Ahad, 10 Jun 2018

God of War PS4; Bagai Blade of Chaos Pulang ke Genggaman Kratos


Isnin baru-baru ni permainan video PS4 yang aku beli dah sampai dengan selamatnya. Sebenarnya aku order dari Lazada pada 28/5/2018 (Isnin) bersekali dengan controller DS4, tapi controller sampai dulu. Lebih kurang 3 hari. Game God of War pulak tersangkut entah kat mana, seminggu baru tiba di pejabat.
Ok, aku nak ulaskan sikit game God of War PS4 yang aku beli dengan harga RM219 selepas ditolak 0% GST. Progress permainan setakat ni lebih kurang 68% iaitu chapter ke-11 daripada 16 keseluruhan.
Sikit pengenalan tentang game God of War, game ni berkenaan watak utama Kratos (demigod) yang melalui perjalanan menentang dewa-dewa Greek setelah keluarganya mati akibat diperdaya oleh dewa perang, Ares.
Mula diperkenalkan pada platform PS2 ( God of War & God of War II ), ada beberapa lagi siri lagi yang dikeluarkan untuk platform PS3 dan PSVita. Untuk siri PS3 dan PSVita, aku tak dapat main sebab memang aku takde konsol PS3.
Kalau sebelum ni latarbelakang permainan GoW bertemakan dewa-dewa Greek, GoW terbaru bertemakan dewa-dewa Nordic. Tak tau? Sebut THOR mesti ramai kenal.


Khabarnya Kratos membawa diri jauh dari Greek dan menjalani kehidupan sebagai orang biasa di dunia Midgard. Asas jalan cerita GoW PS4 ialah berkenaan perjalanan Kratos ke puncak gunung untuk menabur abu mayat isterinya bertemankan anak beliau iaitu Atreus.
Disebabkan Kratos sekarang berada di dunia mitologi Norse (Nordic), maka maka watak dan tempat-tempat dalam pengembaraan Kratos ialah seperti didalam filem Thor. Watak-watak mistik juga pelbagai, berbelit lidah nak menyebutnya.

Diawal permainan, Kratos tidak membawa senjata trademarknya iaitu Blade of Chaos, sebaliknya mendapat senjata baru iaitu Leviathan Axe, sejenis kapak yang boleh diupgrade dengan kuasa mistik.
Ada empat mod kesukaran dan tetapan lalai ialah Give Me a Balance Experience, tapi aku boleh katakan perlawanan pertama menentang The Stranger (Baldur) amat sukar dengan Leviathan Axe yang masih 'standard kedai'. Disebabkan aku tak nak tersangkut kat mana-mana boss fight, aku terpaksa merendahkan tahap kesukaran iaitu mod 'Give Me a Story'.

Untuk musuh-musuh biasa, Leviathan Axe sudah memadai, tapi bila pertama kali jumpa Valkyrie, aku mula merindui kepantasan Blade of Chaos. Apapun jangan risau, senjata-senjata anda jyga akan makin kuat. Ada sesetengah musuh kalis senjata tertentu.
Dalam banyak-banyak musuh termasuk naga yang besar, Valkyrie adalah seteru yang paling sukar untuk ditewaskan. Sepanjang permainan khabarnya ada lapan Valkyrie yang berlainan nama. Apa yang agak mengejutkan ialah Valkyrie pertama tu merupakan Valkyrie yang paling 'mudah' ditewaskan. Whatt???
Mujurlah perlawanan dengan Valkyrie tidak wajib. Anda boleh mengelak untuk bertarung dengannya dan tidak menjejaskan jalan cerita. Kelapan-lapan Valkyrie boleh ditemui dalam Secret Chamber of Odin, yang hanya boleh dibuka dengan serpihan chisel. Chisel ni akan diperolehi dipertengahan permainan. Bila senjata dah makin kuat, barulah aku akan cari balik Valkyrie - Valkyrie ni.
Sebelum ni upgrade senjata agak mudah dengan hanya mengumpul Soul dan Experience, kali ni naiktaraf senjata perlu melalui adik-beradik blacksmith. Sepanjang permainan anda akan mengumpul Experience dan Hacksilver.
Hacksilver ni diperolehi samada dari peti-peti ataupun tempayan. Maka bertepatan dengan konsep gamplay 'hack and slash',anda perlu rajin menebas apa juga peti atau tempayan yang bertebaran sepanjang perjalanan.
Sambil-sambil anda mendayung perahu kolek ditengah Lake of Nine pun banyak benda boleh dikutip. Langgar je tong-tong kayu untuk mendapatkan Hacksliver, perhatikan kilauan berkabus dipermukaan air dan anda akan mendapat Aegirs Gold dan perhatikan kilauan putih kebiru-biruan dan petik Dew of Yggdrasil.

Perubahan ketara antara GoW versi Greek vs. Nordic ialah Kratos yang sudah tua ini tidak lagi semberono membunuh apa saja makhluk. Kratos yang ini lebih matang, mungkin kerana sebagai bapa beliau lebih matang dan tenang barangkali kerana perjalanan kali ni ditemani anaknya Atreus.
Macam kita lah, takkan nak tunjuk perangai baran zaman muda depan anak-anak.
Perbezaan lain ialah hanya satu watak wanita yang ditemui setakat ni iaitu Freya,seorang ahli sihir baik dan juga sebenarnya seorang dewa. Pakaian Freya juga lebih bertamadun, tidak seperti era Greek yang amat 'revealing' dan tak sesuai ditonton anak-anak kecil. Maklumlah zaman purba dulu masih jahiliah. Maka fesyen pakaian mereka lebih ringkas.
Penyelesaian puzzle memang banyak, ada yang mudah dan ada yang sukar. Kalau stuck tak boleh solve, buka je Walkthrough yang banyak di internet.Hihihi!
Dunia 9 Realm dalam GoW ni amat luas, banyak tempat yang boleh diteroka bergantung pada tahap 'akses' yang dipunyai Kratos pada masa tersebut. Makin jauh perjalanan Kratos, makin banyak bilik yang boleh diakses.
Setakat ni aku boleh bagi 8.2 bintang untuk GoW terbaru ni. Berbaloi, cuma soundtracknya tidak lagi semantap GoW II. Muzik latarnya agak 'plain', tak rasa macam nak mengamuk sepanjang masa bila jumpa musuh.

*Setakat malam tadi aku dah sampai ke peringkat membunuh Baldur. Bukan main marah mak dia. Maknanya game ni sudah hampir sampai ke penghujung. Khabarnya God of War versi Nordic ni adalah permulaan perjalanan baru untuk Kratos. Walaupun jalan cerita hampir tamat, masih banyak Realm yang belum diteroka.

Sekian, terima kasihhh!




Rabu, 18 April 2018

SYM VF3i

Kelas kapcai super moped nampaknya makin meriah dengan hadirnya SYM VF3i. Apa yang menarik ialah VF3i didatangkan dengan kapasiti enjin terbesar iaitu 183 cc. Selepas ni kategori ini akan berkembang menjadi berapa cc  pula agaknya? 200?

Jujurnya aku tak begitu mengenali jenama SYM, dan secara jujurnya aku masih sedikit skeptikal dengan jenama-jenama 'asing'. Alasannya jenama-jenama baru mungkin kurang lasak. Mungkin la ya? Hanya pengguna SYM yang layak memberi pendapat dari segi ketahanan enjin.

Tapi apa yang aku nampak, motosikal SYM agak banyak berkeliaran di Malaysia. Berapa lama jenama ini boleh bertahan, aku tak tahulah. Teringat akan jenama MZ dengan model skuter Moskito. Laku keras jugak model ni sebab zaman tu zaman hip hop, siapa yang ada sistem audio kiranya dah capai level bangsawan atau bahasa sekarang idola. Aku dengan kawan-kawan aku lebih selesa dengan kapcai 2 lejang. Bingit, laju dan rebel.
Tapi takde sorang ke yang perasan, mat-mat hip hop Amerika pakai skuter ke? Atau aku yang tak tau?
Sebagai model yang sangat popular awal millenium dahulu, secepat ia popular, secepat itu juga jenama ini hilang. Mungkin sokongan alat ganti menjadi masalah utama.

Aih dah berapa perenggan ni bila nak cerita pasal SYM?
Oklah, untuk mencuri kek pasaran super moped yang didominasi Y15ZR dan RS150R, resepi yang SYM gunakan sangat mudah; bina enjin yang lebih besar dah lebih berkuasa.
Enjin VF3i yang bersesaran 183cc menghasilkan kuasa sebesar 17.7hp @ 8500rpm, sedikit tinggi berbanding Y15ZR dan RS150R. Enjin sebesar ini tentunya meneguk bahanapi lebih cepat, maka ia dipasangkan tangki bahanapi 7 liter.
Rata-rata kapcai hanya diberikan tangki 4 liter, sejak puluhan tahun dahulu hinggalah ke era super moped. Entah apa logik diorang guna agaknya. Dah pakai 150cc pun masih lagi kekal tangki kapasiti sama.
Melihat kepada aksara model ini VF3i, angka 3 mungkin merujuk kepada penggunaan tiga palam pencucuh seperti Benelli RFS150i, dan huruf 'i' selalunya memberi maksud injection (pancitan bahanapi elektronik).

Berat kering 124kg, satu kilogram lebih berat berbanding RS150R. Bagaimanapun dengan kuasa enjin yang ada, sepatutnya VF3i mampu memecut lancar tanpa masalah.
Dan yang lebih penting, harganya hampir sama saja dengan pesaing utama. Itu kalau ikut harga yang dicadangkan pengeluar. Kalau jenama Yamaha toksah mimpilah boleh dapat harga cadangan, asal keluar je siri khas (bukan limited unit pun) harga confirm kena markup.

Lantak koranglah, siapa suruh beli benda murah dengan harga mahal. Daripada motor, sampai la ke hotwheels. Asal benda boleh jadi duit, muncullah spekulator-spekulator pasaran dan idola barang rare.
Padahal barang kat market semua dia borong supaya berlaku permintaan melebihi penawaran. Jijik betul aku dengar. Bila kita jual murah, kita pula yang kena kecam. Bunuh peniaga Melayu katanya. Hmmm...kepala bana betul.
Nasib baik hobi aku kumpul penutup injap tayar. Takde la saingan sangat, kalau ada pun bebudak basikal lajak dalam taman perumahan aku ni ha.

*imej dari paultan.org

Selasa, 17 April 2018

Kawasaki Ninja 400 2018

Asalnya aku ada tulis dua entri berbaur politik, tapi mengenangkan ilmu politik aku amat rendah, ada baiknya aku peram saja entri tu. Kang tak pasal-pasal ramai yang maki aku secara berjemaah.
Orang kita ni lain macam sikit, benda fitnah memang seronok dibualkan.

Okaylah, aku kembali kepada fitrah penulisan aku iaitu penulisan berbentuk teknikal. Kali ni aku nak tulis sikit pasal motorsikal kelas pertengahan yang tak berapa nak tengah. Tapi agak menarik bila aku baca review matsaleh.

Ini dia, Kawasaki Ninja 400 2018! Tepuk tangan sikit.

Sebelum ni Kawasaki pernah menjual Ninja 250 dan 300 tapi khabarnya maklumbalas pengguna menyatakan kapasiti 300 mematangkan mereka terlalu cepat. Maksud lainnya pengguna baru cepat bosan agaknya dan memerlukan mereka menaiktaraf motorsikal kepada yang lebih berkuasa.
Oleh kerana Kawasaki ZX-6R 636 berada pada kelas harga yang jauh berbeza dari kategori entry level, maka Kawasaki membina motorsikal kelas baru yang seronok ditunggang, dan dalam masa yang sama dijual pada tanda harga dalam lingkungan mampu milik.
Kawasaki Ninja 400 dibina daripada '0',maksudnya bukan upgrade dari model terdahulu. Rekabentuk badan hampir menyerupai abangnya ZX10-R.
Enjin 399 c.c dua silinder parallel empat lejang mampu menjana 33.4kW @ 10,000rpm (45hp).

Saiz bore 70mm x  stroke 51.8mm membayangkan enjinnya dibina untuk capaian kuasa pada rpm tinggi. Dipadankan dengan transmisi 7 kelajuan, brek cakera hadapan tunggal 310mm, dan berat 168kg, khabarnya motorsikal ini amat lincah dan seronok ditunggang. Isipadu enjin lebih besar, tapi 9kg lebih ringan daripada adiknya, Ninja 300.

Satu maklumat menarik yang aku dapat ialah posisi tunggangan sedikit menegak, maksudnya tidak membongkok sebagaimana 'abang-abang'nya dari kelas supersport. Bagi aku baguslah untuk warga pertengahan yang sakit tulang belakang tapi masih mahukan motorsikal dengan potongan badan ala-ala superbike.

Tangki bahanapi memuatkan 14 liter petrol dan tahap penggunaan bahanapi adalah dianggarkan
27.6km/liter. Dengan setangki penuh dapat meliputi jarak 386km. Anggaplah jarak maksimum 300km dan bakinya sebagai reserve. Maksudnya kalau aku balik kampung, baki dalam tangki boleh buat ronda-ronda pusing kampung 10 round.

Mengikut lama web pandulaju.my, harga yang ditawarkan ialah antara RM20,401.00 hingga RM22,422.00. Seriously!?
Ini lingkungan harga Ninja 250 masa mula-mula dijual sekitar 2008/2009 dulu.
Jangkaan aku ianya diberikan tanda harga sekitar RM30,000.00. Nampak lebih masuk akal.

Masalahnya Ninja 400 2018 bila nak jual kat Malaysia ni?