Tuesday, June 7, 2016

Honda Wave Victory 150?

Masa ura-ura Honda Sonic 150 bakal dilancarkan di Indonesia tak lama dulu,aku tak berapa teruja sangat sebab lebih tertarik dengan spesifikasi Satria FI 150. Sebabnya adalah aku yakin canggih mana pun, mesti tak masuk Malaysia.
Tinggallah Yamaha Y15ZR bermaharajalela di pasaran tempatan tanpa pesaing. Ini bukan benda baru. Sejak Yamaha LC135 keluar, Honda dan Suzuki tak serius langsung nak compete dengan model ni sepertimana negara jiran.Ada ke patut keluarkan Wave S rupa orang tua? Bila keluarkan Wave Ultimo, semuanya dah terlambat. Suzuki pulak bukan tak cuba langsung, diorang pernah try kategori moped ni jauh lebih awal dari Yamaha LC dengan menjual Suzuki FX125. Masalah dia masa tu mat motor Malaysia masih lagi obses dengan 2 lejang yang mudah sangat nak bagi laju.
Bagaimanapun era kapcai empat lejang ni menyaksikan Yamaha bakal menerima tekanan apabila dijangka Honda Sonic bakal dibawa masuk ke Malaysia didalam rupa bentuk moped sepertimana yang telah dilancarkan di Vietnam iaitu Honda Winner 150. Nama yang dikatakan akan digunakan untuk model terbaru ni adalah sama seperti tajuk entri ni, Honda Wave Victory. Bagi aku tak payah nak victory bagai, pakai nama Wave 150FI (fuel injection) sudah.
Persaingan kategori 150 akan menjadi lebih seimbang jika Suzuki juga membawa masuk Satria FI iaitu 'adik' kepada Belang yang ditambah baik dengan sistem pancitan bahanapi dan piawaian Euro yang lebih tinggi. Berdasarkan sejarah sebelum ni, Suzuki tidak keberatan membawa Suzuki Belang yang terang-terang bukan selera tempatan, namun ada peminat 'niche' tersendiri.
Terus terang aku cakap, dominasi dan demand menyebabkan harga Yamaha semakin merepek. Contohnya 125ZR dah cecah harga RM10,000.00 diikuti Y15ZR sekitar RM9,400.00. Kegilaan apakah ini? Itupun ada yang sanggup bayar 9.4k untuk sebuah moped tanpa kick starter.SOHC pulak tu.
Bilamana Honda mempamerkan Winner 150, tak syak lagi model ini mampu mengugat jualan Y15ZR jika dilancarkan pada harga yang tepat iaitu sekitar 8-9 ribu. Lagi murah, lagi bagus.

Pertama sekali tengok rupa dia. Siapa kata tak cantik? Eh, ada aku baca kat Facebook haritu, ada yang kata lawa lagi Y15ZR, yang ini serupa SYM je. Ya, betul. Y15ZR pun sebuah motorsikal yang cantik,tapi yang ini juga cantik woii!

Macam ni, dulu zaman aku mula mengenal motorsikal, Yamaha adalah motorsikal tunggangan aku sejak 1995 - 2009. Lepas tu aku pakai Honda. Suzuki ada la pakai sekejap. Nak ceritanya, jenama yang paling lama aku pakai adalah Yamaha. Aku tau jugak la kualiti Yamaha, Honda dan Suzuki. Masing-masing ada kelebihan tersendiri. Semua aku pernah rasa. Aku akui coverset Honda terutamanya Wave memang teruk, tapi korang berani tak buat macam aku; last tukar minyak hitam pertengahan 2014? Dua tahun dah steady je beb,haha!
Macam ulasan aku pasal Satria FI hari tu, aku lebih suka menyentuh bab enjin Honda ni. Ada beberapa advantage yang aku kira baik sedikit berbanding Y15ZR terutamanya gabungan gerek dan lejang yang hampir square,nisbah mampatan lebih tinggi, penggunaan aci sesondol berkembar dan transmisi 6 kelajuan. Cuma berat kering agak mengecewakan iaitu lebih 7kg berbanding Y15ZR yang gemok.
Dari segi prestasi,hasil tinjauan aku kat laman-laman web negara jiran menunjukkan Honda Winner/ Supra GTR berupaya mengatasi Satria FU( bukan Satria FI) dalam acara pecut.
Ujian *dyno Dynomite EddyCurrent USA juga menunjukkan prestasi Honda Winner/ Supra GTR lebih baik berbanding pesaingnya iaitu Yamaha Jupiter MX King dan Suzuki Satria FI.

1. Honda Sonic 150 ( asasnya sama saja dengan Winner )
Peak power : 12.99whp@9300 rpm
Max torque : 11.3 Nm@6900 rpm

2. Suzuki Satria FU Injection (FI)
Peak power : 12.88whp@11,500 rpm
Max torque : 9 Nm@9,100 rpm

3. Yamaha MX King ( Y15ZR)
Peak power : 11.76whp@8,500 rpm
Max torque : 11 Nm@6,600 rpm

*sumber
** (whp) wheel horsepower ya,bukan angka horsepower atas brochure yang diklaim pengeluar

Dijangka bakal dibawa masuk dalam masa terdekat, aku harap harga jualan berada di julat yang berpatutan.Kesian la kami ni, dah la tak ada pilihan, harga pulak mahal, signal capang!

# UPDATE 01
- Dikhabarkan nama rasmi model ini di pasaran Malaysia ialah Honda RS150R. Aku lebih suka nama yang ringkas macam ni kecuali penambahan aksara "R". Huruf tambahan "R" patut digunakan untuk model khas versi upgrade / tambahan aksesori perlumbaan.
- Signal capang yang diwajibkan pihak berkuasa memang confirm, masalahnya apa kejadah signal depan pun capang jugak??? Nokhoromm buruk woiii!!

# UPDATE 02
- Dari page Facebook Yrt Shahrol Yuzy, ujian dyno Honda RS150R standard menunjukkan angka 16.37hp dan tork 15.15Nm
- Selepas penukaran ECU API (APITech barangkali),kuasa yang dihasilkan melonjak kepada 19.20hp dan tork 17.72Nm.Peningkatan kuasa sebanyak 17.3% dan tork 17.1%!


Post a Comment

Friday, June 3, 2016

Abang Man Dalam Kenangan

Entri lepas dah cerita bab memancing, tapi tahukah kalian siapa yang bertanggungjawab memperkenalkan kami adik-beradik ni kepada dunia sukan ekstrim memancing lautan dalam Atlantik??

Ni aku nak cerita ni.

Dalam ramai-ramai sepupu, aku ada sorang sepupu yang agak rapat berbanding yang lain. Kami panggil di abang Man. Zaman aku kecik-kecik dulu, aku membesar di kampung. Rumah keluarga aku pun dekat sangat dengan rumah nenek sebelah abah aku. Masa tu sepupu aku ni tiga beradik duduk dengan nenek aku. Dia lelaki dengan satu kakak dan satu adik. Aku tak pernah kenal mak ayah diorang, yang aku tau diorang duduk dengan nenek aku sejak aku lahir lagi.
Disebabkan diorang masa tu dah remaja dan aku dengan kakak aku masih lagi kecik, diorang ni la teman kitorang bermain. Abang Man ni rajin bawa aku bonceng basikal keliling kampung dan mandi parit. Walaupun masa tu umur aku sekitar tiga ke empat tahun,aku masih ingat suasana aku peluk belakang dia masa berenang kat parit, kaki aku tersepit celah jejari rim basikal dan masa kepala aku terhantuk rasuk rumah nenek aku.
 Impak trauma berenang kat parit dan sakit yang pernah aku rasa menyebabkan memori-memori tersebut sangat kuat sampai aku dewasa.
Lebih kurang umur aku lima tahun, kami sekeluarga berpindah ke Felda. Maka kami berjauhan dan membesar dalam dunia baru  yang jauh berbeza. Kami balik kampung pun dah jarang, maklumlah masa tu mana ada kereta. Sepupu-sepupu kitorang pun dah masuk zaman sekolah menengah. Sesekali bila kami balik kampung, diorang memang excited macam tunggu family sendiri.
Masa tunggu result SPM, abang Man ni duduk dengan kitorang di Felda. Banyak la dia bantu renovate rumah papan asal kitorang dan juga bantu arwah abah aku kat ladang sawit.Masa tu tahun 1989 kalau tak salah. Cuma ada satu gambar beliau tengah main badminton dengan jiran-jiran aku. Nanti aku selongkar album gambar cari balik gambar dia. Legend betul gambar tu sebab court badminton ditengah jalanraya tanah merah berlatarbelakangkan deretan rumah-rumah kayu felda yang masih standard belaka.

