Monday, July 16, 2018

Menukar Bearing Roda Depan Myvi

Assalamualaikum, salam semua.

Untuk siapa - siapa yang biasa baca blog aku, tentu maklum dengan satu tabiat aku iaitu DIY. Terutamanya kereta sendiri. Paling terbaru aku tukar bearing depan Myvi. Kerjanya tidaklah mudah tapi kalau berjiwa kental, ok je kot.

Sebelum tukar bearing, mesti ada sebab kita nak tukar ye dak? Problem bearing dah tentulah bearing tu dah tak smooth pusingannya. Kalau elok lancar takde bunyi-bunyian aneh buat apa tukar.
Bila tak smooth, kabin kereta kau berdengung kaw-kaw tahap annoying. Lagi kuat bila mendaki bukit.

Bearing roda kereta sebenarnya lasak dan tahan lama, tapi ada beberapa keadaan yang menyebabkan bearing pencen awal. Antaranya terlanggar lubang, sudut camber terlalu ekstrim dan juga menggunakan spring yang keras. Yaa..pakai spring keras sangat pun masalah ni boleh berlaku, sebab jalan kat negara kita ni tak cantik. Semua gegaran tadi tidak diserap sepenuhnya oleh suspensi dan dibebankan keatas bearing.

Dalam kes aku, aku syak puncanya spring lah. Memang keras sangat pun. Knuckle yang aku pakai sekarang ni pun bukan asal daripada kereta aku. Knuckle asal kereta aku tak ada sensor ABS. Jadinya knuckle ni datang dari sebuah Passo.
Bila dah namanya halfcut, kondisi asalnya kita tak dapat pastikan. Nasib lah kalau dapat yang elok.

Ok, nak tukar bearing kena la ada bearing. Myvi pakai bearing jenis roller yang kalau kau ikat habis nut driveshaft tu kuat-kuat pun takde hal.
Tapi kelemahan dia kau tak mampu nak ketuk keluar bearing tu sendiri. Mesti pakai special tool which is mesin press.
Ada jugak jenis bearing yang macam cone, tapi still roller jugak. Bezanya yang ni nak ketatkan nat driveshaft kena ngam-ngam. Ketat sangat bearing kau terbakar, longgar sangat tayar kau wobble. Biasa Proton Wira pakai kalau tak silap aku. Jenis ni kau boleh ketuk keluar sendiri bearing tu, tapi nak cantik suruh kedai jela press kan.

Bearing roda yang bermasalah dikesan berlaku pada roda depan kanan. Memang ada goyang-goyang sikit. Lagipun beban banyak ditanggung roda depan kanan ni. Sebab tu kalau korang perasan brek pad depan sebelah driver cepat worn out.

Alatan yang diperlukan ialah :

1. 2 x jack (untuk roda kiri dan kanan)
2. Set soket nat tayar
3. Spanar 14mm
4. Spanar 17mm
5. Tukul
6. Playar
7. Soket 30mm + adaptor
8. Paip besi hollow lebih kurang 0.7 meter
9. Bearing roda depan Myvi jenama Koyo
( DAC3564A-1CS31 )
10. WD-40 (pakailah dimana-mana yang dirasakan perlu)
11. Spanar 10mm

1. Langkah pertama jack dan buka tayar lepas tu letak bawah kereta berdekatan jack. Ni SOP standard berpomen. Nak selamat pakai stand.

2. Tanggalkan kaliper disc brake pakai spanar 17mm. Tanggalkan kaliper dari knuckle sahaja. JANGAN TANGGALKAN PAIP BENDALIR BREK.
Tanggalkan juga sensor ABS pakai spanar 10mm.
Kalau tak ada, abaikan.

3. Cabut disc brek. Biasanya longgar je. Kalau ketat, ketuk-ketuk sikit kat tengah disc. Jangan sampai bengkok dah la.

4. Marking absorber dan knuckle untuk elakkan dari sudut camber lari lintang pukang. Aku pakai paint marker. Kemudian buka dua nat 17mm untuk pisahkan knuckle dan absorber.

* Tanggalkan juga stabilizer link. Tak perlu buka semua, cukup dengan buka nat di bahagian yang bersangkut dengan lower arm sahaja.
Stabilizer link ni kalau kau jack sebelah tayar je memang susah nak buka, pasang balik nanti lagi la susah. Seeloknya jack dua-dua belah tayar depan.
( sebab tu aku liskan dua unit jack )

5. Seterusnya tanggalkan tie rod end steering rack. Nat saiz 14mm kalau tak silap aku. Lepastu ketuk bahagian knuckle yang berhampiran dengan tie rod. Jangan takut mengetuk, ni memang kaedah dia.

6. Buka kekunci nat driveshaft, tanggalkan pin dan kekuncinya. Pakai soket 30mm. Kalau tak ada beli satu. Aku pun kena beli sebab lupa ada nat sebesar ni. Dah la soket besar, kena beli adaptor pulak sebab soket tu pakai soket handle L  saiz lori. Besar sikit.

7. Buka nat 30mm tu, henjut pakai handle L yang disambung dengan paip besi. Kurang azab sikit nak memusingnya.

8. Di bawah knuckle ada satu lagi nat yang mengikat knuckle dan bersambung dengan lower arm. Natnya saiz 17mm beserta pin. Yang ni pun kena ketuk kuat. Buat kerja siang supaya tidak dibenci jiran. Ketuk knuckle tu ya, jangan ketuk lower arm.

9. Selesai longgarkan/pisahkan knuckle dari lower arm, tarik keluar knuckle dari driveshaft. Jangan sampai driveshaft tercabut.

10. Berjaya tanggalkan knuckle bermakna dah selesai part yang paling sakit. Bawalah knuckle tu ke kedai tayar sekali dengan bearing baru untuk ditekan masuk. Kerja-kerja tekan bearing ni memerlukan mesin khas. Kalau ketuk sendiri aku rasa sampai minggu depan pun tak boleh siap.

11. Kos memasukkan bearing sahaja antara RM22 - RM35. Nanti hujung artikel aku totalkan kos yang terlibat.

12. Setel pasang bearing, reverse balik step tadi.

Kos-kos yang terlibat :
1. Bearing Koyo RM55
2. Soket 30mm+ Adaptor :RM42
3. Upah press bearing: RM30 (kat tempat aku cajnya agak mahal)
Total = RM127

Kalau buat kat kedai sepenuhnya aku tak tau caj berapa, tapi yang aku pasti bila buat sendiri ni penatnya boleh tahan. Aku anggarkan upahnya antara RM50 - 70.

Berbaloi ke tidak buat sendiri ni?
Bagi aku berbaloi sebab satu pengalaman baru dan pembelajaran baru untuk aku. Bagi yang tak minat aku cadangkan tak payah la susah-susah pegang spanar. Buat kotor tangan je.

Antara jalan pintas lain untuk atasi masalah bearing berdengung ni korang beli je knuckle halfcut. Biasa diorang jual sepasang sekali dengan disc brek. Anggaran harga RM200. Boleh juga request nak knuckle saja, dalam RM100 bergantung pada runner yang jual. Tapi macam aku cakap kat atas tadi lah, nasib kalau dapat yang cun.

Setel kerja tukar bearing, excited la aku nak test nikmat hasil kerja sendiri. Aik? Awat bunyi berdengung tak hilang??

Rupa - rupanya bearing depan kiri pun melingkop daaa....



Post a Comment

Sunday, June 10, 2018

God of War PS4; Bagai Blade of Chaos Pulang ke Genggaman Kratos


Isnin baru-baru ni permainan video PS4 yang aku beli dah sampai dengan selamatnya. Sebenarnya aku order dari Lazada pada 28/5/2018 (Isnin) bersekali dengan controller DS4, tapi controller sampai dulu. Lebih kurang 3 hari. Game God of War pulak tersangkut entah kat mana, seminggu baru tiba di pejabat.
Ok, aku nak ulaskan sikit game God of War PS4 yang aku beli dengan harga RM219 selepas ditolak 0% GST. Progress permainan setakat ni lebih kurang 68% iaitu chapter ke-11 daripada 16 keseluruhan.
Sikit pengenalan tentang game God of War, game ni berkenaan watak utama Kratos (demigod) yang melalui perjalanan menentang dewa-dewa Greek setelah keluarganya mati akibat diperdaya oleh dewa perang, Ares.
Mula diperkenalkan pada platform PS2 ( God of War & God of War II ), ada beberapa lagi siri lagi yang dikeluarkan untuk platform PS3 dan PSVita. Untuk siri PS3 dan PSVita, aku tak dapat main sebab memang aku takde konsol PS3.
Kalau sebelum ni latarbelakang permainan GoW bertemakan dewa-dewa Greek, GoW terbaru bertemakan dewa-dewa Nordic. Tak tau? Sebut THOR mesti ramai kenal.


Khabarnya Kratos membawa diri jauh dari Greek dan menjalani kehidupan sebagai orang biasa di dunia Midgard. Asas jalan cerita GoW PS4 ialah berkenaan perjalanan Kratos ke puncak gunung untuk menabur abu mayat isterinya bertemankan anak beliau iaitu Atreus.
Disebabkan Kratos sekarang berada di dunia mitologi Norse (Nordic), maka maka watak dan tempat-tempat dalam pengembaraan Kratos ialah seperti didalam filem Thor. Watak-watak mistik juga pelbagai, berbelit lidah nak menyebutnya.

Diawal permainan, Kratos tidak membawa senjata trademarknya iaitu Blade of Chaos, sebaliknya mendapat senjata baru iaitu Leviathan Axe, sejenis kapak yang boleh diupgrade dengan kuasa mistik.
Ada empat mod kesukaran dan tetapan lalai ialah Give Me a Balance Experience, tapi aku boleh katakan perlawanan pertama menentang The Stranger (Baldur) amat sukar dengan Leviathan Axe yang masih 'standard kedai'. Disebabkan aku tak nak tersangkut kat mana-mana boss fight, aku terpaksa merendahkan tahap kesukaran iaitu mod 'Give Me a Story'.

Untuk musuh-musuh biasa, Leviathan Axe sudah memadai, tapi bila pertama kali jumpa Valkyrie, aku mula merindui kepantasan Blade of Chaos. Apapun jangan risau, senjata-senjata anda jyga akan makin kuat. Ada sesetengah musuh kalis senjata tertentu.
Dalam banyak-banyak musuh termasuk naga yang besar, Valkyrie adalah seteru yang paling sukar untuk ditewaskan. Sepanjang permainan khabarnya ada lapan Valkyrie yang berlainan nama. Apa yang agak mengejutkan ialah Valkyrie pertama tu merupakan Valkyrie yang paling 'mudah' ditewaskan. Whatt???
Mujurlah perlawanan dengan Valkyrie tidak wajib. Anda boleh mengelak untuk bertarung dengannya dan tidak menjejaskan jalan cerita. Kelapan-lapan Valkyrie boleh ditemui dalam Secret Chamber of Odin, yang hanya boleh dibuka dengan serpihan chisel. Chisel ni akan diperolehi dipertengahan permainan. Bila senjata dah makin kuat, barulah aku akan cari balik Valkyrie - Valkyrie ni.
Sebelum ni upgrade senjata agak mudah dengan hanya mengumpul Soul dan Experience, kali ni naiktaraf senjata perlu melalui adik-beradik blacksmith. Sepanjang permainan anda akan mengumpul Experience dan Hacksilver.
Hacksilver ni diperolehi samada dari peti-peti ataupun tempayan. Maka bertepatan dengan konsep gamplay 'hack and slash',anda perlu rajin menebas apa juga peti atau tempayan yang bertebaran sepanjang perjalanan.
Sambil-sambil anda mendayung perahu kolek ditengah Lake of Nine pun banyak benda boleh dikutip. Langgar je tong-tong kayu untuk mendapatkan Hacksliver, perhatikan kilauan berkabus dipermukaan air dan anda akan mendapat Aegirs Gold dan perhatikan kilauan putih kebiru-biruan dan petik Dew of Yggdrasil.

Perubahan ketara antara GoW versi Greek vs. Nordic ialah Kratos yang sudah tua ini tidak lagi semberono membunuh apa saja makhluk. Kratos yang ini lebih matang, mungkin kerana sebagai bapa beliau lebih matang dan tenang barangkali kerana perjalanan kali ni ditemani anaknya Atreus.
Macam kita lah, takkan nak tunjuk perangai baran zaman muda depan anak-anak.
Perbezaan lain ialah hanya satu watak wanita yang ditemui setakat ni iaitu Freya,seorang ahli sihir baik dan juga sebenarnya seorang dewa. Pakaian Freya juga lebih bertamadun, tidak seperti era Greek yang amat 'revealing' dan tak sesuai ditonton anak-anak kecil. Maklumlah zaman purba dulu masih jahiliah. Maka fesyen pakaian mereka lebih ringkas.
Penyelesaian puzzle memang banyak, ada yang mudah dan ada yang sukar. Kalau stuck tak boleh solve, buka je Walkthrough yang banyak di internet.Hihihi!
Dunia 9 Realm dalam GoW ni amat luas, banyak tempat yang boleh diteroka bergantung pada tahap 'akses' yang dipunyai Kratos pada masa tersebut. Makin jauh perjalanan Kratos, makin banyak bilik yang boleh diakses.
Setakat ni aku boleh bagi 8.2 bintang untuk GoW terbaru ni. Berbaloi, cuma soundtracknya tidak lagi semantap GoW II. Muzik latarnya agak 'plain', tak rasa macam nak mengamuk sepanjang masa bila jumpa musuh.

*Setakat malam tadi aku dah sampai ke peringkat membunuh Baldur. Bukan main marah mak dia. Maknanya game ni sudah hampir sampai ke penghujung. Khabarnya God of War versi Nordic ni adalah permulaan perjalanan baru untuk Kratos. Walaupun jalan cerita hampir tamat, masih banyak Realm yang belum diteroka.

Sekian, terima kasihhh!




Post a Comment

Wednesday, April 18, 2018

SYM VF3i

Kelas kapcai super moped nampaknya makin meriah dengan hadirnya SYM VF3i. Apa yang menarik ialah VF3i didatangkan dengan kapasiti enjin terbesar iaitu 183 cc. Selepas ni kategori ini akan berkembang menjadi berapa cc  pula agaknya? 200?

Jujurnya aku tak begitu mengenali jenama SYM, dan secara jujurnya aku masih sedikit skeptikal dengan jenama-jenama 'asing'. Alasannya jenama-jenama baru mungkin kurang lasak. Mungkin la ya? Hanya pengguna SYM yang layak memberi pendapat dari segi ketahanan enjin.

Tapi apa yang aku nampak, motosikal SYM agak banyak berkeliaran di Malaysia. Berapa lama jenama ini boleh bertahan, aku tak tahulah. Teringat akan jenama MZ dengan model skuter Moskito. Laku keras jugak model ni sebab zaman tu zaman hip hop, siapa yang ada sistem audio kiranya dah capai level bangsawan atau bahasa sekarang idola. Aku dengan kawan-kawan aku lebih selesa dengan kapcai 2 lejang. Bingit, laju dan rebel.
Tapi takde sorang ke yang perasan, mat-mat hip hop Amerika pakai skuter ke? Atau aku yang tak tau?
Sebagai model yang sangat popular awal millenium dahulu, secepat ia popular, secepat itu juga jenama ini hilang. Mungkin sokongan alat ganti menjadi masalah utama.

Aih dah berapa perenggan ni bila nak cerita pasal SYM?
Oklah, untuk mencuri kek pasaran super moped yang didominasi Y15ZR dan RS150R, resepi yang SYM gunakan sangat mudah; bina enjin yang lebih besar dah lebih berkuasa.
Enjin VF3i yang bersesaran 183cc menghasilkan kuasa sebesar 17.7hp @ 8500rpm, sedikit tinggi berbanding Y15ZR dan RS150R. Enjin sebesar ini tentunya meneguk bahanapi lebih cepat, maka ia dipasangkan tangki bahanapi 7 liter.
Rata-rata kapcai hanya diberikan tangki 4 liter, sejak puluhan tahun dahulu hinggalah ke era super moped. Entah apa logik diorang guna agaknya. Dah pakai 150cc pun masih lagi kekal tangki kapasiti sama.
Melihat kepada aksara model ini VF3i, angka 3 mungkin merujuk kepada penggunaan tiga palam pencucuh seperti Benelli RFS150i, dan huruf 'i' selalunya memberi maksud injection (pancitan bahanapi elektronik).

Berat kering 124kg, satu kilogram lebih berat berbanding RS150R. Bagaimanapun dengan kuasa enjin yang ada, sepatutnya VF3i mampu memecut lancar tanpa masalah.
Dan yang lebih penting, harganya hampir sama saja dengan pesaing utama. Itu kalau ikut harga yang dicadangkan pengeluar. Kalau jenama Yamaha toksah mimpilah boleh dapat harga cadangan, asal keluar je siri khas (bukan limited unit pun) harga confirm kena markup.

Lantak koranglah, siapa suruh beli benda murah dengan harga mahal. Daripada motor, sampai la ke hotwheels. Asal benda boleh jadi duit, muncullah spekulator-spekulator pasaran dan idola barang rare.
Padahal barang kat market semua dia borong supaya berlaku permintaan melebihi penawaran. Jijik betul aku dengar. Bila kita jual murah, kita pula yang kena kecam. Bunuh peniaga Melayu katanya. Hmmm...kepala bana betul.
Nasib baik hobi aku kumpul penutup injap tayar. Takde la saingan sangat, kalau ada pun bebudak basikal lajak dalam taman perumahan aku ni ha.

*imej dari paultan.org

Post a Comment

Tuesday, April 17, 2018

Kawasaki Ninja 400 2018

Asalnya aku ada tulis dua entri berbaur politik, tapi mengenangkan ilmu politik aku amat rendah, ada baiknya aku peram saja entri tu. Kang tak pasal-pasal ramai yang maki aku secara berjemaah.
Orang kita ni lain macam sikit, benda fitnah memang seronok dibualkan.

Okaylah, aku kembali kepada fitrah penulisan aku iaitu penulisan berbentuk teknikal. Kali ni aku nak tulis sikit pasal motorsikal kelas pertengahan yang tak berapa nak tengah. Tapi agak menarik bila aku baca review matsaleh.

Ini dia, Kawasaki Ninja 400 2018! Tepuk tangan sikit.

Sebelum ni Kawasaki pernah menjual Ninja 250 dan 300 tapi khabarnya maklumbalas pengguna menyatakan kapasiti 300 mematangkan mereka terlalu cepat. Maksud lainnya pengguna baru cepat bosan agaknya dan memerlukan mereka menaiktaraf motorsikal kepada yang lebih berkuasa.
Oleh kerana Kawasaki ZX-6R 636 berada pada kelas harga yang jauh berbeza dari kategori entry level, maka Kawasaki membina motorsikal kelas baru yang seronok ditunggang, dan dalam masa yang sama dijual pada tanda harga dalam lingkungan mampu milik.
Kawasaki Ninja 400 dibina daripada '0',maksudnya bukan upgrade dari model terdahulu. Rekabentuk badan hampir menyerupai abangnya ZX10-R.
Enjin 399 c.c dua silinder parallel empat lejang mampu menjana 33.4kW @ 10,000rpm (45hp).

Saiz bore 70mm x  stroke 51.8mm membayangkan enjinnya dibina untuk capaian kuasa pada rpm tinggi. Dipadankan dengan transmisi 7 kelajuan, brek cakera hadapan tunggal 310mm, dan berat 168kg, khabarnya motorsikal ini amat lincah dan seronok ditunggang. Isipadu enjin lebih besar, tapi 9kg lebih ringan daripada adiknya, Ninja 300.

Satu maklumat menarik yang aku dapat ialah posisi tunggangan sedikit menegak, maksudnya tidak membongkok sebagaimana 'abang-abang'nya dari kelas supersport. Bagi aku baguslah untuk warga pertengahan yang sakit tulang belakang tapi masih mahukan motorsikal dengan potongan badan ala-ala superbike.

Tangki bahanapi memuatkan 14 liter petrol dan tahap penggunaan bahanapi adalah dianggarkan
27.6km/liter. Dengan setangki penuh dapat meliputi jarak 386km. Anggaplah jarak maksimum 300km dan bakinya sebagai reserve. Maksudnya kalau aku balik kampung, baki dalam tangki boleh buat ronda-ronda pusing kampung 10 round.

Mengikut lama web pandulaju.my, harga yang ditawarkan ialah antara RM20,401.00 hingga RM22,422.00. Seriously!?
Ini lingkungan harga Ninja 250 masa mula-mula dijual sekitar 2008/2009 dulu.
Jangkaan aku ianya diberikan tanda harga sekitar RM30,000.00. Nampak lebih masuk akal.

Masalahnya Ninja 400 2018 bila nak jual kat Malaysia ni?




Post a Comment

Thursday, April 5, 2018

Jam

Hari ni aku nak kongsi cerita pasal jam.

Sebelum wujudnya zaman gadget elekronik yakni sekitar 20 tahun lepas, jam tangan adalah satu aset yang boleh dibanggakan. Jangan compare dengan zaman sekarang ya, zaman dulu beli jam tangan canggih umpama beli iPhone tau? Kami yang lahir era 80’an je mengerti situasi macam ni. Adik-adik 90'an semua kenal tak bengkel makhluk asing (Alien Workshop) tu apa?

Jam pertama aku ialah jam Boy London. Arwah bapak aku belikan kat pekan Sekinchan kalau tak silap aku. Masa tu aku tingkatan satu, sekitar tahun 1995. Jam ni tidaklah canggih, yang menariknya cuma faceplate dia mampu bertukar warna mengikut suhu sekeliling. Kalau kat kampung aku, waktu pagi-pagi pergi sekolah tu boleh la tengok warna dia berubah.
Tak lama lepas tu jam ni viral satu sekolah. Haha! Masa tu aku dah tak berkenan nak layan jam jarum sebab jumpa jam yang nampak lagi best.

Jam kedua aku ialah Casio Illuminator model W87H-1V yang aku beli dengan harga RM 180 sekitar pertengahan tahun 1996. Dulu – dulu pengiklanan jam adalah melalui majalah. Salah satunya adalah majalah URTV. Dalam majalah punya la cantik jam G-Shock dengan Baby-G. Tapi tak mampu lah pulak nak beli G-Shock.

Dengan bermodalkan duit biasiswa, aku beli la jam ni. Walaupun tak sehebat G-Shock, illuminator backlight yang ada pada jam ni boleh dibanggakan jugalah. Jam ni amat-amat tahan lasak, aku pakai hampir sepanjang masa dari tingkatan dua sampailah habis pengajian sijil Politeknik tahun 2002. Bawa mandi tu biasalah, terjun sungai (siap main lampu dalam air),dan berlumur minyak hitam enjin. Jam ni tetap gagah berkhidmat. Alarmnya cukup kuat untuk membangunkan aku tiap pagi.
Di penghujung hayatnya, kejituan masa yang ditunjukkan semakin lemah. Waktu yang ditunjukkan semakin ‘lari’ walaupun ditukar bateri baru. Mungkin disebabkan oleh crystal oscillatornya yang semakin uzur.
Jam ni masih boleh didapati dipasaran dengan harga sekitar RM127 (USD28.3).

Lepas jam tu rosak, aku dah tak pakai jam tangan dalam tempoh yang agak lama. Walaupun terasa janggal, perasaan tu sekejap saja sebab zaman tu dah memasuki era telefon bimbit. Apa-apa hal tengok jam telefon je.
Kemudian bila hampir menjelangnya alam perkahwinan sekitar pertengahan 2010, aku dihadiahkan jam Fossil Decker Silicone Chronograph. Jam ni aku pilih sebab nak merasa pakai jam yang nampak matang sikit. Harganya aku tak ingat berapa, tapi harga pasaran sekarang sekitar RM400++. Jam ni walaupun nampak best, ianya tak sesuai dengan kondisi pekerjaan aku yang lasak.
Kalau diperhatikan baik-baik, cerminnya sedikit timbul dari bezel menyebabkannya mudah tercalar dan sompek kalau terjatuh. Alat ganti boleh dapat dari cawangan Fossil One Utama, tapi nak tunggu cermin tu sampai berbulan-bulan lamanya.
Talinya walaupun diperbuat dari silikon, lenturannya tidak mengikut kontur pergelangan tangan menyebabkan pergelangan tangan rasa macam tersepit. Penggunaan bateri juga agak kuat. Kali terakhir aku tukar bateri, jam ni bertahan beberapa bulan sahaja.
Pendapat aku jam ni tak sesuai dengan aku. Mungkin orang lain pakai ok,so aku tak boleh salahkan kualiti Fossil juga.

