Rabu, 14 Mac 2018

Bebelan Dunia Automotif Tempatan




Beberapa minggu lepas kalau tak salah, aku ada terima satu mesej Whatsapp berkenaan transplan enjin 3SZ pada sebuah Myvi. Rupa-rupanya beliau adalah pembaca blog aku dan katanya dari blog ni lah beliau terispirasi untuk menukar enjin.

Terima kasih banyak-banyak ya? Aku harap penulisan aku sebelum ni dapat memberi manfaat berterusan kepada sesiapa saja selagi blog ni wujud. Maaf sebab semakin kurang menulis kebelakangan ni.

Ada sedikit tambahan untuk cerita Myvi 3SZ tu dan aku rasa agak penting juga. Pertamanya sistem suspensi dan tayar. Enjin 3SZ dibina dengan asas blok besi tuang, jadi ianya agak berat berbanding enjin K3VE. Sebaiknya dapatkan sistem suspensi yang mampu menampung berat enjin baharu. 

Berkenaan dengan tayar, aku  perhatikan tayar bersaiz standard (175/65/R14) tak sesuai digunakan. Set up tayar asal kilang kalau kita perhatikan pada Myvi standard pun menyebabkan tayar kelihatan seperti kurang tekanan angin sekalipun kita pamkan mengikut rekomendasi pegeluar (220kPa).

Satu sebabnya ialah tayar berketebalan 65 tidak mempunyai sidewall yang kuat sepertimana tayar berprofil rendah. Kalau dipam setinggi 240kPa, tak selesa pula. Habis bergegar dashboard. Aku rasa saiz rim yang sesuai ialah antara 15 atau 16 inci sahaja. Kalau nak sumbat rim 17 pun boleh, tapi laburlah modal yang besar sikit untuk membeli set suspensi bolehlaras yang ada reputasi cemerlang.
Lagipun dengan saiz minima rim 15 inci, korang boleh pasang sekali rotor brek bersaiz 11 inci. Tak perlu la sampai berdiri bila tekan brek kecemasan.



------------------------------------------------------------


Kebelakangan ni juga banyak perkembangan automotif yang kita dapat tengok. Paling ketara sekali ialah kemunculan supercar-supercar elektrik yang senang-senang je boleh mengatasi kelajuan supercar berenjin petrol. Pernah dengar tak jenama Rimac Automobili? Model Concept S dia boleh sprint 0 - 100km/j dalam masa 2.5 saat je gila. Top speed 365km/j sahaja. Rimac ni jenama dari negara Croatia. Ya, negara yang aku rasa takde jenama kereta nasional yang boleh dibanggakan pun sebelum ni.

Dulu aku skeptikal juga dengan kereta elektrik ni. Apa barang kereta laju takde bunyi perang. Tapi itulah, kita kena move on juga bila sampai masanya. Bila kereta elektrik makin laju,kos makin murah, tempoh pengecasan pantas dan jarak pemanduan sekali cas 1000km misalnya, itulah masa yang sesuai untuk kita berubah kearah dunia yang lebih bersih.

Satu perkembangan yang menarik lagi di Malaysia ialah Honda Malaysia mencatat rekod sebagai pembuat kereta bukan nasional yang mengungguli jualan untuk tahun ketiga berturut-turut. Dulu Toyota pegang title market leader non nasional ni. Tapi Honda nampaknya bijak membaca selera orang tempatan. Aku rasa sebabnya satu je, Honda Malaysia sangat agresif dalam menawarkan model jualan dan effort mereka untuk mengatasi skandal airbag Takata juga harus dipuji.

Berbanding Honda Malaysia, UMW Toyota kelihatan ‘lembab’ dari sudut ini. Korang tengok ajelah senarai model-model jualan UMW. Boleh dikatakan jauh ketinggalan. Design orang tua, spec pulak agak basic sedangkan bukan tak ada langsung model-model Toyota yang canggih. HR-V dah naik jemu kita nampak atas jalan, UMW baru nak mula jual CH-R. Nampak tak lembabnya mereka disitu.

Selain dari tu UMW cuma ada Vios, Altis, Camry bla…bla…bla…bosan. Kalau spesifikasi sedap pun, harga dah masuk kategori meninggal untuk rakyat marhaen. Dalam hal ni nampak Perodua pula lebih kedepan dari segi spesifikasi passive safety dan jualan. Itu pasal la UMW cuba beli pegangan saham yang lebih besar dalam Perodua. Easy money kot.

Tentang Proton tidak ada apa-apa yang menarik selepas pembelian saham oleh Geely. Barangkali selepas mereka melancarkan SUV. Adakah Proton terlambat mengejar trend? Atau kali ni sekali lagi mereka tersilap percaturan harga. 

Aku ada terbaca kat mana tah, SUV Proton ni kategori Premium. Premium dari spesifikasi atau harga premium tak pasti la pula. Premium spesifikasi harga masuk akal insyaAllah orang terima. Jangan harga premium tak tentu hala sudahlah. 

Aku memang tunggu Proton jual kereta baru sebab masa ni ramai yang excited lebih. Berlambak screenshot muka-muka dan statement over confident yang aku jadikan khazanah. Lepas dua tiga tahun aku baca balik komen sorang-sorang sebagai hiburan masa tengah berak. Dulu aku suka betul baca komen Fauzan dalam blog Funtasticko. Gila positif sampai aku rasa nak hantuk kepala kat bucu meja pejabat. Entah mana la brader tu sekarang...lama dah aku tak menyibuk dalam blog tu.

Nak positif tak salah, tapi biar realistik dan ada point-point yang menyokong statement hangpa. Banyak kali aku tulis dalam blog ni, sebagai sebuah jenama kereta, wajiblah anda mampu menjual dengan banyak supaya ekonomi syarikat sihat untuk mengharungi cabaran industri.
Tu, Preve dengan Exora bila lagi nak buat major facelift? Kalau bajet rendah pun sekurang-kurangnya buat sikit refreshment untuk naikkan balik momentum jualan.
Sekarang ni nampak Proton macam idle sikit mungkin sebab peralihan organisasi. Korang ingat mesti aku tak suka Proton kan? No. Sebenarnya aku suka dengan Suprima, agak cantik sebenarnya.Nampak bold gitu.


Tadi ada sorang mamat komen pasal satu post paultan.org tentang pilihan kereta bandar samada Picanto, Myvi atau Iriz.

Pilih la apa-apa pun tak kisah sebenarnya tapi hujah dia guna point Iriz masuk rally, Myvi tak masuk rally bagi aku hujah yang diluar konteks. Hei, kereta bandar kot? Kau nak rally pergi mana? 

Dia kabor body Iriz kuat, sebab tu digunakan dalam rally. Eh, nampak macam kaki motorsport siap mention ada bengkel kereta conti, takkan tak tau kot banyak lagi penambahbaikan pada casis walaupun platform tu bagus. Bukannya keluar kilang masuk tayar offroad terus ready untuk rally. Orang cerita pasal KERETA BANDAR, dia pegi bawak hujah rali dia. Agak-agak tak boleh blah, keluar pulak peluru HPF. Ape-ape jelah asal kau boleh menang.

Dia ingatkan aku juga tentang gearbox automatik kuno Perodua sedangkan orang lain dah move on pakai CVT. Part ni aku separa setuju, ya betul memang kuno tapi CVT belum cukup lasak setara transmisi automatik konvensional. Itu je sebabnya. Bila CVT dah boleh dilenjan dalam rally, masa tu aku orang pertama akan pakai CVT. Setuju?