Jumaat, 9 Disember 2016

Pasca Myvi 3SZ-VE


Sambungan episode lepas…

Spesifikasi asal K3-VE 1.3 DVVT dibandingkan dengan nadi baru 3SZ-VE 1.5 VVT-i :


K3-VE
3SZ-VE
Isipadu silinder
1298 c.c.
1495 c.c
Gerek x lejang
72 x 79.7mm
72 x 91.8mm
Nisbah mampatan
10.0:1
10.0:1
Kuasa
87hp (64kW)@ 6000 rpm
107hp (80kW)@ 6000 rpm
Kilasan
116Nm @ 3200 rpm
141Nm @ 4400 rpm
Nisbah kuasa/berat (tan)
91hp/tan
112hp/tan

Enjin K3-VE asal yang dipadankan dengan kotak transmisi manual cukup sesuai untuk penggunaan didalam bandar. Bagaimanapun nisbah gear akhir sebesar 0.750 menyebabkan pemanduan cruising pada kelajuan sekitar 110 – 120kmj di lebuhraya agak kurang enak untuk enjin bekerja.

Pada kelajuan tersebut, RPM bermain sekitar 3200-3500 menyebabkan penggunaan bahanapi agak tinggi. Pernah aku tulis dalam entri lepas yang mana kereta aku vs. Vios 1NZ-FE, Vios jauh lebih jimat untuk jarak yang sama. Salah satu rahsianya ialah nisbah gear akhir ni lah. Itu belum bandingkan nozzle fuel injector 4 lubang vs. 12 lubang lagi.
Hasil pemerhatian aku untuk enjin 3SZ-VE transmisi automatik pulak, pada kelajuan 100kmj, putaran enjin berada pada sekitar 2600rpm dan jika ditekan sehingga 3000rpm, speedometer menunjukkan kelajuan 120kmj. Ralat bacaan (+3km/j)

Daripada pemerhatian diatas dan dibandingkan dengan pengalaman memandu Alza manual dan Myvi SE 1.5 automatik, kesimpulan yang aku boleh berikan ialah transmisi automatik lebih jimat berbanding transmisi manual jika menempuh perjalanan jauh melalui lebuhraya. Manakala transmisi manual lebih kepada pemanduan jarak pendek dan banyak hentian. Dulu mitos yang kita biasa dengar ialah kereta automatik kuat makan minyak. Mungkin dulu-dulu agaknya, tapi sekarang teknologi dah matang.

Pasca Myvi 3SZ-VE

Ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian sekiranya anda berminat untuk menjalankan kerja tingkat taraf macam aku buat ni.

1.Sediakan bajet ekstra
Mungkin ada beberapa komponen yang perlu ditambah / diganti,bergantung kepada pakej mekanik asalkan tak melebihi peruntukan kasar anda.

2.Perubahan sistem gear dan brek tangan
Perubahan ni taklah sukar mana, cuma diperingkat awal memang kekok jugalah.

3.Ketiadaan sensor undur
Yang ni kena beli lain. Kat kedai aksesori harganya dalam RM70-RM100 saja. Kalau mampu, belilah set audio 2-DIN yang lengkap dengan kamera undur.

4.Ketiadaan meter rpm
Bergantung pada bajet dan pakej korang, kalau dashboard tu Passo Racy lengkap meter RPM, harganya mahal sikit.

5.Ketiadaan meter penujuk suhu radiator
Meter Passo hanya menunjukkan simbol suhu sejuk (hijau),normal(tiada lampu menyala) dan merah (panas). Terus terang aku tak berapa gemar sistem lampu-lampu ni sebab tak nampak pergerakan suhu. Caranya adalah dengan menambah meter suhu air aftermarket.

6.Perbezaan alatganti
Walaupun kod enjinnya sama dengan Alza tempatan, tali sawat alternatornya tak sama. Awal-awal dulu aku dah terbeli tali sawat Alza (6PK1930), tapi tak boleh pakai sebab panjang sangat. Saiz sebenar ialah 6PK1580. Harganya ialah RM53. Tapi ni harga Bando sebelum 1 Disember.

Sama juga macam modifikasi Myvi pakai dashboard Passo yang didatangkan dengan EPS. Belting yang perlu digunakan bersaiz 4PK1590. Hah! Cuba la cari kat kedai spare part kalau ada. Ingat,enjin K3VE dengan sistem EPS tak ada kereta lain pakai kat Malaysia ni. Even Myvi Lagi Best 1.3 pakai EPS pun tak sama saiznya. Tapi bukan la tak ada langsung, boleh cari. Salah sorang yang berjaya cari belting rare ni aku le,haha!
Siapa nak sila emel. Kalau boleh order la banyak sikit, berbaloi aku nak pegi order kat supplier. Bermula 1 Disember, semua belting jenama Bando akan dinaikkan harga antara 11-15% kerana kelemahan Ringgit berbanding Yen.
Satu lagi ialah penapis minyak enjin. 3SZVE Jepun pakai sistem filter element. Maksudnya kita cuma perlu tukar elemen penapis. Elemen penapis yang compatible dengan enjin ni ialah elemen penapis minyak enjin Toyota Corolla Altis. Harganya mahal (RM35) berbanding filter Myvi biasa (RM8). Boleh beli 4 bijik filter standard Myvi tu. Tapi ini hal kecik saja, kalau tak mau pakai filter Altis, boleh tukar pakai tapak filter K3VE dan boleh pakai filter Myvi biasa.
Penapis udaranya juga berbeza. Apa yang mekanik aku buat ialah pakai balik air box Myvi dan boleh pakai balik penapis udara Myvi. Selesai masalah. Faedahnya ialah, airbox asal Myvi tu menyembunyikan 'kuasa' sebenar 3SZ dengan penampilan airbox yang tertera tulisan 1.3 DVVT. Kira macam bajet-bajet zuhud lah,kahkah!

7.Tiada pilihan parking pada posisi gear ‘N’
Yang ini paling kritikal kalau duduk rumah yang tak ada parking khas. Myvi 1.3  automatik masih boleh parking pada posisi ‘N’ dan begitu juga Myvi lagi best( letak posisi ‘P’,cabut kunci, tekan SHIFT LOCK sambil tarik tombol ke posisi ‘N’).Ramai tak tau ni.
Sistem gear lever kat column stereng Passo pula tak membenarkan ianya berlaku. Maka, pastikan parking jangan block kereta orang.
Bagaimanapun aku rasa perkara ni tak berlaku pada transformasi Myvi K3VE automatik kepada 3SZVE automatik. Sebab wiring, dashboard dan gear linkage asal masih boleh digunakan.

Okay, walaupun agak banyak point yang mungkin nampak negatif, percayalah padanan enjin 3SZVE dengan casis ringan Myvi serta kawalan stereng EPS, kualiti pemanduannya memang jauh berbeza. Lebih tork untuk digunakan pada mana-mana julat rpm dan yang penting stabil pada kelajuan tinggi.
Adatlah kan bermain kereta, hal-hal remeh ni kena pandai-pandai sesuaikan dalam kehidupan seharian. Nak sedap terus ambik GTR lah.

Posting akan datang aku akan cuba kumpulkan informasi pasal tingkat taraf 3SZVE ke tahap lebih tinggi.

Rabu, 2 November 2016

Projek Auto : Phase #2



Sambungan dari entri lepas…

Petang Sabtu aku jemput En.Naruto aka. Is Drummer ( aku memang selalu petik member aku ni kalau ada job kereta,tq so much bro! ) di Bukit Sentosa untuk follow aku ambik kereta spare Toyota AE110 kat Teluk Panglima Garang. Kereta spare tu nampak je kondisinya macam nak runtuh, tapi setakat nak acah-acah EJ menyamar EK dengan VTEC single cam takde hal lah. Larian nadi 4AGE 20V Silvertopnya masih kencang, cuma bunyi-bunyian casis old skool saja yang kurang enak. Nama pun sekolah lama. Bila tah owner dia nak cat baru.

Lebih kurang jam 8.30pm, kitorang pass kunci kereta aku kat boss Jembo JDMGarage ( Mr. Jemey) dan balik ke Bukit Sentosa.

Walaupun ada kereta spare, wife aku tak yakin nak pandu AE110 tu sebab kereta panjang katanya. 

Aduyaiiii…

Tak guna jugalah aku pinjam kalau tak boleh drive. Sudahnya aku hantar balik AE110 ke tuannya (adik lelaki aku), dan pinjam Myvi SE pak mertua aku. Selesai masalah pengangkutan untuk tempoh pembaikan kereta yang aku jangkakan paling lama memakan masa seminggu.

Aku belum cerita lagi kan projek apa sebenarnya yang aku nak buat kat kereta aku ni? Selepas berkira-kira untuk membuat full overhaul atau pertukaran enjin, aku rujuk pula pandangan beberapa bengkel. Kebanyakan dari mereka mencadangkan jalan pintas iaitu swap enjin, Lebih mudah dan murah berbanding full overhaul.
Katakan aku pilih opsyen overhaul, benda-benda yang aku wajib tukar ialah full set overhaul kit (gasket, piston ring,valve seal,crankshaft bearing, main bearing),clutch plate dan timing chain. 

Masalah selesai? Belum.
Dengan kondisi enjin asal aku, aku yakin alternator, water pump, power steering pump (dah memang bocor), dan sistem penuh pendingin hawa perlu ditukar. Bayangkan full system aircond punya harga sudah. Paling kurang dekat 2k juga kalau pakai kompressor baru. Anggaran kasar modalnya senang cerita kasar jugalah.
Modal dah kasar,then kira balik berbaloi tak. Aku akan dapat paling tidak hampir-hampir menyamai kondisi kereta aku masa baru beli, K3VE 89hp (claimed), stereng kuasa, transmisi manual dan aircond yang sejuk macam asal.
Walaubagaimanapun, aku selalu ada backup plan supaya modal besar yang dilaburkan tidak sia-sia. Untuk projek macam ni bukan modal je besar, planning pun kena baik juga sebab kereta aku itu jela sebijik.

Selepas aku sediakan dana yang bersesuaian, aku minta nasihat En.Naruto dari segi kombinasi bajet dan setup yang dikehendaki. Beliau juga ada beberapa rekomendasi bengkel yang bersesuaian. Dipendekkan cerita, kami bersetuju dengan cadangan Jembo JDMGarage yang sesuai dengan bajet yang aku tetapkan.

















Nah, akhirnya aku pilih untuk memasukkan nadi Toyota 3SZ-VE 1.5 liter bertransmisi automatik dari Toyota bB dan dilengkapkan dengan dashboard Toyota Passo 2006. Kenapa kena masuk dashboard kejap lagi aku cerita.
Kereta aku asalnya Myvi facelift 2008 asas, maksudnya tiada ABS,airbag dan juga nilai tambah lain yang best. Pekak habis. Mujur Perodua bagi power window, takde la segan kayuh tombol kat pondok tol.
Enjin pilihan pula ialah 3SZ-VE yang boleh didapati dalam banyak body antaranya Toyota Passo Sette, bB, Rush , Materia, Daihatsu Boon Luminas dan tak lupa Perodua Alza. Yang aku dapat ialah dari badan Toyota bB, berdasarkan design airbox dia. Mileage tak tau sebab aku beli enjin lantai, tapi alhamdulillah nampak cantik kecuali pengoksidaan normal pada permukaan head aluminium.
Halfcut dari Jepun ni payah nak dapat yang bertransmisi manual sebenarnya, dan kalau ada pun harganya jekpot. Mahal! Takkan nak cari gearbox manual Alza pulak. Lagipun aku pernah drive Alza manual, ratio final gear dia tak cantik lah.
Bila dah tak ada pilihan transmisi, mekanik mencadangkan pemasangan sistem pendawaian penuh dan dashboard Toyota Passo automatik untuk memudahkan proses penyesuaian enjin kedalam badan Myvi. Setakat ni yang kita cuma nampak ialah enjin dan dashboard. Sebenarnya banyak lagi peralatan tambahan yang termasuk dalam pakej :

1.       Sistem EPS ( Electric Power Steering ). Dulu aku tak suka sebab tang korner mcm hampeh, tapi high speed cruising atas highway memang terbaik!

2.       Dashboard Toyota Passo 2006 dengan speedometer lampu kuning. Tombol gear di kolum steering dan parking brake kaki.

3.       Sistem aircond lengkap Passo dengan kompressor dan kondenser 3SZ-VE. Sejuk dia pun terbaik!

4.       Full set mounting baru.

5.       Set kunci Passo.

6.       Pendawaian lengkap Toyota Passo termasuk suis tingkap utama sebelah driver full auto UP/DOWN

7.       Sistem ABS termasuk knuckle dan wheel sensor.

8.       Sistem airbag ( inflator je takde,kena beli asing).

9.       Entri lepas aku cerita pasal belting baru. Silap saiz tu. Yang aku tulis tu saiz Alza, memang tak ngam sebab panjang. Alza ada pam power steering. Saiz sebenar untuk 3SZ-VE Japan mari ialah 6PK1580. Boleh tahan bercinta nak carik.

10. ECU 3SZ (89560-B1560,G25),TCU(Transmission Control Unit) aku taktau TCU apa. Kalau ikut spec sheet Toyota bB,transmission dia ada pakai program Super ECT.

Setelah bersabar menunggu, akhirnya petang Selasa lepas kereta aku siap. Walaupun excited, ada satu benda yang membunuh keterujaan aku iaitu lampu check enjin menyala. Aku trauma betul dengan lampu ni. Sebabnya aku hantar kereta aku masuk woksyop pasal lampu ni la. Kali ni diagnos error code (21) menunjukkan kegagalan sensor ekzos atas.
Hari Sabtu, mekanik repair balik apa yang bermasalah. Sepatutnya mudah je kerjanya, cuma tukar sensor. Malangnya sensor melekat kuat dan mekanik terpaksa menukar satu unit exhaust header. Bukan baru pun, cari kat belakang woksyop pun boleh dapat. Masuk sensor baru dan tadaaa! Masalah selesai. Sensor ni bila problem power ada loss sikit dan penggunaan bahanapi masyaAllah, rabak betul.
Selesai part enjin, tinggal lagi meter RPM dan reverse sensor. Untuk makluman, reverse sensor asal Myvi tak boleh pakai, aku tak tau kenapa sebab aku bukan pomen wiring. Untuk benda-benda ni aku dah standby beli barang aftermarket tapi belum berkesempatan nak pasang.
Kecuali meter RPM, aku gagahkan juga pasang sendiri sebab nak tengok final drive dia berapa RPM @ 100kmj. Mujur sekitar 2600rpm.Aku memang tak gemar final ratio jejak 3000rpm takat speed 100kmj. Nak henjut 140kmj pun jenuh mintak gear.

Meter RPM aku tak pakai RPM Passo ya sebab mahal. Memang comel tapi itulah, hanya purist JDM sanggup pakai. Yang orang panggil RPM senyum tu biasa je kot cecah RM 1k orang jual. Aku cuma pakaikan meter RPM GReddy Multi D/A Gauge. Kaler boleh tukar-tukar dan ada bacaan volt sekali. Murah dan praktikal.

Pendapat aku, gear automatik jimat untuk highway cruising dan manual bagus untuk perjalanan pendek dan kerap berhenti. Terpulang selera masing-masing. Duit banyak beli la dua jenis kereta lain-lain transmisi.
Jumpa lagi di artikel seterusnya.

* gambar aku upload kemudian.

Sabtu, 15 Oktober 2016

Projek Auto : Phase #1

Salam semua, maaf lama tak update blog. Dalam dua-tiga minggu akan datang aku akan tuliskan beberapa artikel major berkaitan automotif untuk perkongsian.
Ada satu projek penambahbaikan akan dijalankan keatas teman setia aku sekeluarga yakni Myvi 1.3 manual pekak yang baru-baru ni mula menunjukkan tanda-tanda nazak.

Sebagai persediaan sampingan, pagi tadi aku standby beli beberapa alatganti komponen yang aku rasa perlu ditukar serentak dengan penambahbaikan tu.

1. Palam pencucuh Platinum G-Power DCPR7EGP
2. Absorber mounting Alza
3. Belting BANDO 6PK1630
4. Pad brek belakang Myvi TRW

Keempat-empat item diatas dibeli dengan kos RM250. Mahal? Aku rasa tak kot. Murah sangat pun tidak. Sedang-sedang je la. Buat masa ni kedai spare part kegemaran aku ialah Kumuru Autopart. Bunyi macam kedai macha, tapi sebenarnya kedai spare part yang terletak kat Taman Daya Kepong ni dimiliki seorang tauke Cina yang peramah.

Esok ( Sabtu,16 Oktober 2016 ) aku akan hantar kereta ke bengkel #JemboJDMgarage untuk kerja-kerja seterusnya.

Nantikan artikel akan datang.

Isnin, 18 Julai 2016

Perodua Bezza, Nyata Berbeza!

Seawal sebelum Ramadan lagi 'gambar curi' Perodua sedan baharu sudah mula viral di laman sosial. Kemudian hari ini, beberapa laman web automotif tempatan mula menyiarkan artikel ujipandu ringkas model tersebut. Khabarnya ada perjanjian antara wartawan dan Perodua sendiri dimana artikel berkaitan hanya boleh disiarkan hari ini.
Itupun dengan syarat tiada gambar penuh sehinggalah pelancaran rasmi.

Aku dah baca dua artikel berbahasa Inggeris dari Paultan dan bahasa Melayu di careta.my. Daripada artikel tu, aku rumuskan dahulu bahawa Perodua sedan yang diberi nama Bezza ini hampir melengkapi keperluan ( ya, bukan nafsu) majoriti rakyat Malaysia.
Selain dari itu, faktor keselamatan yang dikatakan tidak menjadi keutamaan Perodua sudah dipenuhi pada Perodua Bezza ini. Buktinya? Perodua Bezza sarat dengan gadget-gadget yang setaraf dengan pesaingnya.Nanti kita go through satu persatu.

1. Perodua sedan ini bukanlah model 'fotostat' sepertimana model-model terdahulu. Berasaskan platform Axia, Perodua Bezza dibangunkan 100% menggunakan bakat tempatan. Pelik kan? Bila masa Perodua pandai R&D? Itu strategi syarikat. Bukan setakat R&D, kerahsiaannya pun terjaga. Tau- tau je dah nak launching.

2. Enjin yang digunakan adalah enjin BARU yang dibina di kilang enjin Perodua Sendayan, Negeri Sembilan. Varian 1 liternya tidak sama dengan enjin Axia. Enjin 1KR-VE dilengkapi dengan VVT-i, manakala varian 1.3 dengan dual VVT-i suntikan terus. Ini menyangkal persepsi haters yang dulu gemar menggunakan alasan Perodua menggunakan enjin berteknologi purbakala.
Penggunaan roller pada camshaft dan salutan teflon pada piston bukanlah purba sangat ya adik-adik.

3. Sekiranya kelengkapan beg udara dan ABS itu biasa-biasa, Perodua menambahbaik aspek keselamatan pasif dengan VSC. Tanyalah pakar-pakar Facebook diluar sana apa itu VSC. Ya, sekali lagi ketiadaan VSC pada model-model terdahulu menjadi modal buah mulut orang. Sistem VSC ditemani dengan sistem HSA (Hill Start Assist), Regenerative Braking, EBD ( Electronic Brake Distribution), Eco-Idle, dan kamera undur.

4. Sistem audio pada varian tertinggi dipasangkan dengan pemain 2-DIN dengan sambungan Bluetooth dan Smart Link. Smart Link ni macam Mirror Link/ MHL. Senang nak duplicate screen smartphone ke display lain yang support fungsi Mirroring/ MHL ni. Boleh faham tak ni?

5. Boot sebesar 508 liter lebih besar dari Vios dan jauh lebih besar dari Saga dan mampu memuatkan tayar gantian bersaiz penuh. Kalau tak cukup juga, seat belakang boleh dilipat 60/40. Ada komentar sinis yang tanya, 'boot besar-besar ni larat ke enjin nye nak bawak beban?"
Ok, dulu kereta-kereta Perodua ni serba kecik bootnya. Ni dah bagi besar, keluar soalan bebal pulak. Guna otak la sikit, ni kereta kegunaan harian, bukan kontena 40 kaki untuk angkut barang hari-hari.

6. Last but not least, lampu brek belakang menggunakan teknologi Light Guide macam kereta- kereta conti dan KPOP. Pakai mentol kang kedekut sangat. LED pun dah biasa-biasa.

Jumaat, 15 Julai 2016

Menukar Motor Kipas Radiator Myvi

Salam Syawal dan berjumpa lagi dalam siri berpomen kereta sendiri. Posting-posting sebegini agak jarang sebab bila kereta rosak baru ada story. Kalau boleh jangan la rosak manjang, tapi yelah kereta dah tua banyak la part yang dah mula uzur.
Baru-baru ni kereta aku ada masalah waktu nak pergi kerja. Sambil-sambil tunggu traffic light hijau, aku perasan ekon tak berapa nak sejuk. Aku pusing tombol sampai nak habis pun tetap sama. Aishhh...apesal pulak ni?
Kemudian aku perasan temperature enjin makin meningkat.Ah,ni kipas buat hal la ni. Kipas radiator aku tu memang aku dah mark akan kong bila-bila masa. Almaklumlah dia dah berjalan keliling bumi 6.2 kali. (250,000km).
Step pertama,jangan gelabah puyuh. Buat-buat cool macam takde pape. Kalau sangkut tengah jem kereta tak bergerak, matikan ekon, turunkan cermin dan tutup enjin. Nak bergerak baru start. Dalam kes aku, area rumah aku tu je jem sikit sebab ada construction MRT. Lepas area Pelangi Damansara, baru la line clear sampai Taman Daya Kepong.
Motifnya adalah kerana waktu kereta tak bergerak, haba enjin tak dapat dibuang dengan bantuan kipas. So kalau dah nampak jarum temperature tu perlahan-lahan naik, tutup je enjin sebelum jarum sampai garis merah. Lebih garisan merah ni, kebarangkalian untuk head bengkok sangat tinggi.

Bila kereta bergerak, ada bantuan aliran udara dari depan, so tak ada masalah sepatutnya. Aku buat macam tu sampai la selamat parking kat opis. Bila enjin dah sejuk sikit, bolehlah buat kerja-kerja penukaran motor kipas. Problem benda-benda yang bernama motor ni biasanya carbon brush habis je, jarang rosak sebab isu lain. Kalau kipas angin rumah selalu jem tu pasal takde grease kat shaft dia. Selalunya kipas rumah cap ayam la yang tak pakai bearing. Diorang ganti dengan benda serupa tembaga tah apa nama dia.

Cara-cara nak DIY motor kipas Myvi ni kacang je. Org lelaki wajib kena tau, yang perempuan tak apalah, takkan nak baring-baring bawah kereta dengan baju kurung pulak. Ikut step kat bawah ni, sori ya gambar tak ada.

1. Sediakan tools seperti ratchet sekali dengan extension dia. Tak perlu yang panjang-panjang, yang 3 inci pun cukup sebab ruang kerja tak banyak, soket saiz 8 dan 10mm, pemutar skru Philips dan playar.

2. Apa-apahal pun sebelum mulakan kerja, tanggalkan terminal -ve bateri. Safety ni, jangan tanya kenapa. Lepas tu buka kotak penapis udara. Ini senang je, buka klip lepas tu buka dua bolt 10mm. Angkat keatas untuk lepaskan kotak penapis udara dari throttle body.

3. Cabut hos getah radiator. Sebelum cabut tu pastikan enjin dah sejuk ye. Kang ada yang kena kukus. Cabut bahagian hos yang melekat pada radiator. Yang ni pakai playar je. Kepit klip dia bagi longgar dan bolehlah tarik hos.

4. Tanggalkan soket kipas. Pandai-pandailah buat macamana asalkan tertanggal tanpa merosakkan dia.

5. Persiapkan ratchet tadi dengan extension dan soket 10mm. Buka empat bolt di kesemua sudut housing kipas. Bahagian yang paling sukar ialah bolt di bahagian bawah yang paling hampir dengan foglamp. Boltnya agak kedalam dan ruang yang ada sempit. Aku baring terus, senang buat kerja. Usaha lah sikit ye?

6. Selesai buka semua bolt, tarik keatas housing kipas tu. Nampak macam susah nak lepas, tapi memang boleh keluar. Kreativiti tu penting.

7. Buka nat saiz 8 yang mengikat kipas kepada syaf motor dan dua skru Philips untuk menanggalkan kipas dari housing.

8. Bawak part pegi kedai sparepart. Sebut je nak motor kipas radiator Myvi 1.3. Kalau diorang tak kenal, baru tunjuk sampel part. Memang ada pesen kedai spare part yang suka minta nak tengok sampel, takut tak sama. Tapi jarang la tokey tak kenal, lagipun bukan kereta modified.

9. Brand asal yang ada pada Myvi 1.3 facelift 2009 ialah Denso dan Made Indonesia. Aku beli brand yang sama cuma printing atas motor tu tulis Made In Japan dengan harga RM120. Tak tau la ori ke tidak. Harganya oklah pada aku.

10. Yang terakhir, pasang balik ikut reverse order, atau bahasa ibundanya undur balik. Lagi tak paham,haha! Senang je kan? Topup balik air radiator then free to go.

Semalam masa balik kerja wife aku ada bagitau satu cerita yang boleh dijadikan teladan. Berkait dengan cerita motor kipas radiator ni jugak.
Kawan dia menghadapi problem yang sama macam kes aku ni lah. Kawan dia pun call la husband dia. Dalam dok menunggu tu datang la pomen macha yang offer bantuan. Kawan wife aku ni pun cakap tunggu husband dia sampai.
Lepas 3 jam tunggu, husband dia sampai dan bagi approval untuk pomen tu repair. Masalah bemula disini.

Lepas bagi approval husband dia terus blah tinggalkan bini dengan pomen. Pomen pulak jenis nak mengencing je kerjanya, dikaborkan la yang ada benda lain rosak juga. Si isteri ni tentu-tentu lah tak tau apa, terpaksa agree sajalah dengan kos pembaikan yang berganda-ganda.
Pomen macha ni charge lebih RM500 untuk problem kipas rosak ni saja. Kesian campur marah bila aku dengar cerita wife aku.
Harga mahal tu nombor dua. Yang paling penting apesal tinggalkan bini macam tu saja? Eh, rasa nak mencarut pulak dalam bulan Syawal ni. Dibuatnya bini dia kena culik ke, rogol ke cemana??
Haiii la manusia macam ni pun ada. Nak cari ilmu berpomen jauh sekali, tunggu dan jaga keselamatan isteri pun tak boleh? Tak payah kawin la cam tu bang. Toksah bagi alasan sibuk kerja, jadi apa-apa karang menyesal pun tak guna dah.
So, suami-suami sekalian, jadilah jantan yang bertanggungjawab. Jangan tau nak sedap je. Belajar sikit-sikit asas membaiki kereta. Aku pun bukan lahir-lahir pandai terus, dah tentu la belajar. Duit dah tentu jimat, hasil kerja puashati. Lagipun macho apa lelaki main minyak, kotor-kotor tangan.
Sekian.