Rabu, 29 Mei 2019

Enkei RPF1 Ayam Tayar Gemuk

Agak lama aku tak menulis berkenaan penyelenggaraan kereta, kereta aku lah tu. Bila dah lama makanya agak banyak parts yang aku telah tukar dan beberapa lagi akan menyusul.
Beberapa bulan lepas aku tukar spring kereta aku daripada spring cap ayam yang entah aku dah lupa namanya kepada spring buatan tempatan iaitu APM Performax. Spring APM Performax ni sedikit lembut dari spring sport cap ayam yang aku gunakan sebelum ni tetapi masih agak keras jika dibandingkan dengan spring asal Myvi.
Padanan spring APM, penyerap hentak asal dan tayar bersaiz standard 175/65/14 memberikan pemanduan yang sedikit selesa hasil kelegaan tebal tayar yang membantu menyerap hentakan halus.
Bagaimanapun penyerap hentak kereta aku dah berusia 10 tahun.Agak mengkagumkan ketahanan dia memandangkan perbatuan sebenar kereta aku rasanya sudah melebihi 500,000 kilometer. Aku agak bersedia sekiranya penyerap hentak ini gagal dalam masa terdekat.
Telahan aku ternyata benar bila kereta aku dinaikkan diatas ramp untuk proses penukaran rim dan tayar. Ahad lepas aku tukarkan rim standard Myvi Lagi Best bersaiz 14' kepada rim replika Enkei RPF1 bersaiz 15' ET30. Rim replika ini dipadankan dengan tayar buatan Jepun berjenama Yokohama BluEarth ES32 iaitu spec abah-abah. Maksudnya bunga tayar standard,kompaun sederhana lembut untuk cengkaman ketika kering dan basah.
Asalnya aku mahukan kombinasi rim dan tayar Toyo TR1, tayar prestasi tinggi buatan Kamunting,Perak. Malangnya tiada dalam stok, begitu juga dengan tayar Bridgestone Potenza RE003. Terpaksalah aku berpuashati dengan spec tayar gemuk 195/55/15. Kos yang terlibat cuma RM1600 tidak termasuk trade in. Rim asal aku bawa balik, entah apa nasibnya nanti.
Ok, semasa kereta diatas tanjakan, aku intai- intailah bahagian bawah kereta maklumlah kawasan ini jarang kita pantau. Aku nampak penyerap hentak sebelah kiri belakang diselaputi minyak, tanda ianya sudah bocor.
Aku terus buat tempahan penyerap hentak Kayaba RS Ultra dari sahabat pembekal alatganti iaitu ZL Autopart.
Memandangkan penukaran penyerap hentak ni lebih baik dibuat di bengkel yang pastinya ada air gun wrench, aku minta dipasangkan terus bersama-sama kelengkapan yang perlu ditukar sekali termasuk mounting dan aksesori getah menggantikan getah lama yang dah kematu.
Bila dibuka penyerap hentak lama, rupa-rupanya penyerap hentak hadapan kanan juga sudah hancur. Eloklah tu, mujur tukar satu set.
Harga satu set Kayaba RS untuk Myvi ialah RM520. Murah berbanding harga pasaran sekitar RM530-560.
Kos yang terlibat termasuk parts tambahan dan dan upah ialah RM800.
Parts tambahan yang aku tukar sekali ialah:
1. Mounting 1 set
2. Getah boot depan 1 set
3. Getah pelapik spring depan atas/bawah 1 set
4. Getah pelapik spring belakang 1 set
5.Hos air wiper Samco

Bagi aku harganya berpatutan untuk semua parts dan upah pemasangan. Korang rasa macamana? Ha, siapa-siapa yang berhajat untuk mendapatkan alatganti kereta terutamanya kereta Perodua dan produk Aisin, boleh beli di ZL Autopart. InsyaAllah harganya terbaik. Boleh cari pagenya di Facebook.
Dari segi keselesaan aku rasa tidaklah selesa mana sebab kombinasi APM Performax + Kayaba RS Ultra lebih sesuai untuk meratah selekoh sederhana laju. Kalau nak dapatkan sedikit keselesaan dan keyakinan  seperti melenjan Axia pekak aku rasa tahap kekerasan spring standard+Kayaba RS Ultra lebih sesuai.

Untuk projek akan datang set mounting,ATF filter dan oil pan kotak transmisi akan diganti sebelum pulang beraya.

Selasa, 5 Februari 2019

Politik di Sebalik Fenomena Hotwheels

Sekitar Jun 2016, aku mula terjebak dengan permainan Hotwheels. Antara model terawal yang aku beli ialah Chevy Chevelle 396 Leap Year,66 Ford Torino Talladega,Camaro model tahun berapa aku tak ingat dan juga Toyota AE86. Lepas tu pembelian aku agak slow sebab banyak jumpa kereta 'dinosor' mengikut panggilan peminat Hotwheels atau istilah sebenarnya ialah fantasy car.
Masa tu aku memang tak berkenan dengan kereta yang berbentuk fantasi sebab merepek kot. Jadinya fokus aku lebih kepada real car.
Setahun lepas tak banyak aku beli dalam sebulan,mungkin tiga unit atau paling banyak. Bukan pasal mahal, pasal citarasa. Masa tu aku tak nampak lagi scene Hotwheels dah mula jadi wabak teruk. Lokasi aku membeli pun tak pelbagai, biasanya pasaraya Giant atau Tesco itupun bila ada promosi. Harga RM7.90 boleh dikatakan berpatutanlah, kalau promosi beli 2pcs RM10.
Ada satu tahap aku macam malas nak beli dah sebab susah sangat nak jumpa model yang bagus. Kebetulan cuti raya tahun 2017, sorang kawan aku Mael namanya bagitau ada satu variasi model Hotwheels yang dinamakan Treasure Hunt. Siri ni dihasilkan dalam unit terhad. Kiranya kalau jumpa umpama jackpot lah.
Aku pun kaji la apadia Hotwheels Treasure Hunt. Rupanya ada dua kategori, pertama regular Treasure Hunt (RTH) dan yang lebih rare ialah Super Treasure Hunt.
Siri Super Treasure Hunt mungkin dikeluarkan sekitar 10 jenis model untuk tiap-tiap tahun. Istimewanya model Super Treasure Hunt ni, warnanya metalik, perincian yang lebih kemas dan disertakan dengan real rider iaitu tayar getah dan rim yang lebih real.
Set tayar istimewa ni memang memberi impak besar kepada penampilan Hotwheels sebab kalau kau beli Hotwheels biasa dan kau masukkan rim bertayar getah, rupa dia memang cantik lain macam.
Serupa kereta kita lah, kalau standard kilang memang bosan rupa dia. Sekali masuk sport rim haa tengok,mesti berseri.
Disebabkan siri Super Treasure Hunt teramat sukar ditemui, aku cuma mencari regular Treasure Hunt yang masih mudah dijumpai. Orang tak berapa nak gila sangat.
Tapi kemudian aku perasan kenapa model kereta Jepun pun amat susah nak dilihat tergantung bebas di rak pasaraya. Rupa-rupanya selain Super Treasure Hunt, apa juga model kereta Jepun (JDM) turut sama menjadi kegilaan pengumpul. Ni baru nak masuk isi penting tulisan posting aku.
Dalam scene Hotwheels Malaysia, ada amat ramai peminat yang menggilai model JDM dan Treasure Hunt. Yang Treasure Hunt tu tak kisah sebab benda memang rare. Kegilaan Hotwheels ni mewujudkan satu golongan 'pengumpul' tetapi fokus mereka cuma keuntungan dari kegilaan masyarakat.
Apa yang pengumpul atau istilahnya scalper ini buat ialah mereka akan memburu model- model spesifik yang mendapat permintaan tinggi dan memborong dalam kuantiti yang banyak. Tujuannya cuma satu; untuk dijual semula dengan harga tinggi. Nak lagi tinggi mereka buka bidaan.
Oklah, aku nak tanya dan aku jawab sendiri. Korang pernah tengok orang kumpul objek yang sama sebijik sampai puluh-puluh jenis? Contohnya kasut. Ada orang cukup gila tak nak beli Adidas Yeezy sampai 50 pasang atas alasan minat?
Jawapan aku, bullshit. Tak ada manusia kumpul benda sama sebanyak itu. Hatta lagenda pengumpul Hotwheels sekalipun tak ada koleksi semacam itu. Aku banyak kali tengok sesetengah so called collector ni show off koleksi diorang di media sosial.Ada sekali tu tengok sorang mamat ni tunjuk Honda Civic EF merah lebih 50 unit.
Heh, kalau ye pun minat Civic EF, kumpul la variasi warna yang pelbagai. Jadah apa kumpul model sama, warna sama.
Ianya berbalik semula pada minat. Model Civic EF boleh dikatakan masih hangat permintaannya. Harga biasa sekarang RM8.90, tetapi ditangan kapitalis-kapitalis ini ianya dijual antara RM25-35.
Menjual adalah hal penjual, kita ada hak untuk tak beli kalau dia jual mahal. Iye betul tu. Kalau ye pun nak berniaga jangan lupa hukum hakam. Mengambil untung berlebihan namanya riba'. Melayu kita ni takut makan babi je, makan riba ok takde masalah.
Permintaan tinggi model-model JDM ni pasal susah nak jumpa ada kaitannya dengan aktiviti kapitalis ni lah. Kapitalis biasanya berurusan terus dengan jalan belakang iaitu pengurusan stor pasaraya besar. Model-model hangat disisihkan terlebih dahulu dan saki baki model sampah akan dijual di rak-rak pasaraya.
Pasal tu la kalau korang perhatikan amat susah nak jumpa model yang baik di pasaraya.
Sebagai pengumpul biasa, aku dan ramai lagi pengumpul memperluaskan lagi skop pencarian. Antara lokasi biasa ialah kedai 7Eleven, KK Mart dan terbaru Family Mart. Itupun ikut rezeki jugalah. Kapitalis pun sama juga akalnya macam kita, tau je kat mana lubang-lubang baekkk untuk hunting.
Jika dulu hobi mengumpul Hotwheels boleh dikategorikan murah, sekarang tidak lagi. Aku move on dari Gundam dan siri-siri model skala dalam majalah sebab kos yang tinggi. Akhir-akhir ni hobi Hotwheels jadi makin mahal bila aku terpaksa mendapatkan model-model yang aku nak di laman jualan online.
Baru-baru ni pengumpul menggilai siri Gran Turismo yang dijual di 7Eleven. Dalam lapan model siri GT ni, dua daripadanya iaitu Nissan Skyline R34 dan Mitsubishi Evolution X paling sukar didapati sebab....JDM.
Dengan harga jualan RM17.80 di 7Eleven, melengkapkan kesemua lapan unit siri GT memerlukan modal lebih RM140. Aku pilih jalan mudah dengan membeli online satu set berharga RM115 sahaja.
Kalau kau beli seunit Skyline atau Evo tadi dari scalper, kos kau kena bayar tak kurang RM40. Modal minyak dan masa diorang cakap.
Ikut suka korang lah. Aku takkan sokong peniaga yang menjual harga riba. Selagi korang beli dari diorang, macam itulah harga yang akan diorang letak dimasa akan datang dan makin sukar korang nak dapat dengan harga murah. Jangan sokong, biar stok diorang yang berlonggok tu kurang permintaan. Masih ramai lagi penjual online yang berpatutan.
Baru-baru ni aku sempat tengok event open case di Giant Gombak. Kotak baru akan dibuka dan siapa yang bayar yuran boleh pilih sendiri dari kotak baru ikut giliran. Aku pergi dah lewat, so dapat beli yang biasa-biasa je. Itupun lepas kecek kat brader organizer. Yang JDM jangan harap la dia nak bagi aku.
Masalahnya Hotwheels yang aku ambil tu aku bayar kepada Giant. Maksudnya Hotwheels tu milik Giant. Adakah brader tu bayar lebih kepada Giant untuk pilih sendiri? Atau aku pun boleh buat benda sama kalau aku bayar lebih kepada Giant?
Itulah scene Hotwheels ya tuan-tuan. Mainan skala 1/64 pun banyak politik disebalik tabir. Apatah lagi urusniaga negara yang bernilai jutaan ringgit. Maka sebagai pengumpul asli, bertabahlah. Jangan jadikan hobi ni sebagai tekanan. Ada yang murah kita beli, yang mahal abaikan.

