Sabtu, 9 April 2022

Calon Pengganti Ryobi AP Power?

Salam Sabtu 7 Ramadan 1443 Hijrah (2022). 

Sejak beberapa hari ni kan tiba-tiba datang niat nak menambah koleksi reel dari jenis spinning. Ada satu kategori seni memancing yang aku teringin nak cuba iaitu jigging. Teknik khusus memancing dilaut pada kedalaman puluhan ke ratusan meter ni memerlukan setup sedikit berbeza terutamanya faktor berat umpan jig,ikan sasaran dan cara jig dimainkan. Semua faktor disebutkan ni menentukan pemilihan rod yang sesuai,reel yang kuat dan kelajuan tinggi,spool cukup dalam untuk memuatkan mainline yang banyak serta berkekuatan tinggi.

Buat masa ni aku ada setup untuk jigging kononnya; rod sepanjang 6'3" solid carbon butt joint, mainline braided 40lbs dan reel kapasiti tinggi dengan drag 10kg. 

Tetapi apa yang kurang sesuai ialah berat reel menjangkau 600gram. Berat berlebihan ni pastinya bakal meletihkan tangan semasa mengendalikan jig berat berulang-ulang kali. Ditambah lagi dengan nisbah karauan 5.0:1, ia dikira perlahan untuk dimainkan dalam kategori jigging. 

Itulah dia spesifikasi reel lama aku iaitu Ryobi AP Power 8000. Rekaan full metal body mungkin diyakini kuat,tapi beratnya MasyaAllah. Balik trip jigging confirm sado lengan kau.

Masa aku beli reel tu,purposenya cuma pancingan dasar. Aku belum lagi exposed dan tertarik dengan teknik pancingan jigging. Selepas menelaah setup pemain-pemain jigging, set yang ringan dan berkelajuan tinggi amat membantu.

Selepas menjalankan kajian, ada beberapa model spinning yang masuk dalam radar aku. Awalnya aku berkira-kira nak cari satu reel overhead/bc samada Banax Lexima atau Team Seahawk Barricade SW, tapi aku terpaksa bermula dari awal semula dengan membeli rod baru. Aku kira rugi jugalah, tak pasal-pasal kena tambah rod lain.

Untuk meminimakan impak kewangan keatas Pengeluaran Khas KWSP, aku akan cari reel spinning sahaja untuk menggantikan reel AP Power.

Fokus aku cuma dari dua jenama besar iaitu Shimano dan Daiwa. Dua jenama ni memang masyhur di arena pancingan,cuma model flagship diorang sangatlah bangsawan harganya.

Untuk model entry level pulak, aku perasan finishing dan spesifikasinya cukup kedekut. Dengan rupa yang tak menarik, bearing pulak sekadar 4+1 saja. Ada yang cakap bearing lebih-lebih ni tak ada fungsi pun. Bagi aku tak, kalau tak ada fungsi masakan model flagship pakai banyak bearing untuk capai smoothness.

Mujur kategori lower-to-upper midrange jenama-jenama ni berspesifikasi baik walaupun harganya tidaklah murah mana,but still bang of buck kata orang Bota Kanan.

Beberapa model yang aku survey dari jenama Shimano ialah Nasci, Spheros,Ultegra dan Stradic. Manakala dari jenama Daiwa ialah Freams LT. Untuk kategori pertengahan ni Daiwa tak banyak pilihan. Dan yang mengehadkan pilihan Daiwa ialah binaan monocoque dan Magsealed. 

Daiwa Freams LT 5000D-CXH

Binaan monocoque perlukan special tools untuk servicing dan teknologi Magsealed khabarnya susah didapati dan mahal greasenya. Kelebihan Freams LT ni yang aku nampak dia jauh lebih ringan dari reel Shimano untuk kelas 5000.

Daiwa Freams LT5000 CXH contohnya berspesifikasi 6.2:1, drag 12kg,berat 255gram dan bearing sebanyak 5+1. Harga sekitar RM53x.xx - RM55x.xx. 

Direct competitor Shimano untuk kategori ni ialah model Ultegra 2017 FB C5000XG. Ratio karauan sama,6.2:1, drag 11kg, berat 285gram dan bearingnya juga 5+1. Harga lebih kurang sama.

2021 Shimano Ultegra FC 5000XG

Dari perbandingan asas ni Daiwa sedikit berkelebihan dari sudut drag dan berat. Tapi dalam banyak feedback aku baca, Shimano punya buttery smooth reeling memang terbaik.

Dalam aku berkira-kira nak letak Ultegra sebagai calon utama, tiba-tiba aku terberkenan pula dengan Shimano Stradic FL 5000XG. Siri Stradic FL ni aku baca review dia cakap drag lebih baik,frame tak warped bila heavy load,dan dibekalkan dengan banyak ciri-ciri premium seperti lineup flagship berbanding siri sebelumnya. Dalam satu video aku tengok set up Stradic 5000XG dengan padanan mainline Sufix 30lbs dan leader 60lbs mampu mengepam GT sekitar 15kg tanpa masalah.

2019 Shimano Stradic FL 5000XG

Harganya jauh sikit dari siri Ultegra iaitu sekitar RM650-750.Harga RM650 tu mostly aku jumpa dari seller facebook based on posting tahun lepas. Sure dah sold out.

Harga di Shopee pula minima RM700. Stok Stradic FL boleh dikatakan agak susah dapat terutamanya saiz 1000-3000. Syok buat main light jigging agaknya.

Apapun kita tunggu next week untuk review sedikit panjang dan aku akan kongsikan kombinasi setup untuk set jigging ni.


Ahad, 13 Mac 2022

Storm Discovery Baitcasting Rod!

Aku tak tau la apebenda yang aku buat kat Shopee aritu. Tak pasal-pasal terorder rod casting 6"9'.

Memang ada niat nak cari rod casting panjang sikit untuk aktiviti landbased open area, tapi tidaklah urgent. Dok survey-survey rod harga patut dan agak ada reputasi baik, banyak yang sold out. Terutamanya spesifikasi 6"6' atau 6"9' baitcasting, 2 pcs center joint, 8-17lbs atau 10-20lbs.

Salah satu target aku ialah rod Storm Adventure, malang juga kebanyakan seller kehabisan stok. Terpaksalah aku beralih ke model Discovery, juga dari jenama Storm.

Jenama ni dah agak lama aku kenal dari pembacaan majalah pancing. Dari telahan aku jenama ni agak baiklah latar belakangnya.

By the way jenama Storm ni dari mana asal usul dia?

Hasil siasatan aku membawa kepada laman web ni, https://storm.fishing/ . Aku rasa jenama ni ada kaitan dengan jenama Rapala, mungkin sub jenamanya untuk kategori sedikit mampu milik.

Masalahnya dalam web tu cuma tersenarai item2 hard lure, tak ada pula ditunjukkan koleksi model-model rod yang dijual. Tak mungkin pula jenama Storm ni ayam sangat sampai tak ada website sendiri sedangkan rod Storm Gomoku tu amatlah terkenal.

Berbalik ke rod yang aku order tu, rodnya dah selamat sampai dari seller orchidtackle88 dengan lojistik DHL. Agak laju juga order 10hb Mac, sampai 12hb Mac. Tapi yang seramnya rod pos pakai kotak kadbod😱 Aku ingat seller pakai PVC. Takde tampal stiker Fragile plak tu. Agaknya sebab aku redeem voucher shipping free kot.

Tapi apapun rod diterima dalam keadaan baik. Spec yang aku beli ialah baitcasting DRC 692MH (Medium Heavy) 6"9', Fast Action, 2 section center joint, 9+1 Fuji slim hard O guide, Fuji reel seat dan split EVA handle.

Range mainline yang dicadangkan ialah 10-20lbs, berat lure antara 7-32g dan berat rod adalah 134 gram. Binaan rod adalah hollow carbon blank dengan balutan karbon X wrap. Harganya RM192, sama dengan rod jigging Team Seahawk Kingdom Xtreme. Pada aras harga ni kebiasaannya rod diberikan kemasan yang agak premium dan warnanya nampak menarik.

Buat masa ni aku gandingkan dengan reel Kasting Crixus Armor X dan rod Seahawk Kossori bagi rehat dulu. Belum ada plan nak tambah reel. 




Rabu, 9 Mac 2022

Koleksi Baru, Heddon Super Spook Jr.

Post ni aku tulis sekadar untuk menyimpan memori pembelian lure. Mana tahu lure ni nanti hilang atau sangkut tak dapat diselamatkan, ada juga memori yang dapat aku imbas dimasa akan datang.

Asalnya niat aku nak dapatkan lure ni sebab aku terbaca dari satu posting yang katanya dia cukup killer untuk siakap liar. Another legend said, this is the last secret weapon to land a fish kalau hard lure lain tak berkesan. Amboih amat-amat dahsyattt.... 

Oklah,itu cerita lain, tapi sebagai noobies aku teruja nak simpan satu. Salah satu sebabnya aku rasa design dan art pada badan Super Spook Jr. ni nampak oldschool.


Sikit recap asal usul jenama Heddon ni; ia berasal dari pengasasnya yang bernama James Heddon dan syarikat Heddon ditubuhkan pada 1902 di Michigan, Amerika Syarikat. James Heddon ni sebenarnya penternak lebah, entah macamana boleh terjebak dalam pembikinan lure aku pun tak pasti. Semasa syarikat berada di kemuncak sekitar 50'an, syarikat ni menerima persaingan sengit dan bertukar tangan beberapa kali.

Berdasarkan sejarahnya yang panjang, jenama Heddon ni boleh dikategorikan sebagai brand orang lama dalam bidang menipu ikan. In fact Heddon ni adalah jenama umpan tiruan tertua didunia. Sesuatu yang patut dihormati ya adik-adik.

Super Spook Jr. ni kecik sikit dari Super Spook asal. Saiznya 3 ½ inci atau dalam ukuran metrik 8.89cm. Beratnya 7 gram dan dilengkapkan treble hook bersaiz #4 yang bersalut tin. Aku rasa galvanized kot. Sebabnya adalah lure ni dikhususkan untuk permainan di air masin.

Jenis permainan Super Spook Jr. ni ialah top water dengan aksi (jalankan anjing tu)'walk the dog'.


Model produksi Super Spook Jr. ni dinamakan X9236 dan varian yang aku beli ni berwarna Blue Chrome. Kat kotaknya tertulis X923605. Aku rasa '05' tu kod warna dia.

Walaupun jenama Heddon ni berasal dari US, label yang ditampal menunjukkan ianya dibuat di Guatemala. Ini juga satu keunikan bagi aku sebab amat jarang jumpa produk yang diproduksi disana. Menarik jugalah macamana syarikat Heddon boleh buka kilang kat situ.

Aku cuba cari kilang mana yang produce siri Super Spook Jr. ni kat Guatemala tapi tiada info dijumpai. Kalau diikutkan jenama Heddon dimiliki oleh EBSCO Industries; satu konglomerat yang agak besar juga dan kilang-kilangnya banyak disekitar US. Mungkin kilang lain di Guatemala contract manufacturingkan lure Super Spook Jr. ni untuk EBSCO. Ni cuma tuduhan liar aku jelah,hihi!

Super Spook Jr. aku ni belum pasti lagi akan digunakan atau tidak memandangkan aku takde tempat yang sesuai pun nak uji benda ni. Lagipun pembungkusan dia pakai kotak jenis blister macam HotWheels, jenis buka sekali barai terus. Tak boleh nak simpan elok kotaknya. Buat masa ni biarkan sajalah terbungkus elok dalam tu. Sayang nak guna.

Last but not least, harganya ialah RM44 di pusat membeli-belah maya terkemuka iaitu Shopee. Agak mahal bagi aku, patut jual dengan harga RM12 je.😆😆 Tapi dia adalah Heddon, bukan Hendon made in Surabaya.

X923606 Frog

Tambahan kepada koleksi hard lure aku dari jenama Heddon siri Super Spook Jr. ni aku tambah lagi dua warna iaitu varian Frog dan Red Head. Frog masih mudah didapati, manakala Red Head agak terhad. Terpaksa aku order dari Sabah dengan harga agak mahal iaitu RM58 termasuk pos. Dah klik order tetiba melintas suggestion similar item dari seller lain RM48, adussss!

X923608 Red Head


Sedikit berbeza dari 2 unit sebelum ni, pembungkusan variasi warna Red Head kelihatan agak baru berbanding dengan yang diperbuat di Guatemala. Cuba teka buatan mana?

Tidak syak lagi ianya dibuat di China dan diedarkan oleh TCE Sports Sdn.Bhd. Pelekat yang menunjukkan treble hook bersalut tin juga berbeza; Hooks Saltwater Color (??) vs. Saltwater Hooks. Yang bukan-bukan je produksi China ni.

Kemudian ada sedikit perbezaan yang dapat aku kesan antara dua pengeluar ni. Perhatikan mata lure 1 & 2. Warna latar belakang iris kedua-dua mata sedikit berbeza. Mata bernombor 1( buatan Guatemala ) sedikit bertekstur,manakala nombor 2( buatan China ) kelihatan licin.

Apapun ia masih lagi asli Heddon dengan kualiti buatan yang setaraf.

Isnin, 7 Mac 2022

Teknik Memeriksa Backbone Rod Pancing Anda

Weekend baru-baru ni aku balik kampung lagi, macam biasalah selain menjengah mak aku, topik yang tak lari dibincangkan ialah topik memancing.
Kali ni ada sesuatu lagi yang aku pelajari berkenaan kriteria penting dalam pemilihan rod. Benda ni aku pernah baca satu masa dulu tapi tak sangka aku boleh lupa nak praktikkan.
Selain pemilihan action, poundage, material, line guide dan jenama, ada satu lagi perkara penting yang kita mungkin terlupa. 

Pemeriksaan jajaran line guide dengan lenturan backbone rod. Setiap rod ada sudut bahagian yang lebih mudah melentur berbanding bahagian lain. Biasanya sebelum pemasangan cincin/line guide, assembler yang mahir akan menentukan bahagian permukaan rod sebelah mana yang akan dipasangkan cincin.
Caranya adalah dengan melentur rod tanpa mengenakan beban dan rod akan melentur mengikut susunan backbone yang telah ditetapkan semasa membalut karbon fiber/material buatan rod tersebut.
Untuk rod spinning,bahagian bawah lenturan akan ditanda untuk meletakkan cincin dan rod casting di bahagian atas. Sebenarnya lebih jelas kalau ada gambar tapi aku tak jumpa. Aku lukiskan la senang sikit korang paham kot macamana caranya.

Penting ke tidak backbone ni?

Memang penting sebenarnya. Namanya pun backbone, ketika berlaku lenturan, ada bahagian rod yang menerima mampatan dan ada yang menerima regangan. Umpama macam rasuk jambatanlah. Bila beban dikenakan, konkrit akan menerima mampatan dan regangan. Sifat konkrit tahan mampatan,tapi lemah dalam regangan. Sebab tu struktur rasuk akan ditambah keluli di bahagian bawah untuk menguatkan rasuk.
Lebih kurang macam tulah, cuma binaan rod tak setegar rasuk. Lenturan yang direka ada peranan tersendiri dalam menentukan aksi rod.
Bila susunan cincin dan posisi backbone tak sejajar, beban akan menyebabkan rod menerima tekanan di tempat yang salah. Risikonya ialah patah. Sifat grafit atau karbon ialah keras dan ringan tetapi brittle( rapuh). Tak seperti rod fiberglass yang liat tetapi agak lembut dan berat.
Kebanyakan jenama-jenama 'mewah' menjalankan kawalan kualiti yang agak ketat, maka kebiasaannya masalah backbone yang tak sejajar ni amat jarang berlaku.
Bagi jenama yang sedikit tinggi dari rod murahan, masalah ni ada berlaku. Contohnya rod Gtech Jig Legend spinning. Adik aku beli secara online dan didapati backbonenya 'lari' 90°. Maka kerja-kerja penjajaran semula perlu dibuat.
Malang sekali bila adik aku sorang lagi tersalah teknik menguji rod, maka rod tu patah tipnya,😂
Kebetulan binaan rod tu jenis hollow,maka ia tidak dapat diselamatkan.
Teknik menguji sangat penting, kang pegi buat test backbone kat kedai tak pasal-pasal patah rod tokey kedai.
Balik rumah aku test empat-empat rod yang aku ada. Tiga rod Seahawk dan satu rod Santec. Seahawk Ryoku lulus cemerlang, Kossori dan Kingdom Xtreme cuma lari 2-3° which is acceptable dan Santec Capricorn gagal teruk. Jajarannya juga lari 90°. Nasib baik murah, so takdelah aku kecewa sangat.
Yang mana baru berjinak-jinak dengan dunia memancing dan sedang galak menambah koleksi rod, jangan lupa buat ujian ni. Kalau tak pandai, minta tauke kedai buatkan. Beli online rezeki kalau dapat yang cun.

