Selasa, 6 Jun 2023

Tatula Type R Kuning!

Dalam inventori aku, barangan jenama Daiwa cuma ada shock leader J Thread FC. Dalam banyak-banyak jenama aku memang suka J Thread ni sebab agak halus untuk diameternya berbanding fluorokarbon lain,dan harganya sedang-sedang saja untuk kualiti 100% fluorokarbon. Kalau tak silap murah sikit dari YoZuri Top Knot.
Baru-baru ni terlintas satu posting yang di screenshotkan oleh adik aku berkenaan reel Daiwa kayuhan kanan untuk dijual. Aku memang tak ada plan pun nak beli reel baru, yang ada 4 unit sebelum ni pun dah digilirkan mengikut keperluan. Tapi kali ni aku tewas lagi.
Reel kayuhan kanan tu ialah reel Daiwa Tatula Type R tahun 2017 model 100SH warna kuning,kayuhan kanan dan berkondisi NOS ( new old stock )! Pehh jackpot betul.

Type R kuning dengan drag knob Gomexus

Dua sebab aku tewas ialah kerana aku nak cuba rasa kesedapan reel Daiwa dan yang kedua nak mendalami macamana sistem TWS® ( T Wing System) berfungsi. Sebelum raya haritu aku dah bongkar sebijik Tatula 200SHL kawan aku. Dari segi mekanismanya aku cukup fahamlah tapi ada kelebihan lain yang aku nampak terutamanya selepas merasa sendiri pengalaman menggunakannya.

Sikit background berkenaan Tatula Type R kuning ( YL- SD ). Info ni aku korek-korek dan karang semula untuk memudahkan korang baca. Model Tatula Type R kuning ni ialah model edisi terhad untuk pasaran antarabangsa. Framenya dibina dari aloi aluminium dan dikilangkan di Thailand. Walaupun binaan aluminium, berat keseluruhan adalah 220 gram, satu angka yang bagi aku agak berat sebenarnya.
Dilengkapi sistem TWS, spool yang diberikan juga agak dalam. Sistem brakingnya menggunakan sistem Magforce-Z,satu sistem mekanikal yang agak unik. Nanti aku ulas dalam tulisan yang lain.
Dragnya pula berkekuatan 6kg. Walaupun kedengaran 6kg satu angka yang kecil,sebenarnya amat memadai untuk pertarungan dengan ikan-ikan sehingga belasan kilo.
Seterusnya aku nak ulas sikit berkenaan sistem TWS. Sistem TWS ni amat bijak, tak hairan la kalau Daiwa patenkan teknologi ni. Ia merupakan satu sistem yang ringkas tetapi efektif. Siapa la engineer yang cipta sistem TWS ni.TWS ni bukan sekadar memudahkan tali keluar dari spool dengan rintangan yang sedikit, sistem ni juga memastikan susunan tali sentiasa kemas.
Semasa thumb bar ditekan,aperture yang lebar akan turun dan memberikan ruang secukupnya untuk tali keluar tak kira dari hujung kiri atau kanan spool sekalipun. Kelebihannya ialah untuk mendapatkan jarak casting yang lebih jauh dengan hanya sistem yang mudah tapi bijak.
Apabila handle diputar, secara automatik aperture yang kecil akan berada di posisi untuk menyusun tali semula. Aperture ( bukaan) kecil ni memang sangat kecil, maksudnya tali akan sentiasa dapat disusun dengan kedudukan tepat semasa karauan semula (winding accuracy).

Sistem ni kalau tidak dipatenkan, aku rasa dah jadi sistem wajib untuk semua reel baitcasting. Setakat ni belum ada inovasi yang mampu menyaingi sistem TWS ni. DC ( Digital Control ) Shimano tu cerita lain. Walaupun tujuannya sama untuk mengurangkan backlash dan meningkatkan jarak casting, sistem DC adalah mahal dan berisiko rosak jika terkena air.
Jenama-jenama lain cuma mampu menginovasikan bentuk line guide dan menala semula kelebaran spool untuk mengurangkan geseran semasa casting. Ada line guide yang berbentuk cone,ada yang bentuk segitiga. Secara teorinya kelihatan mampu mengurangkan rintangan, tapi dalam penggunaan sebenar perbezaannya tidak signifikan. Dan sebenarnya sistem line guide berbentuk cone/segitiga ni menyumbang kepada masalah baru yang mungkin ramai tak perasan.
Dalam penggunaan aktif contohnya sesi castingan kolam selama 4-5 jam, susunan tali jadi tak kemas. Aku lebih suka tengok sistem line guide biasa yang ada pada Abu Garcia Promax 3, tali sentiasa kemas dalam spool. Jarak balingan pun tak kalah dengan reel yang guna line guide cone
Berbalik kepada Type R yellow tadi, dari segi karauan memang halus. Tiada 'rasa' sentuhan gigi gear berlaku,bermaksud kejituan tolerance pemotongan gigi gear yang tinggi. Dengan nisbah gear 6.3:1, nisbahnya lebih daya kilas dari reel ATC BFS aku yang bernisbah 6.6:1. Amat sesuai untuk karauan perlahan di kolam pancing.
Dari sudut kosmetik, Tatula Type R ni memang menyerlah. Kombinasi warna kuning side platenya dipadankan dengan frame hitam berkilat memang cantik. Kualiti catnya juga bagus dan cetakan-cetakan yang ada nampak jitu. Walaupun tak banyak tulisan aku rasa jenama-jenama besar memang tak suka print benda-benda yang tak berkaitan. Maklumat yang ada cuma logo jenama dan logo Tatula,engraving TWS pada line guide,nama model dan nisbah gear. Itu saja.
Dia tak tulis berapa belas bijik bearing dan berapa kg drag untuk marketing stunt. Reel ni aku padankan dengan rod Storm Discovery 2 pieces 8-17lb 6 kaki dan dimuatkan dengan braid 8X Asuka Bravo 25lb. Untuk melengkapkan setup ni aku padankan juga shock leader Daiwa J Thread 50lb.
Secara ringkasnya aku listkan rumusannya dibawah:

Spesifikasi asas
1. Berat reel 220 gram
2. Nisbah karauan 6.3:1 (juga terdapat dalam versi nisbah 7.3:1)
3. Duralumin handle 100mm dengan cork knob
4. Drag UTD ( Ultimate Tournament Drag ) 6kg
5. Sistem brek Magforce-Z 20 level
6. T Wing System line guide
7. 7 bearing

PRO
 + kayuhan yang licin dan lancar
 + binaan aluminium yang solid
 + drag UTD cukup kuat
 + jarak castingan amat baik
 + kualiti binaan dan material yang bagus
 + harga berpatutan

CON
- 220 gram adalah agak BERAT 
- bentuknya gemuk dan mengembang dibahagian hadapan. Ini kerana ruang yang diperlukan untuk pergerakan sistem TWS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan