Rabu, 28 Disember 2022

Misi Kolam Pancing Sealion Syafiq, Gansaan dan Set Up BFS

Assalamualaikum untuk pembaca,(kalau ada yang baca lah),

Based on statistik posting, artikel tulisan aku dah tak banyak enggagement, maklumlah bukan zaman dia main blogging. But i keep on writing just for my future reference. Online diary for short.

Last Sunday aku turun trip kolam. Aku takde trip-trip naik bot ni. Sekitar Sealion Klang ada opening Kolam 1, manakala Kolam 3A biasalah dijadualkan ribu-ribu ikan tapi sesi pagi Ahad aku dengan adik beradik pilih Kolam 3 Syafiq. Kurang sesak sikit.
Untuk yang tak pernah ke kolam Syafiq, harga pakej 4 jam ialah RM110 termasuk deposit. Masuk jam 10.00pagi - 2.00 petang. Checkout nanti dapat balik RM30. Kat sini tak ada dibayar RM10/20 untuk setiap ikan macam kat 3A tapi dia ada Strike King 1 jam (macam Happy Hour versi Kolam Delek Kak Ton la). Strike ikan dalam tempoh 12.00 tengahari sampai 1.00 petang setiap ikan akan dibayar RM20. 
Kadang-kadang ada bonus hadiah peralatan mancing untuk Strike King pertama.

Ahad hari tu kali kedua aku visit Kolam Syafiq. Dari segi strike percentage aku rasa tak la bagus, mungkin kena ambil spot yang spesifik. Ikan dia tak lepak merata walaupun kolong keliling kolam. First visit aku dapat tiga ketukan, cuma lekat sekor ikan merah. Kali kedua check in cuma dapat dua ketukan, satu lucut dan satu lagi berjaya dibawa naik iaitu ikan Jenahak.

Setup yang aku guna ialah set medium light marhaen aku iaitu kombo berikut :
 - Rod Santec Capricorn 8-15lb 6 kaki
 - Reel ATC Combat CF BFS 50R (pakai spool standard)
 - mainline Seahawk Gachiri 8X 30lb
 - Leader Daiwa J-Thread 40lb 100% fluorocarbon
 - Perambut pendek 3 inci J-Thread 60lb 100% fluorocarbon
 - batu ladung saiz berapa aku lupa daaa
 - mata kail Seahawk 254HCW saiz 3/0
 - umpan udang hidup dan udang kopek

Kenapa reel BFS aku sebat pakai 30lb? Sebab ancaman kolong. Sebelum ni aku pernah kena juga mainline Seahawk SOL 8X 30lb baru 2 kali cecah air putus begitu saja dilarikan jenahak yang menyorok dalam kolong. Tajam woi kolong kolam pancing ni.
Kedua, perambut. Aku buat pendek je sekadar untuk melepasi jarak ikan menelan sampai ke bahagian gigi dia. Sesetengah orang suka ikat mata kail direct ke leader,masalahnya bila ikan gigit leader sampai berbulu, kita terpaksa potong dan buang bahagian leader yang rosak.
Kalau strike 5-6 ekor tak ke kontot leader kau nanti? lepas tu kena ikat FG leader baru. Kau rajin ikut kaulah. Cara aku macam ni.

Kemudian korang perasan tak betapa 'cikainya' mata kail yang aku pakai?
Sebab apa aku pilih mata kail ni adalah kerana shape dan shank dia menepati selera aku. Shape dia hampir sama macam stail O'Shaugnessy cuma shank dia pendek sikit. Kemudian angle needle point dia cantik, straight attack macam Owner Aki Hook Cutting Point 5170.
Yang aku kurang berkenan dekat mata kail Owner cuma satu; wire gauge dia tebal. Brand-brand lain pun sama, shape dah ngam, dawai kail tebal sangat pula. Pendek kata aku tak puas hati la walaupun dari jenama mahal. Walaupun gauge dawai tebal ni kuat, kelemahan dia ialah kecederaan pada umpan hidup tu teruk. Seahawk 254HCW ni cun-cun bentuk dan saiz dawai dia. Walaupun nampak macam tak kuat, aku dah uji memang kuat mata kail ni. Campuran karbon dia ngam, mata kail kuat tapi ada sikit flexibility. Setakat pipi jenahak tu sekali hookup confirm tembus.


