Aku selalu jumpa soalan begini:
'antara reel brand A dengan brand B mana satu yang lebih bagus?'
Atau pun soalan terlalu umum macam ni:
'aku ada bajet RM800,boleh cadangkan set bc untuk beginner?'
Bila soalan-soalan seperti ni diutarakan di sebuah page peminat sukan memancing, apa yang anda lihat adalah respon pembaca yang berbagai-bagai. Ada jawapan serius, ada jawapan bergurau dan ada yang selit jual set mereka. Ada berpuluh-puluh cadangan dan jawapan bercampur aduk.
Kau rasa yang tukang tanya tadi dapat tak jawapan yang mereka nak? Bertanya itu bagus, cuma anda sukar mendapatkan jawapan yang paling tepat untuk anda. Set pertama korang mungkin kurang sesuai kombinasinya dengan selera korang terutamanya jika bajet korang kurang keras. Ini biasa berlaku dan dinamakan proses pembelajaran.
Masa ni lah anda akan tau apa yang anda nak dan bersesuaian dengan bajet anda. Bukan anda tunggu orang cadangkan apa yang baik untuk anda sedangkan mereka tak kenal anda mahupun gaya pancingan anda.
Pertama sekali kenalpasti padang permainan dan ikan sasaran anda samada anda bermain parit/paya,sungai pedalaman, muara sungai, kolam atau laut. Anda selalu ke padang pancingan yang bagaimana. Sekiranya anda sebagai beginner sama seperti saya, fokus satu padang pancingan dahulu supaya anda tidak meracau ketika merencana set up joran yang sesuai.
Sebagai beginner,saya assume anda juga mempunyai bajet yang sederhana. Amat jarang lah seorang jutawan tiba-tiba terjun ke hobi memancing. Kalau ada pun mereka akan terus masuk kategori laut dalam dengan setup bangsawan. Yelah, duit berkepuk kan? Tak ada halangan dari segi mendapatkan set yang high end dan trip laut dalam yang mahal.
Sebelum aku melalut lebih panjang,kita mulakan dengan peralatan asas dan kriteria yang aku selalu perhatikan dalam pemilihan peralatan. Aku letak lingkungan harga yang sedang-sedang saja supaya tidaklah terlalu cap ayam. Orang kata membeli biar berbaloi dan tidak membazir. Spec yang aku biasa pakai ni sederhana saja dan aku sebolehnya tak mau cenderung ke mana-mana jenama sebab aku percaya tiap brand ada kelebihan masing-masing.
Rod Pancing
------------
- Pilih dulu samada anda minat set up spinning atau baitcasting. Mulakan memilih rod mengikut set up yang anda minat. Untuk kategori rod yang bagi aku agak all rounder pilih dulu berat mainline cadangan iaitu antara 6-15lb hingga 8-17lb. Kedua-dua rod berspesifikasi sebegini masih sesuai untuk ikan sasaran kurang 0.5kg hingga 5kg.
- Panjang rod pula antara 6 kaki (1.83m) hingga 6.5 kaki (1.98m).Rod berkepanjangan seperti ini masih sesuai digunakan untuk kawasan lapang,kolam pancing berbumbung dan sungai-sungai kecil dikampung. Untuk dibawa ke pantai memancing sembilang pun boleh, tapi untuk jarak cast yang baik, padankan dengan reel spinning. Tapi janganlah mengharapkan jarak balingan sejauh rod teleskopik 14 kaki.
- Seterusnya jumlah cincin (line guide). Bagi rod spinning, jumlah cincin antara 6-8 unit. Kurang dari 6 bagi aku tak cantiklah action dan agihan beratnya. Untuk rod casting sepanjang 6 kaki sekurang-kurangnya perlu ada 8 cincin. Paling cantik jika jumlahnya 10. Jika ada lebih dari itu dah jadi tak praktikal dan hanya menambahkan kos dan berat rod. Untuk rod spinning kebiasaannya mempunyai 7 cincin dan sekiranya lebih dari itu adalah bonus.
- Aksi rod. Mungkin anda suka tengok rod jigging melengkung dengan cantik ketika mengepam ikan besar kan? Malangnya aksi rod heavy sebegitu kurang serbaguna. Ia lebih sesuai untuk menarik beban secara vertikal. Pilihan yang sesuai ialah rod dengan aksi fast atau medium fast. Maksudnya ialah joran tersebut melentur cuma 1/3 dari panjang keseluruhan rod.Nak pancing stail bottom pun ok, nak casting pun sangat sesuai. Aksi sebegini lebih mudah untuk melatih ketepatan balingan umpan ke spot sasaran.
- Kemasan rod dan aksesori. Aksesori paling common pada rod pancing ialah dari jenama Fuji. Rod dipasaran yang menggunakan aksesori Fuji berada pada lingkungan harga RM180 dan keatas. Tapi bukanlah wajib pun rod yang ada aksesori Fuji ni. Cincin line guide biasa pun elok asalkan dijaga dengan baik tiap kali pulang memancing. Salah satu rod aku berharga cuma RM85 sahaja. Boleh pakai dan masih berkeadaan baik.
- Material binaan rod. Kebanyakan rod dipasaran menggunakan material karbon grafit yang ringan. Walaupun ada macam-macam teknologi binaan rod dipasaran, kebanyakannya hampir sama saja cuma berbeza kosmetik. Lebih canggih jargon spesifikasinya, harganya juga akan menjadi sedikit tinggi berbanding yang lain. Untuk rod pemula, tak perlu rod pancing dengan teknologi aneh asalkan tidak dibuat dari fiberglass. Mungkin ada rod diluar sana dengan harga RM20-30, tapi periksa dulu material binaannya. Rod dulu-dulu dibuat dengan fiberglass. Cukup liat tetapi berat.
- Berat rod juga penting. Rod 6-15lb atau 8-17lb selalunya mempunyai berat sekitar 100gram hingga 120gram. Pilih rod yang ringan untuk bermain casting dan jika anda bermain bottom,tak perlu terlalu serius soal berat rod asalkan masih berada dalam lingkungan berat yang berpadanan seperti yang dinyatakan diatas.
- Kosmetik pada rod pancing tidaklah terlalu variasi sehingga anda sukar membuat pilihan. Selalunya cuma ada split handle / handle penuh dan material handlenya samada EVA atau gabus (cork). Apa yang aku perhatikan, rod yang menggunakan handle gabus berharga sedikit mahal berbanding EVA.Macam aku, aku suka handle split tak kisah material samada EVA atau cork. Yang aku selalu titik beratkan ialah pada kepanjangan handlenya. Handle yang terlalu panjang seumpama rod jigging tak selesa dibawa bermain casting dan handle terlalu pendek hanya akan menyakitkan pergelangan tangan jika casting seharian. Sekitar 1 kaki - 1 kaki 2 inci sudah memadai.
- Binaan single piece atau 2 piece midjoint? Bagi pemula, 2 piece midjoint (sambungan tengah) sudah mencukupi. Mudah dibawa kemana-mana dan memadai untuk menampung berat ikan sasaran. Sekiranya tiada isu dengan halangan membawa rod 1 piece, semestinya rod 1 piece lebih baik kerana tiada sambungan yang mengganggu kekuatan rod dan agihan berat beban pancingan.
- Akhir sekali harga. Harga yang mahal selalunya baik dan harga murah tidak semestinya teruk. Sebagai beginner, pilih rod yang berharga antara RM100 - RM250. Ianya masih mampu milik dan memberikan kualiti yang agak baik untuk jangkamasa panjang. Buat sedikit kajian dengan membandingkan beberapa rod dalam lingkungan harga target dan pilih yang mana memberikan spesifikasi terbaik.
Rumusan dari point-point diatas, rod pilihan aku selalunya berkisar di antara panjang 6kaki-6.5kaki, mempunyai cincin 9-10, medium/fast action, split handle yang tidak terlalu pendek/panjang, ringan, harga yang berpatutan dan bonus jika dilengkapi aksesori Fuji serta binaan 1 piece.
Asalnya aku nak cerita complete dari rod sampai la ke mata kail dalam satu artikel, tapi cerita bab rod sahaja dah sepanjang ini tulisannya. Aku akan sambung bab kriteria pemilihan reel pancing pula untuk penulisan akan datang.