Sabtu, 19 Februari 2022

Tali Sulam (Braided) dan Shock Leader

Sambil-sambil aku rajin nak menulis, aku key in jela apa yang aku nak tulis sekarang. Korang jangan menyampah pulak. Aku tengah gila memancing ni.

Penulisan ni cuma sekadar perkongsian dari pengalaman aku yang tak seberapa. Tulisan ni lebih kepada perkongsian untuk orang yang tak tahu apa-apa pasal tali pancing. Yang dah expert sila pergi ke aplikasi TikTok.

Zaman-zaman awal aku memancing dulu, tali utama yang aku pakai biasanya ialah tali monofilamen. Orang senang faham kalau disebut tali tangsi. Tali tangsi ni kira tali paling asas la dalam sukan memancing. Untuk yang baru nak menceburkan diri bidang memancing, tali ni paling murah dan mudah diurus.

Karekteristik tali tangsi ni bersifat lutsinar dan elastik. Macam ada spring. Kalau kita regangkan dia, tali ni akan memanjang dan kembali ke kepanjangan asal bila dilepaskan.

Sifat elastik ni ada kelebihan dan kekurangan. Jika dikenakan kejutan, ia mampu menyerap kejutan dan mengelakkan daripada putus.

Tapi jika tersangkut di dahan pokok atau ranting kayu didalam air, amat bahaya bila kita cuba tarik. Sifat springnya mampu menerbangkan batu ladung atau swivel pada kelajuan tinggi. Kalau terpelanting kena tanah tak apa, kalau kena mata? Pecah bijik mata mat!

Bagaimanapun tali tangsi ni masih banyak kegunaan lain yang bermanfaat. Sebab tu masih wujud di pasaran. Kebiasaannya untuk big game atau koyan.

Tali sulam atau braided. Tali utama jenis sulam ni agak lama juga dah ada dalam market, cuma aku agak lambat pakai sebab masa tu kewangan tak mengizinkan.

Tali sulam diberi nama berdasarkan teknik pembuatannya yang menggunakan kaedah sulaman sepertimana tali cord pendaki gunung. Beberapa lembaran halus digabungkan untuk menghasilkan tali berkekuatan tinggi. Kelebihan tali sulam ialah nisbah kekuatan vs. diameter yang tinggi. 

Maksudnya untuk kekuatan 20lb,tali sulam cuma berketebalan 0.15mm(contoh),dibandingkan tali tangsi setebal 0.35mm untuk kekuatan yang sama. Tali yang lebih halus bermaksud lebih banyak tali dapat dimuatkan kedalam spool berbanding tali tangsi.

Ada beberapa kategori sulaman contohnya 4X,5X,8X,12X dan yang paling banyak aku dengar 16X. Angka-angka ni merujuk kepada jumlah lembaran yang digabungkan menjadi satu.

Makin tinggi jumlah lembaran digunakan,makin mahal tali sulam tersebut. Simple matematik. Dalam banyak-banyak jenis ni tiga jenis tali sulam aku dah pakai; 4X, 5X dan 8X.

Ketiga-tiga jenis tali ni ada karekteristik yang sedikit berbeza. Semuanya lembut dan mudah tenggelam dalam air, tapi tali 4X dan 5X sedikit kasar permukaan talinya. Jika dipegang kita tak rasa sangat, terutamanya jika kita tak pernah menyentuh kehalusan permukaan tali sulam 8X. 'Kekasaran' tali 4X ni hanya kita sedar bila kita membuat karauan berat. Maksudnya mengarau semasa perlawanan dengan ikan besar.