Sesetengah jenama declare hi-carbon, tapi bila dikenakan stress matakail terus patah. Dia tak bengkok ye. Simple pemahaman macam ni la; hi carbon = kuat tapi rapuh, low carbon = kurang kuat tapi liat.
Tak percaya korang try pakai Seahawk 254HCW ni. matakail ni asalnya versi weedless, tapi aku buang dawai weedlessnya.
Yang hampir mirip dengan 254HCW ialah versi 254HC. Dia takde W (weedless). Bezanya ring 254HC besar sikit dari 254HCW. Harga 254HCW saiz 3/0 sepeket baru RM4.30(5pcs). Aku beli sekotak terus 254HC #3/0 100pcs baru RM27.10. Pakai buang pun tak apa.

Berbalik ke cerita kolam Syafiq tadi, kami berlima balik hampir tangan kosong. Cuma seekor jenahak yang aku dapat tu lah. So kami decide nk revenge terus kat Kolam Memancing Gansaan Banting. Masuk jam 3.00pm dengan modal RM80 untuk 5 jam.

Suasana kolam utamanya agak sendu, kecuali di Kolam 2 yang kecik sebab kat situ tauke parking kerapu. Meriah la sikit orang gasak. 
Di kolam utama Gansaan aku cuma sambung pakai setup sama sebab memang niat nak hanyirkan set pancing baru. Aku pernah cerita kot sebelum ni, ikan kolam Gansaan ni walaupun dilepas tak banyak, ikan dia cukup lapar. So far dua kali dah aku dapat merasa ikan yang lucut boleh datang balik ambil umpan sama.
Yang terbaru aku dapat rasa ikan ketuk umpan tapi kemudian senyap, macam dia luah balik. Aku seret lagi sekali di tempat yang sama alhamdulillah dia datang dan ngapp terus. Sedap betul mengepam ikan dengan set medium light. Karauan nisbah 6.6:1 memang ringan, ada tork untuk melawan larian ikan. Cuma rod medium light bekerja agak keras mengekang mainline 30lb.
Untuk permainan kolam pancing, memadai sebenarnya setup medium light ni asalkan drag kunci pada kadar yang sesuai. Agak-agak rod tak terbeban melampau dan ikan tak lari berleluasa sangat. Dek kerana setup medium light ni adik-adik aku mula mencari setup baru permainan reel BFS (reel je BFS tapi bukan game BFS). Sorang dah setting reel Fishband PW100 Plus, rod Eupro Zealot 8-15lb 6ft 1 piece dan mainline Mayeep Super 8 10lb. Nanti kita nantikan hasilnya.




Jumaat, 16 Disember 2022

Cuci Baitcasting Reel dan Teknik Seretan Tanpa Henti

Assalamualaikum semua,


Malam ni aku nak tulis sikit perkongsian pengalaman dan juga senggaraan reel baitcasting bagi yang tak berapa rajin hantar servis. Reel baitcasting ni sama je dengan mana-mana peralatan mekanikal, ia tetap memerlukan senggaraan berkala dan juga pencucian selepas pulang dari trip samada air masin atau tawar.
Untuk trip air tawar, keperluan pencucian tidaklah sekritikal keperluan selepas trip air masin. Air masin selalunya bersifat lebih corrosive (mengakis) dan meninggalkan residue (sisa-sisa) garam apabila dia kering.
Apa yang aku selalu buat ialah menjalankan cucian ringkas saja tanpa perlu membaraikan keseluruhan reel.
Sebaik saja pulang dari trip, aku akan bilas dulu spool dibawah air paip yang mengalir. Jangan terus letak reel bawah air ya, keluarkan dulu spool dan lalukan permukaan gulungan mainline dibawah air paip yang mengalir selama beberapa minit. Cuba elakkan dari terkena air pada bearing. Lepas berpuashati dengan bilasan tadi, lap permukaan gulungan mainline dengan tuala kering.
Ok settle bahagian spool.

Untuk bahagian badan reel, aku cuma gunakan kain yang dilembapkan dengan air paip sahaja. Tanpa sabun. Cuba lap bahagian-bahagian yang mampu dicapai dan untuk bahagian yang sukar, aku akan guna cotton bud yang dibasahkan. Bahagian-bahagian yang sukar ni selalunya banyak residue air masin sebab masa kita cast, air akan terpercik ke bahagian-bahagian ni.
Cuba bersihkan seluruh bahagian luar yang dapat dicapai dan cukup setakat itu.
Selesai semua, pasang balik spool dan side plate. Siap.

Bahagian dalaman reel aku akan periksa kondisinya tiap  5-6 kali penggunaan. Kalau grease dah hitam aku cuma lapkan gris lama dan ganti baru. Kecuali kalau nampak ada tanda-tanda sisa garam, barulah aku buat proses pencucian penuh.
Buat masa ni aku belum hadapi lagi keadaan seteruk itu. Lainlah reel tadi jatuh dalam laut.

Tadi aku ada tengok video TikTok pasal kaedah cuci reel dengan mandikan reel bawah air paip. Salah ke betul cara dia tu? Jawapan aku tidaklah betul dan tidaklah salah.
Dia jadi salah jika hanya dimandikan tanpa mengambil peduli keadaan dalaman reel untuk tempoh masa yang panjang. Reel baitcasting amat banyak 'gap' atau celahan yang berpotensi untuk dimasuki air. Walaupun ada sesetengah reel diberikan drain hole untuk keluarkan air, tak semestinya air tersebut 100% keluar dari lubang tu. Sebab apa manufacturer buat drain hole? Sebab dia tau reel ciptaan dia akan dimasuki air.
Sebab tu aku cuma cuci part-part yang exposed pada percikan air masin sahaja. Bahagian-bahagian gear dan mekanisma yang duduk dalam reel tak perlulah dirisaukan.
----------------------------

Next aku nak borak kosong sikit pasal teknik karauan seret umpan secara non-stop.
Teknik casting kolam air masin ni unik sebenarnya, seunik nama ikan kaci pada ikan siakap merah. Kalau itu dinamakan casting, teknik bottom pun boleh claim casting sebab bila memancing ni, step pertama mestilah cast umpan ke lokasi sasaran. 
Casting yang sebenar di kolam pancing hanyalah teknik casting soft plastic. Yang itu pure casting. Kalau main umpan udang dia lebih kepada bottom drag ; yakni kita seret umpan di dasar.
Teknik yang paling common sekali ialah seretan udang kopek/udang hidup. Udang kopek yang diluruskan akan dicast ke lokasi sasaran dan diseret satu atau dua meter sebelum berhenti beberapa saat.
Proses yang sama akan diulang beberapa kali sehingga jarak balingan habis. Ulang semula cast ke lokasi yang berlainan untuk 'scan' dasar kolam untuk mencari lokasi ikan bermain.
Baru-baru ni aku terjumpa satu teknik yang agak baik juga iaitu seretan laju. Teknik ni aku cuba lepas bermain casting soft plastic. Bermain soft plastic memerlukan karauan perlahan tanpa henti di pertengahan air atau atas sedikit dari dasar kolam.
Hasil percubaan aku bereksperimen dengan udang kopek aku dapati teknik seretan laju ni agak sesuai menarik perhatian ikan. Kaedahnya ialah dengan menyeret udang kopek tadi rapat ke dasar pada kelajuan karauan yang perlahan tapi non stop.
Udang yang diseret tadi akan menghasilkan disturbance (gangguan) didasar kolam dan mungkin juga bunyi-bunyian untuk menarik perhatian ikan di dasar kolam yang gelap.
Dari pemerhatian aku, teknik ni sesuai untuk kolam air masin yang tak berapa dalam dan kurang kolong. Kalau berisiko sangkut, cuba pakai matakail weedless.
Untuk kolam yang terlalu dalam, aku tak jamin ianya berkesan. Kolam-kolam yang dalam ni memerlukan umpan belanak. 
Contohnya kolam Lukut Fishing Point. Kolam ni dibina sangat dalam untuk standard kolam pancing rekreasi. Teknik seretan udang hidup amat jarang menghasilkan strike sebab udang cepat mati. Tekanan air yang kuat didasar kolam adalah puncanya. 
Nak pakai udang kopek pun agak susah sebab gangguan dari anak-anak ikan. Agak menghairankan juga ya, kalau kolam tu banyak ikan pemangsa yang besar-besar, dah tentu anak-anak ikan tadi habis dimakan.
anak-anak ikan cukup selera dengan udang kopek

Stigmatogobius sadanundio, pencuri umpan

Dia awal pembukaan kolam ni dulu, strike amat rancak dengan saiz-saiz ikannya besar betul. Jauh beza dengan kolam-kolam pancing rekreasi di Selangor. Masa tu pakai udang kopek pun sesuai lagi. 
Siapa nak cuba, siap-siaplah bawa bekal umpan belanak hidup dari rumah. Kat sini cuma ada umpan udang hidup. Belanak hidup amat sukar didapati dan kalau ada pun harganya mencecah RM2 seekor.

Selasa, 13 Disember 2022

ATC Combat CF50/51 BFS ; Adik Bongsu Siri Combat

Aku terjumpa satu reel dari ATC yang agak menarik juga tapi macam biasalah reel ATC ni amat sukar untuk dicari review yang ekstensif samada dalam bentuk penulisan atau video. Ada la aku jumpa satu video review yang agak complete, malangnya dalam bahasa Siam. Subtitle tak ada pulak tu.

Ok, reelnya adalah ATC Combat CF BFS 50/51. Reel baitcasting siri Combat ni bukanlah baru pun, ianya dilancarkan sekitar setahun yang lepas. Aku je yang tak perasan kewujudannya sebab bilangan yang dijual agak terhad dan kurang review yang macam aku cakap tadi lah.

Dari segi rupa design reel ni agak nice and clean dengan skema warna yang selamat. Tidaklah fancy dan kelihatan seperti reel murah buatan China, tapi pemilihan tema selamat ni kadangkala agak merugikan sebab tak nampak menarik. Hanya pengguna tegar yang kenal jenama ATC tahu menilai kelebihan jenama ni. Bab kosmetik aku rasa ATC boleh mencontohi/belajar dari Kastking. 
Walaupun dikilangkan di China dengan kos jualan yang rendah, reel Kastking pertengahan diberikan finishing yang cantik, material yang premium, skema warna tidak berlebihan dan kemasan cetakan informasi pada reelnya cukup jitu. Bagaimanapun reel ni tidaklah hodoh, dia cuma macam kereta Yakuza kot, gelap semacam. Kau orang tengoklah barang ATC mana ada yang fancy-fancy. Kilang dia ada cat hitam je.
Rekaan thumb bar diberikan sedikit rupa yang tidak simetri dengan badan reel. Senang cakap macam thumb bar Shimano Metanium DC lah. Dia offset ke arah handle. Benda-benda tak simetri ni adakalanya nampak cantik kalau kena pada tempatnya. Kecuali frame Shimano Antares. Buruk ya amat! Dah la design plain,warna chrome, senget pulak tu. Nasib baik kau barang bangsawan.

Berbalik kepada ATC, ia didatangkan dengan kayuhan kiri dan kanan, ATC Combat CF BFS bersaiz kompak dan ringan ni berfokuskan game Medium ke Medium Heavy. Beratnya cuma 160 gram hasil penggunaan material binaan serat karbon dan juga diberikan carbon fibre handle. Sebab tu nama dia ada CF.
Manakala BFS pula bermaksud bait finesse yang merujuk kepada permainan umpan ringan; senang cerita macam ultralight game lah. Spoolnya cetek untuk memuatkan tali berkekuatan rendah sekadar mencukupi untuk jarak balingan yang dekat. 
Tapi yang bagusnya ATC ni dia suka buat reel baitcasting yang multi purpose. Selain spool cetek BFS, spool standard juga diberikan yang boleh memuatkan tali setebal 0.2mm sebanyak 120 meter. Cukup banyak dah tu. Braided 8x yang baru-baru dipasaran saiz 30lb pun cuma setebal 0.18mm sahaja. 150 meter should be no problem aku rasa.

Untuk nisbah gear cuma diberikan satu ratio sahaja iaitu 6.6 : 1 dan satu pusingan handle akan retrieve mainline sebanyak 68cm. Karauannya tidaklah laju, tapi ada sikit kekuatan tork disitu. Drag berbilang cakeranya pula berkekuatan sekitar 5kg, which is cukuplah untuk permainan sederhana berat. Tak lupa juga ciri yang agak jarang ada pada reel baitcasting iaitu drag clicker dibekalkan standard bersama reel. 
Factory design siap dengan drag clicker ni jauh lebih baiklah daripada drag clicker aftermarket sebab banyak kes-kes kekuatan drag reel baitcasting menurun apabila dipasangkan drag clicker. Kosnya juga agak tinggi sekitar RM60-80 ringgit tak termasuk upah pemasangan.
Cuma dari pengamatan aku, bunyi drag clickernya tidaklah nyaring, macam dengar- tak dengar je bunyinya. Kalau ikan yang tarik tak tahulah audible ke tidak. Nanti aku test dulu.
Sebelum terlupa, aku perasan tombol star drag reel ni nampak macam materialnya CFRP. Nak kata full carbon macam handle tak juga. Ringan tapi kurang menyerlah. Sikit yang aku nak komen ialah tombol star drag ni wobbly. Tak fit. Fungsinya untuk melaras drag tak terjejas cuma itulah,rasa loose-loose ni tak bestlah. Macam reel murahan Shopee pulak.

Sistem brek masih lagi menggunakan brek magnet tradisional, teknologi lama tapi masih relevan digunakan dan mudah diselenggara. Tak lupa juga line guidenya berbentuk segitiga ( Open-Frame V Shape Line Guide ) seperti abang-abang besarnya untuk mengurangkan rintangan casting.

Dari segi harga, ATC Combat CF BFS boleh dikatakan sederhana dan berpatutan dengan apa yang ditawarkan. Ok lah kot dapat dua spool, drag clicker lagi. Dua benda ni je kurang-kurang bernilai RM100-120.
Tinjauan aku di Shopee dan Facebook harganya berada dalam lingkungan RM415 hingga RM470. Seller yang jual RM415 tu tak payah carilah, memang dah habis stok. 
Ringkasannya aku listkan dibawah :

+ extra BFS spool
+ drag clicker
+ kayuhan lancar dan halus
+ 9 + 1 stainless steel ball bearing
+ lightweight (160gram)
+ rekabentuk kompak
+ harga berpatutan

- sukar dijumpai terutamanya kayuhan kanan 
- tipikal ATC, kedekut dakwat printing tampo
- bunyi drag clicker kurang jelas
- tombol star drag tak kemas, wobbly orang putih cakap
- sistem brek magnet tradisional
- Amat kurang review/informasi. Website atcfishing.com pula selalu under maintenance

Aku cuba hubungi alamat emel yang diletakkan pada akaun Instagram @atcfishing ,malangnya alamat tersebut tidak dapat dijumpai. Senang cakap emel aku tu tak sampailah. Bab ni aku rasa ATC sangat-sangat perlu ambil berat kalau nak bertahan lama dalam industri. Website down tu dah satu hal,nak contact pun susah. No wonder lah ramai agak ragu-ragu nak pakai barang ATC walaupn barang dia bagus-bagus. In case ada part yang rosak atau nak claim warranty, pishang mat.

Isnin, 12 September 2022

Ujian Lapangan Perambut Anti Kumpau

Kali ni aku nak tulis tambahan sikit kepada beberapa posting sebelum ni, pertamanya tentang custom rod iaitu memotong butt rod jigging untuk kegunaan kolam air masin dan juga perambut toyol anti kumpau dalam posting lepas.
Aku ada tuliskan haritu berkenaan projek aku mengerjakan rod Bullzen Brutal Monster Iguana Elite PE1-3. Jumlah kepanjangan yang aku potong sekitar 3 inci sahaja menjadikan panjang keseluruhan berkurangan daripada 6 kaki kepada 5 kaki 9 inci.
Tujuannya bukan apa, kalau butt panjang, butt akan sangkut kat perut.Susah nak buat cast. Ok, bila dah pendek, adakah pengurangan panjang ni akan menjejaskan jarak lontaran?
Seimbas lalu mungkin ya, tapi bagi aku tak begitu menjejaskan.
Casting menggunakan pergelangan tangan sebagai fulcrum point, atau titik tengah untuk menghayun pancing. Titik tengah ni adalah pada reel seat.Atau lebih mudah difahami lagi ialah, jarak efektif cuma dari tempat kita menggenggam rod (reel seat) hingga ke tip rod.
Yang memberi kesan besar terhadap jarak casting adalah sekiranya kita mengalihkan posisi reel seat. Jika sekadar memotong butt dan jarak antara reel seat dan tip rod masih sama, seharusnya tidak banyak kesan ketara.
Mana ada orang pegang betul-betul kat pangkal rod masa buat casting kan? Macamana dia nak kepit mainline masa mula cast betul tak? Sebab tu ada yang buat handle joran pendek serupa hulu parang. Dari segi artistik mungkin pada dia nampak cantik, dari ergonomik dan praktikaliti tak ada. 
Butt rod tu ada gunanya. Masa pam ikan, butt rod duduk betul-betul bawah lengan supaya pergelangan tangan tak terseksa tahan beban. Kalau pergelangan tangan semata-mata jadi fulkrum dan berkerja penuh tanggung beban, sakit mattt! Ikan kecik boleh la.

---------------------------
Kedua berkenaan perambut toyol yang aku kongsikan pada posting lepas. Dalam ujian lapangan terbukti tidak kumpau. Ujian pertama di kolam air masin Kg.Delek. Sebaik saja siren dibunyikan, tiga kali umpan ditemui ikan dalam masa kurang 10 minit. Dua sambaran pertama melepas sebab aku tak pandai main siakap. Hookup cepat sangat. 
Kali ketiga aku betul-betul bagi dia sedut dan berjaya dibawa naik.
Ujian kedua dilakukan di kolam air masin Gansaan. Kat sini memang sesuai nak uji teknik kau berkesan ke tidak sebab kolam ni bukan jenis lepas ikan banyak tiap-tiap jam. Aku anggarkan sekitar 30-40 ekor saja. Bahagi dengan jumlah pemancing, kalau kau dapat hookup 5 ekor dah kira sifu la.
Aku berjaya menaikkan GT seberat 3.05kg dan ikan merah seberat 2.245kg, satu strike lagi lucut. Ujian aku simple je, bila diorang lepas ikan aku cast berdekatan sangkar dalam jarak 5-7 meter dan ikan berjaya menjumpai umpan aku. Sedangkan masa tu beberapa pemancing pun parking umpan diorang ditempat yang sama.
Ujian ketiga juga di kolam air masin Gansaan Sabtu lepas.
Strike pertama ikan bawal yang lariannya mirip GT menjamah matakail Fire Eagle Hosoji-Mutsu saiz 2/0 berumpankan udang kopek. Anggaran berat sekitar 1.5-1.7kg.

Strike kedua ikan merah yang membawa lari umpan/batu ladung aku yang tersangkut. Masa tersangkut ni aku tak paksa tarik so aku biarkan saja umpan terapung-apung 1 kaki dari dasar kolam. Dalam beberapa minit saja umpan dijumpai ikan merah dan melepaskan batu ladung yang tersangkut tadi. Selesai masalah sangkut, ikan pun dapat.
Strike ketiga macam biasa, parking umpan berdekatan sangkar masa pekerja lepaskan ikan. Larian pertama aku hookup tapi rasa kosong, kemudian lepas tu aku masih rasa ada ragutan. Aku biarkan lagi beberapa saat ternyata ikan membawa lari umpan dan yess hookup kemas didalam tekaknya. Seekor jenahak skala 1.3kg berjaya ditewaskan.
Dari pemerhatian aku, kolam Gansaan ni ikan tak berapa banyak sebab hanya frenzy bila ikan dilepaskan.Tapi dengan persembahan yang betul, kita bantu memudahkan ikan jumpa umpan kita.
InsyaAllah kalau tak ada aral, aku akan uji kali keempat di pembukaan semula Kolam Air Masin Sealion 3A minggu depan. Khabarnya 1500 ekor ikan akan dilepaskan sepanjang hujung minggu. Jika berjaya, aku berpuashatilah dengan kajian dan eksperimen aku ni. Modal banyak untuk test perambut ni hasil pemerhatian berbelas-belas trip. Kalau nak ubahsuai pakai ladung berat pun tak ada masalah asalkan guna teknik batu hidup.

Jumaat, 2 September 2022

Perambut Kolam Anti Kumpau!

Hari ni aku nak kongsikan sikit satu variasi perambut yang aku inovasikan daripada beberapa kegagalan di padang pancingan kolam air masin. Teknik perambut ni menggabungkan kaedah casting dan bottom, so aku boleh katakan perambut ni is the best of both; dua teknik permainan dalam satu. Dia macam casting dan bottom tapi lebih bestlah,hehe!

Teknik yang dikatakan 'casting' kolam air masin sebenarnya bukanlah casting sebenar sepertimana teknik casting menggunakan umpan tiruan. Casting umpan tiruan biasanya meliputi kedalaman air sekitar 1 meter untuk selaman dalam, 20 cm untuk selaman cetek dan top water. Manakala casting menggunakan umpan udang atau belanak di kolam air masin sukar untuk dianggarkan kedalaman selamannya dan hanya bergantung kepada kelajuan karauan dan berat umpan.

Maka 'casting' di kolam air masin sebenarnya adalah permainan bottom tetapi umpan diseret rapat ke dasar.Kebanyakannya tidak menggunakan perambut. Bagaimanapun ada kalanya keadaan tak mengizinkan bila ada sesetengah kolam dipenuhi lumut dan dasar kolam dibina struktur-struktur seperti batu-batu dan kolong(culvert) untuk dijadikan tempat persembunyian ikan.

Apabila umpan hidup atau mati diseret rapat kedasar dalam kolam yang sebegini,potensi umpan dijumpai ikan agak tipis. Pertamanya visibiliti dalam air yang rendah dan kebarangkalian umpan akan tersangkut/ tersorok didalam lumut. Bukan semua kolam ada ikan pemakan dasar.

Sebab itu kalau kita rajin memerhatikan, teknik pelampung adakalanya lebih efisien kerana umpan tergantung pada kedalaman yang optimum di zon ikan bermain. Bagaimanapun kelemahan teknik pelampung ni tetap ada, pertamanya sukar menganggarkan kedalaman kolam dan kepanjangan perambut yang sesuai. Satu depa? Dua depa? Bayangkan anda melempar umpan menggunakan perambut yang panjang di kolam pancing yang berbumbung rendah contohnya Kolam Pancing Kampung Delek Klang. Susah nak cast umpan woi!

Kelemahan kedua ialah pelampung hanyut merata tempat. Semua kolam menggunakan sistem pengudaraan jenis kipas dan ini menyebabkan airnya sedikit berarus. Pelampung yang hanyut ni bukan sekadar menyusahkan kita untuk selalu retrieve semula, malah mengganggu zon pancingan orang lain.

Hasil kajian kelebihan dan kelemahan tiap-tiap teknik samada bottom,casting dan pelampung, maka aku hasilkan satu teknik perambut yang boleh dikatakan hampir sempurna untuk menangani pelbagai jenis dan ragam kolam pancing.

Teknik ni menggabungkan kelebihan kaedah casting dalam mencari ikan instead of menunggu ikan, dan juga menjangkau zon ikan bermain yang dimiliki oleh teknik pelampung, tetapi tidak hanyut mengganggu orang lain.

Lihat gambar dibawah:

Boleh faham kan macamana ia berfungsi? Selain dari mampu diseret untuk mencari ikan di zon yang optimum, teknik perambut ini juga mampu mengatasi kelemahan perambut lain di kolam yang banyak lumut. Pelampung kecil akan mengangkat umpan keluar dari lumut-lumut atau rumpai2 dibawah air dan potensi ikan menjumpai umpan lebih tinggi. Ditambah lagi dengan menggunakan udang kopek, deria bau ikan akan cepat mengesan kehadiran umpan walaupun visibiliti air rendah.

Aku menggunakan setup seperti berikut:

Mainline: Seahawk Gachiri 4X 20lb

Leader: Daiwa J Thread 100% FC 40lb

Perambut: Daiwa J Thread 100% FC 60lb

Ladung: Saiz 3

Pelampung: 3g

Swivel: Bearing swivel

Mata kail : Fire Eagle Hosoji-Mutsu DX980 HC saiz 2/0 atau 3/0

* sedikit pembetulan pada gambar,yang aku labelkan mainline tu sebenarnya adalah fluorocarbon leader.

Teknik ni hampir sama dengan teknik perambut yang aku kongsikan sebelum ni cuma teknik tu ditambahbaik. Antara sebabnya adalah kedalaman kolam tak memadai untuk membolehkan perambut tersebut menggantung umpan pada ketinggian yang sesuai dari dasar kolam.

Aku tak jamin teknik ni mampu membuang saka kumpau korang, tapi kalau korang sering dihantui masalah kumpau teruk dengan teknik-teknik yang biasa korang guna, cubalah buat apa yang macam aku ajarkan ni. 

Aku pun macam korang juga asalnya, habis semua skil perambut dalam YouTube aku study, tapi belum cukup efektif. Macam-macam stail aku jumpa, yang complicated pun ada.Makin rumit teknik perambut anda, makin sukar untuk anda buat balingan. So keep it simple as possible and maximize your prensentation to the target fish. 

Tak perlu pakai banyak matakail, perambut pendek senang nak baling umpan,tak perlu potong leader kalau leader berbulu dimamah ikan bergigi tajam dan udang kopek tak memerlukan air pump. Mudah kan?

Kaedah ni mungkin boleh dicuba menggunakan soft plastic kerana sifat soft plastic yang timbul diatas air.