Jam ketiga aku beli ialah jam Casio G-Shock GD200-2DR. Harganya sekitar RM340 pada pertengahan tahun 2012. Jam ni aku rasa berada dalam kategori G-Shock entry level sebab masa tu aku baru tau ada jam G-Shock yang harganya ribuan ringgit.

Spesifikasi jam ni biasa-biasa saja, bersesuaian dengan ranking entry level. Ada world time, carbon fiber insert band dan autolight …itu saja. Walaupun jam ni dari keluarga G-Shock, aku tak bawa melasak langsung, hatta waktu mandi pun aku tak pakai. Cukup setahun, jam ni gagal berfungsi. Aku bawa untuk diperbaiki, malangnya waranti baru saja tamat beberapa hari dan kos pembaikan lebih kurang sama dengan beli baru.
Kesudahannya aku simpan saja dalam kotak, temankan Fossil Decker Silicone Chronograph. Aku pernah menghubungi syarikat Casio melalui emel supaya mengkaji balik samada modul jam 3267 layak memakai title G-Shock.

Semalam aku survey keyword GD200 di Facebook, nampaknya jam ni dah mula dijual secara bidaan dalam page Facebook G-Shock vintage. Kondisi terpakai 9/10 boleh capai harga minima RM200 jugak la.

Jam keempat dari jenama Casio juga tapi betul-betul yang murah punya iaitu Casio Illuminator AE 1000W. Aku beli online bulan puasa tahun lepas dengan harga RM120 kot sebab nampak cantik dalam gambar. Pastu spesifikasi dia tulis bateri tahan 10 tahun.
Bila jam tu sampai, aku godek-godek lampu dia, nah haiiii….setompok nyalaan oren dibelakang LCD. Kecewa sungguh. Kat bezel tulis illuminator, apa barang ni tahun 2015 pakai mentol… Jam ni aku pakai agak jarang dan akhirnya selepas beberapa bulan, jam ni lesap entah kemana. Mungkin jam tu membawa diri sebab tak dihargai kot.

Kemudian pertengahan November 2016, aku belek-belek GD200 yang terperuk dalam kotak. Kebetulan aku ada beli set screwdriver kecik untuk tukar bateri remote alarm kereta. Memang jadi kebiasaan aku untuk membaraikan harta benda yang dah diisytiharkan rosak.
Lepas aku buka cover belakang jam, aku cuba buka baterinya. Masa tu hujung screwdriver tersentuh sesuatu dan backlight jam tiba-tiba menyala,tapi kosong tak ada display. Mungkin ada litar pintas kot, 

Yela jam dah diisytiharkan rosak kan, macam-macam boleh jadi. Kemudian timbul garisan ---- kat paparan jam disusuli kemunculan angka 12.00am. Lebih kurang macam boot system la gayanya.
Lepas aku tutup cover belakang dan laraskan waktu, nampak ada piksel mati di ruangan tarikh. Itu sahaja yang nampak kurang sempurna, lain-lain fungsi masih ok. Selepas bertahun-tahun dia ‘koma’, tiba-tiba dia hidup balik, terpaksalah pakai semula. Hihiiii…Rasa macam Illuminati pun ada kalau korang ingat cerita Lara Croft.

Perancangan masa depan aku nak beli model GA-1100GB Gravity Master untuk menggantikan GD200, tiba-tiba terserempak pulak dengan model Mudman GG-1000-1A3. Dengan tali warna military olive green dia…fuhhhh! Bergegar tulang rusuk.

Tahun depan siap kau!

Post a Comment

Gadis Muda Penjarah Tanah Kuburan

Ok, ini bukanlah game baru. Tomb Raider versi 'reboot' Lara Croft ni direlease untuk platform PS3 pada Mac 2013 dan dikemaskini untuk platform PS4 pada Januari 2014.

Game ni aku baru saja main, ya, memang lambat, selepas 3 tahun ketinggalan. Alasan aku beli game lama ni adalah kerana aku suka genre action-adventure. Satu tarikan lagi adalah kerana Lara merupakan seorang penjarah lokasi-lokasi bersejarah. Pendek kata kalau ada kaitan dengan sejarah aku akan beli ( bila ada bajet LOL ).

Sebenarnya aku nak beli game Rise of Tomb Raider, tapi ter'klik' BUY NOW dan bila selesai transaksi baru aku perasan yang aku dah salah beli!Patut la murah.
Tapi tak apalah,janji game untuk PS4. Jangan macam awal-awal dulu, siap terbeli game PS3 ingatkan PS4 ada 'backward compatibality'. Terasa bodoh betul masa tu sebab tak kaji awal-awal.

Tomb Raider Definitive Edition (TR:DE) ni aku baru main lebih kurang 60% tapi aku rasa boleh la listkan point-point yang aku dapat dalam perjalanan game ni.

1. Game ni bergenre 'action-adventure' atau senang cerita sebijik macam siri game Uncharted. Siapa biasa main Uncharted tentu tak ada masalah. Kita mudah serasi dengan kawalan karekter utama. Tapi kalau boleh aku kategorikan dia dalam kategori 'horror action-adventure' sebab ada unsur-unsur cult pada musuh Lara.

2. Jalan cerita predictable, puzzle-puzzle juga agak mudah untuk diselesaikan (Normal Mode).

3. Grafik boleh la. Sebab versi remastered. Bukan dibangunkan khas untuk PS4.

4. Disebabkan yang aku main ni adalah Definitive Edition, ada banyak extra antaranya pilihan pakaian, Galeri, Komik Digital Video Kredit dan entah apa lagi aku dah lupa.

5. Aku menjangkakan banyak bangunan-bangunan purba yang cantik macam dalam Uncharted tapi setakat ni hanya tinggalan era WW2 sahaja. Begitu juga dengan kerajaan purba Yamatai, tidak nampak 'gah' struktur senibinanya. Agak tidak kena dengan tema Tomb Raider sebenarnya. Mungkin ini kerana Lara Croft yang ini adalah Lara Croft muda, jadi mungkin pengembaraannya belum sampai lagi ke lokasi-lokasi purba yang lebih ohsem.

6. Lara Croft baru ni susuknya lebih sesuai sebagai sorang pengembara, tidak seperti Lara Croft lama yang pernah dipotretkan oleh Angelina Jolie. Lara yang lama lebih seksi, tapi kelihatan agak tidak sesuai melakukan aksi lasak dengan boobs yang besar. Dari segi pembawaan emosi dan karekter individu, aku lebih suka Chloe Frazer ( Uncharted:The Lost Legacy). Lara Croft agak kaku.

7. Penggunaan senjata juga mudah. Kawalan macam ni serius senang. Aku tak paham kenapa game Last of Us susah betul nak gunakan item-item dia. Sampai sekarang aku masih rasa ralat sebab orang cakap game tu best giler.

8. Jalan cerita game agak panjang, kira berbaloi jugak la kau beli. Hujung tahun lepas aku ada beli Call of Duty: WW2, tapi rasa kerugian sebab gamenya pendek. Developer lebih fokus pada permainan online.

Secara amnya untuk masa ini aku bagi rating 6/10.

Post a Comment

Wednesday, March 14, 2018

Bebelan Dunia Automotif Tempatan




Beberapa minggu lepas kalau tak salah, aku ada terima satu mesej Whatsapp berkenaan transplan enjin 3SZ pada sebuah Myvi. Rupa-rupanya beliau adalah pembaca blog aku dan katanya dari blog ni lah beliau terispirasi untuk menukar enjin.

Terima kasih banyak-banyak ya? Aku harap penulisan aku sebelum ni dapat memberi manfaat berterusan kepada sesiapa saja selagi blog ni wujud. Maaf sebab semakin kurang menulis kebelakangan ni.

Ada sedikit tambahan untuk cerita Myvi 3SZ tu dan aku rasa agak penting juga. Pertamanya sistem suspensi dan tayar. Enjin 3SZ dibina dengan asas blok besi tuang, jadi ianya agak berat berbanding enjin K3VE. Sebaiknya dapatkan sistem suspensi yang mampu menampung berat enjin baharu. 

Berkenaan dengan tayar, aku  perhatikan tayar bersaiz standard (175/65/R14) tak sesuai digunakan. Set up tayar asal kilang kalau kita perhatikan pada Myvi standard pun menyebabkan tayar kelihatan seperti kurang tekanan angin sekalipun kita pamkan mengikut rekomendasi pegeluar (220kPa).

Satu sebabnya ialah tayar berketebalan 65 tidak mempunyai sidewall yang kuat sepertimana tayar berprofil rendah. Kalau dipam setinggi 240kPa, tak selesa pula. Habis bergegar dashboard. Aku rasa saiz rim yang sesuai ialah antara 15 atau 16 inci sahaja. Kalau nak sumbat rim 17 pun boleh, tapi laburlah modal yang besar sikit untuk membeli set suspensi bolehlaras yang ada reputasi cemerlang.
Lagipun dengan saiz minima rim 15 inci, korang boleh pasang sekali rotor brek bersaiz 11 inci. Tak perlu la sampai berdiri bila tekan brek kecemasan.



------------------------------------------------------------


Kebelakangan ni juga banyak perkembangan automotif yang kita dapat tengok. Paling ketara sekali ialah kemunculan supercar-supercar elektrik yang senang-senang je boleh mengatasi kelajuan supercar berenjin petrol. Pernah dengar tak jenama Rimac Automobili? Model Concept S dia boleh sprint 0 - 100km/j dalam masa 2.5 saat je gila. Top speed 365km/j sahaja. Rimac ni jenama dari negara Croatia. Ya, negara yang aku rasa takde jenama kereta nasional yang boleh dibanggakan pun sebelum ni.

Dulu aku skeptikal juga dengan kereta elektrik ni. Apa barang kereta laju takde bunyi perang. Tapi itulah, kita kena move on juga bila sampai masanya. Bila kereta elektrik makin laju,kos makin murah, tempoh pengecasan pantas dan jarak pemanduan sekali cas 1000km misalnya, itulah masa yang sesuai untuk kita berubah kearah dunia yang lebih bersih.

Satu perkembangan yang menarik lagi di Malaysia ialah Honda Malaysia mencatat rekod sebagai pembuat kereta bukan nasional yang mengungguli jualan untuk tahun ketiga berturut-turut. Dulu Toyota pegang title market leader non nasional ni. Tapi Honda nampaknya bijak membaca selera orang tempatan. Aku rasa sebabnya satu je, Honda Malaysia sangat agresif dalam menawarkan model jualan dan effort mereka untuk mengatasi skandal airbag Takata juga harus dipuji.

Berbanding Honda Malaysia, UMW Toyota kelihatan ‘lembab’ dari sudut ini. Korang tengok ajelah senarai model-model jualan UMW. Boleh dikatakan jauh ketinggalan. Design orang tua, spec pulak agak basic sedangkan bukan tak ada langsung model-model Toyota yang canggih. HR-V dah naik jemu kita nampak atas jalan, UMW baru nak mula jual CH-R. Nampak tak lembabnya mereka disitu.

Selain dari tu UMW cuma ada Vios, Altis, Camry bla…bla…bla…bosan. Kalau spesifikasi sedap pun, harga dah masuk kategori meninggal untuk rakyat marhaen. Dalam hal ni nampak Perodua pula lebih kedepan dari segi spesifikasi passive safety dan jualan. Itu pasal la UMW cuba beli pegangan saham yang lebih besar dalam Perodua. Easy money kot.

Tentang Proton tidak ada apa-apa yang menarik selepas pembelian saham oleh Geely. Barangkali selepas mereka melancarkan SUV. Adakah Proton terlambat mengejar trend? Atau kali ni sekali lagi mereka tersilap percaturan harga. 

Aku ada terbaca kat mana tah, SUV Proton ni kategori Premium. Premium dari spesifikasi atau harga premium tak pasti la pula. Premium spesifikasi harga masuk akal insyaAllah orang terima. Jangan harga premium tak tentu hala sudahlah. 

Aku memang tunggu Proton jual kereta baru sebab masa ni ramai yang excited lebih. Berlambak screenshot muka-muka dan statement over confident yang aku jadikan khazanah. Lepas dua tiga tahun aku baca balik komen sorang-sorang sebagai hiburan masa tengah berak. Dulu aku suka betul baca komen Fauzan dalam blog Funtasticko. Gila positif sampai aku rasa nak hantuk kepala kat bucu meja pejabat. Entah mana la brader tu sekarang...lama dah aku tak menyibuk dalam blog tu.

Nak positif tak salah, tapi biar realistik dan ada point-point yang menyokong statement hangpa. Banyak kali aku tulis dalam blog ni, sebagai sebuah jenama kereta, wajiblah anda mampu menjual dengan banyak supaya ekonomi syarikat sihat untuk mengharungi cabaran industri.
Tu, Preve dengan Exora bila lagi nak buat major facelift? Kalau bajet rendah pun sekurang-kurangnya buat sikit refreshment untuk naikkan balik momentum jualan.
Sekarang ni nampak Proton macam idle sikit mungkin sebab peralihan organisasi. Korang ingat mesti aku tak suka Proton kan? No. Sebenarnya aku suka dengan Suprima, agak cantik sebenarnya.Nampak bold gitu.


Tadi ada sorang mamat komen pasal satu post paultan.org tentang pilihan kereta bandar samada Picanto, Myvi atau Iriz.

Pilih la apa-apa pun tak kisah sebenarnya tapi hujah dia guna point Iriz masuk rally, Myvi tak masuk rally bagi aku hujah yang diluar konteks. Hei, kereta bandar kot? Kau nak rally pergi mana? 

Dia kabor body Iriz kuat, sebab tu digunakan dalam rally. Eh, nampak macam kaki motorsport siap mention ada bengkel kereta conti, takkan tak tau kot banyak lagi penambahbaikan pada casis walaupun platform tu bagus. Bukannya keluar kilang masuk tayar offroad terus ready untuk rally. Orang cerita pasal KERETA BANDAR, dia pegi bawak hujah rali dia. Agak-agak tak boleh blah, keluar pulak peluru HPF. Ape-ape jelah asal kau boleh menang.

Dia ingatkan aku juga tentang gearbox automatik kuno Perodua sedangkan orang lain dah move on pakai CVT. Part ni aku separa setuju, ya betul memang kuno tapi CVT belum cukup lasak setara transmisi automatik konvensional. Itu je sebabnya. Bila CVT dah boleh dilenjan dalam rally, masa tu aku orang pertama akan pakai CVT. Setuju?

Post a Comment