Dari entri terakhir aku semalam,aku ada cakap berkenaan penerangan sistem
air conditioning (A/C) kereta sebagai rujukan untuk siapa-siapa yang tidak tahu langsung bagaimana sistem ini berfungsi.Aku akan cuba menjelaskan satu persatu dengan seringkas mungkin supaya mudah difahami.
Gambarajah diatas aku rembat dari Google je dan aku rasa gambarajahnya menunjukkan sistem asas A/C dengan baik,lengkap dengan warna gas bertekanan tinggi dan juga rendah.
Sebelum tu elok kita mula dulu dengan mengenali gas A/C yang digunapakai kebanyakan kereta iaitu R-134a.
R-134a
-merupakan sejenis gas pendingin dimana sifat gas pendingin akan menyerap haba dengan banyak semasa mengembang.Gas ini akan bergerak ke seluruh sistem untuk membawa keluar haba dari kabin kereta.Ianya akan berada dalam bentuk cecair selepas menyingkirkan haba dan bertukar menjadi gas sebelum dimampatkan semula oleh kompressor.
Komponen asas sistem A/C
1.
Kompressor
-Tugasnya adalah memampatkan gas R-134a dan menghantarkannya ke kondenser.Seperti yang kita faham dari namanya sendiri iaitu kompressor,didalamnya ada
piston(omboh) yang akan bergerak sepanjang masa selagi sistem A/C dihidupkan.Bila ada komponen bergerak,maka wajib ada sistem pelinciran untuk mengelakkan kehausan pada omboh tadi.Sebab itu sangat penting untuk memastikan pelinciran didalam kompressor sentiasa berkeadaan baik.
2.
Kondenser
-Kondenser berbentuk seperti radiator kecil yang berperanan menyingkirkan haba daripada gas R-134a dengan dibantu sebuah kipas dan juga udara dari luar semasa kenderaan bergerak.Gas yang telah dimampatkan oleh kompressor tadi masih lagi berbentuk gas cuma ianya bertekanan tinggi dan panas.Selepas melalui tiub-tiub halus pada kondenser,haba disingkirkan oleh udara yang bergerak melalui tiub dan sirip halus pada kondenser.
Sepertimana air yang menjadi stim ketika panas,ia akan bertukar menjadi cecair semula setelah disejukkan (
condensation/kondensasi).
3.
Drier
-Berperanan menyerap/mengasingkan air dari bendalir penyejuk R-134a.Didalamnya terdapat bahan
dessicant(seperti paket penyerap air dalam kotak kasut baru),yang akan menyerap air.Kenapa perlu memastikan air tidak bercampur dengan bahan penyejuk akan diceritakan sekejap lagi.
4.
Expansion valve
-Dalam bahasa Melayunya ialah injap pengembangan.Ia berperanan mengawal aliran bendalir sebelum memasuki
cooling coil.Bendalir penyejuk yang berkeadaan cecair dan bertekanan tinggi tadi akan dilepaskan sedikit demi sedikit mengikut pelarasan suhu yang kita buat dari dalam kabin.Bendalir penyejuk akan melepasi injap pengembangan dan bertukar menjadi gas.Suhunya sekitar 0 darjah Celcius.Sebab itulah kita tidak mahu ada sebarang unsur air bercampur dengan gas penyejuk untuk mengelakkan sistem tersumbat akibat pembentukan ais didalam paip sistem A/C.
5.
Cooling coil/evaporator
-Apabila bendalir penyejuk bertukar menjadi gas selepas melalui injap pengembangan,ia akan memasuki
cooling coil/evaporator yang berbentuk seperti
radiator juga.Gas ini akan menyerap haba dengan banyak dan menghasilkan udara diluar
cooling coil sejuk.Seterusnya
blower(penghembus) menolak udara sejuk tadi ke ruang kabin.Manakala gas penyejuk bergerak semula ke pemampat dan membawa bersama haba yang diserap dari dalam kabin tadi.
Proses ini berulang semula selagi kita memerlukan udara nyaman ketika memandu dalam cuaca Khatulistiwa Malaysia ini.
Dengan memahami fungsi asas setiap komponen sistem A/C,sepatutnya kita dapat menjangka bahagian mana yang gagal berfungsi berdasarkan simptom-simptom yang kita alami semasa A/C kita rosak.
1.Gas habis.Puncanya mudah.Ada bahagian yang bocor.Tapi kenapa ianya bocor?Barangkali berlaku penyumbatan yang menghalang kelancaran aliran gas akibat pembentukan ais dan seterusnya menyebabkan tekanan sistem A/C terlalu tinggi.Boleh jadi juga kondenser bocor akibat terkena lentingan batu.Kebocoran juga dapat dikesan melalui kehadiran kesan seakan berminyak pada
vent air cond di
dashboard.
2.A/C sekejap sejuk,sekejap panas.Kebiasaannya bila masalah ini berlaku,udara yang keluar dari
vent air cond terasa panas semasa kenderaan berhenti dan sejuk semula ketika dipandu.Puncanya adalah kipas kondenser yang rosak.Gas penyejuk tidak dapat kembali kepada bentuk cecair dan seterusnya gagal menyerap haba semasa memasuki
cooling coil.
3.A/C sejuk tapi ada bunyi kasar semasa suis A/C diONkan.Ini petanda kerosakan pada
bearing kompressor atau minyak kompressor telah kering.Sekiranya pasti
bearingnya rosak,ia boleh ditukar tanpa perlu menukar seunit kompressor baru.Jika minyak kompressor kering,terpaksalah ditukar baru kerana ada kebarangkalian sistem dalaman kompressor telah rosak teruk.
4.Udara tidak sejuk dan rpm enjin tinggi bila suis A/C ON.Ini bermakna magnet klac pada kompressor tidak berfungsi.Kompressor memerlukan tenaga yang agak banyak untuk digerakkan,sebab itu pembuat kereta mencipta sistem dimana enjin akan sedikit mengerang jika memacu kompressor untuk mengelakkan enjin mati andai A/C dibuka semasa enjin
idle(melahu).
Itulah sedikit sebanyak yang dapat aku tuliskan berkenaan sistem
air conditioning kereta.Mungkin ada yang tidak tepat dan harap ada yang sudi memperbetulkan mana-mana kesalahan dalam penulisan diatas.Tujuanya untuk memudahkan pengguna memeriksa dahulu kereta masing-masing sekiranya berlaku ketidaknormalan sebelum terus menghantar ke bengkel.Tak ada siapa yang suka kena tipu kan…Aku akan cuba
update dari masa ke semasa sekiranya terjumpa apa-apa yang boleh dikongsi lagi.