Masa aku tingkatan 1, kitorang satu keluarga beraya dikampung. Salah satu aktiviti selain beraya ialah memancing pantai. Abang Man ni la bawa aku dengan adik aku memancing ikan duri dan sembilang. Umpan yang kitorang pakai ialah larva kumbang badak yang banyak dalam batang kelapa reput. Dengar je dia nak cari umpan memancing, teruja betul nak ikut sebab aku suka tengok laut. Yang peliknya masa tu la aku baru tau kat kampung aku ni ada pantai. Pasal apa tah abah aku tak pernah bawak aku jalan-jalan tepi pantai masa kecik-kecik dulu. Selalu tengok kubota dengan mesin padi kat bendang je.
Sebelum kami balik ke Pahang semula sebaik habis cuti raya, abang Man belikan dua set joran asas untuk aku dengan adik aku. Murah je set pancing tu, tapi keseronokannya macam dapat Shimano Stella free!
Abang Man cakap untuk permulaan guna la dulu set pancing asas ni, nanti dah mampu beli yang elok, beli la yang tahan lasak sikit. Aku peduli apa masa tu, janji dapat set joran yang real,boleh dicasting dan dikarau; maksud aku bukan joran pakai tangsi ikat kat batang bemban.
Bertitik tolak dari situ, macam-macam set rod dan kekili kami beli.Tak adalah mahal-mahal sangat,agak-agak mampu dibeli dengan duit biasiswa. Yang aku ingat cuma kekili D.A.M Quick dan Okuma. Ada la beberapa lagi yang dipinjam kawan tapi tak pulang balik.
Aktiviti memancing ni dah jadi macam aktiviti wajib bila kami balik Sekinchan, joran mesti kami angkut sekali. Bezanya cuma abang Man dah jarang kami jumpa sebab dia dah berkahwin, dah tentu la dia fokus dengan family dia...
Selepas bertahun-tahun, kitorang sesekali ada berhubung melalui telefon bertanyakan khabar. Dalam ramai-ramai sepupu kitorang baik sebelah abah atau mak, rasanya dia sorang je yang rajin call kami. Mungkin bonding masih kuat sebab dia pun dah biasa sangat dengan kitorang. Selalu dia jemput datang kerumah dia di Kajang, tapi aku tak pernah berkesempatan.
Bulan Februari lepas aku jumpa dia, kaki dia sakit sebab jatuh terduduk di tandas. Entah baik ke tidak sakitnya masa tu kami tak tahu. Kenduri adik aku kahwin awal Mac pun dia tak hadir. Selalunya dia tak pernah miss kalau ada kenduri kahwin kat Pahang walaupun jarak dari Kajang ke Lepar Utara 3 boleh tahan jauhnya.
Hujung Mac barulah abang Man maklumkan yang dia dimasukkan ke hospital sebab sakit pinggangnya bertambah teruk. 10 April baru kami dapat melawat dia beramai-ramai di HUKM.Masa ni abang Man nampak masih berisi dan ceria bersembang dengan kami. Tapi bila dia tanya mak aku tau tak dia sakit, aku agak keberatan nak jawab. Sebabnya masa tu kami adik beradik yang berkelana kat Selangor ni ada krisis sikit dengan mak kitorang.
Punca sakit masih didalam siasatan doktor. Dia cakap dari kesan retakan tulang pinggul, doktor dapat kesan satu kelainan dalam teras tulang dia.Macam ada lubang-lubang. Kitorang agak, osteoporosis kot.
8 Mei 2016 kami sekali lagi kami melawat abang Man bila dapat berita yang keadaan kesihatan dia merosot dengan teruk. Badan makin kurus dan  percakapan dia dah perlahan sedikit sebab kesukaran bernafas, cuma belum dipakaikan alat sokongan oksigen. Masa ni aku dah rasa sesuatu yang tak enak sebab dalam masa yang singkat, keadaan dia makin teruk.
Selang beberapa hari, mak aku bergegas melawat abang Man. Dari Pahang, mak aku berkesempatan jenguk dia tapi keadaan semakin kritikal. Abang Man dah tak sedar keadaan sekeliling. Mak aku cuma mampu menangis tengok dia.
18 Mei 2016 jam 5.00 pagi aku dapat mesej WhatsApp yang memaklumkan Abang Man dah meninggal dunia...Aku ambil cuti kecemasan hari tu. Aku dapat tahu yang penyakitnya adalah berasal dari kanser hati yang dah merebak ke tulang. Aihhh...tak taulah macamana nak describe rasa kehilangan seseorang yang kami anggap macam abang sendiri.
Selepas beliau tiada barulah aku sampai kerumah abang man untuk pertama kali.Ralat sungguh sebab tak pernah serius untuk menziarahi dia.

Beberapa hari lepas tu, kakak aku ada cerita kenapa mak aku tiba-tiba nak pergi jenguk abang Man kat hospital. Katanya mak aku ada bermimpikan abang Man. Dalam mimpi tu abang Man cakap kat mak aku yang dia seronok nak jumpa arwah abah aku. Mungkin itu yang mak aku rasakan sebagai hint, bahawa beliau akan pergi selama-lamanya....

Gambar kat atas tu gambar abang Man dengan anak-anaknya.Ada lagi sepasang sebenarnya.
Beliau meninggal dunia di usia 43 tahun. Semoga Allah S.W.T mengampuni dosa-dosa Abdul Rahman bin Jelani dan meletakkan abang Man dikalangan orang-orang yang beriman....

Al Fatihah...


Post a Comment

Sijangkang Monster Fish

Aku fikir hari ni hari yang sesuai untuk tuliskan sesuatu untuk pembaca blog aku yang 'ramai' kat luar tu.Macam biasalah, cerita pasal hobi aku la, apa lagi.
Kali terakhir joran puaka aku mencecah air kalau tak salah lebih setahun lepas. Bukan aku tak minat lagi nak memancing, sebenarnya susah betul nak buat trip yang betul-betul jadi. Bulan Oktober 2015 cadangnya nak memancing kat benteng pemecah ombak Kuala Terengganu, tak jadi sebab tak cukup masa.
Lepas tu bulan Mac 2016, konon-konon nak mancing pantai kat Pantai Sepat. Pun tak jadi sebab jadual penuh.Sampailah plan ad-hoc yang terbaru hujung minggu lepas. Hajat aku nak memancing tertunai juga akhirnya di Sungai Langat, Sijangkang.

Puncanya pasal gambar ni lah:

Brader dalam gambar ni aku tak kenal,tapi abang dia satu tempat kerja dengan adik aku kat Teluk Panglima Garang nun.

Adik aku setkan satu trip ke lokasi brader ni pagi Ahad berbekalkan 50 ekor udang hidup.Kalau tak silaplah. Tapi nak ceritanya memang banyak standby udang. Mana la tahu ada serangan gerombolan siakap.

Malam sebelum tu aku siap-siapkan perambut dawai 40 paun setengah depa sebagai persediaan menghadapi tentangan monster Sungai Langat,kahkah! Tudiaaa...semangat baq hang.

Teknik yang digunakan macam biasa,pelampung tapi yang aku tak gemar dengan kaedah pelampung ni bila port air laju.Sungai Langat tu aku rasa tak pernah air tak laju kot?

Port pertama aku tak reti nak describe lokasinya macamana. Ada tebing yang agak sempit dan dipayungi pokok-pokok kecik.Boleh la buat tempat berteduh untuk 3-4 orang. Lepas setengah jam,aku dengan adik aku berpindah port.Tak jauh mana pun dari port asal, cuma port tu terbuka sikit, senang nak buat balingan tapi bersedialah dengan sunburn.
Spek aku plak transition lens, rasa macam redup je padahal cuaca panas terik. Kat port ni aku dapat sambaran pertama bila pelampung aku hilang sekejap.Bila pelampung timbul semula, tak ada lagi tanda-tanda aktiviti ikan dibawah. Pelik juga ni.
Bila aku check umpan, udang yang dicangkuk ekor dah hampir putus. Telahan aku mungkin ikan terasa sesuatu yang tidak natural kat mata kail tu. Samada mata kail terlalu besar,atau perambut kasar sangat. Ah, lantakkan. Namanya pun trip target monster, takkan pakai mata kail saiz 8.

Jam bergerak menjelang tengahari, cuaca makin panas, air Sungai Langat semakin perlahan dan menyurut. Tanda-tanda kehadiran ikan cuma sekali, yang aku cerita kat perenggan atas tu. Time ni la perut sakit,adoiiiyaii......part berak tak payah ceritalah ye,ke hangpa nak tau jugak?haha!
 Sekitar jam 2 petang, ikan kembali menyentuh umpan, cuma petandanya terlalu kecil. Hanya getuan-getuan disusuli kehilangan umpan.
Tiap kali labuh umpan tak lama lepas tu mesti pelampung tenggelam timbul, umpama digetu ikan kecik. Macam tu lah keadaannya sampai jam 4.00 petang. Daripada 50 ekor udang, baki yang tinggal kurang dari 15 ekor, kebanyakannya habis disesah buntal. Aku suspek je ni sebab lengkuk gigitan kecik, pastu clean cut. Buntal punya gigi kan macam razor blade. Buntal punya gigi ni dia punya kuat, mata kail saiz #1 pun boleh berlekuk dia gigit.
Lebih kurang jam 4.30pm, kami tapau baliklah. Belum sampai rezeki lagi nampaknya. Mesti korang kecewa, cerita panjang-panjang last-last bawak balik telur je,hihi!
Tak apalah, tak dapat ikan, dapat kawan baru dan jugak sunburn.

Lepas mandi-mandi kat rumah adik aku, kitorang pergi pekena kambing bakar kat Pak Tam Kambing Bakar. Malangnya menu kambing bakar+nasi putih tu cuma ada waktu tengahari. Nak kambing punya pasal kami order je lamb chop dengan nasi putih.

Berasap-asap masa menu ni sampai. Sizzling style lamb chop dia ni.

Hmmm.... nampak menarik. Cer bagitau rasa dia?
.
.
.
.

Ni nak habaq kat hangpa, ni la lamb chop terSEDAP yang aku pernah rasa. Kalau hangpa rasa penilaian aku tak betul, pergi rasa sendiri kat sana.Serius tidak membohongi kalian.
Malam-malam aku rasa ada menu lain yang disediakan gerai-gerai kecik tepi restoran tu umpamanya Yong Tau Fu dan jugak Sate.


Alamat dia:
Pak Tam Kambing Bakar,
B130 Jalan Kebun Baru Batu 10, Telok Panglima Garang

Search guna Waze je, InsyaAllah sampai. Sedikit kekurangan ialah ada sedikit gangguan lalat. Tak adalah terlalu banyak cuma sedikit mengganggu. Diharap restoran Pak Tam menambahbaik dengan memasang perangkap lalat UV kat restoran dia dimasa akan datang.

Jumpa lagi di entri seterusnya. Baiii!



Post a Comment