Rabu, 29 Mei 2019

Enkei RPF1 Ayam Tayar Gemuk

Agak lama aku tak menulis berkenaan penyelenggaraan kereta, kereta aku lah tu. Bila dah lama makanya agak banyak parts yang aku telah tukar dan beberapa lagi akan menyusul.
Beberapa bulan lepas aku tukar spring kereta aku daripada spring cap ayam yang entah aku dah lupa namanya kepada spring buatan tempatan iaitu APM Performax. Spring APM Performax ni sedikit lembut dari spring sport cap ayam yang aku gunakan sebelum ni tetapi masih agak keras jika dibandingkan dengan spring asal Myvi.
Padanan spring APM, penyerap hentak asal dan tayar bersaiz standard 175/65/14 memberikan pemanduan yang sedikit selesa hasil kelegaan tebal tayar yang membantu menyerap hentakan halus.
Bagaimanapun penyerap hentak kereta aku dah berusia 10 tahun.Agak mengkagumkan ketahanan dia memandangkan perbatuan sebenar kereta aku rasanya sudah melebihi 500,000 kilometer. Aku agak bersedia sekiranya penyerap hentak ini gagal dalam masa terdekat.
Telahan aku ternyata benar bila kereta aku dinaikkan diatas ramp untuk proses penukaran rim dan tayar. Ahad lepas aku tukarkan rim standard Myvi Lagi Best bersaiz 14' kepada rim replika Enkei RPF1 bersaiz 15' ET30. Rim replika ini dipadankan dengan tayar buatan Jepun berjenama Yokohama BluEarth ES32 iaitu spec abah-abah. Maksudnya bunga tayar standard,kompaun sederhana lembut untuk cengkaman ketika kering dan basah.
Asalnya aku mahukan kombinasi rim dan tayar Toyo TR1, tayar prestasi tinggi buatan Kamunting,Perak. Malangnya tiada dalam stok, begitu juga dengan tayar Bridgestone Potenza RE003. Terpaksalah aku berpuashati dengan spec tayar gemuk 195/55/15. Kos yang terlibat cuma RM1600 tidak termasuk trade in. Rim asal aku bawa balik, entah apa nasibnya nanti.
Ok, semasa kereta diatas tanjakan, aku intai- intailah bahagian bawah kereta maklumlah kawasan ini jarang kita pantau. Aku nampak penyerap hentak sebelah kiri belakang diselaputi minyak, tanda ianya sudah bocor.
Aku terus buat tempahan penyerap hentak Kayaba RS Ultra dari sahabat pembekal alatganti iaitu ZL Autopart.
Memandangkan penukaran penyerap hentak ni lebih baik dibuat di bengkel yang pastinya ada air gun wrench, aku minta dipasangkan terus bersama-sama kelengkapan yang perlu ditukar sekali termasuk mounting dan aksesori getah menggantikan getah lama yang dah kematu.
Bila dibuka penyerap hentak lama, rupa-rupanya penyerap hentak hadapan kanan juga sudah hancur. Eloklah tu, mujur tukar satu set.
Harga satu set Kayaba RS untuk Myvi ialah RM520. Murah berbanding harga pasaran sekitar RM530-560.
Kos yang terlibat termasuk parts tambahan dan dan upah ialah RM800.
Parts tambahan yang aku tukar sekali ialah:
1. Mounting 1 set
2. Getah boot depan 1 set
3. Getah pelapik spring depan atas/bawah 1 set
4. Getah pelapik spring belakang 1 set
5.Hos air wiper Samco

Bagi aku harganya berpatutan untuk semua parts dan upah pemasangan. Korang rasa macamana? Ha, siapa-siapa yang berhajat untuk mendapatkan alatganti kereta terutamanya kereta Perodua dan produk Aisin, boleh beli di ZL Autopart. InsyaAllah harganya terbaik. Boleh cari pagenya di Facebook.
Dari segi keselesaan aku rasa tidaklah selesa mana sebab kombinasi APM Performax + Kayaba RS Ultra lebih sesuai untuk meratah selekoh sederhana laju. Kalau nak dapatkan sedikit keselesaan dan keyakinan  seperti melenjan Axia pekak aku rasa tahap kekerasan spring standard+Kayaba RS Ultra lebih sesuai.

Untuk projek akan datang set mounting,ATF filter dan oil pan kotak transmisi akan diganti sebelum pulang beraya.

Selasa, 5 Februari 2019

Politik di Sebalik Fenomena Hotwheels

Sekitar Jun 2016, aku mula terjebak dengan permainan Hotwheels. Antara model terawal yang aku beli ialah Chevy Chevelle 396 Leap Year,66 Ford Torino Talladega,Camaro model tahun berapa aku tak ingat dan juga Toyota AE86. Lepas tu pembelian aku agak slow sebab banyak jumpa kereta 'dinosor' mengikut panggilan peminat Hotwheels atau istilah sebenarnya ialah fantasy car.
Masa tu aku memang tak berkenan dengan kereta yang berbentuk fantasi sebab merepek kot. Jadinya fokus aku lebih kepada real car.
Setahun lepas tak banyak aku beli dalam sebulan,mungkin tiga unit atau paling banyak. Bukan pasal mahal, pasal citarasa. Masa tu aku tak nampak lagi scene Hotwheels dah mula jadi wabak teruk. Lokasi aku membeli pun tak pelbagai, biasanya pasaraya Giant atau Tesco itupun bila ada promosi. Harga RM7.90 boleh dikatakan berpatutanlah, kalau promosi beli 2pcs RM10.
Ada satu tahap aku macam malas nak beli dah sebab susah sangat nak jumpa model yang bagus. Kebetulan cuti raya tahun 2017, sorang kawan aku Mael namanya bagitau ada satu variasi model Hotwheels yang dinamakan Treasure Hunt. Siri ni dihasilkan dalam unit terhad. Kiranya kalau jumpa umpama jackpot lah.
Aku pun kaji la apadia Hotwheels Treasure Hunt. Rupanya ada dua kategori, pertama regular Treasure Hunt (RTH) dan yang lebih rare ialah Super Treasure Hunt.
Siri Super Treasure Hunt mungkin dikeluarkan sekitar 10 jenis model untuk tiap-tiap tahun. Istimewanya model Super Treasure Hunt ni, warnanya metalik, perincian yang lebih kemas dan disertakan dengan real rider iaitu tayar getah dan rim yang lebih real.
Set tayar istimewa ni memang memberi impak besar kepada penampilan Hotwheels sebab kalau kau beli Hotwheels biasa dan kau masukkan rim bertayar getah, rupa dia memang cantik lain macam.
Serupa kereta kita lah, kalau standard kilang memang bosan rupa dia. Sekali masuk sport rim haa tengok,mesti berseri.
Disebabkan siri Super Treasure Hunt teramat sukar ditemui, aku cuma mencari regular Treasure Hunt yang masih mudah dijumpai. Orang tak berapa nak gila sangat.
Tapi kemudian aku perasan kenapa model kereta Jepun pun amat susah nak dilihat tergantung bebas di rak pasaraya. Rupa-rupanya selain Super Treasure Hunt, apa juga model kereta Jepun (JDM) turut sama menjadi kegilaan pengumpul. Ni baru nak masuk isi penting tulisan posting aku.
Dalam scene Hotwheels Malaysia, ada amat ramai peminat yang menggilai model JDM dan Treasure Hunt. Yang Treasure Hunt tu tak kisah sebab benda memang rare. Kegilaan Hotwheels ni mewujudkan satu golongan 'pengumpul' tetapi fokus mereka cuma keuntungan dari kegilaan masyarakat.
Apa yang pengumpul atau istilahnya scalper ini buat ialah mereka akan memburu model- model spesifik yang mendapat permintaan tinggi dan memborong dalam kuantiti yang banyak. Tujuannya cuma satu; untuk dijual semula dengan harga tinggi. Nak lagi tinggi mereka buka bidaan.
Oklah, aku nak tanya dan aku jawab sendiri. Korang pernah tengok orang kumpul objek yang sama sebijik sampai puluh-puluh jenis? Contohnya kasut. Ada orang cukup gila tak nak beli Adidas Yeezy sampai 50 pasang atas alasan minat?
Jawapan aku, bullshit. Tak ada manusia kumpul benda sama sebanyak itu. Hatta lagenda pengumpul Hotwheels sekalipun tak ada koleksi semacam itu. Aku banyak kali tengok sesetengah so called collector ni show off koleksi diorang di media sosial.Ada sekali tu tengok sorang mamat ni tunjuk Honda Civic EF merah lebih 50 unit.
Heh, kalau ye pun minat Civic EF, kumpul la variasi warna yang pelbagai. Jadah apa kumpul model sama, warna sama.
Ianya berbalik semula pada minat. Model Civic EF boleh dikatakan masih hangat permintaannya. Harga biasa sekarang RM8.90, tetapi ditangan kapitalis-kapitalis ini ianya dijual antara RM25-35.
Menjual adalah hal penjual, kita ada hak untuk tak beli kalau dia jual mahal. Iye betul tu. Kalau ye pun nak berniaga jangan lupa hukum hakam. Mengambil untung berlebihan namanya riba'. Melayu kita ni takut makan babi je, makan riba ok takde masalah.
Permintaan tinggi model-model JDM ni pasal susah nak jumpa ada kaitannya dengan aktiviti kapitalis ni lah. Kapitalis biasanya berurusan terus dengan jalan belakang iaitu pengurusan stor pasaraya besar. Model-model hangat disisihkan terlebih dahulu dan saki baki model sampah akan dijual di rak-rak pasaraya.
Pasal tu la kalau korang perhatikan amat susah nak jumpa model yang baik di pasaraya.
Sebagai pengumpul biasa, aku dan ramai lagi pengumpul memperluaskan lagi skop pencarian. Antara lokasi biasa ialah kedai 7Eleven, KK Mart dan terbaru Family Mart. Itupun ikut rezeki jugalah. Kapitalis pun sama juga akalnya macam kita, tau je kat mana lubang-lubang baekkk untuk hunting.
Jika dulu hobi mengumpul Hotwheels boleh dikategorikan murah, sekarang tidak lagi. Aku move on dari Gundam dan siri-siri model skala dalam majalah sebab kos yang tinggi. Akhir-akhir ni hobi Hotwheels jadi makin mahal bila aku terpaksa mendapatkan model-model yang aku nak di laman jualan online.
Baru-baru ni pengumpul menggilai siri Gran Turismo yang dijual di 7Eleven. Dalam lapan model siri GT ni, dua daripadanya iaitu Nissan Skyline R34 dan Mitsubishi Evolution X paling sukar didapati sebab....JDM.
Dengan harga jualan RM17.80 di 7Eleven, melengkapkan kesemua lapan unit siri GT memerlukan modal lebih RM140. Aku pilih jalan mudah dengan membeli online satu set berharga RM115 sahaja.
Kalau kau beli seunit Skyline atau Evo tadi dari scalper, kos kau kena bayar tak kurang RM40. Modal minyak dan masa diorang cakap.
Ikut suka korang lah. Aku takkan sokong peniaga yang menjual harga riba. Selagi korang beli dari diorang, macam itulah harga yang akan diorang letak dimasa akan datang dan makin sukar korang nak dapat dengan harga murah. Jangan sokong, biar stok diorang yang berlonggok tu kurang permintaan. Masih ramai lagi penjual online yang berpatutan.
Baru-baru ni aku sempat tengok event open case di Giant Gombak. Kotak baru akan dibuka dan siapa yang bayar yuran boleh pilih sendiri dari kotak baru ikut giliran. Aku pergi dah lewat, so dapat beli yang biasa-biasa je. Itupun lepas kecek kat brader organizer. Yang JDM jangan harap la dia nak bagi aku.
Masalahnya Hotwheels yang aku ambil tu aku bayar kepada Giant. Maksudnya Hotwheels tu milik Giant. Adakah brader tu bayar lebih kepada Giant untuk pilih sendiri? Atau aku pun boleh buat benda sama kalau aku bayar lebih kepada Giant?
Itulah scene Hotwheels ya tuan-tuan. Mainan skala 1/64 pun banyak politik disebalik tabir. Apatah lagi urusniaga negara yang bernilai jutaan ringgit. Maka sebagai pengumpul asli, bertabahlah. Jangan jadikan hobi ni sebagai tekanan. Ada yang murah kita beli, yang mahal abaikan.