Reel ATC.
Pertama kali aku dengar jenama ni rasanya belasan atau mungkin hampir 20 tahun dulu. Zaman dimana media cetak masih merupakan sumber informasi yang penting. Aku tak ingat majalah sukan memancing yang mana satu,tapi dalam majalah tu ada satu section produk yang baru dilancarkan.
Model pertama ATC yang aku kenal ialah reel spinning ATC Valiant. Masa tu bagi aku harga dia agak boleh tahan juga walaupun jenamanya agak asing didengar. Sebelum tu aku ada tengok satu Youtuber review reel ni. Daripada komen-komen yang aku baca, sungguh memang ramai kurang aware dengan jenama ATC. Youtuber tu cakap brand ATC ni orang mula cari bila ada sorang lagi Youtuber pancing terkenal kerap bawa turun reel ATC dia beraksi. Itulah masalahnya, orang kita kurang mencari maklumat. Era sekarang masyarakat lebih suka menonton daripada membaca.
Jenama yang beribu pejabat di Singapura ni mungkin agak kurang dikenali pemancing-pemancing baru, dan artikel berkenaan reel mereka amat kurang dan sukar diperolehi dalam bahasa Melayu. Mungkin ramai reviewer lebih berminat membikin video review untuk content Youtube mereka. Kat sana boleh juga buat duit, tulis artikel blog panjang-panjang dapat apa ye tak?
Macamanapun aku lebih gemar menulis, sebab aku suka membaca dan melihat data. Yang mana suka membaca, meh baca tulisan aku ni.
Aku baru beli reel baitcasting untuk tugasan sedikit berat dengan spesifikasi wajib keupayaan drag yang tinggi dan kapasiti muatan tali bersaiz besar yang banyak. Banyak jenama dan model yang termasuk dalam list aku antaranya Banax Lexima Camion, Team Seahawk Barricade, Opass Crank Master II, Eupro Commando, Gawas Bulletcast 301, Okuma Komodo SS, Ecooda Trace ETB 600R dan lasttttt sekali baru jumpa ATC Combat Plus V2.
Macam-macam spesifikasi aku tengok, ada yang susah nak cari kayuhan kanan, reel terlalu berat, tak ada extra spool/handle,ratio gear rendah, dan sesetengahnya kekurangan maklumat.
Sehinggalah aku jumpa reel ATC Combat Plus V2 ni, hasil penelitian aku mendapati semua kriteria yang aku nak ada pada reel ni. Reel ni bukan la baru sangat, dia macam model facelift dari model awal dengan sedikit penambahbaikan. Meh tengok spesifikasi dia :
Dari segi luaran nampak biasa saja, taklah cantik sangat, tapi bukanlah sejenis reel yang buruk rupanya. Sedang-sedang je. Feel memegangnya terasa solid, sedikit berat kalau dibandingkan dengan reel kelas 100. Dari segi kosmetik pun biasa-biasa, cetakan informasi dan jenama reel nampak macam reel bajet ya amat. Takde sikit warna lain untuk tampil menonjol. Tengok la tulisan kat body dia, betul-betul warna putih semata.
- Berat reel 265g, antara yang teringan berbanding pesaingnya kecuali Opass Crank Master II lebih ringan
- Ratio gear 7.0 : 1 sesuai dengan selera aku. Ratio 8.0: 1 dan keatas aku tak minat. Karauan laju tapi tork rendah. Ecooda Trace ETB ratio rendah sangat, 5.9 : 1. Penat kayuh camni.
- Extra shallow spool. Senang nak main kolam pancing. Pesaing dia ada yang bagi dan ada yang tak bagi extra spool ni.
- Extra power handle. ATC Combat Plus V2 didatangkan dengan handle casting dan tambahan power handle. Pesaing dia tak ada. Contohnya Gawas Bulletcast 301, dia cuma bagi power handle. Maknanya kena keluar modal lain kalau nk buat main casting.
- Drag 12kg. Ni drag yang cun-cun lah untuk light jigging. Pesaing pun tak kurang hebatnya, ada yang 14-15kg drag. Mekanisma dragnya menggunakan multi stack disc plate, maksudnya ada beberapa keping carbon dan pressure plate. Memang sedap drag yang pakai sistem multi stack ni. Dia punya feel memang fine tuned, nak lock drag tak perlu struggle pusing tombol pelaras dengan kuat.
- Lain-lain spec biasa je, bearing 10+1 dan rupa yang agak maskulin walaupun tak fancy macam sesetengah pesaingnya. Oh lupa lagi satu feature yang bagi aku penting, dia punya line guide berbentuk segitiga. Ada function benda ni, secara teorinya tali keluar dengan lebih lancar semasa casting. Hampir sama macam feature line guide FLTV Kastking.
Walaupun dia boleh dibawa mengcasting, aku rasa reel kelas spool 200 - 300 ni tak sesuai untuk long duration casting. Agak berat sebenarnya, kecuali lengan kau besar lengan Sazali Samad.
Reel ni aku padankan dengan rod Storm Discovery 6'9" spec 10-20lbs dengan braid Gachiri 30lbs, agak terasa juga la bebannya bila menghayun joran. Ini reel 265g, bayangkan kalau reel beratnya hampir 300g. Sebab tu aku taknak reel yang berat sangat. Tapi agak pelik sebenarnya, reel Stradic 5000XG aku 295g, belum campur berat rod Eupro Twister tapi tak terasa lenguh kalau casting. Mungkin sebab design spinning ni bebannya dibawah rod, dia mungkin jadi macam counterbalance.
Secara ringkasnya reel ATC Combat Plus V2 ni berbaloi dibeli kalau korang malas nak simpan banyak spec reel. Multipurpose habis dah ni in one package. Tinggal letak braided yang sesuai je. Reel kuat, harga masih relevan dan serba boleh.
Adik dia Combat 100/101 pun mantap juga cuma bukan untuk kategori jigging.
Ok next story aku nak tulis sikit satu reel baitcasting yang amazing dari Okuma. Aku tak beli tapi aku harap adik aku beli. Serius padu,hensem,dan canggih reel tu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan