Salam Sabtu 7 Ramadan 1443 Hijrah (2022).
Sejak beberapa hari ni kan tiba-tiba datang niat nak menambah koleksi reel dari jenis spinning. Ada satu kategori seni memancing yang aku teringin nak cuba iaitu jigging. Teknik khusus memancing dilaut pada kedalaman puluhan ke ratusan meter ni memerlukan setup sedikit berbeza terutamanya faktor berat umpan jig,ikan sasaran dan cara jig dimainkan. Semua faktor disebutkan ni menentukan pemilihan rod yang sesuai,reel yang kuat dan kelajuan tinggi,spool cukup dalam untuk memuatkan mainline yang banyak serta berkekuatan tinggi.
Buat masa ni aku ada setup untuk jigging kononnya; rod sepanjang 6'3" solid carbon butt joint, mainline braided 40lbs dan reel kapasiti tinggi dengan drag 10kg.
Tetapi apa yang kurang sesuai ialah berat reel menjangkau 600gram. Berat berlebihan ni pastinya bakal meletihkan tangan semasa mengendalikan jig berat berulang-ulang kali. Ditambah lagi dengan nisbah karauan 5.0:1, ia dikira perlahan untuk dimainkan dalam kategori jigging.
Itulah dia spesifikasi reel lama aku iaitu Ryobi AP Power 8000. Rekaan full metal body mungkin diyakini kuat,tapi beratnya MasyaAllah. Balik trip jigging confirm sado lengan kau.
Masa aku beli reel tu,purposenya cuma pancingan dasar. Aku belum lagi exposed dan tertarik dengan teknik pancingan jigging. Selepas menelaah setup pemain-pemain jigging, set yang ringan dan berkelajuan tinggi amat membantu.
Selepas menjalankan kajian, ada beberapa model spinning yang masuk dalam radar aku. Awalnya aku berkira-kira nak cari satu reel overhead/bc samada Banax Lexima atau Team Seahawk Barricade SW, tapi aku terpaksa bermula dari awal semula dengan membeli rod baru. Aku kira rugi jugalah, tak pasal-pasal kena tambah rod lain.
Untuk meminimakan impak kewangan keatas Pengeluaran Khas KWSP, aku akan cari reel spinning sahaja untuk menggantikan reel AP Power.
Fokus aku cuma dari dua jenama besar iaitu Shimano dan Daiwa. Dua jenama ni memang masyhur di arena pancingan,cuma model flagship diorang sangatlah bangsawan harganya.
Untuk model entry level pulak, aku perasan finishing dan spesifikasinya cukup kedekut. Dengan rupa yang tak menarik, bearing pulak sekadar 4+1 saja. Ada yang cakap bearing lebih-lebih ni tak ada fungsi pun. Bagi aku tak, kalau tak ada fungsi masakan model flagship pakai banyak bearing untuk capai smoothness.
Mujur kategori lower-to-upper midrange jenama-jenama ni berspesifikasi baik walaupun harganya tidaklah murah mana,but still bang of buck kata orang Bota Kanan.
Beberapa model yang aku survey dari jenama Shimano ialah Nasci, Spheros,Ultegra dan Stradic. Manakala dari jenama Daiwa ialah Freams LT. Untuk kategori pertengahan ni Daiwa tak banyak pilihan. Dan yang mengehadkan pilihan Daiwa ialah binaan monocoque dan Magsealed.
Daiwa Freams LT 5000D-CXH |
Binaan monocoque perlukan special tools untuk servicing dan teknologi Magsealed khabarnya susah didapati dan mahal greasenya. Kelebihan Freams LT ni yang aku nampak dia jauh lebih ringan dari reel Shimano untuk kelas 5000.
Daiwa Freams LT5000 CXH contohnya berspesifikasi 6.2:1, drag 12kg,berat 255gram dan bearing sebanyak 5+1. Harga sekitar RM53x.xx - RM55x.xx.
Direct competitor Shimano untuk kategori ni ialah model Ultegra 2017 FB C5000XG. Ratio karauan sama,6.2:1, drag 11kg, berat 285gram dan bearingnya juga 5+1. Harga lebih kurang sama.
2021 Shimano Ultegra FC 5000XG |
Dari perbandingan asas ni Daiwa sedikit berkelebihan dari sudut drag dan berat. Tapi dalam banyak feedback aku baca, Shimano punya buttery smooth reeling memang terbaik.
Dalam aku berkira-kira nak letak Ultegra sebagai calon utama, tiba-tiba aku terberkenan pula dengan Shimano Stradic FL 5000XG. Siri Stradic FL ni aku baca review dia cakap drag lebih baik,frame tak warped bila heavy load,dan dibekalkan dengan banyak ciri-ciri premium seperti lineup flagship berbanding siri sebelumnya. Dalam satu video aku tengok set up Stradic 5000XG dengan padanan mainline Sufix 30lbs dan leader 60lbs mampu mengepam GT sekitar 15kg tanpa masalah.
2019 Shimano Stradic FL 5000XG |
Harganya jauh sikit dari siri Ultegra iaitu sekitar RM650-750.Harga RM650 tu mostly aku jumpa dari seller facebook based on posting tahun lepas. Sure dah sold out.
Harga di Shopee pula minima RM700. Stok Stradic FL boleh dikatakan agak susah dapat terutamanya saiz 1000-3000. Syok buat main light jigging agaknya.
Apapun kita tunggu next week untuk review sedikit panjang dan aku akan kongsikan kombinasi setup untuk set jigging ni.