Tuesday, September 23, 2014

Persona Hikayat Melayu Lama

Dalam entri semalam,aku ada sebut tentang hikayat Melayu lama bernama Sulalatus Salatin karangan Tun Sri Lanang atau dalam ertikata lainnya Sejarah Melayu.Tarikh asal naskhah Sulalatus Salatin ni ada pelbagai,entah yang mana satu yang betul.Ada informasi yang cakap ianya ditulis sejak tahun 1356,ada 1511 dan 1528.Seriously aku tak tau,nak siasat betul-betul bukan kerja mudah yang boleh dibuat dalam masa singkat.Kerja-kerja mengesahkan karya penulisan lama ni eloklah diserahkan kepada pakar sejarah.

Seronok ke baca naskhah lama dengan gaya bahasa zaman silam ni?Terpulang.Semuanya bermula dari hati.Seronok ke tidak,kenalah ada minat membaca.Kemudian kena ada minat nak tau sejarah Tanah Melayu lebih daripada apa yang terkandung dalam buku teks sekolah.Kalau kita perhatikan,bukan saja anak muda sekarang tak minat mengenal sejarah negara sendiri,dari dulu pun memang dah ditanamkan macam itu ideologinya.

Nak cemerlang dalam pelajaran dan berjaya dalam hidup,kita kena menguasai Bahasa Inggeris,Matematik,Sains,Fizik,Kimia dan macam-macam lagi,tapi pelajaran Sejarah bukanlah salah satunya.Sama juga zaman aku sekolah dulu,dah lah isi kandungan buku teks sekolah tu ceritanya basic sangat,cikgu yang mengajar pulak jenis ‘O’(zero) dalam pengetahuan am sejarah Tanah Melayu.Sebijik-sebijik ikut buku.Langsung tak ada kreativiti nak tarik minat pelajar.

Sudahnya yang dapat A dalam subjek Sejarah bukannya sebab faham pun,sebab dok menghafal fakta.Matlamat awal pun dah salah sebenarnya.KPI cikgu semata-mata untuk hasilkan pelajar cemerlang dalam exam,cemerlang atas slip peperiksaan.

Mengajar berpandukan buku teks tu memang betul sebab itulah yang bakal ditanyakan dalam exam.Tapi cabaran sebenar mengajar pelajaran Sejarah ni ialah bagaimana nak menarik minat pelajar mengenali dan mendalami sejarah tanahair sendiri.Soalnya bagaimana?

Hikayat-hikayat lama Sejarah Melayu ada banyak cerita menarik dan kebanyakannya disulami situasi-situasi yang kedengaran seperti mitos.Apa salahnya mitos kan?Cerita Hollywood yang terang-terang mitos pun orang suka tengok.

Peranan cikgu-cikgi mata pelajaran Sejarah adalah menyelitkan cerita-cerita tamadun Alam Melayu yang agung disamping mengajar ikut modul pelajaran.Sebagai contoh,siapa tahu Tanah Melayu ni sangat banyak emas di zaman kegemilangannya sampaikan orang-orang kaya dahulu bagi budak-budak main je emas dia?Nah ambik segenggam sorang,pi main jauh-jauh.Itu baru orang kaya-kaya,Sultannya punya emas ada berapa banyak?Fikirkan.

 

Bagi statement macam tu untuk trigger minat diorang menyiasat sendiri kebenarannya.Baru la timbul minat nak belajar sejarah.Ini tidak,ada ke cakap Melayu lawan Portugis guna keris dengan lembing je.Come on,masa tu orang Melaka dah pakai istinggar(matchlock) le.Apatah lagi meriam.Ada ke patut menggambarkan bangsa Melayu sebagai bangsa yang lemah,pakai cawat,istana atap rumbia,tapi dalam masa yang sama komplen anak muda masa kini jatidirinya rendah.Apa daaa!!!

Berbalik kepada hikayat Sulalatus Salatin tadi,majoriti isi penulisannya ialah berkenaan zaman Kesultanan Melayu Melaka.Versi yang aku baca dah tentulah versi moden yang disusun semula oleh A.Samad Ahmad(DBP) pada 1978,tapi dalam bentuk PDF lah.Gaya bahasanya masih lagi agak lama,tapi boleh difahami.Takkan la nak guna bahasa moden pulak.Lari maksudnya nanti,dan tak dibuat orang manuskrip lama diterjemah sebegitu rupa.

Walaupun ceritanya banyak berkenaan Kesultanan Melayu Melaka,yang paling menarik bagi aku ialah intronya berkenaan penjelajahan Raja Iskandar anak raja Darab berbangsa Rom dari negara Makaduniah(Macedonia,Greece hari ini) hinggalah warisnya Raja Suran mendirikan kerajaan di Temasik (Singapura) dan berakhir di Bijaya Negara (Vijayanagara,Karnataka,India).

Hikayat-hikayat lama ni seperti yang kita jangka ianya disulami dengan mitos(mungkin juga benar,wallahua’lam).Seronok dibaca tapi janganlah dijadikan pegangan pula.

 

____________________________________*****____________________________________

INTRO

Raja Iskandar berjalan dari Rom bersama bala tentera ke arah matahari terbit(timur) dan berjumpa kerajaan di negeri Hindi yang rajanya bernama Raja Kida Hindi.Perang tercetus dan kerajaan Raja Kida Hindi tewas.Raja Kida Hindi tidak dibunuh tapi disuruh beriman dengan agama Nabi Ibrahim.

acf86-nabi-khidir Raja Kida Hindi ada anak perempuan bernama Puteri Syahrul Bariyah yang kemudiannya dikahwinkan dengan Raja Iskandar yang mana perkahwinan itu dinikahkan oleh Nabi Khidir.Amazing is’t it?

- Soalan: Adakah Raja Iskandar diatas sama seperti Alexander The Great yang amat popular dalam sejarah Barat?Pada tahun berapakah peristiwa diatas berlaku berdasarkan time frame kewujudan Nabi Khidir?

 

Hasil perkahwinan tersebut,lahirlah Raja Aristun Syah yang kemudiannya menjadi raja negeri Hindi.Raja Iskandar pula kembali ke Makaduniah.Raja Aristun Syah berada diatas takhta selama 355 tahun dan digantikan anaknya Raja Aftus.

Selepas silih berganti pelbagai raja,*kisahnya beralih kepada cucu Raja Sulan dari kerajaan Amdan Negara yang besar iaitu Raja Suran.(*macam ada page yang missing)Raja-raja dibawah jajahan takluk kerajaan Amdan Negara ni saja berjumlah 1200.

Kemudian Raja Suran bersama bala tentera yang ramai pergi menyerang benua China,tetapi tiada pengkisahan bagaimana situasi peperangan dengan China itu.Tersesat barangkali.

-Soalan:Dimanakah terletaknya kerajaan Amdan Negara dan berapa besarkah jajahan takluknya?

 

Perancangan asal menyerang China bertukar menjadi peperangan dengan Kerajaan Gangga Negara yang terletak di Perak (darat Dinding/Manjung).Kerajaan Gangga Negara yang dirajai oleh Raja Gangga Syah Johan bertahan didalam kota.

Pintu kota Gangga Negara dipecahkan oleh Raja Suran dengan hanya sekali paluan cokmar.Raja Gangga Syah Johan memanah dahi gajah Raja Suran lalu tersungkur gajahnya.Raja Suran melompat dan memenggal kepala Raja Gangga Syah Johan.

Dipendekkan cerita,perang tamat,Kerajaan Gangga Negara tewas dan puteri Raja Syah Johan iaitu Puteri Dara Segangga dikahwini oleh Raja Suran.

-Soalan:Adakah kota-kota dan binaan bangunan dahulu dibina daripada kayu sepertimana yang dimomokkan dalam buku Sejarah menyebabkan begitu mudah pecah selepas dihayun cokmar?

 

Raja Suran kemudiannya berjalan ke selatan semenanjung Tanah Melayu iaitu ke Negeri Langgiu,negeri dengan kotanya dibina dari batu hitam dan terletak di hulu Sungai Johor.Raja Negeri Langgiu ialah Raja Chulan iaitu orang Siam.

Orang zaman dulu-dulu ni bukan jalan-jalan cari makan.Asal jumpa je kerajaan lain,terus berperang.Gengster betul.Dalam Sulalatus Salatin dinyatakan bahawa perang ini antara rakyat Siam dan rakyat Keling.Situasi peperangannya digambarkan dengan dahsyat,berpuluh ribu nyawa terkorban dan pihak yang menyerang selalunya menang.Raja Chulan dipanah oleh Raja Suran serta seluruh isi harta benda Kota Langgiu yang tidak terkira banyaknya dirampas.

Macam biasa,Puteri raja pihak yang tewas dijadikan isteri.Kali ini Puteri Onang Kiu diperisterikan Raja Suran.

-Soalan:Peperangan dikatakan berlaku berhampiran Sungai Pangkali.Walaupun pelbagai usaha mencari menemui jalan buntu,benarkah puing-puing kota besar ini benar-benar hilang?

 

Perenggan terakhir.

Raja Suran meneruskan perjalanan ke Temasik(Singapura).Kisah paling menarik di Temasik ini ialah kisah bagaimana Raja Suran teringin nak tengok keadaan dan isi bawah laut.Segala bijak pandai dipanggil dan diminta perbuatkan satu peti kaca berpesawat (submarine??).Berpesawat barangkali membawa maksud lengkap dengan alat kawalan.

Selepas siap,peti itu dimasuki Raja Suran dan diturunkan kedalam laut.Maka sampailah Raja Suran ke dunia dibawah air bernama Dika.(whatt??)Negeri yang cantik itu didiami kaum Bu-Sum,dikatakan sesetengahnya Islam dan sesetengahnya kafir.

raja suran ke laut

Kerajaan dalam bumi bernama Dika ni rajanya bernama Raja Aktabu’l-Ard.Selepas berkenal-kenalan(tiada perang sebab Raja Suran lone ranger),duduklah beliau dinegeri Dika dan berkahwin dengan puteri Raja Aktabu’l-Ard bernama Puteri Mahtabu’l-Bahri.Dalam masa tiga tahun,beliau beroleh tiga anak lelaki.

-Apakah sebenarnya negeri Dika itu?Negeri bunian atau sememangnya ada dunia lain dibawah sana?

 

Kisah pengembaraan Raja Suran dan anak-anaknya di Bukit SiGuntang masih lagi panjang,tak larat aku nak tulis balik dalam gaya santai.Maybe di masa akan datang.Nak kata tahyul semuanya tidak juga,sebagai contoh batu bersurat Raja Suran yang memang wujud di Singapura manakala kisah beliau keluar dari laut menggunakan kuda semberani (Pegasus) kedengaran macam errrrrr..……sikit.

Apapun ia tetap hikayat yang menarik untuk dihayati.Hikayat lama kita tak kurang hebatnya berbanding mitologi Norse dan Greek.Cumanya kita tiada kemampuan nak menggarapkan hikayat lama ni dengan berkesan sepertimana filem Hollywood Thor dan juga Clash of The Titan.Dananya tidak murah,kerjanya leceh dan kekurangan tenaga pakar pulak tu.Nak harap KRU??Hmmmmm……

Berkaitan dengan subjek Sejarah ni juga,ramai pakar anak Melayu diluar sana yang mana kajian dan ilmu pengetahuan diorang tak kurang hebat.Tapi agak mengecewakan bila sudah mula nampak tanda-tanda ilmu Sejarah tanahair ini mula menjadi sesuatu yang ekskusif.Maksud aku tiada lagi ilmu mendalami sejarah dengan percuma.Yang ada cuma artikel dan nota-nota biasa,cari sendiri kat Google pun boleh dapat.Kesudahannya nanti ramai yang baru-baru nak minat terus hilang minat,dan yang tak pernah minat Sejarah,langsung tak ambil peduli.

Sekian,jumpa lagi dalam subjek History Channel yang lain.

Post a Comment