Isnin, 27 Mac 2017

Dendiar

Aku tulis cerita sejarah lagi boleh tak?

Hari ni tergerak hati nak tulis pasal sejarah Dendiar; satu watak yang tidak dikenali ramai tetapi kisahnya amat menarik untuk dihayati. Nama sebenar beliau  ialah Raden Diar Dhurmakusomo Ki Aji Ningrat. Artikel ni aku dah siapkan sejak minggu lepas lagi, tapi baru hari ni aku boleh publish. Jemput baca ye? 

Kisahnya bermula ketika era pemerintahan Kanjeng Ratu Kediri didalam kerajaan Giri ( Kediri ), sebuah kerajaan kecil di tanah Jawa. Ada dua beradik berlainan ibu iaitu Raden Kesumowijo dan Raden Manosekoro. Kanjeng Ratu Kediri melantik Raden Kesumowijo sebagai Pangeran Adipati Agung, iaitu bakal pengganti tampuk pemerintahan Kanjeng Ratu Kediri.
Kemudian Raden Kesumowijo (Pangeran Adipati Agung) mengahwini seorang penari bernama Mas Ayu secara senyap-senyap. Ini menyebabkan isteri Kanjeng Ratu Giri iaitu Radin Ratu Giri berasa marah. Al maklumlah darjat bangsawan tak boleh kahwin dengan orang kebanyakan. Tapi apa boleh buat, Pangeran Adipati Agung tetap berkahwin dengan wanita yang dia suka. Semasa Pangeran Agung keluar berburu, Radin Ratu Giri berpakat dengan Raden Manosekoro untuk menghapuskan Mas Ayu semasa ketiadaan Pangeran Agung.
Raden Manosekoro membunuh Mas Ayu dan membakar istana bersama-sama dengan anak hasil perkahwinan Pangeran Agung dan Mas Ayu iaitu Raden Mas (juga dikenal sebagai Raden Mas Ayu). Kebetulan ketika itu Pangeran Agung baru pulang dari berburu ( ada juga kisah yang mengatakan Pangeran Agung sengaja dihantar untuk berperang) lalu melihat istananya terbakar. Raden Mas berjaya diselamatkan manakala isterinya Mas Ayu mati dipangkuan Pangeran Agung.
Bersama-sama dengan pengikutnya termasuk Dendiar, Pangeran Agung amuk dan membunuh Raden Manosekoro serta konco-konconya. Kemudian Pangeran Agung bersumpah bahawa dia tidak akan lagi menjejak tanah Giri. Dendiar dan enam pengikut setia bersumpah untuk memporak-perandakan tanah Giri dan kerajaannya sehingga tiada lagi makhluk bernyawa, tetapi dihalang oleh Pangeran Agung.
Pangeran Agung meminta Dendiar bersumpah untuk melindungi tanah Giri sepanjang ketiadaan beliau dan Pangeran Agung pun meninggalkan Giri bersama anak perempuannya Raden Mas untuk selama-lamanya…


Kisah di Singapura Versi 1

Kemudian Pangeran Agung menetap di Singapura, atau lebih tepat lagi bertani di kaki bukit Mount Faber. Menjejak usia Raden Mas 17 tahun, beliau menjadi tarikan kerana kecantikannya. Satu ketika Raden Mas diganggu oleh kerabat Istana Johor, menyebabkan pangeran Agung dihukum kerana mempertahankan anak perempuannya.
Di hari yang sama, Dendiar belayar ke Singapura mencari bekalan. Perihal orang dihukum dikhalayak ramai menjadi buah mulut masyarakat disitu lalu menarik perhatian Dendiar. Dendiar terus ke Teluk Blangah untuk melihat hukuman tersebut dijalankan dan alangkah terkejutnya beliau apabila mendapati orang yang sedang dihukum itu ialah sahabatnya, Pangeran Agung, Putera Raja Giri.
Dendiar menerpa ke tengah khalayak ramai dengan keris yang terhunus ditangan lalu memperkenalkan dirinya sebagai Jeneral Perang Kerajaan Giri. Orang ramai terdiam kerana mereka tahu Kerajaan Karimun pernah dikalahkan beberapa tahun lalu oleh angkatan perang Kerajaan Giri.
Melihatkan keadaan Pangeran Agung yang agak teruk, Dendiar mahu amuk tetapi sekali lagi dihalang oleh Pangeran Agung. Melihatkan kejadian itu, Sultan Abdul Jalil memerintahkan Pangeran Agung dilepaskan dan memohon maaf.
Tidak lama selepas kejadian tersebut, Sultan Abdul Jalil mengaturkan perkahwinan adiknya Tunku Khalijah dengan Pangeran Agung sebagai tanda maaf dan juga sebagai jalinan antara dua kerajaan. Keraian perkahwinan diadakan di Teluk Blangah dan dihadiri Dendiar serta enam sahabat lain.
Daripada perkahwinan tersebut, Tunku Chik dilahirkan. Melihatkan keadaan menjadi semakin baik, Dendiar kembali ke Giri sebagai memegang janji yang pernah dibuat dahulu untuk menjaga tanah Giri.
Raden Mas yang semakin dewasa pula menjadi pujaan ramai kerana kecantikannya dan keturunan raja yang dimiliki. Bagaimanapun ini mengundang musibah baru apabila isteri Pangeran Agung, Tunku Khalijah mencemburui Raden Mas, manakala adik Tunku Khalijah, Tunku Bagus jatuh hati kepada Raden Mas.
Suatu malam, Tunku bagus meletakkan satu bahan untuk memabukkan dalam makanan Pangeran Agung lalu Pangeran Agung dikurung dalam perigi di belakang istana. Raden Mas pula dipaksa berkahwin dengan Tunku Bagus.
------------------
Beberapa bulan kemudian Dendiar datang ke Teluk Blangah untuk melawat sahabatnya, Pangeran Agung. Berita ini sampai ke istana lalu satu perancangan dibuat supaya Dendiar tidak dapat berjumpa Pangeran Agung yang dikurung. Pihak istana memaklumkan bahawa Pangeran Agung pergi ‘bersuluk’ atau istilah lainnya bertapa.
Bagaimanapun kebenaran tidak dapat disorok apabila Tunku Chik memberitahu bahawa bapanya dikurung dibelakang istana. Maka segeralah Dendiar pergi mendapatkan Pangeran Agung. Melihatkan keadaan bakal menjadi lebih buruk, Tunku Bagus cuba membunuh Pangeran Agung, tetapi dihalang oleh Raden Mas. Keris yang ditikam kearah Pangeran Agung mengenai Raden Mas dan Raden Mas menemui ajal. Akibat terlalu kecewa Pangeran Agung turut menghembuskan nafas terakhir.
Marah dengan peristiwa itu, tujuh pendekar Jawa ini amuk buat sekian kalinya selama tujuh hari tujuh malam. Ribuan penduduk kampung dibunuh dan kampung-kampung dibakar. Seisi istana melarikan diri menaiki kapal. 
Akhirnya Sultan menghantar Tunku Chik, anak Pangeran Agung ke pantai. Maka berkatalah Tunku Chik kepada Dendiar “ Raden Diar, sekiranya kamu bunuh semua orang, siapa lagi yang  tinggal untuk menjaga saya?”

