Isnin, 6 Mac 2017

ATF 3SZ-VE + Cooling Coil Passo

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Bersua kembali di laman blog yang semakin terpinggir. Tak apalah, bagi aku platform blogspot ni masih lagi medan yang sesuai untuk menulis panjang lebar.
Hari ni aku nak tulis sikit pasal kereta. Pertama sekali tentang transmisi automatik 3SZ-VE, dan kedua berkenaan pendingin hawa kereta aku.

Lepas kereta aku siap menjalani proses transplan nadi penggerak, ada satu kelainan yang aku rasa tak patut berlaku iaitu 'lag' semasa penukaran posisi gear daripada 'N' kepada 'D'. Lag yang aku maksudkan ialah sistem transmisi mengambil masa sekitar 0.5 - 1 saat untuk enggage.
Siapa yang biasa bawa kereta automatik baru mesti dapat rasa 'lag' ni kalau bawa kereta aku. Apatah lagi kalau lepas switch dari 'N' kepada 'D',terus tekan pedal. Alamatnya kereta akan bergerak dengan mengejut. Macam kereta gear manual lepas klac tiba-tiba dalam gear 1.
Minggu lepas aku tukar minyak ATF. Kalau ikut spesifikasi yang disyorkan, transmisi automatik Aisin-Warner 3SZ-VE Toyota bB menggunakan minyak ATF Toyota T-IV. So, aku pun beli minyak yang sama.
Kuantiti penuh yang diperlukan ialah 5 liter, tapi kalau drain minyak ATF lama melalui drain plug, hanya 2 liter dapat dikeluarkan. Minyak asal yang ada dalam gearbox aku taktau lah spesifikasinya bagaimana, tapi lepas masuk minyak T-IV, respon gearbox bertambah baik.
Apapun ikutlah spesifikasi yang disyorkan pengilang, sebab enjin 3SZ-VE yang digunakan Perodua menggunakan ATF SP-III kalau tak salah. Namanya mungkin berbeza, barangkali sifat-sifat teknikalnya ada persamaan.

Ok, cerita bab aircond pulak.
Sejak lebih sebulan lepas sistem aircond aku mengalami masalah kebocoran kecil. Mekanik cakap mungkin cooling coil yang bocor sebab tiada kesan kebocoran pada piping dan kompressor.
Bila aku rujuk balik mekanik yang swap enjin aku haritu, barang pulak tak ada. Tunggu punya tunggu akhirnya aku cari sendiri sajalah lagi senang.
Mujur saudara Azizi Zain respon posting aku kat Facebook bagitau yang dia ada simpan cooling coil Passo. Walaupun lokasi beliau di Bandar Baru Bangi, tak kisahlah travel 1 jam 40 minit dari Serendah asalkan dapat barang yang tepat.
Terima kasih Azizi Zain kerana menjual barang yang baik dengan harga berpatutan. Siap test bocor dua kali dan percuma kotak angin aircond. Entah apa nama betul housing cooling coil tu aku tak tau.
Kerja-kerja membaraikan dashboard dikepalai oleh En. Is Drummer di rumah beliau yang merangkap #utocustomgarage.
Part membaraikan dashboard ni agak panjang kalau nak ditulis, pendek kata agak sukar sebab terpaksa buka batang besi yang menjadi tulang dashboard.
Didapati kotak saluran angin yang ada kat kereta aku sedikit berbeza dari kotak angin yang dibeli dari saudara Azizi Zain.
Kotak asal tiada slot filter kabin tetapi ada slot untuk cooling coil temperature probe, manakala kotak yang dibeli ada slot filter kabin tetapi tiada lubang slot temperature probe. Sistem asal Myvi pula probe sensor temperaturenya dicucuk pada fin cooling coil. Tapi tak apa, boleh mix and match saja, no problem.
Kemudian timbul satu masalah lain iaitu cooling coil tak dapat duduk dengan kemas di tempatnya. Rupa-rupanya kotak angin yang mempunyai slot temperature probe mempunyai saiz cooling coil yang kecil sedikit. Lebih kurang sama saiz dengan cooling coil standard Myvi. Cooling coil Passo pulak lebih panjang sekitar 1 inci. Secara teorinya surface area lebih luas mestilah lebih sejuk ye tak?
Soal cooling coil tak dapat duduk kemas tadi senang saja solusinya. Potong sikit dah siap.
Start kerja jam 11.00 pagi,kerja-kerja pemasangan semula selesai sekitar jam 8.00 malam. Ya, agak lama sebab kami buat kerja santai-santai.
Semasa pengujian fungsi-fungsi butang kawalan setelah selesai kerja-kerja pemasangan semula, didapati klac magnetik kompressor tidak enggage selepas suis aircond ditekan. Mujur aku teringat, ada sesetengah sistem aircond yang cut-off bila sensor mendapati tiada tekanan gas didalam sistem untuk mengelakkan kompressor rosak. Sebelum buka sistem, mesti la kita recovery dan buang semua gas dari dalam sistem awal-awal tadi kan? Jangan panik dan teruskan kehidupan macam biasa.

Walaupun dah siap pasang, masih ada kerja yang masih perlu dibuat iaitu refill gas dan tambah minyak kompressor. Part ni aku serahkan kat kedai ekon je. Alhamdulillah sistem berjalan dengan baik. Kos yang terlibat RM60( gas + minyak kompressor ) + RM100 ( cooling coil + kotak angin ). Total belanja kasar lebih kurang RM250 termasuk kos-kos sampingan.
Untuk pengetahuan harga cooling coil Myvi baru ialah RM350. Belum upah buka dashboard lagi. Senang cerita tak kurang dari RM600. Sesiapa yang berkemampuan untuk buat sendiri, belajarlah. Banyak boleh jimat ooo....


Rabu, 11 Januari 2017

Samsung Galaxy A7 2016

Lebih kurang 27 atau 28 Disember lepas, berlaku satu kejadian dimana Samsung Galaxy A7 2015 wife aku jatuh dan skrinnya rosak. Ketinggian jatuhan takde la tinggi mana pun, lebih kurang setengah meter.Malangnya permukaan jatuhan adalah jalan tar, sebahagian permukaan skrin rosak dan tidak boleh diunlock menggunakan pattern.
Apa yang mengecewakan ialah pelindung skrin tempered glass dan Gorilla Glass tak pecah pun, tapi LCD boleh pecah pulak. Memandangkan tak ada apa yang boleh dibuat, simpan sajalah dalam kotak. Kos penggantian skrin aku tengok kat internet macam haram, mahal nak mampos. Lebih RM450 kot,belum campur upah.
Bila dah jadi macam tu, susahlah wife aku nak buat kerja sebab zaman sekarang semua komunikasi pakai phone. Apatah lagi kalau berlaku kecemasan, phone dah jadi benda wajib dalam hidup.
Akhirnya kami beli jenama Samsung juga sebab siri Galaxy A baterinya bagus. Model A7 2016 menjadi pilihan sebab bateri juga. Model 2016 dibekalkan bateri sebesar 3300mAh berbanding A7 2015 2600mAh.
Untuk wife aku kriteria-kriteria seperti RAM,CPU,resolusi skrin dan sebagainya tak penting sangat. Yang penting bateri, bateri dan bateri.
Perbezaan antara A7 2015 dengan 2016 tak banyak sangat, tapi agak signifikan juga.
1. Kemasan
- Bahagian belakang dipasangkan Gorilla Glass 4 yang cantik (juga bermaksud lebih fragile).Bezelnya rapat di pinggir skrin, dan lens kamera utama tidak terlalu menonjol seperti model 2015.
2. Bateri
- Penambahan 700mAh daripada model 2015. Sepatutnya mampu bertahan dengan 100% diwaktu pagi sehingga habis ditengah malam.
3. Bunyi
- Speaker dialihkan ke bahagian bawah telefon bersebelahan USB port. Bunyi cukup kuat.
4. RAM
- Penambahan RAM.Dulu cuma 2GB, sekarang 3GB. Prestasi bertambah baik.
5. Keselamatan
- Butang tengah skrin bertindak sebagai fingerprint scanner.
6. Pengecasan pantas
- Dibekalkan charger Quickcharge 1.65A. Model 2015 menggunakan charger 1.55A.

Sekian.


Ahad, 11 Disember 2016

Blogging vs. Facebook

Sesekali bila aku belek-belek list blog kat kolum Blogger Update blog aku ni, nampak benar platform blogging dah semakin hilang sengat. Semua blog yang aku follow dah berbulan-bulan tak ada posting baru. 4-5 tahun dulu nama-nama besar macam Hanis Zalikha dan Fatin Liyana( sekadar menyebut beberapa nama ) tak lagi menulis artikel baru sejak beberapa bulan lepas.
Tu,Fatin Liyana yang follower lebih 40k pun last posting dia Jun 2016. Yang tak berapa nak femes lagi la, terkubur terus.
Busy? Ya, zaman bujang boleh la tulis sampai 3,4 artikel sehari. Bila dah berkeluarga ni, serius susah nak komitmen macam dulu-dulu.
Kecuali blogger lelaki, aku tengok Ben Ashaari dan Ariff Shah masih konsisten menulis. Lelaki tak busy ke macamana?
Sekarang ni kebanyakannya memilih Facebook sebagai platform menulis. Lebih meluas capaiannya. Yang perempuan lebih gemar dengan platform Instagram sebab orang perempuan kan suka bergambar dan berfesyen.
Aku pun dah lama berFacebook,cuma tak ada niat nak buat page macam page viral. Sebabnya niat.
Kebanyakan page-page viral lebih mengutamakan like dan share, tanpa mengambilkira kredibiliti kandungan cerita.
Stail macam ni aku tak gemar, sebab memperbodohkan masyarakat. Korang semua tak perasan ke kalau ada isu-isu hot dalam masyarakat, berjemaah la kita komen maki-makian. Bila dengar cerita sebelah pihak lain, kita dok pakat maki-makian sebelah sana balik.
Tak rasa bodoh ke 'ditendang' sana sini?
Diorang peduli apa berita tak betul,korang baca, komen pastu share pulak lagi la diorang suka. Zaman duit semua jalan.
Instagram pulak lain konsepnya. Kat insta takde posting panjang lebar, cukup sekadar foto dan kapsyen. Aku baru je cuba bermain Instagram.
Game dia sama je, kau cantik, follower ramai, then kau boleh buat duit dengan review produk.
Produk pseudosains pun tak apa janji bayar.
Dari segi peribadi pulak, tak kisah kejap on tudung pastu buka tudung belanja longkang.
Maknanya apa?
Lagi 10 tahun tak tahulah orang peduli lagi ke tidak dengan penulisan berbentuk ilmuan. Ada satu page sejarah tu aku minat betul, masalahnya kena bayar yuran akses. Aih....
Korang-korang yang baca blog aku ni harap-harap masih lagi termasuk dalam golongan suka membaca dan cintakan ilmu. Dalam mencari glamor di fb atau insta, bawa sekali penulisan jujur dan berilmiah.
Tapi itulah, zaman berubah. Banyak page-page Facebook yang bagus, contohnya The Patriot, Root of Science, Pseudoscience Watch, dan beberapa lagi. Pilihlah page yang betul.
Elakkan share sesuatu sebelum buat cross check, apatah lagi kalau artikel tu datang dari laman web yang alamatnya merepek-repek. Aku berani cakap 99% contentnya misleading, tajuk gempak habis, isi jahanam.
Sekian.

Jumaat, 9 Disember 2016

Pasca Myvi 3SZ-VE


Sambungan episode lepas…

Spesifikasi asal K3-VE 1.3 DVVT dibandingkan dengan nadi baru 3SZ-VE 1.5 VVT-i :


K3-VE
3SZ-VE
Isipadu silinder
1298 c.c.
1495 c.c
Gerek x lejang
72 x 79.7mm
72 x 91.8mm
Nisbah mampatan
10.0:1
10.0:1
Kuasa
87hp (64kW)@ 6000 rpm
107hp (80kW)@ 6000 rpm
Kilasan
116Nm @ 3200 rpm
141Nm @ 4400 rpm
Nisbah kuasa/berat (tan)
91hp/tan
112hp/tan

Enjin K3-VE asal yang dipadankan dengan kotak transmisi manual cukup sesuai untuk penggunaan didalam bandar. Bagaimanapun nisbah gear akhir sebesar 0.750 menyebabkan pemanduan cruising pada kelajuan sekitar 110 – 120kmj di lebuhraya agak kurang enak untuk enjin bekerja.

Pada kelajuan tersebut, RPM bermain sekitar 3200-3500 menyebabkan penggunaan bahanapi agak tinggi. Pernah aku tulis dalam entri lepas yang mana kereta aku vs. Vios 1NZ-FE, Vios jauh lebih jimat untuk jarak yang sama. Salah satu rahsianya ialah nisbah gear akhir ni lah. Itu belum bandingkan nozzle fuel injector 4 lubang vs. 12 lubang lagi.
Hasil pemerhatian aku untuk enjin 3SZ-VE transmisi automatik pulak, pada kelajuan 100kmj, putaran enjin berada pada sekitar 2600rpm dan jika ditekan sehingga 3000rpm, speedometer menunjukkan kelajuan 120kmj. Ralat bacaan (+3km/j)

Daripada pemerhatian diatas dan dibandingkan dengan pengalaman memandu Alza manual dan Myvi SE 1.5 automatik, kesimpulan yang aku boleh berikan ialah transmisi automatik lebih jimat berbanding transmisi manual jika menempuh perjalanan jauh melalui lebuhraya. Manakala transmisi manual lebih kepada pemanduan jarak pendek dan banyak hentian. Dulu mitos yang kita biasa dengar ialah kereta automatik kuat makan minyak. Mungkin dulu-dulu agaknya, tapi sekarang teknologi dah matang.

Pasca Myvi 3SZ-VE

Ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian sekiranya anda berminat untuk menjalankan kerja tingkat taraf macam aku buat ni.

1.Sediakan bajet ekstra
Mungkin ada beberapa komponen yang perlu ditambah / diganti,bergantung kepada pakej mekanik asalkan tak melebihi peruntukan kasar anda.

2.Perubahan sistem gear dan brek tangan
Perubahan ni taklah sukar mana, cuma diperingkat awal memang kekok jugalah.

3.Ketiadaan sensor undur
Yang ni kena beli lain. Kat kedai aksesori harganya dalam RM70-RM100 saja. Kalau mampu, belilah set audio 2-DIN yang lengkap dengan kamera undur.

4.Ketiadaan meter rpm
Bergantung pada bajet dan pakej korang, kalau dashboard tu Passo Racy lengkap meter RPM, harganya mahal sikit.

5.Ketiadaan meter penujuk suhu radiator
Meter Passo hanya menunjukkan simbol suhu sejuk (hijau),normal(tiada lampu menyala) dan merah (panas). Terus terang aku tak berapa gemar sistem lampu-lampu ni sebab tak nampak pergerakan suhu. Caranya adalah dengan menambah meter suhu air aftermarket.

6.Perbezaan alatganti
Walaupun kod enjinnya sama dengan Alza tempatan, tali sawat alternatornya tak sama. Awal-awal dulu aku dah terbeli tali sawat Alza (6PK1930), tapi tak boleh pakai sebab panjang sangat. Saiz sebenar ialah 6PK1580. Harganya ialah RM53. Tapi ni harga Bando sebelum 1 Disember.

Sama juga macam modifikasi Myvi pakai dashboard Passo yang didatangkan dengan EPS. Belting yang perlu digunakan bersaiz 4PK1590. Hah! Cuba la cari kat kedai spare part kalau ada. Ingat,enjin K3VE dengan sistem EPS tak ada kereta lain pakai kat Malaysia ni. Even Myvi Lagi Best 1.3 pakai EPS pun tak sama saiznya. Tapi bukan la tak ada langsung, boleh cari. Salah sorang yang berjaya cari belting rare ni aku le,haha!
Siapa nak sila emel. Kalau boleh order la banyak sikit, berbaloi aku nak pegi order kat supplier. Bermula 1 Disember, semua belting jenama Bando akan dinaikkan harga antara 11-15% kerana kelemahan Ringgit berbanding Yen.
Satu lagi ialah penapis minyak enjin. 3SZVE Jepun pakai sistem filter element. Maksudnya kita cuma perlu tukar elemen penapis. Elemen penapis yang compatible dengan enjin ni ialah elemen penapis minyak enjin Toyota Corolla Altis. Harganya mahal (RM35) berbanding filter Myvi biasa (RM8). Boleh beli 4 bijik filter standard Myvi tu. Tapi ini hal kecik saja, kalau tak mau pakai filter Altis, boleh tukar pakai tapak filter K3VE dan boleh pakai filter Myvi biasa.
Penapis udaranya juga berbeza. Apa yang mekanik aku buat ialah pakai balik air box Myvi dan boleh pakai balik penapis udara Myvi. Selesai masalah. Faedahnya ialah, airbox asal Myvi tu menyembunyikan 'kuasa' sebenar 3SZ dengan penampilan airbox yang tertera tulisan 1.3 DVVT. Kira macam bajet-bajet zuhud lah,kahkah!

7.Tiada pilihan parking pada posisi gear ‘N’
Yang ini paling kritikal kalau duduk rumah yang tak ada parking khas. Myvi 1.3  automatik masih boleh parking pada posisi ‘N’ dan begitu juga Myvi lagi best( letak posisi ‘P’,cabut kunci, tekan SHIFT LOCK sambil tarik tombol ke posisi ‘N’).Ramai tak tau ni.
Sistem gear lever kat column stereng Passo pula tak membenarkan ianya berlaku. Maka, pastikan parking jangan block kereta orang.
Bagaimanapun aku rasa perkara ni tak berlaku pada transformasi Myvi K3VE automatik kepada 3SZVE automatik. Sebab wiring, dashboard dan gear linkage asal masih boleh digunakan.

Okay, walaupun agak banyak point yang mungkin nampak negatif, percayalah padanan enjin 3SZVE dengan casis ringan Myvi serta kawalan stereng EPS, kualiti pemanduannya memang jauh berbeza. Lebih tork untuk digunakan pada mana-mana julat rpm dan yang penting stabil pada kelajuan tinggi.
Adatlah kan bermain kereta, hal-hal remeh ni kena pandai-pandai sesuaikan dalam kehidupan seharian. Nak sedap terus ambik GTR lah.

Posting akan datang aku akan cuba kumpulkan informasi pasal tingkat taraf 3SZVE ke tahap lebih tinggi.

Rabu, 2 November 2016

Projek Auto : Phase #2



Sambungan dari entri lepas…

Petang Sabtu aku jemput En.Naruto aka. Is Drummer ( aku memang selalu petik member aku ni kalau ada job kereta,tq so much bro! ) di Bukit Sentosa untuk follow aku ambik kereta spare Toyota AE110 kat Teluk Panglima Garang. Kereta spare tu nampak je kondisinya macam nak runtuh, tapi setakat nak acah-acah EJ menyamar EK dengan VTEC single cam takde hal lah. Larian nadi 4AGE 20V Silvertopnya masih kencang, cuma bunyi-bunyian casis old skool saja yang kurang enak. Nama pun sekolah lama. Bila tah owner dia nak cat baru.

Lebih kurang jam 8.30pm, kitorang pass kunci kereta aku kat boss Jembo JDMGarage ( Mr. Jemey) dan balik ke Bukit Sentosa.

Walaupun ada kereta spare, wife aku tak yakin nak pandu AE110 tu sebab kereta panjang katanya. 

Aduyaiiii…

Tak guna jugalah aku pinjam kalau tak boleh drive. Sudahnya aku hantar balik AE110 ke tuannya (adik lelaki aku), dan pinjam Myvi SE pak mertua aku. Selesai masalah pengangkutan untuk tempoh pembaikan kereta yang aku jangkakan paling lama memakan masa seminggu.

Aku belum cerita lagi kan projek apa sebenarnya yang aku nak buat kat kereta aku ni? Selepas berkira-kira untuk membuat full overhaul atau pertukaran enjin, aku rujuk pula pandangan beberapa bengkel. Kebanyakan dari mereka mencadangkan jalan pintas iaitu swap enjin, Lebih mudah dan murah berbanding full overhaul.
Katakan aku pilih opsyen overhaul, benda-benda yang aku wajib tukar ialah full set overhaul kit (gasket, piston ring,valve seal,crankshaft bearing, main bearing),clutch plate dan timing chain. 

Masalah selesai? Belum.
Dengan kondisi enjin asal aku, aku yakin alternator, water pump, power steering pump (dah memang bocor), dan sistem penuh pendingin hawa perlu ditukar. Bayangkan full system aircond punya harga sudah. Paling kurang dekat 2k juga kalau pakai kompressor baru. Anggaran kasar modalnya senang cerita kasar jugalah.
Modal dah kasar,then kira balik berbaloi tak. Aku akan dapat paling tidak hampir-hampir menyamai kondisi kereta aku masa baru beli, K3VE 89hp (claimed), stereng kuasa, transmisi manual dan aircond yang sejuk macam asal.
Walaubagaimanapun, aku selalu ada backup plan supaya modal besar yang dilaburkan tidak sia-sia. Untuk projek macam ni bukan modal je besar, planning pun kena baik juga sebab kereta aku itu jela sebijik.

Selepas aku sediakan dana yang bersesuaian, aku minta nasihat En.Naruto dari segi kombinasi bajet dan setup yang dikehendaki. Beliau juga ada beberapa rekomendasi bengkel yang bersesuaian. Dipendekkan cerita, kami bersetuju dengan cadangan Jembo JDMGarage yang sesuai dengan bajet yang aku tetapkan.

















Nah, akhirnya aku pilih untuk memasukkan nadi Toyota 3SZ-VE 1.5 liter bertransmisi automatik dari Toyota bB dan dilengkapkan dengan dashboard Toyota Passo 2006. Kenapa kena masuk dashboard kejap lagi aku cerita.
Kereta aku asalnya Myvi facelift 2008 asas, maksudnya tiada ABS,airbag dan juga nilai tambah lain yang best. Pekak habis. Mujur Perodua bagi power window, takde la segan kayuh tombol kat pondok tol.
Enjin pilihan pula ialah 3SZ-VE yang boleh didapati dalam banyak body antaranya Toyota Passo Sette, bB, Rush , Materia, Daihatsu Boon Luminas dan tak lupa Perodua Alza. Yang aku dapat ialah dari badan Toyota bB, berdasarkan design airbox dia. Mileage tak tau sebab aku beli enjin lantai, tapi alhamdulillah nampak cantik kecuali pengoksidaan normal pada permukaan head aluminium.
Halfcut dari Jepun ni payah nak dapat yang bertransmisi manual sebenarnya, dan kalau ada pun harganya jekpot. Mahal! Takkan nak cari gearbox manual Alza pulak. Lagipun aku pernah drive Alza manual, ratio final gear dia tak cantik lah.
Bila dah tak ada pilihan transmisi, mekanik mencadangkan pemasangan sistem pendawaian penuh dan dashboard Toyota Passo automatik untuk memudahkan proses penyesuaian enjin kedalam badan Myvi. Setakat ni yang kita cuma nampak ialah enjin dan dashboard. Sebenarnya banyak lagi peralatan tambahan yang termasuk dalam pakej :

1.       Sistem EPS ( Electric Power Steering ). Dulu aku tak suka sebab tang korner mcm hampeh, tapi high speed cruising atas highway memang terbaik!

2.       Dashboard Toyota Passo 2006 dengan speedometer lampu kuning. Tombol gear di kolum steering dan parking brake kaki.

3.       Sistem aircond lengkap Passo dengan kompressor dan kondenser 3SZ-VE. Sejuk dia pun terbaik!

4.       Full set mounting baru.

5.       Set kunci Passo.

6.       Pendawaian lengkap Toyota Passo termasuk suis tingkap utama sebelah driver full auto UP/DOWN

7.       Sistem ABS termasuk knuckle dan wheel sensor.

8.       Sistem airbag ( inflator je takde,kena beli asing).

9.       Entri lepas aku cerita pasal belting baru. Silap saiz tu. Yang aku tulis tu saiz Alza, memang tak ngam sebab panjang. Alza ada pam power steering. Saiz sebenar untuk 3SZ-VE Japan mari ialah 6PK1580. Boleh tahan bercinta nak carik.

10. ECU 3SZ (89560-B1560,G25),TCU(Transmission Control Unit) aku taktau TCU apa. Kalau ikut spec sheet Toyota bB,transmission dia ada pakai program Super ECT.

Setelah bersabar menunggu, akhirnya petang Selasa lepas kereta aku siap. Walaupun excited, ada satu benda yang membunuh keterujaan aku iaitu lampu check enjin menyala. Aku trauma betul dengan lampu ni. Sebabnya aku hantar kereta aku masuk woksyop pasal lampu ni la. Kali ni diagnos error code (21) menunjukkan kegagalan sensor ekzos atas.
Hari Sabtu, mekanik repair balik apa yang bermasalah. Sepatutnya mudah je kerjanya, cuma tukar sensor. Malangnya sensor melekat kuat dan mekanik terpaksa menukar satu unit exhaust header. Bukan baru pun, cari kat belakang woksyop pun boleh dapat. Masuk sensor baru dan tadaaa! Masalah selesai. Sensor ni bila problem power ada loss sikit dan penggunaan bahanapi masyaAllah, rabak betul.
Selesai part enjin, tinggal lagi meter RPM dan reverse sensor. Untuk makluman, reverse sensor asal Myvi tak boleh pakai, aku tak tau kenapa sebab aku bukan pomen wiring. Untuk benda-benda ni aku dah standby beli barang aftermarket tapi belum berkesempatan nak pasang.
Kecuali meter RPM, aku gagahkan juga pasang sendiri sebab nak tengok final drive dia berapa RPM @ 100kmj. Mujur sekitar 2600rpm.Aku memang tak gemar final ratio jejak 3000rpm takat speed 100kmj. Nak henjut 140kmj pun jenuh mintak gear.

Meter RPM aku tak pakai RPM Passo ya sebab mahal. Memang comel tapi itulah, hanya purist JDM sanggup pakai. Yang orang panggil RPM senyum tu biasa je kot cecah RM 1k orang jual. Aku cuma pakaikan meter RPM GReddy Multi D/A Gauge. Kaler boleh tukar-tukar dan ada bacaan volt sekali. Murah dan praktikal.

Pendapat aku, gear automatik jimat untuk highway cruising dan manual bagus untuk perjalanan pendek dan kerap berhenti. Terpulang selera masing-masing. Duit banyak beli la dua jenis kereta lain-lain transmisi.
Jumpa lagi di artikel seterusnya.

* gambar aku upload kemudian.