Seahawk Gachiri X4

Permukaan tali sulam 4X yang bergesel dengan seramik ring guide akan menghasilkan bunyi umpama tali tu sedang menggergaji permukaan ring guide. Kebiasaannya tiada kesan yang ketara sebab seramik guide ring memang tahan geseran, cuma kita akan rasa macam reel pancing kita yang kasar. Sebenarnya tidak. Bunyi-bunyian kasar tu datang dari tali sulaman.

Tali 5X pun lebih kurang juga karekternya dengan 4X. Kalau diteliti betul-betul, 5X jenama Lemax ni sulaman dia lebih kasar berbanding 4X Seahawk Gachiri. Talinya kuat, tapi kalau tarik tali sulam ni bila sangkut, pastikan pakai glove. Makan tangan ooo!

Lemax X5 PE braid 25lb

Berbanding dengan tali 8X, permukaan braided 8X lebih halus dan licin disebabkan lembaran yang disulam jauh lebih halus dan rapat.

Kastking Mega 8

Masa tali ditarik keluar ataupun semasa kita membuat karauan, terasa macam pakai equipment yang premium. Smooth, lancar dia lain sikit. Tak ada bunyi-bunyi yang merisaukan.

Cumanya barang yang terasa premium  didatangkan dengan harga yang premium juga. Contohnya Gachiri 4X berharga sekitar RM11 untuk 100 meter. 300 meter berharga RM33.

Manakala tali Kastking Mega 8 (8X) berharga RM69 untuk 274 meter, begitu juga dengan Gachiri 8X 300 meter berharga RM75. Dua kali lebih sulaman pada harga lebih kurang 120% lebih mahal.

Baik 4X atau 8X, ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Kelebihannya 8X aku dah tuliskan kat perenggan atas tadi. Kekurangan 8X pula ialah lembaran halus bermakna ia lebih senang berbulu/putus akibat geseran. Kontra dengan 8X,4X pulak lebih tahan geseran.

Jadi setiap tali perlu digunakan mengikut padang pancingan masing-masing. Kawasan berbatu sebaiknya pakai 4X dan kawasan yang lapang seperti kolam pancing contohnya sesuai pakai 8X.

Kedua-dua jenis braided ni atau apa kategori braided sekalipun tidak akan mampu menyerap kejutan sebaik monofilamen. Sifatnya yang tidak bermemori merupakan satu kelemahan juga selain dari fizikal tali sulam yang tidak transparent didalam air.

Untuk mengatasi kekurangan tali sulam, pemancing digalakkan menggunakan shock leader, atau sambungan tali mono/fluorokarbon dibahagian paling hadapan. Shock leader berperanan menyerap kejutan dan juga menyembunyikan kewujudan tali sulam berhampiran umpan.

Shock leader kebanyakannya dibina dengan 80% fluorokarbon bersifat sedikit bermemori dan agak lembut. Kadang-kadang berkedut selepas dibuat knot dan ada juga yang terlalu elastik. Jenis 80% fluorokarbon masih lagi boleh dikatakan murah, berharga sekitar RM10 untuk 50 meter. 

Shock leader 100% fluorokarbon pula sedikit keras, agak sukar untuk dibuat knot. Tapi sifatnya cuma sedikit elastik dan sangat kurang memori. Maknanya jika tali berkedut, kita cuma perlu regangkan dan ia akan kembali lurus. Harga pula berbeza-beza mengikut jenama, kebiasaannya lebih mahal dari 80% fluorokarbon.

Contoh yang aku pakai sekarang ialah Bullzen DFC 50lb 80% fluorokarbon 50 meter berharga cuma RM10, manakala Mustad Shock Leader 30lb 100% fluorokarbon 50 meter berharga RM43.


Jauh beza harganya kan? Apapun yang lebih mahal selalunya berkualiti lebih baik dari yang biasa. Jika ada bajet, cubalah pakai asalkan jangan sampai membebankan poket.