen sahaja

Kesimpulannya,kuantiti ‘kerugian’ petrol setiap kali pam digunakan sebenarnya sangat-sangat minima,lagipun teorinya berdasarkan display pada pam.Bukan saja petrol,apa juga mekanisma pengukuran bendalir mesti ada tolerance,cuma tolerancenya masih dalam julat yang mengikut standard antarabangsa.

Melampau sangat lah pulak sampai kuantiti kurang 1ml punya tolerance pun nak kira.Pam kat stesen minyak tu laju flow dia,mana boleh accurate gilababi.Kalau nak flow + kuantiti tepat,pam la petrol pakai pam HPLC.Seminit dia boleh pam minimum 0.2ml.

Display digital kat pam petrol tu ingat boleh harap?Yang penting ialah calibration berkala.So,teori ni tak masuk akal untuk dipraktikkan sebab ianya semata-mata berdasarkan anggapan ukuran bendalir sebenar disandarkan pada paparan angka di pam.

Nak berjimat pun janganlah sampai menyusahkan diri percaya dengan teori yang tidak terbukti tepat.Petrol baru berapa ringgit je,cuba kira kuantiti minyak enjin semi synthetic dalam tong plastik empat liter tu.Betul ke tidak jumlahnya empat liter.Lepas kita tuang masuk dalam enjin,baki dia tu mana kita campak?

Bai.

 

UPDATE

* Bermula 12 tengah malam Ahad lepas ( 1 Februari 2015 ),harga petrol RON95 ialah RM1.70 dan RON97 RM2.00.Ada sesiapa yang masih lagi praktikkan kaedah isi petrol dengan kaedah liter tak?Hihihihihihi…

Isnin, 13 Oktober 2014

Iriz vs Myvi

Sebelum pelancaran Iriz haritu aku ada buat imejan bertindih Myvi vs. Iriz tapi belum sempat aku buat entri,gambarnya hilang entah kemana.Semalam aku terbaca entri dari Funtasticko.net berkenaan perbandingan dimensi Iriz vs. beberapa model yang dijadikan benchmark.
Ada komentar yang menyatakan perbandingan tu kurang tepat disebabkan faktor scaling.Aku cuba buat satu perbandingan antara Myvi 1.5 Extreme manual vs. Iriz 1.6 Premium manual menggunakan apps PicsArt.Hasilnya tidaklah tepat sangat memandangkan amat susah menindihkan gambar menggunakan skrin sesentuh yang separa hancur.Lainlah kalau aku ada Photoshop.Penanda aras skala yang digunakan adalah saiz PCD rim sepertimana yang dicadangkan oleh seorang pengomen.
Myvi 1.5 Extreme menggunakan rim aloi 14 inci manakala Iriz 1.6 Premium menggunakan rim 15 inci.Manakala wheelbase Myvi 2440mm dan Iriz 2555mm.Perbezaan adalah sebanyak 115mm atau 11.5cm.Jadi,inilah perbandingan versi aku.
true comp

Rasanya tak perlulah aku huraikan panjang lebar,gambar diatas menceritakan semuanya.Dimensi keseluruhan Iriz melebihi Myvi sepertimana yang tertera dalam spec sheet.Cuma dalam gambar ni ketinggian bumbung dan panjang wheelbase je macam kurang tepat.Tapi sebenarnya yang penting ialah usable space yakni ruangan kabin dan ruang simpanan barang.Dalam entri berkenaan Iriz yang lepas,ulasan aku lebih kepada penampilan luaran dan juga safety feature.
Macamanapun,selepas meneliti spesifikasi dari laman web Proton,ada beberapa point yang aku rasa nak bincangkan sikit.
Pertamanya dari segi power plant.Memandangkan Iriz ialah direct rival kepada Myvi,patut benarlah Myvi dijadikan perbandingan.Takkanlah Axia pulak.Ok,Iriz 1.6 digerakkan oleh enjin baru Proton yang berupaya menghasilkan 80kW atau 107.3hp.Ini adalah conversion secara terus.Ramai orang tak boleh imagine berapa kuat enjin kereta tu kalau unitnya kilowatt.
Kuasa yang terhasil ni perlu menggerakkan beban badan sebanyak 1165kg.Angka nisbah kuasa ialah 0.0921hp/kg atau 92.1hp/tan.
Manakala enjin Myvi 1.5 menghasilkan sebanyak 76kW atau 102hp.Nisbah kuasanya pula ialah 0.1025hp/kg atau 102.5hp/tan memandangkan berat Myvi cuma 995kg.Secara teorinya Myvi 1.5 memiliki lebih sedikit kuasa berbanding Iriz.Sekurang-kurangnya itulah yang ditunjukkan oleh angka-angka diatas.
Kedua ialah penggunaan bahanapi sebab ianya berkait rapat dengan faktor berat kenderaan tu sendiri.Semenjak harga bahanapi naik sebanyak 20 sen,ramai yang mula memikirkan ekonomi seharian.Harga bahan api aku yakin takkan turun lagi macam harga 15-20 tahun lepas sebab ianya adalah sumber yang terhad dan bakal habis.
Cuba perhatikan trend kereta di Eropah sekarang.Banyak pengeluar sudah mula bereksperimentasi dengan segmen kapasiti enjin kecil berserta bantuan pendesak turbo.
Kedua-dua kereta yang dibandingkan dalam entri ni mempunyai tangki bahanapi sebesar 40 liter.Selepas membaca beberapa perenggan,korang tentu dapat meneka kereta yang mana lebih cepat mengosongkan tangki  berdasarkan penggunaan bahanapi harian.
Peralatan-peralatan keselamatan yang dilengkapkan pada Iriz amat baik untuk kenderaan sekelasnya,tapi terpaksa mengorbankan berat keseluruhan kereta.Tidak dapat tidak,Iriz memerlukan lebih bahanapi untuk menggerakkan badannya.
Aku baru terbaca laporan ujipandu Iriz dari blog paultan.org.Salah satu gambar menunjukkan paparan rpm dan kelajuan dimana enjin Iriz hanya memerlukan lebih kurang 2200rpm untuk bergerak pada kelajuan 100kmj.Final ratio gearnya nampak membantu penjimatan bahanapi dalam pemanduan konsisten atas lebuhraya.
Apapun masing-masing ada kelebihan dan kekurangan tersendiri.Iriz adalah cubaan terbaik Proton setakat ini,cuma ada ruang-ruang yang boleh ditambah baik terutamanya dari sudut kuasa enjin untuk disesuaikan dengan berat badan.Agak pelik bila aku baca komen-komen yang kekadang suka kereta berat ni.Katanya lebih stabil.
Dah tu macam tak guna jugalah teknologi proses dan juga material yang kuat tetapi ringan.Proton pun ada kan teknologi HPF yang khabarnya menghasilkan struktur casis yang lebih kuat.Achievement yang nak dicapai sebenarnya kekuatan lentur yang lebih tinggi dengan berat material yang sama.
Pernah dengar perbandingan yang tulang manusia lagi kuat dari besi?Maksud dia bukanlah korang boleh karate rel keretapi sampai bengkok.Maksud dia ialah,dengan berat jisim yang sama,kekuatan tulang menahan lenturan lebih tinggi dari besi.Stabiliti kelajuan tinggi pulak dicapai dengan aerodinamik,bukan berat.Ringan bermakna laju,cepat memecut dan kurang penggunaan bahanapi.Pegi cek tengok berat kereta F1 berapa kilo?
Selain dari tu,potensi enjin empat lejang masih luas untuk diteroka.Sebagai contoh,prototaip Kawasaki H2R,sebuah motorsikal 1000c.c dengan pengecas lampau berupaya menghasilkan kuasa setinggi 300hp.Pasca Perang Dunia Kedua dulu,enjin Maybach 5000cc cuma mampu produce kuasa setara enjin Campro 1.6 je tahu?

Selasa, 30 September 2014

Civic Type R Concept

Buat masa ni aku amat meminati jentera Toyota.Biasanya purist Toyota takkan sudi menyebut nama Honda.Hubungan ‘istimewa’ kedua-dua peminat jenama terkenal Jepun ni umpama penyokong PAS dan UMNO.Tak pernah sebulu langsung.

Disebabkan aku bukan purist,aku bebas untuk menghargai keajaiban kejuruteraan mana-mana pembuat kereta.Hihihi!Aku sayang dengan dunia automotif sebenarnya,tapi apa boleh buat..bidang kerja aku sekarang tak ada kena mengena langsung dengan mesin.Lebih kepada mencintai alam sekitar rasanya.

 

Toyota lebih veteran dalam dunia automotif berbanding Honda yang hanya mula membuat kenderaan empat roda pada awal 60-an.Tetapi Honda amat cepat berkembang,terutamanya selepas kemunculan teknologi ikonik VTEC.Banyak model-model lagenda yang terhasil di zaman kegemilangan automotif Jepun antara tahun 80-an hingga menjelang tahun 2000 seperti NSX,Integra,keluarga Civic dan juga roadster S2000.

Selain rekod dalam perlumbaan F1 yang lebih baik daripada Toyota,enjin F20C roadster S2000 juga adalah satu contoh kejuruteraan yang mengagumkan.Dengan isipadu silinder 1,997cc NA,enjin ini mampu menghasilkan kuasa setinggi 247hp @ 218Nm tork.Aku pernah baca dalam majalah apa entah,enjin ni punya la mesra tuning.Tukar air filter je pun dah boleh dapat ekstra 10hp.Aku ingat kalau tukar mentol signal dia,mesti tambah lagi 0.0358hp.

Pendek kata bab enjin NA,Honda memang champion.Disokong pula dengan lambakan produk aftermarket dari macam-macam pengeluar,Honda menempa nama sebagai pembuat kereta yang disegani.Ayat kampungan tak boleh blah,lanjiooo betul….

Tahun lepas,aku dengar khabar angin yang Honda dah insaf daripada menghasilkan mesin rempit.Nak main teknologi hijau pulak katanya.Manakala model Type-R terakhir ialah FD2 dan juga FN2 yang keluar dari kilang Honda.Tapi masa tu pun aku dah musykil,iyelah,bertahun-tahun bergelumang dengan dunia perlumbaan,glemer pun pasal mesin lumba,ilmu F1 banyak,takkan la nak tinggal macam tu je kan?

Nak pulak Type-R ni umpama perkataan keramat.Tengok perkataannya pun dah tau laju.Branding Type-R ni sangat kuat sampai Kancil 660 pun rasa laju atas highway bila ada setepek stiker Type-R kat bonet belakang.Adrenalin rush terus,huhuh!2015-Honda-Civic-Type-R-turbocharged-engine

Sekitar awal tahun ni pulak,tiba-tiba muncul berita dan gambar di internet menunjukkan model misteri Honda yang bersalut stiker camouflage sedang menjalani ujian trek di Nurburgring.Rumor mengatakan model itu dikuasakan oleh enjin baru VTEC dengan tambahan pendesak turbo.Ingat dah insaf,makin menjadi-jadi pulak rupanya.

 

 

Antara cerita menariknya ialah matlamat Honda untuk merampas takhta pacuan roda hadapan terpantas di litar Nurburgring yang buat masa ini dipegang oleh Renault Megane RS 275 Trophy-R.Nama panjang-panjang ni tak laju juga tak tau la.

bff0ec3a475d3dea53a9f5e89c5f15fa

Ini adalah Civic Type-R Concept Halilintar Membelah Langit Champion League.Haaaaa….Power tak?

Dengan rekabentuk yang mewarisi genetik dari Civic FN,model terbaru ni menampilkan banyak inovasi baru selain daripada rupa luaran yang …… ah,susah nak describe.The most powerful & aggressive Type-R ever made.Bodek lebih ni boleh payung sebijik kot??

Secara ringkasnya Type-R baru membawakan dua perkara besar melalui model ini.Pertamanya enjin 2.0 liter i-VTEC turbo Earth Dream yang berupaya menghasilkan lebih 276hp untuk diagihkan melalui transmisi manual 6 kelajuan.Yang keduanya ialah butang ‘+R’.

Bila Type-R ditambahkan lagi ‘R’ apa maknanya?Rempit?Rajesh Khanna?

 

Butang +R memberikan pilihan lebih agresif daripadan mod standard Type-R.Dengan mengaktifkan mod ‘+R’,respon enjin dan steering,pemetaan tork,serta 4 point talaan suspensi  untuk lebih lincah di jalanraya mahupun litar lumba.Race Mode la senang cerita.Sistem suspensi depan juga ditambah sistem mekanikal apa kejadah kingpin tah,yang barang pasti tujuannya untuk memantapkan kawalan steering.

Setakat ni tak banyak informasi yang didedahkan,bagaimanapun aku yakin banyak lagi benda-benda yang menarik untuk diperkatakan dengan Type-R ni apabila spesifikasi rasmi diumumkan.

Bagaimana dengan Toyota?Ada tak model yang directly compete dengan keluarga Type-R?Maksud aku sedan bukan premium empat pintu,dan enjin NA/turbo pelesit.Tak ada?Sila bikin satu.