Isnin, 31 Oktober 2011
RVP:The Flying Dutchman & Juara Piala Malaysia
Liga Perdana Inggeris
Pertembungan antara Arsenal dan Chelsea Sabtu lepas di Stamford Bridge menghasilkan keputusan diluar jangkaan peminat-peminat bolasepak.Sebanyak lapan gol terhasil dalam perlawanan dua kelab gergasi Liga Perdana Inggeris yang dimenangi Arsenal yang mencatat keputusan 3-5.
Gol-gol Arsenal dijaringkan oleh penyerang yang masih berbisa,van Persie dengan hatrik,Andre Santos dan Theo Walcott.Manakala gol Chelsea dijaringkan oleh Frank Lampard,John Terry dan Juan Mata.
Walaupun jangkaan ramai perlawanan berkesudahan seri atau home win oleh Chelsea,bolasepak sememangnya sukar diramalkan.Tamat separuh masa pertama,Arsenal ketinggalan 2-1 selepas John Terry menjaringkan gol kedua Chelsea sebelum masa pertama hampir tamat.Arsenal bangkit mendahului dengan jaringan Andre Santos dan Theo Walcott,yang kemudiannya disamakan oleh jaringan Juan Mata.
Van Persie muncul penyelamat dengan dua lagi jaringan,jaringan kelima dimanfaatkan selepas John Terry terjatuh dan seterusnya van Persie tenang memperdayakan Petr Cech.
Secara peribadi,keputusan Arsene Wenger menurunkan Andre Santos adalah langkah yang bijak untuk menghadapi Chelsea.Seorang pertahanan yang rajin dan mampu menjaringkan gol.Keduanya,perubahan 'sikap' Gervinho yang semakin matang.Diawal-awal musim,Gervinho agak semberono walaupun bijak mencari ruang,sedangkan peluang jaringan terhasil lebih cerah sekiranya bola dihantarkan kepada van Persie.
Ketiga,dengan jumlah pemain baru yang dibeli agak ramai musim ini,keserasian masih belum terbentuk diawal musim.Kesan positif sudah mula kelihatan dan harapnya berkekalan untuk menghadapi saingan Liga yang semakin kompetitif selepas kemunculan kelab Manchester City yang sehingga kini masih belum tewas.
Kelibat Thomas Vermaelen bermain untuk minit-minit akhir menandakan beliau sudah pulih dari kecederaan,satu berita baik selepas kehilangan Bacary Sagna dalam tempoh yang agak lama.
Kedudukan masih belum berubah memandangkan Manchester United,Tottenham,Manchester City dan Liverpool menang keatas lawan masing-masing.
Piala Malaysia
Gerombolan peminat-peminat Terengganu pulang hampa semalam selepas Terengganu tewas 1-2 dalam perlawanan akhir Piala Malaysia yang berlangsung di Stadium Shah Alam malam semalam.Kemenangan berpihak kepada pasukan Negeri Sembilan hasil jaringan Kunnanlan dan Hairudin Omar.Terengganu berada di kedudukan agak selesa selepas mendahului satu gol,tetapi kelalaian Sharbinee Alawi melepaskan gol mudah menyebabkan Negeri Sembilan lebih bersemangat dan bermain dengan lebih baik.
Gol pertama Negeri Sembilan hasil rembatan jarak jauh S.Kunnanlan sepatutnya mampu ditangkap kemas oleh Sharbinee,tapi sebaliknya bola terlepas dan beliau terkapai-kapai menyelamatkan keadaan.Malangnya sudah terlambat.
Dilihat secara kasar,permainan Negeri Sembilan lebih terancang berbanding Terengganu yang cuba bermain hantaran bola jauh,malangnya kebanyakan hantaran tidak tepat dan hilang fokus.Keadaan bertambah buruk selepas kedudukan 1-1,Negeri Sembilan lebih banyak mendominasi bola.
Apapun tahniah untuk Terengganu kerana melangkah ke pusingan akhir,dan untuk Negeri Sembilan,pasukan anda layak menjulang Piala Malaysia.Tahniah skuad Jang!