Rabu, 26 September 2018

Pocophone F1, Takhta Master of Budget & Speed

Sekitar 2014, satu jenama baru muncul mencabar pasaran telefon pintar berprestasi tinggi iaitu One Plus. Dengan spesifikasi flagship tetapi pada harga mampu milik, jenama ini mula mendapat perhatian. Dikenali sebagai 'flagship killer' One Plus menepati hampir setiap kehendak pengguna yang mahukan telefon yang mampu menjalankan tugas dengan pantas tetapi murah.
Buat masa ni One Plus masih lagi dengan konsep spesifikasi tertinggi tapi produk mereka tidak lagi tergolong dalam kelompok 'murah' kerana mereka akur dengan kehendak pengguna yang mahukan spesifikasi tertinggi, rupa premium tapi bajet ketat. Akhirnya faktor bajet dan kos terpaksa diketepikan.
Tapi tak apa, patah tumbuh hilang ganti baru ape ada hal.
Xiaomi memperkenalkan sub jenamanya, Pocophone (Poco di India) dan model pertama mereka, F1. Ada sebab kenapa namanya F1. Mestilah sebab laju ye dak?
Pocophone F1 difokuskan untuk menjalankan tugas harian dan mobile gaming dengan pantas tanpa perlu berbelanja besar membeli flagship berbadan Gorilla Glass 5 yang akhirnya terpaksa ditutup juga dengan casing RM10.
F1 dibina berteraskan SoC Snapdragon 845, GPU Adreno 630,skrin IPS LCD 6.18inci 403ppi, 6 GB RAM, 64GB ROM dan bateri sebesar 4000mAh.
Nampak tak ciri-ciri flagshipnya disitu?
Sebenarnya banyak lagi ciri-ciri menarik yang disumbatkan dalam telefon mampu milik berharga RM1299 ni antaranya IR face unlock, fingerprint sensor yang pantas, dual speaker, 3.5mm audio jack, expandable memory slot/sim hibrid dan yang paling cool sekali ialah 'Liquid Cooling Technology'.
Liquid Cooling Technology ni bukan sekadar gimik ok, telefon ni memang tak panas langsung pada penggunaan biasa. Laporan dari mobile gamer yang bermain PUBG pada tetapan frame rate tertinggi sekalipun tidak menjejaskan suhu operasi mahupun kelancaran sistem.
Dari sudut penghasilan gambar, kamera Pocophone ni tidaklah ayam sangat. Malahan tidak keterlaluan jika dikatakan imej yang terhasil agak setanding dengan telefon pintar lain yang terbaru. Kamera belakang dilengkapi dua lensa 12 + 5MP dual flash dan kamera hadapan untuk ambil gambar muka sendiri sebesar 20MP.
Imej yang terhasil ketika pencahayaan mencukupi amat baik, so-so diwaktu malam dan pemprosesan imej dengan efek bokeh boleh dikatakan agak baik. Kecuali jika diteliti dengan mata helang, penghasilan bokehnya dan beautification pada gambar agak berlebihan sedikit.
Ketahanan bateri boleh dianggap baik bilamana purata SOT (screen on time) berada diantara 7 - 8 jam bagi penggunaan normal. Kalau bateri full pagi dan digunakan secara biasa barangkali boleh mencapai satu hari setengah. Pengecasan pantas disokong oleh Quickcharge 3.0 menggunakan USB Type C.
Ok,sekarang ni apa kurangnya Pocophone F1 memandangkan mustahil la spesifikasi tinggi tapi harga 1/3 flagship?
Setelah digunakan hampir 25 hari, aku dapati benda yang mereka abaikan untuk mengurangkan kos ialah material badan dan perlindungan LCD.

Material - Pocophone menggunakan material polikarbonat yang sedap sikit bila disebut berbanding plastik dikala jenama lain mula mengaplikasikan material aluminium pada telefon pintar pertengahan.
Perlindungan paparan adalah Gorilla Glass yang tidak dinyatakan generasi berapa. Ada yang kata Gorilla Glass 3. Sekarang dah nak masuk generasi ke 6. Ramai yang risau dengan ketahanan Gorilla Glass 3 tapi jangan lupa, di era kegemilangan HTC One X, ianya hanya dilengkapi Gorilla Glass generasi pertama dan diuji sebagai tukul!

Paparan - IPS LCD yang digunakan banyak dipakai oleh jenama lain juga untuk spesifikasi pertengahan. Kosnya yang lebih rendah dan paparan yang cukup baik menjadikan ianya cukup sesuai digunakan. Walaupun AMOLED lebih cantik dengan warna yang punchy dan kurang penggunaan tenaga, kosnya yang merepek akan menghantui anda jika anda memerlukan alatganti sekiranya skrin pecah.

Sambungan - ada sedikit kekurangan dari segi sambungan ke pengendali khidmat talian dan gadget lain. Untuk pengguna Digi, telefon ini tidak menyokong LTE😭 Walaubagaimanapun kelajuan 4G nya memadailah. Telco Malaysia ni bukan power sangat pun.
Sistem perkongsian paparan (screen sharing) tidak begitu mengkagumkan aku. Pocophone dilengkapi wireless display maknanya anda boleh memaparkan paparan telefon ke tv pintar malangnya hanya paparan yang boleh dikongsikan ke tv, bunyi kat telefon,WTF?! Telefon Z2 purba aku lagi power woii!

Perlindungan Ingress Protection - Pocophone F1 tiada perlindungan dari rendaman air. Maklumlah bajet kecik je kan. So tak payah panik sangat ok? Nak perlindungan dari air sepenuhnya, sediakan bajet lebih dari 2k.

Striman HD Netflix - Isu ni sangat popular di page Facebook Pocophone Malaysia. Ianya berlaku kerana Pocophone F1 tiada lesen Widevine L1; lesen yang membenarkan penstriman video HD. Sebagai pengguna Netflix dengan pakej Ultra HD dan pengguna Pocophone, aku tak rasa isu ni masalah yang berat sangat. Pertamanya bukan pasal kekurangan hardware. Lesen je pun, benda ni anytime boleh fix dengan update akan datang. Kedua nak tengok filem baik tengok kat TV rumah jelah. Semua benda kau nak buat kat phone gila ke apa.

Bleeding - Masalah ni bukan saja dihadapi kaum wanita, telefon pintar juga tidak terkecuali. Semenjak aku mula menggunakan telefon pintar, masalah ni aku tak pernah dengar langsung. Bila aku mencuba jenama China, isu bleeding display ni agak kerap diperkatakan. Selepas aku memahami apa itu masalah bleeding, aku dapati panel LCD Pocophone aku ada sikit bleed di bahagian dagu.
Keadaan ni hanya boleh dikesan bila skrin memaparkan warna hitam sepenuhnya. Bleeding yang dimaksudkan adalah paparan warna hitam tidak dapat menghalang sepenuhnya cahaya putih dari belakang layar skrin. Maka warna hitam tadi akan nampak sedikit pudar di kawasan pinggir skrin. Dari komen-komen yang aku baca, ramai pengguna Pocophone tak berpuashati dengan masalah ni. Aku agak beruntung sebab masalah bleeding ni sangat minimum kat telefon aku. Takde sebab untuk aku tak berpuashati dengan masalah remeh ni. 

* tambahan
Satu lagi kekurangan ialah anda tak boleh screenshot ketika video sedang dimainkan. Satu notifikasi akan keluar menyatakan "memori sedang digunakan". Tapi bukan dalam semua aplikasi. Setakat ni screenshot ketika menonton video di MX Player masih berfungsi dengan baik.

Kesimpulan yang aku boleh cakap kat sini, harga RM1299 untuk telefon pintar SD845 dilengkapi audio jack, bateri besar dan slot memori tambahan, gila punya barang ni weiii!
Untuk versi 6GB/128 GB ROM, harganya lebih sikit lah dan spesifikasi tertinggi dilengkapi 8GB RAM dan 256GB internal serta kemasan kevlar.

Diharap Pocophone kekal murah dan tak menjadi seperti OnePlus dimasa akan datang.

Isnin, 16 Julai 2018

Menukar Bearing Roda Depan Myvi

Assalamualaikum, salam semua.

Untuk siapa - siapa yang biasa baca blog aku, tentu maklum dengan satu tabiat aku iaitu DIY. Terutamanya kereta sendiri. Paling terbaru aku tukar bearing depan Myvi. Kerjanya tidaklah mudah tapi kalau berjiwa kental, ok je kot.

Sebelum tukar bearing, mesti ada sebab kita nak tukar ye dak? Problem bearing dah tentulah bearing tu dah tak smooth pusingannya. Kalau elok lancar takde bunyi-bunyian aneh buat apa tukar.
Bila tak smooth, kabin kereta kau berdengung kaw-kaw tahap annoying. Lagi kuat bila mendaki bukit.

Bearing roda kereta sebenarnya lasak dan tahan lama, tapi ada beberapa keadaan yang menyebabkan bearing pencen awal. Antaranya terlanggar lubang, sudut camber terlalu ekstrim dan juga menggunakan spring yang keras. Yaa..pakai spring keras sangat pun masalah ni boleh berlaku, sebab jalan kat negara kita ni tak cantik. Semua gegaran tadi tidak diserap sepenuhnya oleh suspensi dan dibebankan keatas bearing.

Dalam kes aku, aku syak puncanya spring lah. Memang keras sangat pun. Knuckle yang aku pakai sekarang ni pun bukan asal daripada kereta aku. Knuckle asal kereta aku tak ada sensor ABS. Jadinya knuckle ni datang dari sebuah Passo.
Bila dah namanya halfcut, kondisi asalnya kita tak dapat pastikan. Nasib lah kalau dapat yang elok.

Ok, nak tukar bearing kena la ada bearing. Myvi pakai bearing jenis roller yang kalau kau ikat habis nut driveshaft tu kuat-kuat pun takde hal.
Tapi kelemahan dia kau tak mampu nak ketuk keluar bearing tu sendiri. Mesti pakai special tool which is mesin press.
Ada jugak jenis bearing yang macam cone, tapi still roller jugak. Bezanya yang ni nak ketatkan nat driveshaft kena ngam-ngam. Ketat sangat bearing kau terbakar, longgar sangat tayar kau wobble. Biasa Proton Wira pakai kalau tak silap aku. Jenis ni kau boleh ketuk keluar sendiri bearing tu, tapi nak cantik suruh kedai jela press kan.

Bearing roda yang bermasalah dikesan berlaku pada roda depan kanan. Memang ada goyang-goyang sikit. Lagipun beban banyak ditanggung roda depan kanan ni. Sebab tu kalau korang perasan brek pad depan sebelah driver cepat worn out.

Alatan yang diperlukan ialah :

1. 2 x jack (untuk roda kiri dan kanan)
2. Set soket nat tayar
3. Spanar 14mm
4. Spanar 17mm
5. Tukul
6. Playar
7. Soket 30mm + adaptor
8. Paip besi hollow lebih kurang 0.7 meter
9. Bearing roda depan Myvi jenama Koyo
( DAC3564A-1CS31 )
10. WD-40 (pakailah dimana-mana yang dirasakan perlu)
11. Spanar 10mm

1. Langkah pertama jack dan buka tayar lepas tu letak bawah kereta berdekatan jack. Ni SOP standard berpomen. Nak selamat pakai stand.

2. Tanggalkan kaliper disc brake pakai spanar 17mm. Tanggalkan kaliper dari knuckle sahaja. JANGAN TANGGALKAN PAIP BENDALIR BREK.
Tanggalkan juga sensor ABS pakai spanar 10mm.
Kalau tak ada, abaikan.

3. Cabut disc brek. Biasanya longgar je. Kalau ketat, ketuk-ketuk sikit kat tengah disc. Jangan sampai bengkok dah la.

4. Marking absorber dan knuckle untuk elakkan dari sudut camber lari lintang pukang. Aku pakai paint marker. Kemudian buka dua nat 17mm untuk pisahkan knuckle dan absorber.

* Tanggalkan juga stabilizer link. Tak perlu buka semua, cukup dengan buka nat di bahagian yang bersangkut dengan lower arm sahaja.
Stabilizer link ni kalau kau jack sebelah tayar je memang susah nak buka, pasang balik nanti lagi la susah. Seeloknya jack dua-dua belah tayar depan.
( sebab tu aku liskan dua unit jack )

5. Seterusnya tanggalkan tie rod end steering rack. Nat saiz 14mm kalau tak silap aku. Lepastu ketuk bahagian knuckle yang berhampiran dengan tie rod. Jangan takut mengetuk, ni memang kaedah dia.

6. Buka kekunci nat driveshaft, tanggalkan pin dan kekuncinya. Pakai soket 30mm. Kalau tak ada beli satu. Aku pun kena beli sebab lupa ada nat sebesar ni. Dah la soket besar, kena beli adaptor pulak sebab soket tu pakai soket handle L  saiz lori. Besar sikit.

7. Buka nat 30mm tu, henjut pakai handle L yang disambung dengan paip besi. Kurang azab sikit nak memusingnya.

8. Di bawah knuckle ada satu lagi nat yang mengikat knuckle dan bersambung dengan lower arm. Natnya saiz 17mm beserta pin. Yang ni pun kena ketuk kuat. Buat kerja siang supaya tidak dibenci jiran. Ketuk knuckle tu ya, jangan ketuk lower arm.

9. Selesai longgarkan/pisahkan knuckle dari lower arm, tarik keluar knuckle dari driveshaft. Jangan sampai driveshaft tercabut.

10. Berjaya tanggalkan knuckle bermakna dah selesai part yang paling sakit. Bawalah knuckle tu ke kedai tayar sekali dengan bearing baru untuk ditekan masuk. Kerja-kerja tekan bearing ni memerlukan mesin khas. Kalau ketuk sendiri aku rasa sampai minggu depan pun tak boleh siap.

11. Kos memasukkan bearing sahaja antara RM22 - RM35. Nanti hujung artikel aku totalkan kos yang terlibat.

12. Setel pasang bearing, reverse balik step tadi.

Kos-kos yang terlibat :
1. Bearing Koyo RM55
2. Soket 30mm+ Adaptor :RM42
3. Upah press bearing: RM30 (kat tempat aku cajnya agak mahal)
Total = RM127

Kalau buat kat kedai sepenuhnya aku tak tau caj berapa, tapi yang aku pasti bila buat sendiri ni penatnya boleh tahan. Aku anggarkan upahnya antara RM50 - 70.

Berbaloi ke tidak buat sendiri ni?
Bagi aku berbaloi sebab satu pengalaman baru dan pembelajaran baru untuk aku. Bagi yang tak minat aku cadangkan tak payah la susah-susah pegang spanar. Buat kotor tangan je.

Antara jalan pintas lain untuk atasi masalah bearing berdengung ni korang beli je knuckle halfcut. Biasa diorang jual sepasang sekali dengan disc brek. Anggaran harga RM200. Boleh juga request nak knuckle saja, dalam RM100 bergantung pada runner yang jual. Tapi macam aku cakap kat atas tadi lah, nasib kalau dapat yang cun.

Setel kerja tukar bearing, excited la aku nak test nikmat hasil kerja sendiri. Aik? Awat bunyi berdengung tak hilang??

Rupa - rupanya bearing depan kiri pun melingkop daaa....



Ahad, 10 Jun 2018

God of War PS4; Bagai Blade of Chaos Pulang ke Genggaman Kratos


Isnin baru-baru ni permainan video PS4 yang aku beli dah sampai dengan selamatnya. Sebenarnya aku order dari Lazada pada 28/5/2018 (Isnin) bersekali dengan controller DS4, tapi controller sampai dulu. Lebih kurang 3 hari. Game God of War pulak tersangkut entah kat mana, seminggu baru tiba di pejabat.
Ok, aku nak ulaskan sikit game God of War PS4 yang aku beli dengan harga RM219 selepas ditolak 0% GST. Progress permainan setakat ni lebih kurang 68% iaitu chapter ke-11 daripada 16 keseluruhan.
Sikit pengenalan tentang game God of War, game ni berkenaan watak utama Kratos (demigod) yang melalui perjalanan menentang dewa-dewa Greek setelah keluarganya mati akibat diperdaya oleh dewa perang, Ares.
Mula diperkenalkan pada platform PS2 ( God of War & God of War II ), ada beberapa lagi siri lagi yang dikeluarkan untuk platform PS3 dan PSVita. Untuk siri PS3 dan PSVita, aku tak dapat main sebab memang aku takde konsol PS3.
Kalau sebelum ni latarbelakang permainan GoW bertemakan dewa-dewa Greek, GoW terbaru bertemakan dewa-dewa Nordic. Tak tau? Sebut THOR mesti ramai kenal.


Khabarnya Kratos membawa diri jauh dari Greek dan menjalani kehidupan sebagai orang biasa di dunia Midgard. Asas jalan cerita GoW PS4 ialah berkenaan perjalanan Kratos ke puncak gunung untuk menabur abu mayat isterinya bertemankan anak beliau iaitu Atreus.
Disebabkan Kratos sekarang berada di dunia mitologi Norse (Nordic), maka maka watak dan tempat-tempat dalam pengembaraan Kratos ialah seperti didalam filem Thor. Watak-watak mistik juga pelbagai, berbelit lidah nak menyebutnya.

Diawal permainan, Kratos tidak membawa senjata trademarknya iaitu Blade of Chaos, sebaliknya mendapat senjata baru iaitu Leviathan Axe, sejenis kapak yang boleh diupgrade dengan kuasa mistik.
Ada empat mod kesukaran dan tetapan lalai ialah Give Me a Balance Experience, tapi aku boleh katakan perlawanan pertama menentang The Stranger (Baldur) amat sukar dengan Leviathan Axe yang masih 'standard kedai'. Disebabkan aku tak nak tersangkut kat mana-mana boss fight, aku terpaksa merendahkan tahap kesukaran iaitu mod 'Give Me a Story'.

Untuk musuh-musuh biasa, Leviathan Axe sudah memadai, tapi bila pertama kali jumpa Valkyrie, aku mula merindui kepantasan Blade of Chaos. Apapun jangan risau, senjata-senjata anda jyga akan makin kuat. Ada sesetengah musuh kalis senjata tertentu.
Dalam banyak-banyak musuh termasuk naga yang besar, Valkyrie adalah seteru yang paling sukar untuk ditewaskan. Sepanjang permainan khabarnya ada lapan Valkyrie yang berlainan nama. Apa yang agak mengejutkan ialah Valkyrie pertama tu merupakan Valkyrie yang paling 'mudah' ditewaskan. Whatt???
Mujurlah perlawanan dengan Valkyrie tidak wajib. Anda boleh mengelak untuk bertarung dengannya dan tidak menjejaskan jalan cerita. Kelapan-lapan Valkyrie boleh ditemui dalam Secret Chamber of Odin, yang hanya boleh dibuka dengan serpihan chisel. Chisel ni akan diperolehi dipertengahan permainan. Bila senjata dah makin kuat, barulah aku akan cari balik Valkyrie - Valkyrie ni.
Sebelum ni upgrade senjata agak mudah dengan hanya mengumpul Soul dan Experience, kali ni naiktaraf senjata perlu melalui adik-beradik blacksmith. Sepanjang permainan anda akan mengumpul Experience dan Hacksilver.
Hacksilver ni diperolehi samada dari peti-peti ataupun tempayan. Maka bertepatan dengan konsep gamplay 'hack and slash',anda perlu rajin menebas apa juga peti atau tempayan yang bertebaran sepanjang perjalanan.
Sambil-sambil anda mendayung perahu kolek ditengah Lake of Nine pun banyak benda boleh dikutip. Langgar je tong-tong kayu untuk mendapatkan Hacksliver, perhatikan kilauan berkabus dipermukaan air dan anda akan mendapat Aegirs Gold dan perhatikan kilauan putih kebiru-biruan dan petik Dew of Yggdrasil.

Perubahan ketara antara GoW versi Greek vs. Nordic ialah Kratos yang sudah tua ini tidak lagi semberono membunuh apa saja makhluk. Kratos yang ini lebih matang, mungkin kerana sebagai bapa beliau lebih matang dan tenang barangkali kerana perjalanan kali ni ditemani anaknya Atreus.
Macam kita lah, takkan nak tunjuk perangai baran zaman muda depan anak-anak.
Perbezaan lain ialah hanya satu watak wanita yang ditemui setakat ni iaitu Freya,seorang ahli sihir baik dan juga sebenarnya seorang dewa. Pakaian Freya juga lebih bertamadun, tidak seperti era Greek yang amat 'revealing' dan tak sesuai ditonton anak-anak kecil. Maklumlah zaman purba dulu masih jahiliah. Maka fesyen pakaian mereka lebih ringkas.
Penyelesaian puzzle memang banyak, ada yang mudah dan ada yang sukar. Kalau stuck tak boleh solve, buka je Walkthrough yang banyak di internet.Hihihi!
Dunia 9 Realm dalam GoW ni amat luas, banyak tempat yang boleh diteroka bergantung pada tahap 'akses' yang dipunyai Kratos pada masa tersebut. Makin jauh perjalanan Kratos, makin banyak bilik yang boleh diakses.
Setakat ni aku boleh bagi 8.2 bintang untuk GoW terbaru ni. Berbaloi, cuma soundtracknya tidak lagi semantap GoW II. Muzik latarnya agak 'plain', tak rasa macam nak mengamuk sepanjang masa bila jumpa musuh.

*Setakat malam tadi aku dah sampai ke peringkat membunuh Baldur. Bukan main marah mak dia. Maknanya game ni sudah hampir sampai ke penghujung. Khabarnya God of War versi Nordic ni adalah permulaan perjalanan baru untuk Kratos. Walaupun jalan cerita hampir tamat, masih banyak Realm yang belum diteroka.

Sekian, terima kasihhh!