Dah hampir 23 tahun keluarga aku menetap di sebuah Felda di Jerantut,Pahang.Sepanjang tempoh itu juga,berbagai rintangan dan ranjau yang keluarga aku harungi sehinggalah berada pada tahap yang agak selesa.
Sebelum ini mak ayah aku bekerja sebagai petani sawah di Sekinchan,Selangor.Keputusan drastik ayah aku memohon untuk menyertai program Felda mengubah keseluruhan perjalanan hidup keluarga aku.Ayah aku pernah bagitau aku,seseorang yang dia tak kenal langsung yang beritahu dia tentang tawaran Felda.Ayah aku pergi pejabat Felda kat Jalan Semarak,KL dan memohon untuk menjadi peneroka Felda.
Aku dapat rasa yang sangat kuat azam dan tekad ayah aku untuk memperbaiki taraf hidup.Bayangkan sebelum ni kami tinggal berhampiran pekan Sekinchan,lengkap dengan fasiliti asas api,air dan telefon.Sedangkan tempat yang kami akan berpindah entah macamana rupanya nanti.Kalau aku sendiri yang berada pada kedudukan ayah aku,aku sendiri tak berani ambil risiko macam tu.
Masa aku berumur 5 tahun lebih,kalau aku tak silap,kami pun berpindah ke lokasi si sebuah pedalaman Pahang.Walaupun aku masih kecik,tapi semuanya aku ingat dengan jelas.Kami sekeluarga naik sebuah lori yang penuh dengan barang-barang rumah.Barangnya tak banyak tapi lorinya kecik je.
Mak,ayah,kakak,aku,dan sorang adik lelaki aku duduk kat belakang.Atuk aku pun ikut teman sekali.Aku tak fikir apa-apa pun pasal tempat yang bakal jadi kampung halaman aku.Maklumlah budak-budak lagi.Makin jauh perjalanan dalam negeri Pahang,makin tebal hutan-hutannya.Jalan rata makin kurang dan diganti jalan tanah merah.Yang aku ingat,lori bergoyang-goyang bila lalu lopak.Waktu pun dah melepasi maghrib(aku agak-agak je),dalam hutan plak tu.Rupanya kami melalui jalan balak.
|
Inilah jalan utama ke kampung aku semasa tahun akhir 1980-an.Sanggupkah korang
meninggalkan keselesaan hidup di bandar untuk mencuba nasib disini.Gambar seorang guru
menolak motosikal untuk ke bandar.
*Gambar dari galeri Facebook SKLU8 |
Bila sampai kat rumah yang dah ditetapkan Felda.........mak aiii!Budak-budak Felda je yang mengerti.Rumah papan kecik yang dikelilingi rumput ekor kucing dan bersebelahan beberapa unit rumah.Bekalan air pun tak ada,apatah lagi elektrik.Kami sekeluarga mandi air dari anak sungai berdekatan rumah,waktu malam diterangi lampu minyak tanah.Bunyi-bunyi menyeramkam toksah cakap la.Dalam hutan tebal,aku rasa harimau pun berkeliaran je bawah rumah agaknya. Masa tu mak aku memasak guna dapur kayu.Kawasan belakang rumah yang banyak anak-anak kayu,mak aku tebang(iye,mak aku yang tebang),dipotong kecik-kecik dan aku adik beradik susun tepi rumah untuk dikeringkan.Bila musim hujan,kami beramai-ramai kutip cendawan.Walaupun kehidupan masa tu aku masih belum faham erti susah,yang aku ingat masa tu aku enjoy life kanak-kanak aku.Sarapan pisang rebus dan bubur nasi dah biasa bagi aku.
Setahun dua aku tinggal kat tempat baru,aku dah lupa keindahan sawah,kemanisan mempelam,keterujaan melihat mesin menuai padi dan makan malam diluar bersama keluarga aku.Yang ada disekeliling aku cuma jalan tanah merah,kesejukan air sungai,bauan kayu yang dibelah dan jelaga lampu minyak tanah dalam lubang hidung.Hiburan yang ada cuma TV Samsung hitam putih yang dikuasakan oleh bateri kereta.Masa kat rumah nenek aku,dah ada TV warna dan wajah yang aku paling ingat ialah Ezzah Aziz Fawzy di TV3 yang baru wujud tahun 1985.Zaman tu lesen TV kena bayar.Tak semua keluarga ada TV.
Masa berlalu dan kehidupan semakin baik bila jalan raya mula diturap,generator ayah aku berganti elektrik TNB dan bekalan air dari JBA Pahang mula disalurkan.Talian telefon mula dipasang kat rumah aku pada tahun 2000.Masa tu orang bandar dah mula gilakan telefon bimbit Nokia 3310,kampung aku baru nak dapat telefon.Ketinggalannya kitorang masa tu tuan-tuan...
Rumah asal Felda yang sempit pun dah ditambah baik memandangkan ahli keluarga yang semakin ramai.Mujurlah ayah aku ada bakat sebagai tukang kayu.Selain buat rumah sendiri,banyak rumah orang kampung yang ayah aku buatkan.Dek kerana kesibukan menyiapkan rumah orang,rumah kami sendiri tak berapa nak siap.Ayah aku meninggal dunia pada tahun 2005 kerana stroke ketika aku baru setahun belajar berdikari di bandar.
Dengan sijil Politeknik yang aku ada,aku merantau ke Puchong,berbekalkan dengan motorsikal Yamaha SS110 pemberian ayah aku.
|
Motor pemberian ayah aku.Sekarang dah tersadai kat Damansara |
Duduk menumpang di rumah flat bapa saudara kawan aku,aku tidur dalam stor.Kawan-kawan aku berhimpit tidur kat ruang tamu.Takpe la,ada jugak tempat berteduh.
Mula-mula aku bekerja di sebuah gudang simpanan skru.Bukan skru kecik-kecik,saiz skru jambatan pun ada.Kerja penat,dengan gaji RM650,kerja aku angkat guni-guni skru dan susun kat rak.Petang je mesti menung,aku belajar kat Politeknik,takkan kerja sama-sama dengan Bangladesh.Bukan aku nak menghina kerja tu atau nak kata sijil Politeknik ni bagus,cuma aku rasa aku bleh dapatkan yang jauh lebih baik.
Selepas tahun baru 2005,aku dapat kerja yang selesa di sebuah syarikat kosmetik Clara International.Gaji tak la best mana pun,RM750 je.Tapi banyak benda yang aku dapat belajar.
Dalam masa setahun lapan bulan,aku dah merasa jadi kelindan,operator packaging sampai la ke assistant production.dalam tempoh tu jugak gaji aku dah mencapai RM950.Masa tu la aku beli harta pertama aku,TV LG Flat CRT 29 inci.Masa tu TV LCD mahal gila.TV tu aku pakai beberapa bulan je sebelum aku hantar ke kampung.Kesian mak aku tengok TV 14 inci,kecik sangat.Sakit mata nak tengok Hindustan.
Bulan Ogos 2006,aku dapat tawaran sebagai Supervisor dari Ex-Manager aku dulu semasa bekerja di Clara International.Masa tu dia dah jadi Manager di syarikat BioHerbs Laboratories,anak syarikat Putri Binari dari Indonesia.Tawaran gaji sebanyak RM1200 dah aku rasa agak lumayan masa tu.Lepas setahun lebih aku kerja kat situ,aku sambung buat Diploma atas galakan dari Miss Pucca(
http:/zamorange.blogspot.com),yang sekarang menjadi tunang aku.
Atas kepercayaan manager dan CEO,tak jadi masalah untuk aku bawa adik-adik aku bekerja sekali dengan Putri Binari.Memandangkan masa tu syarikat Putri Binari agak kurang stabil,aku terpaksa mencari pekerjaan lain kerana tanggungan yuran kuliah yang agak tinggi.
Perancangan aku sebenarnya aku akan bertukar kerja bila habis study,tapi rezeki aku lebih awal.Aku mendapat tawaran dari sebuah syarikat bioteknologi yang dinaungi oleh anak syarikat Khazanah Nasional Berhad.Tinggallah dua orang adik aku masih bekerja di Putri Binari.Bagi aku perjalanan mereka tak sesukar sepertimana aku dulu.Diorang tak perlu merayau mencari kerja,rumah disediakan dan lengkap.Pernah syarikat memberikan kami tinggal di sebuah kondominium di Damansara Perdana.
Dengan bertukarnya aku ke syarikat baru,alhamdulillah ada perubahan positif pada taraf kehidupan aku.Selepas aku dilanggar kereta Waja dari belakang,aku dah trauma nak bawa motorsikal.Sebulan lepas tu aku terus beli kereta baru.Selain lebih selamat,mudah aku nak menjenguk mak aku kat kampung.Kalau naik motor SS aku dulu,sakit pinggang nak sampai kampung.
Ni lah yang aku maksudkan dengan budak-budak sekarang beruntung.Kecik-kecik dah kenal komputer,DVD,PS2,TV LCD,laptop dsb.Ni gambar adik bongsu aku masa tadika.Dah boleh ON PC,cari folder dan Shut Down.Kira ok la,walaupun sekadar nak main game Flash je,hehe!
Berbanding dengan zaman aku,nak main Brick Game pun pinjam kawan-kawan punya.Paling hebat pun dapat menumpang main Famicom jiran.
Pengajian aku dah tamat,syarikat aku pun sedang membangun dan adik-adik aku dah jadi Production Executive dan Supervisor di Putri Binari.Sebagai anak sulung lelaki,aku gembira melihat mereka mempunyai pekerjaan dan kehidupan yang memadai dengan tahap pelajaran mereka.Tapi bagi aku,setinggi manapun pengorbanan kami,masih belum mampu mengatasi pengorbanan ayah aku,dan ketabahan mak aku mengharung kehidupan susah.