Dendiar terdiam dan kemudiannya berkata, 
“Aku..Raden Diar Dhurmakusomo Ki Aji Ningrat akan berkhidmat dan patuh kepada Tunku Chik dan keturunannya sepertimana aku berkhidmat kepada Pangeran Agung sebagai tanda kesetiaan tidak berbelah bahagi terhadap Pangeran Agung.”

Artikel asal ditulis dalam bahasa Inggeris lebih panjang mencakupi peristiwa-peristiwa kemunculan Dendiar selepas ratusan tahun peristiwa diatas berlaku. Nanti bacalah di link asal sebab gaya penceritaannya lebih dramatik. Gaya aku tulis pulak biasa-biasa je tanpa pengisian emosi. Tapi aku harap terjemahan ke Bahasa Melayu ni tidak lari jauh dari maksud asal penulis.



Kisah di Singapura Versi 2

Suatu ketika semasa Pangeran Agung menjalani kehidupan sebagai petani bersama anaknya Raden Mas Ayu, teluk Blangah diserang lanun. Oleh kerana kehebatan Pangeran Agung bertarung, lanun berjaya ditewaskan. 
Kebolehan Pangeran Agung amat dikagumi Sultan dan satu rombongan dari Jawa mengesahkan ‘petani’ itu adalah Pangeran Agung, maka Sultan mengaturkan perkahwinan dengan puterinya dan mereka dikurniakan seorang anak lelaki yang diberi nama Tunku Chik.
Raden Mas pula semakin cantik dan amat dicemburui ibu tirinya. Satu hari kaki Tunku Chik terluka kerana terkena serpihan pinggan yang dijatuhkan oleh Raden Mas. Ibu tirinya amat marah dan berpakat dengan adiknya Tun Bagus ( Tunku Bagus ). Tun Bagus pula menaruh dendam kerana Raden Mas pernah menolak lamarannya.
Tun Bagus meracun Pangeran Agung lalu mengurungnya didalam perigi buta, manakala Raden Mas dipaksa kahwin sekiranya mahu mengelakkan dari bapanya dibunuh. Semasa majlis pernikahan, Raden Mas ditanya samada bapanya mengizinkan beliau berkahwin, Raden Mas terpaksa menipu dengan menyatakan bapanya sudah meninggal dunia sewaktu melawat tanah Jawa.

Tiba-tiba Tunku Chik mencelah,

”bapakku masih hidup dalam perigi buta!”

Maka komplot itu terbongkar, dan Pangeran Agung dapat diselamatkan. Khuatir Pangeran Agung membalas dendam, Tun Bagus cuba menikam Pangeran Agung tetapi dihalang oleh Raden Mas lalu keris tertusuk ke jantungnya. Dikatakan juga ketika berlaku kakalutan itu cuaca bertukar mendung dan isteri Pangeran Agung cuba melarikan diri tetapi dipanah petir.


Sepertimana  yang diketahui melalui penceritaan orang-orang dahulu, Dendiar dikatakan wujud sehingga era pemerintahan Sultan Ismail iaitu sekitar tahun 70’an. Dikatakan umurnya sangat panjang sehingga ratusan tahun.

Sebuah kampung kecil di kaki Mount Faber Teluk Blangah dinamakan Kampung Radin Mas dimana terletaknya rumah Pangeran Agung sewaktu tinggal di Singapura dan tempat bersemadinya jasad Raden Mas Ayu….

Bayangkan pula kalau kisah ni jadi sebuah filem dan Iko Uwais jadi Dendiar…perghhhh!!


2 ulasan:

Sharif ismail berkata...

Buat filem mmg gempak

Mat esang berkata...

Versi pertama dah di buat filem,try versi ke dua pula