Jumaat, 3 Jun 2016

Abang Man Dalam Kenangan

Entri lepas dah cerita bab memancing, tapi tahukah kalian siapa yang bertanggungjawab memperkenalkan kami adik-beradik ni kepada dunia sukan ekstrim memancing lautan dalam Atlantik??

Ni aku nak cerita ni.

Dalam ramai-ramai sepupu, aku ada sorang sepupu yang agak rapat berbanding yang lain. Kami panggil di abang Man. Zaman aku kecik-kecik dulu, aku membesar di kampung. Rumah keluarga aku pun dekat sangat dengan rumah nenek sebelah abah aku. Masa tu sepupu aku ni tiga beradik duduk dengan nenek aku. Dia lelaki dengan satu kakak dan satu adik. Aku tak pernah kenal mak ayah diorang, yang aku tau diorang duduk dengan nenek aku sejak aku lahir lagi.
Disebabkan diorang masa tu dah remaja dan aku dengan kakak aku masih lagi kecik, diorang ni la teman kitorang bermain. Abang Man ni rajin bawa aku bonceng basikal keliling kampung dan mandi parit. Walaupun masa tu umur aku sekitar tiga ke empat tahun,aku masih ingat suasana aku peluk belakang dia masa berenang kat parit, kaki aku tersepit celah jejari rim basikal dan masa kepala aku terhantuk rasuk rumah nenek aku.
 Impak trauma berenang kat parit dan sakit yang pernah aku rasa menyebabkan memori-memori tersebut sangat kuat sampai aku dewasa.
Lebih kurang umur aku lima tahun, kami sekeluarga berpindah ke Felda. Maka kami berjauhan dan membesar dalam dunia baru  yang jauh berbeza. Kami balik kampung pun dah jarang, maklumlah masa tu mana ada kereta. Sepupu-sepupu kitorang pun dah masuk zaman sekolah menengah. Sesekali bila kami balik kampung, diorang memang excited macam tunggu family sendiri.
Masa tunggu result SPM, abang Man ni duduk dengan kitorang di Felda. Banyak la dia bantu renovate rumah papan asal kitorang dan juga bantu arwah abah aku kat ladang sawit.Masa tu tahun 1989 kalau tak salah. Cuma ada satu gambar beliau tengah main badminton dengan jiran-jiran aku. Nanti aku selongkar album gambar cari balik gambar dia. Legend betul gambar tu sebab court badminton ditengah jalanraya tanah merah berlatarbelakangkan deretan rumah-rumah kayu felda yang masih standard belaka.

Masa aku tingkatan 1, kitorang satu keluarga beraya dikampung. Salah satu aktiviti selain beraya ialah memancing pantai. Abang Man ni la bawa aku dengan adik aku memancing ikan duri dan sembilang. Umpan yang kitorang pakai ialah larva kumbang badak yang banyak dalam batang kelapa reput. Dengar je dia nak cari umpan memancing, teruja betul nak ikut sebab aku suka tengok laut. Yang peliknya masa tu la aku baru tau kat kampung aku ni ada pantai. Pasal apa tah abah aku tak pernah bawak aku jalan-jalan tepi pantai masa kecik-kecik dulu. Selalu tengok kubota dengan mesin padi kat bendang je.
Sebelum kami balik ke Pahang semula sebaik habis cuti raya, abang Man belikan dua set joran asas untuk aku dengan adik aku. Murah je set pancing tu, tapi keseronokannya macam dapat Shimano Stella free!
Abang Man cakap untuk permulaan guna la dulu set pancing asas ni, nanti dah mampu beli yang elok, beli la yang tahan lasak sikit. Aku peduli apa masa tu, janji dapat set joran yang real,boleh dicasting dan dikarau; maksud aku bukan joran pakai tangsi ikat kat batang bemban.
Bertitik tolak dari situ, macam-macam set rod dan kekili kami beli.Tak adalah mahal-mahal sangat,agak-agak mampu dibeli dengan duit biasiswa. Yang aku ingat cuma kekili D.A.M Quick dan Okuma. Ada la beberapa lagi yang dipinjam kawan tapi tak pulang balik.
Aktiviti memancing ni dah jadi macam aktiviti wajib bila kami balik Sekinchan, joran mesti kami angkut sekali. Bezanya cuma abang Man dah jarang kami jumpa sebab dia dah berkahwin, dah tentu la dia fokus dengan family dia...
Selepas bertahun-tahun, kitorang sesekali ada berhubung melalui telefon bertanyakan khabar. Dalam ramai-ramai sepupu kitorang baik sebelah abah atau mak, rasanya dia sorang je yang rajin call kami. Mungkin bonding masih kuat sebab dia pun dah biasa sangat dengan kitorang. Selalu dia jemput datang kerumah dia di Kajang, tapi aku tak pernah berkesempatan.
Bulan Februari lepas aku jumpa dia, kaki dia sakit sebab jatuh terduduk di tandas. Entah baik ke tidak sakitnya masa tu kami tak tahu. Kenduri adik aku kahwin awal Mac pun dia tak hadir. Selalunya dia tak pernah miss kalau ada kenduri kahwin kat Pahang walaupun jarak dari Kajang ke Lepar Utara 3 boleh tahan jauhnya.
Hujung Mac barulah abang Man maklumkan yang dia dimasukkan ke hospital sebab sakit pinggangnya bertambah teruk. 10 April baru kami dapat melawat dia beramai-ramai di HUKM.Masa ni abang Man nampak masih berisi dan ceria bersembang dengan kami. Tapi bila dia tanya mak aku tau tak dia sakit, aku agak keberatan nak jawab. Sebabnya masa tu kami adik beradik yang berkelana kat Selangor ni ada krisis sikit dengan mak kitorang.
Punca sakit masih didalam siasatan doktor. Dia cakap dari kesan retakan tulang pinggul, doktor dapat kesan satu kelainan dalam teras tulang dia.Macam ada lubang-lubang. Kitorang agak, osteoporosis kot.
8 Mei 2016 kami sekali lagi kami melawat abang Man bila dapat berita yang keadaan kesihatan dia merosot dengan teruk. Badan makin kurus dan  percakapan dia dah perlahan sedikit sebab kesukaran bernafas, cuma belum dipakaikan alat sokongan oksigen. Masa ni aku dah rasa sesuatu yang tak enak sebab dalam masa yang singkat, keadaan dia makin teruk.
Selang beberapa hari, mak aku bergegas melawat abang Man. Dari Pahang, mak aku berkesempatan jenguk dia tapi keadaan semakin kritikal. Abang Man dah tak sedar keadaan sekeliling. Mak aku cuma mampu menangis tengok dia.
18 Mei 2016 jam 5.00 pagi aku dapat mesej WhatsApp yang memaklumkan Abang Man dah meninggal dunia...Aku ambil cuti kecemasan hari tu. Aku dapat tahu yang penyakitnya adalah berasal dari kanser hati yang dah merebak ke tulang. Aihhh...tak taulah macamana nak describe rasa kehilangan seseorang yang kami anggap macam abang sendiri.
Selepas beliau tiada barulah aku sampai kerumah abang man untuk pertama kali.Ralat sungguh sebab tak pernah serius untuk menziarahi dia.

Beberapa hari lepas tu, kakak aku ada cerita kenapa mak aku tiba-tiba nak pergi jenguk abang Man kat hospital. Katanya mak aku ada bermimpikan abang Man. Dalam mimpi tu abang Man cakap kat mak aku yang dia seronok nak jumpa arwah abah aku. Mungkin itu yang mak aku rasakan sebagai hint, bahawa beliau akan pergi selama-lamanya....

Gambar kat atas tu gambar abang Man dengan anak-anaknya.Ada lagi sepasang sebenarnya.
Beliau meninggal dunia di usia 43 tahun. Semoga Allah S.W.T mengampuni dosa-dosa Abdul Rahman bin Jelani dan meletakkan abang Man dikalangan orang-orang yang beriman....

Al Fatihah...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan