Ahad, 28 Januari 2024

Tatula Type R 10 Years Anniversary Edition Custom Made

Salam semua.


Seperti biasa, agak lama juga aku tak kongsikan sesuatu kat sini sejak last post berkenaan reel Daiwa Tatula Type R kuning dan juga post berkenaan pemilihan rod. Dalam sela masa tu banyak juga pertambahan koleksi-koleksi baru tapi aku tak sempat nak menulis, antaranya perolehan reel Tatula 100H terpakai sebanyak dua unit, pembelian rod Expert Graphite Blackstone Fortitude, rod Hasamu Ikarus, rod Team Seahawk  Blitzkrieg dan juga seunit reel BFS Fishband Tendershoot 101.

Semua ni nanti aku akan ulaskan kemudian.

Untuk posting ni aku nak kongsikan setup terbaru aku iaitu reel custom sendiri sempena ulangtahun Tatula ke 10 (2013-2023) berasaskan reel pertama Tatula yang dipadankan dengan rod Rentaka Black Heart BH1.

Setup ni lebih fokus kepada permainan lure soft plastic ringan dan target-target kolam air masin bersaiz hidangan kedai tomyam ( lebih kurang berat 0.5kg-2.0kg). 


Reel diatas ni asalnya dibeli untuk spare part dan juga didorong kerana sering di'bakar' adik beradik yang menggunakan reel JDM ber 'T-Wing' warna gold. Reel Type R yellow aku T Wingnya berwarna chrome dan kelihatan tidak JDM. Sememangnya Type R bukan reel JDM dan ia khas untuk pasaran luar Jepun.

Hasil carian di laman web Buyee,dapatlah jumpa seunit T Wing gold terpakai, tapi harganya sungguh mengarut.Sumpah mahal untuk part sekecil tu. Aku teruskan pencarian dengan mengkaji unit-unit terpakai dan nampaknya harga agak berpatutan. Aku beli dua unit dimana satu berkondisi luaran agak teruk dan satu lagi hanya calar-calar ringan.

Bila dah sampai nampaknya reel yang berkondisi agak baik tadi memang baik dan cuma perlu diservis dan digilap cat asalnya. Aku padankan dengan mainline Asuka Bravo 8X berkekuatan 25lb dan shock leader 50lb + rod 6-18lb Expert Graphite Blackstone Fortitude 2 piece. Banyak juga aksesori lain yang ditambah untuk menaikkan serinya, tapi nantilah aku cerita kemudian.


Reel Tatula 100H yang berkeadaan agak teruk tadi lama juga aku simpan sementara menunggu idea dan peralatan yang mencukupi untuk memulakan projek. Akhirnya aku dapat idea untuk buat anniversary reel sendiri memandangkan reel Tatula ni adalah versi terawal yang dah berusia 10 tahun.

Memandangkan aku amat suka dgn mainframe Type R yang berlubang di bahagian atas, aku cuba tebuk sendiri tapi nampak hasilnya kurang 'asli'. Jalan shortcutnya ialah memesan mainframe Tatula HLC terpakai yang rekabentuknya sama dengan Tatula Type R. Harga di Buyee lebih kurang RM45 dan total kos untuk dihantar ke Malaysia sekitar RM75.Mahal kan pos dia? Begitulah harga pos Jepun. Walaupun item yang berjaya dibida mungkin dalam bajet, consider pertambahan kos sekitar 70% ke 80% tambahan lagi sebelum sampai ke tangan anda. Pembelian dua unit reel sebelum tu jumlah cukainya sahaja RM135 dikenakan oleh Kastam Malaysia.


Proses pertama ialah menanggalkan cat pada sideplate reel Tatula tadi yang memang dah sedia direlaikan. Walaupun ada orang sebut cat Tatula senang rosak kena air masin, sebenarnya cat Tatula ni bukan setakat tahan air masin, dia juga kalis paint remover! Susah sebenarnya nk buang cat lama. Aku cuma buat seadanya untuk surface preparation sebelum disembur dengan cat primer high temp Gox7.


Manakala warna merah ni adalah warna Honda Formula Red R77 dari Aikka. Proses nak create balik rupa aslinya adalah dengan decal water transfer Shopee sebelum diprint dengan info-info wajib menggunakan printer laserjet.Jenis font juga dipilih dengan teliti supaya sehampir mungkin dengan font yang digunakan pihak Daiwa. Bahagian mainframe aku cuma gunakan cat gloss black daripada jenama Samurai.

Satu kesilapan aku ialah cetakan water transfer tadi aku tak semburkan dengan lapisan khas 'fixative' untuk menguatkan decal. Bila takde lapisan 'fixative', water transfer mudah bergulung semasa proses pemasangan dan susah nak ditampal. Ini pelajaran pertama yang aku dapat masa buat projek ni.

Selesai proses water transfer, beberapa lapisan perlindungan clear 2K Aikka dilayangkan. Proses ni aku buat dengan agak cincai sebab excited nak tengok dia siap cepat,hahaha!


Dalam gambar ni aku padankan dengan mainline Gachiri 4X 30lb untuk sementara sebelum ditukar kepada Asuka Bravo 4X 15lb. Kenapa 4X? Sebab aku suka pulak bunyi geseran mainline 4X dengan cincin rod yang memberikan sensasi kepuasan semasa ikan melarikan tali dari spool.


Untuk rod pula, aku sesuaikan dengan rod baru keluaran Rentaka iaitu model Black Heart 2 piece BH1 dengan rating 4-10lb sepanjang 6 kaki 3 inci. Rod ni sangat ringan, dibina 2 piece untuk memudahkannya dibawa meredah hutan belantara sekiranya diperlukan walaupun sebenarnya laman pancingan aku cuma kolam-kolam berbayar. Aksi rod ni ialah fast action tapi mampu berubah kepada slow action sekiranya ditarik ikan sasaran yang besar. Satu saja part yang aku tak berapa berkenan pada reel ni ialah handle gripnya didatangkan dengan rekabentuk begini:

Agak tak berapa 'sedap' dipegang sebenarnya. Apapun rod ni secara keseluruhan ok saja. Masih berbaloi dimiliki dengan kualiti buatan yang ditawarkan.

Ujian pertama setup ni dibuat di kolam B UBFV dimana saiz-saiz ikannya biasa saja, malahan segelintir pemancing cuma menggunakan setup ultralight dengan soft plastic Zman untuk menjinakkan siakap. Di kolam ni juga aku rasa aku dapat rekod 'ketukan' umpan terbanyak sepanjang sejarah aku memancing kolam air masin iaitu sekitar 9 kali tapi hanya mampu menaikkan 3 ekor MJ. Mungkin jenis pemilihan mata kail dan saiznya tak bersesuaian. Ikan-ikan disini boleh dikatakan amat aktif sebaik saja dilepaskan dari sangkar. Pasti ada ketukan dalam tempoh kurang 10 minit sebaik saja dilepaskan.

Disini juga aku praktikkan kaedah lain mencangkuk umpan hidup iaitu udang hidup yang dicangkuk dibahagian ekor dan ekornya dipotong sedikit. Memang terbukti mujarab. Walaupun udang cepat mati, faktor seretan udang secara mengundur mungkin lebih mirip aksi udang sebenar yang menarik perhatian ikan. 


Oklah, setakat itu saja perkongsian aku untuk kali ni sebagai pembuka 2024. Semoga aku dikurniakan lebih kerajinan selagi blogspot ni wujud. Aku juga cuba buat serba sedikit konten di TikTok tapi agak terhad sebab tiada kamera aksi. Phone aku ni pun aku tak faham juga, awal-awal beli dulu gyro EISnya berfungsi cemerlang. Akhir-akhir ni video bergegar teruk, tak cantik bila dimuatnaik ke Tiktok.



 


 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan