Selasa, 7 Jun 2016

Honda Wave Victory 150?

Masa ura-ura Honda Sonic 150 bakal dilancarkan di Indonesia tak lama dulu,aku tak berapa teruja sangat sebab lebih tertarik dengan spesifikasi Satria FI 150. Sebabnya adalah aku yakin canggih mana pun, mesti tak masuk Malaysia.
Tinggallah Yamaha Y15ZR bermaharajalela di pasaran tempatan tanpa pesaing. Ini bukan benda baru. Sejak Yamaha LC135 keluar, Honda dan Suzuki tak serius langsung nak compete dengan model ni sepertimana negara jiran.Ada ke patut keluarkan Wave S rupa orang tua? Bila keluarkan Wave Ultimo, semuanya dah terlambat. Suzuki pulak bukan tak cuba langsung, diorang pernah try kategori moped ni jauh lebih awal dari Yamaha LC dengan menjual Suzuki FX125. Masalah dia masa tu mat motor Malaysia masih lagi obses dengan 2 lejang yang mudah sangat nak bagi laju.
Bagaimanapun era kapcai empat lejang ni menyaksikan Yamaha bakal menerima tekanan apabila dijangka Honda Sonic bakal dibawa masuk ke Malaysia didalam rupa bentuk moped sepertimana yang telah dilancarkan di Vietnam iaitu Honda Winner 150. Nama yang dikatakan akan digunakan untuk model terbaru ni adalah sama seperti tajuk entri ni, Honda Wave Victory. Bagi aku tak payah nak victory bagai, pakai nama Wave 150FI (fuel injection) sudah.
Persaingan kategori 150 akan menjadi lebih seimbang jika Suzuki juga membawa masuk Satria FI iaitu 'adik' kepada Belang yang ditambah baik dengan sistem pancitan bahanapi dan piawaian Euro yang lebih tinggi. Berdasarkan sejarah sebelum ni, Suzuki tidak keberatan membawa Suzuki Belang yang terang-terang bukan selera tempatan, namun ada peminat 'niche' tersendiri.
Terus terang aku cakap, dominasi dan demand menyebabkan harga Yamaha semakin merepek. Contohnya 125ZR dah cecah harga RM10,000.00 diikuti Y15ZR sekitar RM9,400.00. Kegilaan apakah ini? Itupun ada yang sanggup bayar 9.4k untuk sebuah moped tanpa kick starter.SOHC pulak tu.
Bilamana Honda mempamerkan Winner 150, tak syak lagi model ini mampu mengugat jualan Y15ZR jika dilancarkan pada harga yang tepat iaitu sekitar 8-9 ribu. Lagi murah, lagi bagus.

Pertama sekali tengok rupa dia. Siapa kata tak cantik? Eh, ada aku baca kat Facebook haritu, ada yang kata lawa lagi Y15ZR, yang ini serupa SYM je. Ya, betul. Y15ZR pun sebuah motorsikal yang cantik,tapi yang ini juga cantik woii!

Macam ni, dulu zaman aku mula mengenal motorsikal, Yamaha adalah motorsikal tunggangan aku sejak 1995 - 2009. Lepas tu aku pakai Honda. Suzuki ada la pakai sekejap. Nak ceritanya, jenama yang paling lama aku pakai adalah Yamaha. Aku tau jugak la kualiti Yamaha, Honda dan Suzuki. Masing-masing ada kelebihan tersendiri. Semua aku pernah rasa. Aku akui coverset Honda terutamanya Wave memang teruk, tapi korang berani tak buat macam aku; last tukar minyak hitam pertengahan 2014? Dua tahun dah steady je beb,haha!
Macam ulasan aku pasal Satria FI hari tu, aku lebih suka menyentuh bab enjin Honda ni. Ada beberapa advantage yang aku kira baik sedikit berbanding Y15ZR terutamanya gabungan gerek dan lejang yang hampir square,nisbah mampatan lebih tinggi, penggunaan aci sesondol berkembar dan transmisi 6 kelajuan. Cuma berat kering agak mengecewakan iaitu lebih 7kg berbanding Y15ZR yang gemok.
Dari segi prestasi,hasil tinjauan aku kat laman-laman web negara jiran menunjukkan Honda Winner/ Supra GTR berupaya mengatasi Satria FU( bukan Satria FI) dalam acara pecut.
Ujian *dyno Dynomite EddyCurrent USA juga menunjukkan prestasi Honda Winner/ Supra GTR lebih baik berbanding pesaingnya iaitu Yamaha Jupiter MX King dan Suzuki Satria FI.

1. Honda Sonic 150 ( asasnya sama saja dengan Winner )
Peak power : 12.99whp@9300 rpm
Max torque : 11.3 Nm@6900 rpm

2. Suzuki Satria FU Injection (FI)
Peak power : 12.88whp@11,500 rpm
Max torque : 9 Nm@9,100 rpm

3. Yamaha MX King ( Y15ZR)
Peak power : 11.76whp@8,500 rpm
Max torque : 11 Nm@6,600 rpm

*sumber
** (whp) wheel horsepower ya,bukan angka horsepower atas brochure yang diklaim pengeluar

Dijangka bakal dibawa masuk dalam masa terdekat, aku harap harga jualan berada di julat yang berpatutan.Kesian la kami ni, dah la tak ada pilihan, harga pulak mahal, signal capang!

# UPDATE 01
- Dikhabarkan nama rasmi model ini di pasaran Malaysia ialah Honda RS150R. Aku lebih suka nama yang ringkas macam ni kecuali penambahan aksara "R". Huruf tambahan "R" patut digunakan untuk model khas versi upgrade / tambahan aksesori perlumbaan.
- Signal capang yang diwajibkan pihak berkuasa memang confirm, masalahnya apa kejadah signal depan pun capang jugak??? Nokhoromm buruk woiii!!

# UPDATE 02
- Dari page Facebook Yrt Shahrol Yuzy, ujian dyno Honda RS150R standard menunjukkan angka 16.37hp dan tork 15.15Nm
- Selepas penukaran ECU API (APITech barangkali),kuasa yang dihasilkan melonjak kepada 19.20hp dan tork 17.72Nm.Peningkatan kuasa sebanyak 17.3% dan tork 17.1%!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan