Ahad, 22 Mei 2022

Kumpau di Kolam Air Masin? Mungkin Ini Jawapannya

Tajuk ni mungkin ayat yang dicari-cari pemancing yang baru berjinak-jinak dengan permainan kolam air masin. Sesetengahnya bukanlah baru menceburi bidang pemancingan. Ada juga yang dah lama terjebak dengan hobi memancing tapi baru mencuba memancing di kolam-kolam air masin. 

Korang selalu kumpau? Biasa la tu, jangan cepat mengalah. Bukan semua pemancing lahir dikalangan circle yang pakar. Apa yang kita perlu buat ialah belajar dan terus belajar. Aku pernah bawa 'pakar' casting sungai mencuba pancingan kolam. Turn out beliau pun kumpau mattt!

Artikel yang betul-betul detail tentang teknik yang ampuh memang tak ada, apa yang dikongsi sekadar pengalaman dan pemerhatian untuk dikongsi. Kalau kat Facebook tu satu artikel berkaitan tips pancingan kolam air masin diulang siar beberapa kali,tulisannya sama tapi yang pos dari bermacam-macam sumber. Pendek kata susah nak cari panduan yang bagus sebabnya ramai yang pakar memancing kolam  bukanlah penulis yang mahir. Sebab tu senang orang buat video Youtube je.

Asasnya hampir sama saja dengan pancingan di medan diluar sana, cuma ada sedikit perkara yang perlu ditambah baik untuk meningkatkan peluang menaikkan ikan. Ingat ya,ini bukan jaminan, cuma potensi menaikkan ikan lebih tinggi.

Kolam air masin ada dua jenis; kolam yang menggunakan air masin/payau yang dipam masuk dari muara sungai atau menggunakan garam untuk mendapatkan kadar kemasinan yang sesuai untuk ikan-ikannya. Biasanya kolam yang menggunakan garam terletak jauh dari pesisir pantai. Kolam air masin pakai garam belum lagi berkesempatan aku cuba. Mungkin ada beberapa pengetahuan baru yang boleh dipelajari disana.

1.Set up joran

- Dari pemerhatian aku, set up untuk pancingan kolam lebih sesuai menggunakan set up ringan hingga ke sederhana berat.Walaupun ada segelintir yang suka menggunakan set up ultralight, set up ultra ringan ni kurang sesuai untuk kolam yang banyak kolong atau ketika kolam dipenuhi pemancing. Kadang-kadang umpan kita dimakan ikan-ikan bersaiz bagöng yang memerlukan peralatan yang kuat untuk menahan larian ikan yang meluru masuk ke kolong dan juga mengawal tali pancing daripada berbelit dengan pemancing lain.

Satu kejadian yang pernah berlaku kat aku bilamana setup peralatan yang aku kira cukup berat tidak mampu menahan larian ikan dan tali putus begitu sahaja.Rod PE3 dengan reel bersaiz 8000 dilengkapi mainline 25lb sekadar mampu menahan larian ikan kurang 1 minit. Waktu ini akan meletakkan anda dalam dilema; lock drag tali akan putus. Longgarkan drag ikan akan bersembunyi didalam kolong. Masa untuk berfikir terlalu singkat dan tiba-tiba mainline putus...Bayangkan kalau pakai set up ultralight.

Kali kedua berlaku masa aku pakai rod medium light 6-15lb dengan mainline 20lb. Tapi kejadian ni lebih kepada teknik. Ketika ikan mula melarikan umpan,aku membiarkan terlalu lama ikan membawa lari umpan sehingga semuanya dah terlambat. Drag yang lambat dikunci dan rod yang agak lembut tak mampu menarik keluar ikan dan juga berakhir dengan tali putus.

Untuk itu,bawalah set pancingan sederhana dilengkapi reel bersaiz 2000-4000 dengan tali utama sekitar 15lb-30lb dan leader bersaiz 30lb-60lb untuk lebih selamat. Drag 5kg-8kg sudah memadai. Bila ikan mula menjamah umpan, lock drag pada kadar bersesuaian, buka bail arm/tekan thumb bar dan biarkan seketika sekitar 3-5 saat sebelum hookup.

Set ringan bukan tak boleh, cuma kena study kondisi kolam dahulu. Kolam bersih,orang tak ramai boleh pakai set ringan. Layan la ikan lari sampai 30 minit pun tak apa.

2.Umpan

- Umpan yang paling biasa didapati di kolam pancing dan banyak digunakan ialah udang hidup. Tapi tahukan kalian umpan udang hidup bukanlah umpan yang paling efektif di semua tempat? 

Jarang ikan yang aku dapat menjamah umpan udang hidup. Ada masanya aku pakai dua umpan; udang hidup dan udang kopek, ikan lebih berminat dengan udang kopek.

Perkara ni sangat contradict dengan teknik pancingan di kawasan semulajadi. Prinsip pancingan di kawasan semulajadi memerlukan umpan dipersembahkan seasli mungkin. Itupun bukan sepanjang masa berkesan. Kalau tak,takkan la ikan kat laut tu boleh jamah jig besi. Betul tak?

Umpan hidup yang lebih efektif ialah umpan belanák. Selebihnya ialah potongan ikan dan kadangkala ikan kembong/pelaling seekor yang dicangkuk di kepala. Teorinya mudah, ikan-ikan kolam air masin ni bukan ikan liar. Ianya adalah ikan-ikan sangkar yang dibela. Takkan lah tauke sangkar ikan bagi makan udang hidup ye tak?

Yang pakai umpan udang/belanák hidup,elakkan pakai matakail dengan gauge dawainya besar. Maksud aku tebal matakail yang berlebihan. Bila matakail kasar sangat ia terlalu berat dan menyebabkan umpan cepat mati.

Keadaan kolam

- Ini perkara paling asas perlu pemancing ingat. Tak semua kolam air masin sama teknik permainannya. Keadaan kolam memberikan petunjuk teknik apa yang perlu dipakai. Ada sesetengah kolam dasarnya penuh lumut.

Bila ini berlaku,teknik yang berkesan cuma teknik menggunakan pelampung. Panjang pelampung sedepa sudah memadai.

Sebab apa teknik pelampung berkesan di kolam yang berlumut? Bila dasar kolam berlumut, teknik bottom dengan udang hidup atau udang kopek tak berkesan kerana umpan tersorok atau menyorok disebalik lumut.Tambahan lagi jika memancing sesi malam. Peluang umpan ditemui ikan sangat nipis.

Kolam banyak lumut ni juga tak sesuai menggunakan teknik seretan umpan didasar kolam atas alasan yang sama.Umpan anda hanya akan menarik lumut-lumut dan sisa perambut. Kalau ada rezeki dapatlah batu ladung percuma.

3.Perambut

- Bila memancing kolam, perambut yang biasa kita tengok orang pakai ialah perambut cabang samada salah satunya diletakkan pelampung atau pemberat.

Penggunakan perambut juga memerlukan pemerhatian keadaan kolam terlebih dahulu. Sebaiknya gunakan perambut yang mampu menggantungkan umpan sedikit tinggi dari dasar. Walaupun tak ada set up perambut all rounder yang boleh dipakai di semua kolam, kebanyakan kolam lebih sesuai dipraktikkan teknik perambut ini.

Kalau menggunakan batu ladung,cuba letakkan pelampung kecil berhampiran mata kail untuk mengangkat umpan dari dasar. Atau jika perambut cabang dengan batu ladung digunakan, pastikan cabang yang diletakkan umpan cuma pendek sahaja.


Perambut agak kasar tak apa asalkan halimunan. Ikan-ikan kolam air masin ni mampu membuat perambut anda cepat berbulu. Pilih perambut 100% fluorokarbon dari jenama yang baik.

4.Teknik pancingan

Teknik pancingan kolam biasanya tiga je, casting,bottom atau pelampung. Orang lama selalu pilih skill pelampung. Yang tak berapa lama pakai kaedah bottom. Dan yang selebihnya kaki casting. Ada sesetengah kaki casting yang memang pro dan ada juga yang poyo.

Yang pro sekali turun bawa geng dan hasil diorang ni jenis bawa balik pakai kereta sorong. Memang pro kolam pancing lah.

Yang jenis poyo ni pulak dah tau tali pancing bersilang-silang depan dia,dia balun cast juga. Kalau cast dapat hookup ikan tak apalah,ini tali orang yang dicastnya. Bila kita cuba bantu meleraikan tali,dia pulak suruh kita sabar. Anjai betul. Kita yang membottom punya lah baling dekat-dekat taknak kacau geng casting, tapi dia selamba cast tak peduli orang lain. Ingat ya,dalam kolam pancing ni elakkan menyusahkan orang lain.

Sesat jauh dah aku ni. Oklah,bab teknik ni terpulang masing-masing asalkan tak menyusahkan orang. Yang pilih pakai pelampung, boleh guna umpan belanak atau udang hidup,cuma pastikan pelampung jangan hanyut jauh sangat. Ada sesetengah kolam kipas pengudaraan airnya sangat kuat,pakai batu ladung pun boleh hanyut.

Yang bottom, cuba apungkan umpan. Perambut tak perlu panjang,kalau terapung tapi panjang sama juga umpan boleh tersorok.Agak-agak timbul 1 kaki ke 1½ kaki dari dasar kolam sudah memadai. Lagipun kalau perambut panjang sangat susah nak cast. Kalau kolam tu banyak anak ikan, tukar umpan lain. Kang umpan udang kopek habis macam tu saja.

Yang casting, pakai udang kopek atau ikan pelaling/kembong/sardin sebesar dua jari. Udang hidup pun boleh tapi setakat pemerhatian aku kolam-kolam di sebelah pantai barat Selangor ni tak berapa menjadi sangat. Satu sebab lagi udang hidup ni senang terbang bila cast. Free je udang tu masuk kolam.

5. Masa

- Dari pemerhatian aku, waktu ikan paling rancak makan sekitar waktu kolam pancing dibuka antara jam 9am-11.am,1pm-2pm dan 5pm-7pm. Malam macam slow sikit tapi ada. 

Setakat ini itu saja pemerhatian aku. Aku pun sama je macam orang lain, masih belajar. Andai teknik yang aku kongsikan ni berkesan,alhamdulillah. Ada pahala untuk aku. Kalau kurang menjadi, sama-sama cari jawapannya dan KONGSIKAN. Ilmu yang baik ialah ilmu yang bermanfaat untuk orang lain. Sebagai pemancing kena fleksibel dan cuba terapkan ilmu-ilmu baru berdasarkan pemerhatian sekeliling. Sebab lain padang lain belalang.  Sekian terima kasihhhh.







Sabtu, 9 April 2022

Calon Pengganti Ryobi AP Power?

Salam Sabtu 7 Ramadan 1443 Hijrah (2022). 

Sejak beberapa hari ni kan tiba-tiba datang niat nak menambah koleksi reel dari jenis spinning. Ada satu kategori seni memancing yang aku teringin nak cuba iaitu jigging. Teknik khusus memancing dilaut pada kedalaman puluhan ke ratusan meter ni memerlukan setup sedikit berbeza terutamanya faktor berat umpan jig,ikan sasaran dan cara jig dimainkan. Semua faktor disebutkan ni menentukan pemilihan rod yang sesuai,reel yang kuat dan kelajuan tinggi,spool cukup dalam untuk memuatkan mainline yang banyak serta berkekuatan tinggi.

Buat masa ni aku ada setup untuk jigging kononnya; rod sepanjang 6'3" solid carbon butt joint, mainline braided 40lbs dan reel kapasiti tinggi dengan drag 10kg. 

Tetapi apa yang kurang sesuai ialah berat reel menjangkau 600gram. Berat berlebihan ni pastinya bakal meletihkan tangan semasa mengendalikan jig berat berulang-ulang kali. Ditambah lagi dengan nisbah karauan 5.0:1, ia dikira perlahan untuk dimainkan dalam kategori jigging. 

Itulah dia spesifikasi reel lama aku iaitu Ryobi AP Power 8000. Rekaan full metal body mungkin diyakini kuat,tapi beratnya MasyaAllah. Balik trip jigging confirm sado lengan kau.

Masa aku beli reel tu,purposenya cuma pancingan dasar. Aku belum lagi exposed dan tertarik dengan teknik pancingan jigging. Selepas menelaah setup pemain-pemain jigging, set yang ringan dan berkelajuan tinggi amat membantu.

Selepas menjalankan kajian, ada beberapa model spinning yang masuk dalam radar aku. Awalnya aku berkira-kira nak cari satu reel overhead/bc samada Banax Lexima atau Team Seahawk Barricade SW, tapi aku terpaksa bermula dari awal semula dengan membeli rod baru. Aku kira rugi jugalah, tak pasal-pasal kena tambah rod lain.

Untuk meminimakan impak kewangan keatas Pengeluaran Khas KWSP, aku akan cari reel spinning sahaja untuk menggantikan reel AP Power.

Fokus aku cuma dari dua jenama besar iaitu Shimano dan Daiwa. Dua jenama ni memang masyhur di arena pancingan,cuma model flagship diorang sangatlah bangsawan harganya.

Untuk model entry level pulak, aku perasan finishing dan spesifikasinya cukup kedekut. Dengan rupa yang tak menarik, bearing pulak sekadar 4+1 saja. Ada yang cakap bearing lebih-lebih ni tak ada fungsi pun. Bagi aku tak, kalau tak ada fungsi masakan model flagship pakai banyak bearing untuk capai smoothness.

Mujur kategori lower-to-upper midrange jenama-jenama ni berspesifikasi baik walaupun harganya tidaklah murah mana,but still bang of buck kata orang Bota Kanan.

Beberapa model yang aku survey dari jenama Shimano ialah Nasci, Spheros,Ultegra dan Stradic. Manakala dari jenama Daiwa ialah Freams LT. Untuk kategori pertengahan ni Daiwa tak banyak pilihan. Dan yang mengehadkan pilihan Daiwa ialah binaan monocoque dan Magsealed. 

Daiwa Freams LT 5000D-CXH

Binaan monocoque perlukan special tools untuk servicing dan teknologi Magsealed khabarnya susah didapati dan mahal greasenya. Kelebihan Freams LT ni yang aku nampak dia jauh lebih ringan dari reel Shimano untuk kelas 5000.

Daiwa Freams LT5000 CXH contohnya berspesifikasi 6.2:1, drag 12kg,berat 255gram dan bearing sebanyak 5+1. Harga sekitar RM53x.xx - RM55x.xx. 

Direct competitor Shimano untuk kategori ni ialah model Ultegra 2017 FB C5000XG. Ratio karauan sama,6.2:1, drag 11kg, berat 285gram dan bearingnya juga 5+1. Harga lebih kurang sama.

2021 Shimano Ultegra FC 5000XG

Dari perbandingan asas ni Daiwa sedikit berkelebihan dari sudut drag dan berat. Tapi dalam banyak feedback aku baca, Shimano punya buttery smooth reeling memang terbaik.

Dalam aku berkira-kira nak letak Ultegra sebagai calon utama, tiba-tiba aku terberkenan pula dengan Shimano Stradic FL 5000XG. Siri Stradic FL ni aku baca review dia cakap drag lebih baik,frame tak warped bila heavy load,dan dibekalkan dengan banyak ciri-ciri premium seperti lineup flagship berbanding siri sebelumnya. Dalam satu video aku tengok set up Stradic 5000XG dengan padanan mainline Sufix 30lbs dan leader 60lbs mampu mengepam GT sekitar 15kg tanpa masalah.

2019 Shimano Stradic FL 5000XG

Harganya jauh sikit dari siri Ultegra iaitu sekitar RM650-750.Harga RM650 tu mostly aku jumpa dari seller facebook based on posting tahun lepas. Sure dah sold out.

Harga di Shopee pula minima RM700. Stok Stradic FL boleh dikatakan agak susah dapat terutamanya saiz 1000-3000. Syok buat main light jigging agaknya.

Apapun kita tunggu next week untuk review sedikit panjang dan aku akan kongsikan kombinasi setup untuk set jigging ni.


Ahad, 13 Mac 2022

Storm Discovery Baitcasting Rod!

Aku tak tau la apebenda yang aku buat kat Shopee aritu. Tak pasal-pasal terorder rod casting 6"9'.

Memang ada niat nak cari rod casting panjang sikit untuk aktiviti landbased open area, tapi tidaklah urgent. Dok survey-survey rod harga patut dan agak ada reputasi baik, banyak yang sold out. Terutamanya spesifikasi 6"6' atau 6"9' baitcasting, 2 pcs center joint, 8-17lbs atau 10-20lbs.

Salah satu target aku ialah rod Storm Adventure, malang juga kebanyakan seller kehabisan stok. Terpaksalah aku beralih ke model Discovery, juga dari jenama Storm.

Jenama ni dah agak lama aku kenal dari pembacaan majalah pancing. Dari telahan aku jenama ni agak baiklah latar belakangnya.

By the way jenama Storm ni dari mana asal usul dia?

Hasil siasatan aku membawa kepada laman web ni, https://storm.fishing/ . Aku rasa jenama ni ada kaitan dengan jenama Rapala, mungkin sub jenamanya untuk kategori sedikit mampu milik.

Masalahnya dalam web tu cuma tersenarai item2 hard lure, tak ada pula ditunjukkan koleksi model-model rod yang dijual. Tak mungkin pula jenama Storm ni ayam sangat sampai tak ada website sendiri sedangkan rod Storm Gomoku tu amatlah terkenal.

Berbalik ke rod yang aku order tu, rodnya dah selamat sampai dari seller orchidtackle88 dengan lojistik DHL. Agak laju juga order 10hb Mac, sampai 12hb Mac. Tapi yang seramnya rod pos pakai kotak kadbod😱 Aku ingat seller pakai PVC. Takde tampal stiker Fragile plak tu. Agaknya sebab aku redeem voucher shipping free kot.

Tapi apapun rod diterima dalam keadaan baik. Spec yang aku beli ialah baitcasting DRC 692MH (Medium Heavy) 6"9', Fast Action, 2 section center joint, 9+1 Fuji slim hard O guide, Fuji reel seat dan split EVA handle.

Range mainline yang dicadangkan ialah 10-20lbs, berat lure antara 7-32g dan berat rod adalah 134 gram. Binaan rod adalah hollow carbon blank dengan balutan karbon X wrap. Harganya RM192, sama dengan rod jigging Team Seahawk Kingdom Xtreme. Pada aras harga ni kebiasaannya rod diberikan kemasan yang agak premium dan warnanya nampak menarik.

Buat masa ni aku gandingkan dengan reel Kasting Crixus Armor X dan rod Seahawk Kossori bagi rehat dulu. Belum ada plan nak tambah reel. 




Rabu, 9 Mac 2022

Koleksi Baru, Heddon Super Spook Jr.

Post ni aku tulis sekadar untuk menyimpan memori pembelian lure. Mana tahu lure ni nanti hilang atau sangkut tak dapat diselamatkan, ada juga memori yang dapat aku imbas dimasa akan datang.

Asalnya niat aku nak dapatkan lure ni sebab aku terbaca dari satu posting yang katanya dia cukup killer untuk siakap liar. Another legend said, this is the last secret weapon to land a fish kalau hard lure lain tak berkesan. Amboih amat-amat dahsyattt.... 

Oklah,itu cerita lain, tapi sebagai noobies aku teruja nak simpan satu. Salah satu sebabnya aku rasa design dan art pada badan Super Spook Jr. ni nampak oldschool.


Sikit recap asal usul jenama Heddon ni; ia berasal dari pengasasnya yang bernama James Heddon dan syarikat Heddon ditubuhkan pada 1902 di Michigan, Amerika Syarikat. James Heddon ni sebenarnya penternak lebah, entah macamana boleh terjebak dalam pembikinan lure aku pun tak pasti. Semasa syarikat berada di kemuncak sekitar 50'an, syarikat ni menerima persaingan sengit dan bertukar tangan beberapa kali.

Berdasarkan sejarahnya yang panjang, jenama Heddon ni boleh dikategorikan sebagai brand orang lama dalam bidang menipu ikan. In fact Heddon ni adalah jenama umpan tiruan tertua didunia. Sesuatu yang patut dihormati ya adik-adik.

Super Spook Jr. ni kecik sikit dari Super Spook asal. Saiznya 3 ½ inci atau dalam ukuran metrik 8.89cm. Beratnya 7 gram dan dilengkapkan treble hook bersaiz #4 yang bersalut tin. Aku rasa galvanized kot. Sebabnya adalah lure ni dikhususkan untuk permainan di air masin.

Jenis permainan Super Spook Jr. ni ialah top water dengan aksi (jalankan anjing tu)'walk the dog'.


Model produksi Super Spook Jr. ni dinamakan X9236 dan varian yang aku beli ni berwarna Blue Chrome. Kat kotaknya tertulis X923605. Aku rasa '05' tu kod warna dia.

Walaupun jenama Heddon ni berasal dari US, label yang ditampal menunjukkan ianya dibuat di Guatemala. Ini juga satu keunikan bagi aku sebab amat jarang jumpa produk yang diproduksi disana. Menarik jugalah macamana syarikat Heddon boleh buka kilang kat situ.

Aku cuba cari kilang mana yang produce siri Super Spook Jr. ni kat Guatemala tapi tiada info dijumpai. Kalau diikutkan jenama Heddon dimiliki oleh EBSCO Industries; satu konglomerat yang agak besar juga dan kilang-kilangnya banyak disekitar US. Mungkin kilang lain di Guatemala contract manufacturingkan lure Super Spook Jr. ni untuk EBSCO. Ni cuma tuduhan liar aku jelah,hihi!

Super Spook Jr. aku ni belum pasti lagi akan digunakan atau tidak memandangkan aku takde tempat yang sesuai pun nak uji benda ni. Lagipun pembungkusan dia pakai kotak jenis blister macam HotWheels, jenis buka sekali barai terus. Tak boleh nak simpan elok kotaknya. Buat masa ni biarkan sajalah terbungkus elok dalam tu. Sayang nak guna.

Last but not least, harganya ialah RM44 di pusat membeli-belah maya terkemuka iaitu Shopee. Agak mahal bagi aku, patut jual dengan harga RM12 je.😆😆 Tapi dia adalah Heddon, bukan Hendon made in Surabaya.

X923606 Frog

Tambahan kepada koleksi hard lure aku dari jenama Heddon siri Super Spook Jr. ni aku tambah lagi dua warna iaitu varian Frog dan Red Head. Frog masih mudah didapati, manakala Red Head agak terhad. Terpaksa aku order dari Sabah dengan harga agak mahal iaitu RM58 termasuk pos. Dah klik order tetiba melintas suggestion similar item dari seller lain RM48, adussss!

X923608 Red Head


Sedikit berbeza dari 2 unit sebelum ni, pembungkusan variasi warna Red Head kelihatan agak baru berbanding dengan yang diperbuat di Guatemala. Cuba teka buatan mana?

Tidak syak lagi ianya dibuat di China dan diedarkan oleh TCE Sports Sdn.Bhd. Pelekat yang menunjukkan treble hook bersalut tin juga berbeza; Hooks Saltwater Color (??) vs. Saltwater Hooks. Yang bukan-bukan je produksi China ni.

Kemudian ada sedikit perbezaan yang dapat aku kesan antara dua pengeluar ni. Perhatikan mata lure 1 & 2. Warna latar belakang iris kedua-dua mata sedikit berbeza. Mata bernombor 1( buatan Guatemala ) sedikit bertekstur,manakala nombor 2( buatan China ) kelihatan licin.

Apapun ia masih lagi asli Heddon dengan kualiti buatan yang setaraf.

Isnin, 7 Mac 2022

Teknik Memeriksa Backbone Rod Pancing Anda

Weekend baru-baru ni aku balik kampung lagi, macam biasalah selain menjengah mak aku, topik yang tak lari dibincangkan ialah topik memancing.
Kali ni ada sesuatu lagi yang aku pelajari berkenaan kriteria penting dalam pemilihan rod. Benda ni aku pernah baca satu masa dulu tapi tak sangka aku boleh lupa nak praktikkan.
Selain pemilihan action, poundage, material, line guide dan jenama, ada satu lagi perkara penting yang kita mungkin terlupa. 

Pemeriksaan jajaran line guide dengan lenturan backbone rod. Setiap rod ada sudut bahagian yang lebih mudah melentur berbanding bahagian lain. Biasanya sebelum pemasangan cincin/line guide, assembler yang mahir akan menentukan bahagian permukaan rod sebelah mana yang akan dipasangkan cincin.
Caranya adalah dengan melentur rod tanpa mengenakan beban dan rod akan melentur mengikut susunan backbone yang telah ditetapkan semasa membalut karbon fiber/material buatan rod tersebut.
Untuk rod spinning,bahagian bawah lenturan akan ditanda untuk meletakkan cincin dan rod casting di bahagian atas. Sebenarnya lebih jelas kalau ada gambar tapi aku tak jumpa. Aku lukiskan la senang sikit korang paham kot macamana caranya.

Penting ke tidak backbone ni?

Memang penting sebenarnya. Namanya pun backbone, ketika berlaku lenturan, ada bahagian rod yang menerima mampatan dan ada yang menerima regangan. Umpama macam rasuk jambatanlah. Bila beban dikenakan, konkrit akan menerima mampatan dan regangan. Sifat konkrit tahan mampatan,tapi lemah dalam regangan. Sebab tu struktur rasuk akan ditambah keluli di bahagian bawah untuk menguatkan rasuk.
Lebih kurang macam tulah, cuma binaan rod tak setegar rasuk. Lenturan yang direka ada peranan tersendiri dalam menentukan aksi rod.
Bila susunan cincin dan posisi backbone tak sejajar, beban akan menyebabkan rod menerima tekanan di tempat yang salah. Risikonya ialah patah. Sifat grafit atau karbon ialah keras dan ringan tetapi brittle( rapuh). Tak seperti rod fiberglass yang liat tetapi agak lembut dan berat.
Kebanyakan jenama-jenama 'mewah' menjalankan kawalan kualiti yang agak ketat, maka kebiasaannya masalah backbone yang tak sejajar ni amat jarang berlaku.
Bagi jenama yang sedikit tinggi dari rod murahan, masalah ni ada berlaku. Contohnya rod Gtech Jig Legend spinning. Adik aku beli secara online dan didapati backbonenya 'lari' 90°. Maka kerja-kerja penjajaran semula perlu dibuat.
Malang sekali bila adik aku sorang lagi tersalah teknik menguji rod, maka rod tu patah tipnya,😂
Kebetulan binaan rod tu jenis hollow,maka ia tidak dapat diselamatkan.
Teknik menguji sangat penting, kang pegi buat test backbone kat kedai tak pasal-pasal patah rod tokey kedai.
Balik rumah aku test empat-empat rod yang aku ada. Tiga rod Seahawk dan satu rod Santec. Seahawk Ryoku lulus cemerlang, Kossori dan Kingdom Xtreme cuma lari 2-3° which is acceptable dan Santec Capricorn gagal teruk. Jajarannya juga lari 90°. Nasib baik murah, so takdelah aku kecewa sangat.
Yang mana baru berjinak-jinak dengan dunia memancing dan sedang galak menambah koleksi rod, jangan lupa buat ujian ni. Kalau tak pandai, minta tauke kedai buatkan. Beli online rezeki kalau dapat yang cun.