Wednesday, April 18, 2018

SYM VF3i

Kelas kapcai super moped nampaknya makin meriah dengan hadirnya SYM VF3i. Apa yang menarik ialah VF3i didatangkan dengan kapasiti enjin terbesar iaitu 183 cc. Selepas ni kategori ini akan berkembang menjadi berapa cc  pula agaknya? 200?

Jujurnya aku tak begitu mengenali jenama SYM, dan secara jujurnya aku masih sedikit skeptikal dengan jenama-jenama 'asing'. Alasannya jenama-jenama baru mungkin kurang lasak. Mungkin la ya? Hanya pengguna SYM yang layak memberi pendapat dari segi ketahanan enjin.

Tapi apa yang aku nampak, motosikal SYM agak banyak berkeliaran di Malaysia. Berapa lama jenama ini boleh bertahan, aku tak tahulah. Teringat akan jenama MZ dengan model skuter Moskito. Laku keras jugak model ni sebab zaman tu zaman hip hop, siapa yang ada sistem audio kiranya dah capai level bangsawan atau bahasa sekarang idola. Aku dengan kawan-kawan aku lebih selesa dengan kapcai 2 lejang. Bingit, laju dan rebel.
Tapi takde sorang ke yang perasan, mat-mat hip hop Amerika pakai skuter ke? Atau aku yang tak tau?
Sebagai model yang sangat popular awal millenium dahulu, secepat ia popular, secepat itu juga jenama ini hilang. Mungkin sokongan alat ganti menjadi masalah utama.

Aih dah berapa perenggan ni bila nak cerita pasal SYM?
Oklah, untuk mencuri kek pasaran super moped yang didominasi Y15ZR dan RS150R, resepi yang SYM gunakan sangat mudah; bina enjin yang lebih besar dah lebih berkuasa.
Enjin VF3i yang bersesaran 183cc menghasilkan kuasa sebesar 17.7hp @ 8500rpm, sedikit tinggi berbanding Y15ZR dan RS150R. Enjin sebesar ini tentunya meneguk bahanapi lebih cepat, maka ia dipasangkan tangki bahanapi 7 liter.
Rata-rata kapcai hanya diberikan tangki 4 liter, sejak puluhan tahun dahulu hinggalah ke era super moped. Entah apa logik diorang guna agaknya. Dah pakai 150cc pun masih lagi kekal tangki kapasiti sama.
Melihat kepada aksara model ini VF3i, angka 3 mungkin merujuk kepada penggunaan tiga palam pencucuh seperti Benelli RFS150i, dan huruf 'i' selalunya memberi maksud injection (pancitan bahanapi elektronik).

Berat kering 124kg, satu kilogram lebih berat berbanding RS150R. Bagaimanapun dengan kuasa enjin yang ada, sepatutnya VF3i mampu memecut lancar tanpa masalah.
Dan yang lebih penting, harganya hampir sama saja dengan pesaing utama. Itu kalau ikut harga yang dicadangkan pengeluar. Kalau jenama Yamaha toksah mimpilah boleh dapat harga cadangan, asal keluar je siri khas (bukan limited unit pun) harga confirm kena markup.

Lantak koranglah, siapa suruh beli benda murah dengan harga mahal. Daripada motor, sampai la ke hotwheels. Asal benda boleh jadi duit, muncullah spekulator-spekulator pasaran dan idola barang rare.
Padahal barang kat market semua dia borong supaya berlaku permintaan melebihi penawaran. Jijik betul aku dengar. Bila kita jual murah, kita pula yang kena kecam. Bunuh peniaga Melayu katanya. Hmmm...kepala bana betul.
Nasib baik hobi aku kumpul penutup injap tayar. Takde la saingan sangat, kalau ada pun bebudak basikal lajak dalam taman perumahan aku ni ha.

*imej dari paultan.org
Post a Comment

Post a Comment